Saturday, March 10, 2012

WAKTU PAGI LEBIH INDAH DISINARI NIKMAT DHUHA, KELEBIHAN BERKAHWIN

Tazkirah Jumaat
9 Mac 2012 (15 Rabiul Akhir 1433H)


MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD SAW (10)

(Oleh: Ustaz Mohamad Razi Bin Haji Zulkifli, Bentong, Pahang Darul Makmur)

WAKTU PAGI LEBIH INDAH DISINARI NIKMAT DHUHA

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Setiap tulang sendi seseorang menjelang pagi memerlukan sedekah. Untuk itu, setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah dan setiap takbir adalah sedekah. Menyeru makruf adalah sedekah, mencegah kemungkaran adalah sedekah. Semua perbuatan itu sama nilainya dengan dua rakaat solat Dhuha.”

(Riwayat Abu Dzar)

Nikmat solat sunat Dhuha:

1. Tidak termasuk golongan yang lalai.

2. Seolah-olah seluruh anggota melakukan kebaikan.

3. Diperkenankan doa selepas solat sunat Dhuha.

4. Dimurahkan rezeki.

5. Dipelihara oleh Allah S.W.T

6. Dihapuskan dosa.


KELEBIHAN BERKAHWIN

DALIL-DALIL KELEBIHAN BERKAHWIN:

1. DALIL DARI AL-QURAN

Firman Allah Taala:

“Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian (bujang) di antara kamu.” (Surah al-Nuur: 32)

Ayat di atas merupakan satu anjuran yang ditujukan kepada orang-orang yang tidak mempunyai isteri supaya berkahwin.

“Maka janganlah kamu (para wali) menghalangi mereka kahwin lagi dengan bakal suaminya.” (Surah al-Baqarah: 232)

Ayat di atas merupakan larangan dari Allah Taala kepada ibubapa yang enggan atau menghalang perkahwinan anak-anak perempuan mereka.

Dan orang-orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami). (Surah al-Furqaan: 74)

Firman Allah Taala ini menyatakan satu sifat terpuji, iaitu berdoa memohon kepada Allah Taala agar dikurniakan isteri dan zuriat yang menyejukkan mata.


2. DALIL DARI HADIS RASULULLAH S.A.W :

Sabda Rasulullah s.a.w :

Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Nikah adalah sunnahku (jalan agamaku), maka barangsiapa yang cintakan agamaku hendaklah dia menjalankan sunahku itu. (Riwayat Abu Ya'la dari Ibnu Abbas r.a)

Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Berkahwinlah supaya kamu menjadi ramai, bahawasanya aku bermegah-megah dengan kamu akan segala umat pada hari kiamat hingga dengan anak yang gugur dari perut ibunya. (Hadis Dha'if riwayat Abu Bakar bin Mardawiyah dari Ibnu Umar)

Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Barangsiapa yang tidak beristeri kerana takutkan kepapaan maka dia bukan dari golongan kami. (Hadis Dho'if riwayat Abu Mansur al-Dailami dari Abu Said)

Dari Aisyah r.a. dari Rasulullah s.a.w., baginda telah bersabda: Barangsiapa yang mempunyai keluasan rezeki hendaklah berkahwin. (Hadis Dha'if riwayat Ibnu Majah)

Barangsiapa di antara kamu yang berkemampuan mengeluarkan belanja perkahwinan, maka hendaklah dia berkahwin kerana perkara ini akan memejamkan mata dari melihat perempuan ajnabi dan akan memelihara kemaluan. Dan barangsiapa yang ketiadaan belanja perkahwinan, maka hendaklah dia berpuasa. Maka bahawasanya puasa itu melemahkan syahwat jimak. (Hadis yang disepakati oleh ali Hadis)

Lima hadis Rasulullah s.a.w. di atas menunjukkan beberapa fadhilat dan kelebihan yang mendorong dan menggalakkan supaya berkahwin. Ia juga menunjukkan akan kekhuatiran terhadap berlakunya zina mata dan zina faraj (kemaluan). Perkahwinan merupakan satu-satunya jalan keluar dari kekhuatiran tersebut .


3.DALIL DARI PERKATAAN PARA SAHABAT DAN ULAMAK

Saidina Umar al-Khatab r.a pernah berkata:

"Tiada yang menghalang perkhawinan itu kecuali oleh orang yang lemah dan yang membuat maksiat."

Perkataan ini menjelaskan bahawa agama tidak menghalang perkahwinan dan sebaliknya merupakan satu kecelaan terhadap orang-orang yang menghalangnya.

Saidina Abbas r.a. berkata:

"Tidak sempurna ibadat seseorang yang mengerjakan ibadat sehingga dia berkahwin."

Ini bermaksud, tidak sempurna ibadat seseorang itu kecuali setelah hatinya dikosongkan dari segala gangguan-gangguan was-was nafsu syahwat perkahwinan. Lalu kekosongan tersebut diisi dengan Allah s.w.t. Perkara ini akan hanya akan diperolehi dengan jalan perkahwinan sahaja.

Abdullah bin Masud pernah mengucapkan:

"Seandainya umurku hanya tinggal 10 hari sahaja untuk aku hidup, nescaya yang kusukai ialah berkahwin supaya aku tidak menemui Allah s.w.t. (mati) dalam keadaan aku bujang.

Sewaktu wabak taun melanda negeri Mesir, dua orang isteri saidina Mua'z telah meninggal dunia akibat penyakit tersebut. Dan ketika beliau sendiri diserang taun, katanya:

"Kahwinkanlah aku. Aku tidak suka menemui Allah s.w.t. dalam keadaan aku bujang. "

Saidina Ali r.a. telah berkahwin selepas tujuh malam kematian Saiyidah Fatimah r.a.

http://www.kadjemputan.com/tips/tips1.htm


JEMPUTAN KE MAJLIS PERKAHWINAN

EN. SABRAN SIMAN dan keluarga dengan rasminya menjemput tuan/puan ke majlis perkahwinan anak sulung beliau Noer Husnizan dengan pasangan Nor Azdianah bte Mohd. Azad pada 12 Mac 2012 (Isnin) di Kg. Lembah Permai, Kundasang. Majlis meraikan tetamu jemputan seawal jam 2.00 petang sehingga 10.00 malam. Kehadiran tuan/puan sekeluarga amat diharapkan dan dihargai. Terima kasih. [ ]



No comments: