Thursday, February 16, 2012

MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W (8) : KEMAAFAN MENAMBAH KEMULIAAN, JADIKAN SELAWAT SEBAGAI AMALAN HARIAN

Tazkirah Jumaat
17 Feb 2012 (24 Rabiul Awal 1433H)


MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W (8)
(Oleh: Ustaz Mohamad Razi Bin Haji Zulkifli, Bentong, Pahang Darul Makmur)

KEMAAFAN MENAMBAH KEMULIAAN

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: “Tidak akan berkurangan harta dengan bersedekah, tidak akan bertambah ke atas seseorang hamba dengan sebab memberi kemaafan melainkan bertambah kemuliaan dan tidak akan tawaduk merendah seseorang terhadap Allah melainkan Allah akan mengangkat darjatnya.” (Riwayat Muslim no. 2588)

Di antara faedah sifat pemaaf ialah:

1. Menunjukkan satu ciri akhlak yang mulia.

2. Dalil kepada kesempurnaan iman dan Islam yang baik.

3. Tanda kepada orang yang berlapang dada dan berbaik sangka.

4. Hasil daripada cintakan sesama manusia.

5. Selamat dari fitnah dan terpelihara daripada tergelincir.

6. Menunjukkan kepada kesempurnaan dan kemuliaan jiwa.

7. Sebagai satu persediaan sebuah masyarakat kepada suasana yang baik dan kehidupan yang lebih afdhal.

8. Sebagai satu jalan cahaya dan hidayah kepada orang bukan Islam.

9. Mendapat kebaikan dunia dan akhirat kerana manusia suka kepada orang yang tenang dan suka memberi kemaafan.

(Dipetik dari artikal: Dr. Abdul Basit Abd Rahman, Mimbar Utama, Majalah I, Februari 2012)

http://mohamadrazi.blogspot.com/2012/02/motivasi-dari-hadis-nabi-muhammad-saw.html


JADIKAN SELAWAT SEBAGAI AMALAN HARIAN

Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad s.a.w); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Al-Ahzab: 56)

Allah SWT berselawat adalah bermaksud Allah mencucuri rahmat ke atas Rasulullah s.a.w. Malaikat dan orang yang beriman pula, apabila berselawat, ia bermaksud mendoakan dan memohon agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas Nabi kita Muhammad s.a.w. Maksud rahmat ialah kasihan belas Allah SWT.

Dalam ayat tersebut, kita (orang beriman) diperintahkan oleh Allah SWT supaya berselawat kepada Nabi, sehinggakan apabila khatib berkhutbah menyebut “Sollu”, dalam khutbah Jumaat, maka kita berselawatlah ke atas Baginda secara perlahan.

Kewajiban berselawat ialah sekali seumur hidup, sepertimana melafazkan dua kalimah syahadah. Jika seseorang berselawat dengan satu (1) kali selawat ke atas Baginda Mulia, seseorang itu akan mendapat ganjaran pahala sebanyak 10 kali.

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, “Perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada malam dan hari Jumaat, sesiapa yang membaca selawat untukku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali (Allah akan memberinya rahmat 10 kali) “. (Riwayat Al Baihaqi)

Daripada Abu Hurairah, Nabi s.a.w. bersabda “Sesiapa yang berselawat kepadaku satu kali, akan dicatat baginya sepuluh kebaikan. (Hadis Riwayat Ahmad).

Sesiapa yang berselawat kepadaku di sisi kuburku maka aku mendengarnya, sesiapa berselawat kepadaku dari jauh maka, selawat itu diserahkan oleh seorang malaikat yang menyampaikan kepadaku dan dia dicukupi urusan keduniaan dan keakhiratan dan aku sebagai saksi dan pembela baginya.” (Riwayat Al Baihaqi dan Al Khatib)

Tawaduknya Rasulullah s.a.w.

Hakikatnya Baginda tidak perlu kepada selawat kita dan cukuplah selawat daripada Allah SWT, tetapi beginilah tawadduk dan mulianya akhlak nabi kita ini.

Al-Qalam [4] Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.

Rasulullah s.a.w. sendiri pernah meminta Sayyidina Umar berdoa untuknya semasa beliau mengerjakan ibadat umrah, begitulah tawadduknya Baginda Mulia.

Dalam sebuah hadis disebutkan, bahawa Umar bin al-Khattab berkata: Ertinya: “Aku meminta izin kepada Rasulullah Shallallahualaihi wasallam untuk melakukan umrah. Nabi mengizinkan dan bersabda: Wahai Saudaraku, sertakan kami dalam doamu (ketika menunaikan umrah), janganlah engkau lupakan kami.”(Riwayat At-Tirmizi)

Baginda Mulia juga meminta kita mendoakannya selepas mendengar azan:

Sesiapa yang mendengar azan dan membaca doa (yang bermaksud….“Wahai Allah, dengan berkat seruan yang sempurna ini dan dengan berkat sembahyang yang didirikan, kurniakanlah kepada penghulu kami Nabi Muhammad wasilah dan kelebihan dan bangkitkanlah Baginda di Maqam Mahmud“, dia akan mendapat syafaatku di hari kiamat. (Riwayat dari Jabir Bin Abullah.)

Baginda tetap meminta kita berdoa untuknya walaupun Baginda telah diampunkan:

Al-Fath [2] Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayat ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).

Berselawat dan membaca quran dalam keadaan lalai sekalipun, tetap diberikan pahala.

“Sesiapa yang membaca Al-Quran dan melafazkan selawat secara lalai, Allah masih memberi gandaan pahala setinggi bukit dan malaikat masih mendoakan kebaikan bagi si pembaca”.

Sebaliknya doa yang dilakukan secara lalai tidak diterima oleh Allah SWT.

“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan engkau yakin ia akan dikabulkan, ketahuilah bahwa Allah tidak menerima doa daripada hati yang lalai”. (Hadith riwayat al-Tirmidzi)

Apatah lagi jika selawat dan baca quran itu dilakukan dengan secara khusyuk atau “hadir hati” (ingat pada Allah), maka sudah tentu lebih besar pahalanya. Oleh itu bersihkan hati dan berselawatlah dengan ikhlas.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/02/04/jadikan-selawat-sebagai-amalan-harian/

No comments: