Friday, March 2, 2012

JANGAN BAKHIL BERSELAWAT, SOLAH, ZAKAT DAN KIRIMAN PAHALA

Tazkirah Jumaat
2 Mac 2012 (8 Rabiul Akhir 1433H)


JANGAN BAKHIL BERSELAWAT

Rasulullah SAW telah bersabda: “Orang yang bakhil (kedekut) ialah orang yang apabila disebutkan namaku di sisinya, maka dia tidak berselawat ke atasku.” (Riwayat Ahmad: 1645).

Apabila seseorang berselawat sebanyak sekali, dia mendapat sepuluh kali ganda ganjaran.

Daripada Abu Hurairah, Nabi s.a.w. bersabda “Sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, akan dicatat baginya sepuluh kebaikan. (Hadis Riwayat Ahmad).

Sebaliknya orang yang tidak berselawat akan kehilangan ganjaran ini. Dalam hadith yang lain disebut, binasalah orang yang tidak berselawat ke atas Baginda, namun ia bukanlah bermaksud kecelakaan tetapi sebaliknya menunjukkan satu kerugian atau kehilangan pahala yang besar.

“Binasalah seseorang yang namaku disebutkan di sisinya lalu ia tidak berselawat untukku.” (Riwayat Tirmidzi dan Hakim)

Bahkan Rasulullah mendengar selawat kita.

“Sesiapa yang berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, sesiapa berselawat kepadaku dari jauh maka, selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan dia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya.” (Riwayat Al Baihaqi dan Al Khatib)

Jadikanlah selawat sebagai amalan harian kita. Buatlah jadual harian untuk berselawat ke atas Nabi, samada di waktu pagi atau petang atau bila-bila masa sahaja.

Lafaz Selawat

Antaranya ialah Selawat Ibrahim yang biasa dibaca dalam sembahyang semasa tahiyyat akhir.

Dari Ka’ab bin ‘Ujrah r.a telah berkata: “Wahai Rasulullah, ada pun cara mengucapkan salam kepadamu telah kami ketahuinya, maka bagaimana pula cara berselawat ke atasmu?” Rasulullah SAW menjawab: “Ucaplah: Ya Allah! berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya Allah! Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” (Riwayat al-Bukhari: 442)

Selain itu Baginda juga mengajar selawat yang menyebut perkataan “Nabiyyil Ummi” sepertimana terdapat dalam al-quran misalnya dalam surah Al-A’raf ayat 158.

Allahumma Solli ‘Alaa Muhammadinin Nabiyyil Ummiyyi wa-’Alaa Aalehi wa-sallim Tasleeyma.(Ya Allah, limpahkanlah rahmat kepada Sayidina Muhammad seorang hamba, Nabi dan utusanMu yang ummi”) [Al-Jami Al-Saghir; Allamah Sakhaawi RA dalam Al-Qawl al-Badee’; Imaam Daraqutni RA and Al Muassah al-Rayyan]

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak 80 kali pada hari Jumaat, Allah swt akan mengampunkan dosanya sebanyak 80 tahun. Telah ditanya; Wahai Rasulullah s.a.w, Bagaimanakah selawat itu? Baginda menjawab “Allah humma salli ala muhammadin abdika wa nabiyyika wa rasulikan nabiyyil ummi” [Al-Qawl al-Badee’; Al Muassah al-Rayyan; Takhreej Al-Ihya; Dar Al-Hadith)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/02/27/jangan-bakhil-berselawat/


SOLAH, ZAKAT DAN KIRIMAN PAHALA

Dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah swt sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan. (Baqarah:110)

Dirikanlah Solah

Sembahyang itu adalah munajat, iaitu “personal contact” atau hubungan peribadi seorang Muslim dengan Allah swt dan kontrak sembahyang yang wajib ialah 5 waktu sehari semalam.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:“Sesungguhnya orang yang sedang sembahyang, adalah sedang munajat kepada Tuhannya ….. (diriwayatkan oleh Imam Ahmad).

Dalam satu hadith disebut “Sembahyang itu Mikraj orang Mukmin”. Orang mukmin ialah orang Islam yang patuh dan Mikraj pula bermaksud naik. Mukmin dinaikkan taraf atau status atau makamnya melalui ibadat sembahyang.

Keluarkanlah Zakat

Zakat hanya diwajibkan ke atas harta yang diperolehi secara halal. Zakat adalah bertujuan untuk membersihkan harta tersebut. Harta yang sememangnya haram tidak wajib dikeluarkan zakat dan tidak dapat dibersihkan sama sekali, melainkan dengan cara dihapuskan kesemuanya atau diberikan kesemuanya kepada orang lain (umpama banjir yang tidak dapat menghayutkan sebuah pulau). Oleh itu pastikan sumber harta yang diperolehi adalah halal dari awal lagi.

Kiriman Pahala

“….dan apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah swt.”

Apa jua ibadah atau amalan yang dilakukan di dunia ini yang betul niatnya dan caranya akan dikirimkan pahalanya di negeri akhirat nanti. Setiap hari kita mengirimkan pahala melalui ibadah dan amalan yang dilakukan, seperti kiriman wang yang dilakukan oleh seseorang kepada seseorang di tempat lain melalui perbankan pada masa kini.

Dunia ini hanyalah satu tempat sementara dan di sinilah tempat kita diuji dan keputusannya diketahui di negeri Akhirat. Segala kebaikan yang telah dilakukan di sini (dunia) akan dihantar ke sana (kampung akhirat). Seperti pelaburan amanah saham, setiap yang dilaburkan pada masa dahulu akan diberi pulangan di masa hadapan (bijak dahulu bijak sekarang):

Muzammil [20]….dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah swt.

Sesungguhnya Allah swt sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan

Allah sifatnya “basar” iaitu melihat. Allah melihat tanpa memerlukan kepada biji mata, cahaya. Allah melihat semua yang dekat, jauh, samada dalam terang atau gelap. Kita pula hanya boleh melihat sesuatu dalam jarak tertentu dan dalam keterangan (cahaya) sahaja. Penglihatan Allah adalah penglihatan yang asli, kita cuma diberikan sedikit penglihatan untuk kegunaan di dunia ini. Allah melihat apa yang zahir dan yang batin atau tersembunyi.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/02/25/solah-zakat-dan-kiriman-pahala/

No comments: