Thursday, February 23, 2012

MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W (9), BANYAKKAN BERSELAWAT, MEMBERI MAKAN KEPADA ORANG YANG LAPAR, RASULULLAH MENJAWAB SALAM DAN SELAWAT KITA

Tazkirah Jumaat
27 Jan 2012 (1 Rabiul Awal 1433H)

MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W
(Oleh: Ustaz Mohamad Razi Bin Haji Zulkifli, Bentong, Pahang Darul Makmur)

APAKAH SEBENARNYA HUKUM MEROKOK? DULU DENGARNYA MAKRUH, SEKARANG HARAM PULA, KENAPA?

Hadis riwayat Abu Daud di dalam sunannya, katanya: “Harun bin Abdullah menceritakan kepada kami, katanya, Muhammad bin Basyar menceritakan kepada kami, katanya, Yunus bin Ishak menceritakan kepada kami daripada Mujahid daripada Abu Hurairah r.a katanya : “Rasulullah SAW melarang mengambil ubat-ubatan yang keji.” (Hadis Sahih)

Merujuk kepada buku Isu-isu Fiqh Perubatan Semasa oleh al Syeikh Walid bin Rasyid al Su’aidan terjemahan oleh Dr. Basri bin Ibrahim al Hasani al Azhari, terbitan al Hidayah. Isu diatas dapat dikupas berdasarkan hadis tadi dan ayat al Quran Surah al Baqarah ayat 195 “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke arah kebinasaan…”, Surah al A’raf ayat 157 “Dan menghalalkan segala benda yang baik dan mengharamkan segala benda yang buruk” dan surah al Isra’ ayat 26-27 “Dan janganlah kamu membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau”

Berdasarkan dalil-dalil tadi dapatlah:

1. Berdasarkan kesepakatan doktor yang bijaksana lagi dipercayai, merokok termasuk dalam punca-punca yang menyebabkan kebinasaan tanpa keraguan.

2. Merokok adalah satu pembaziran yang memusnahkan keluarga dan ekonomi.

3. Ubat yang keji pun syarak melarangnya apatah lagi mengambil ibu segala kekejian iaitu rokok.

Akhirnya kembali kepada persoalan diatas, jawapan bagi HUKUM MEROKOK adalah HARAM tanpa keraguan mengikut ulama kontemporari setelah kajian demi kajian moden mengesahkan rokok sangat berbahaya untuk kesihatan dan asapnya memudaratkan diri sendiri serta orang lain. Kajian ini belum didapati oleh ulama terdahulu ketika menghukumnya MAKRUH.

Pesanan: Buat penjual rokok, ketahuilah bahawa salah satu punca rezeki dan perniagaan anda tidak berkat ialah kerana menjual rokok. Untuk apa keuntungan seringgit dua jika ia boleh menghancurkan anak bangsa. Buat perokok, berusahalah sehabis daya untuk berhenti merokok. Merokok itu kehinaan.

(Sumber: Info Fiqh Medik dalam Novel Denyut Kasih Medik oleh Dr. Farhan Hadi.)


BANYAKKAN BERSELAWAT

Buatlah jadual harian untuk berselawat ke atas Nabi, samada di waktu pagi atau petang atau bila-bila masa sahaja.

Orang yang paling diutamakan di Alam Mahsyar nanti ialah orang yang paling banyak berselawat. Di dunia dia mungkin seorang hamba, tetapi di syurga dia menjadi tetamu Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

“Orang yang lebih berhak mendapat syafaatku pada hari kiamat ialah orang yang lebih banyak selawatnya kepadaku.” (Hadis Riwayat Ibn Mas’ud r.a)

Dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya syafaatku untuk ummatku yang melakukan dosa-dosa besar (kecuali mereka yang mati dalam keadaan syirik dan tidak bertaubat darinya).

Rasulullah s.a.w. akan hadir dan berada dekat semasa timbangan amal dilakukan ke atas umatnya. Jika timbangan dosa mereka lebih berat dari amalan, maka Baginda akan meletakkan sesuatu sebesar jarinya untuk memberatkan timbangan amalan. Jika ianya masih tidak mencukupi maka Baginda akan memberikan syafaat (recommendation).

Lafaz selawat yang paling afdhal adalah seperti yang diucapkan semasa tahiyyat dalam sembahyang kerana itulah lafaz yang diajarkan oleh Baginda.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/02/04/jadikan-selawat-sebagai-amalan-harian/


MEMBERI MAKAN KEPADA ORANG YANG LAPAR

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesungguhnya pahala yang diperolehi oleh orang yang memberi makan serta bersyukur sama pahalanya dengan pahala yang diperolehi oleh orang yang berpuasa serta bersabar” (Riwayat Hakim melalui Abu Hurairah r.a)

Orang yang berpuasa dan bersabar semasa lapar dan tidak merintih kelaparan besar pahalanya. Manakala mereka yang memberi makan kepada orang yang lapar akan diberikan pahala sama seperti orang yang sabar semasa berpuasa.

Memberi makan kepada orang yang lapar sangat istimewa balasannya daripada Allah SWT.

Daripada Abu Said al-Khudri r.a, dari Nabi S.A.W, Baginda telah bersabda yang maksudnya:”Mana-mana orang mukmin yang memberi makan kepada seorang mukmin semasa ia lapar, nescaya Allah memberi makan kepadanya pada hari kiamat dari buah-buahan Syurga; dan mana-mana orang mukmin yang memberi minum kepada seorang mukmin semasa ia dahaga, nescaya Allah memberi minum kepadanya pada hari kiamat dari minuman syurga yang tersimpan dengan sebaik-baiknya; dan mana-mana orang mukmin yang memberi pakai kepada seorang mukmin semasa ia memerlukan pakaian, nescaya Allah memberi pakaian kepadanya dari pakaian syurga.” (at-Tirmidzi)

Oleh itu sekiranya ada orang miskin yang lapar, ajaklah mereka makan dan belanjalah mereka. Sebaiknya bawa mereka ke tempat makan atau belikan apa yang mereka suka makan. Ini lebih baik daripada memberi wang kerana jika kita beri wang, mungkin mereka tidak menggunakan kesemuanya untuk makan dan kita tidak akan mendapat kelebihan memberi makan kepada orang yang lapar.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/02/02/memberi-makan-kepada-orang-yang-lapar/


RASULULLAH MENJAWAB SALAM DAN SELAWAT KITA

Dari Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda “Tiada seorang pun yang memberi salam/selawat padaku, melainkan Allah mengembalikan rohku, sehingga aku dapat menjawab salam orang itu” (Riwayat Abu Daud). Rasulullah s.a.w. menjawab sendiri salam dan selawat orang yang menziarah maqam Baginda di Masjid Nabawi, Madinah. Ahli Sunnah Wal Jamaah berpendapat Nabi-Nabi hidup di Alam Barzakh, walaupun jasadnya mati tapi jisim halusnya (roh) masih hidup dan menjelma di alam nyata. Rasulullah tidak mati, cuma Baginda diwafatkan iaitu ditamatkan tugasnya. Seperti disebut dalam hadith “Al-auliyaa la yamut”, wali-wali itu tidak mati. Jika para wali tidak mati, apatah lagi para nabi. Roh Rasulullah s.a.w. dikembalikan kepada jasad Baginda untuk menjawab salam kita. Bahkan jasad para nabi tidak hancur.

Dari Aus bin Aus r.a.katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya di antara hari-harimu yang paling utama sekali ialah hari Jumaat, maka perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada hari itu, sebab sesungguhnya bacaan selawatmu itu ditunjukkan kepadaku. Para sahabat berkata: Ya Rasulullah, bagaimanakah selawat kita semua itu dapat ditunjukkan kepada Tuan, sedangkan Tuan sudah hancur tubuhnya? Nabi s.a.w bersabda: Sesungguhnya Allah mengharamkan pada tanah untuk makan tubuh sekelian Nabi. (Riwayat Abu Dawud dengan isnad sahih.)

Dalam hadith yang lain pula disebut: “Sesiapa yang berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, sesiapa berselawat kepadaku dari jauh maka, selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan dia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya.” (Riwayat Al Baihaqi dan Al Khatib)

Orang yang berselawat dari jauh pula disampaikan salam itu oleh Malaikat “Sayyahun”, malaikat yang tugasnya adalah melancong dan menghadiri majlis ilmu dan zikir. Salam juga adalah salah satu daripada pintu syurga. Selepas sembahyang Rasulullah s.a.w. mengajar kita berwirid “Allahumma antas-Salam…

Dari Tsauban,dia berkata” “Biasanya Rasulullah s.a.w. apabila telah selesai solat mengucapkan: astaghfirullah tiga(3) kali,kemudian mengucapkan: Allahumma antas salaam wa minkas salaam tabaarakta yaa dzal jalaali wal ikram.”

Abu Hurairah r.a meriwayatkan katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda “Orang yang berkenderaan hendaklah memberi salam kepada orang yang berjalan kaki, orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk dan orang yang sedikit hendaklah memberi salam kepada orang yang ramai.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/02/20/rasulullah-menjawab-salam-dan-selawat-kita/

No comments: