Friday, December 17, 2010

AS-SHABUUR, CARA KAUT UNTUNG BESAR DALAM SEKETIKA, RIAK DAN PECAHANNYA

Tazkirah Jumaat
17 Dis. 2010 (11 Muharram 1432H)


FADHILAT ASMAUL HUSNA

99. As-Shabuur – Maha Penyabar

“Ya Shabuur!” Barangsiapa yang berzikir sebanyak 100 kali pada tiap-tiap hari sebelum tebit matahari, Insya Allah ia tidak akan dapat bala pada hari itu. Perbanyakkanlah zikir ini untuk membangun jiwa besar dan sabar dalam menghadapi segala urusan terutama dalam menghadapi segala kesulitan atau masalah apa saja, pasti segala urusan akan berhasil dengan baik.


CARA KAUT UNTUNG BESAR DALAM SEKETIKA

Anda boleh beristighfar kepada Allah lebih dari 100 kali : ASTAGHFIRULLAH HAL A’ZIM.

Daripada Abdullah bin Abbas, katanya: Sabda Rasulullah SAW: Sesiapa yang lazim beristighfar, nescaya Allah melapangkannya dari segala kekusutan, mengeluarkannya dari kesempitan dan memberi rezeki kepadanya tanpa disangka-sangka.



RIAK DAN PECAHANNYA

Riak merupakan satu amalan yang kecil sahaja. Ia kadangkala hanya tersemat di celah-celah masalah yang begitu banyak, tetapi tindakannya, memberi kesan yang sangat besar dan buruk, menyebabkan mereka yang terlibat akan terhina, bankrap, mereka tidak mempunyai harapan langsung untuk menjayakan diri mereka. Amalan yang diharap-harapkan untuk membantu mereka di alam Baqa’ telah hangus, dan tidak diterima, walaupun amalan riak hanya kecil sahaja.

Riak atau menunjuk-nunjukkan amalan kebajikan, atau ketaatan seseorang Islam di dalam agamanya. Jika amalan (ibadah) yang dikerjakan itu, terlibat dengan cara sengaja ingin menunjukkan amalan yang baik yang telah dilakukan olehnya itu kepada selain dari Allah s.w.t. untuk mendapat pujian dari mereka, atau untuk dihormati akan dirinya, dan lain-lain, maka ia adalah riak yang diharamkan.

Dalam hal ini ada beberapa cara, ada di antaranya dibenarkan, bahkan digalakkan, dan tidak kurang pula yang dilarang.


Pecahan Riak

Pecahan riak secara kasar kepada tiga (3) jenis:

(1) Haram
(2) Harus
(3) Digalakkan


1. Riak yang diharamkan

Adapun riak atau menunjuk-nunjukkan yang haram itu, ialah yang boleh membawa keburukan kepada yang melakukannya, dengan menunjuk-nunjukkan amalan amalan kebaikan yang dikerjakan kerana Allah itu, digunakan untuk mendapat sesuatu faedah selain dari Allah, atau paling tidak ibadah yang dikerjakan kerana Allah itu ingin ditunjukkan kepada orang lain, dengan tujuan mendapat pujian, atau penghormatan, pengiktirafan baginya, atau melaluinya (ibadah tersebut) ia mempunyai matlamat-matlamat yang lain dari matlamat-matlamat keredhaan Allah, pahala dari Allah, atau selain dari semata-mata menjunjung perintah Allah (swt).

Ibadah yang diriakkan itu pada hakikatnya, telah terkeluar dari status ibadah, kerana di dalam tiap-tiap keriakan yang haram itu berlaku, maka di sana terdapat pula persamaan sekalipun jika tidak seratus peratus, persamaan di antara yang berhak dengan batil. Persamaan yang layak dengan yang tidak layak. Persamaan di antara yang mencipta dengan yang diciptakan dan lain-lain lagi.

Pendek kata, tiap-tiap ibadah, walaupun ia dikerjakan di hadapan khalayak ramai seperti di surau, masjid, di padang dan sebagainya, ianya dimestikan kepada satu zat sahaja, tanpa ada niat, atau maksud hendak menunjuk-nunjuk ibadah itu kepada sesiapa, untuk tujuan yang berfaedah, bahkan mesti tidak ada kepentingan dari ibadah yang dikerjakan untuk Allah itu kepada selain daripada dariNya walaupun sebesar zarah sekalipun. Jika masih mempunyai kepentingan darinya kepada selain daripada Allah (swt), maka itulah riak haram, dan ia adalah syirik khafi (syirik kecil), ia adalah perkongsian hak dan kuasa, secara halus, ia adalah haram.

Banyak hadis menunjukkan petunjuk-petunjuk yang haram itu melalui riak, segala amalannya tidak mendapat ganjaran dari Allah (swt) dan segala-galanya menjadi sia-sia, dan bukan setakat itu sahaja, bahkan mereka yang terlibat itu pula akan diazabkan, kerana tidak jujur dengan ibadatnya, kerana wujudnya perkongsian ketika itu.

Dalam satu hadis Rasulullah (saw) bersabda maksudnya: “Jaga (diri) dari syirik kecil, (apabila ditanya) apa dia syirik kecil itu, sabdanya, riak.” (Khazinatul Asrar, 1/42)


2. Riak Yang Diharuskan

Riak yang harus ini, tidak lain dari menunjukkan apa yang telah dikurniakan oleh Allah (swt) kepada seorang, sebagai mensyukurinya, sepertimana firman Allah (swt) yang maksudnya:

“Adapun nikmat kurniaan Allah (s.w.t.) kepada kamu (wahai Muhammad) harus diceritakan, atau ditunjukkan kepada orang ramai.” (Surah ad-Dhuha, ayat 11)

Dalam riak yang harus ini, pada hakikatnya tidak ada perkongsian, atau matlamat sampingan di dalam mana-mana ibadah, dan pada hakikatnya, ia bukanlah satu riak yang diharamkan, cuma ada sedikit persamaan iaitu menunjuk-nunjukkan iaitu menunjukkan nikmat kurniaan Allah ke atasnya, dengan syarat sebagai mensyukurinya, ia adalah diharuskan selagi tidak tersalah anggapan terhadap pengurniaan itu, ia adalah dari Allah (swt).


3. Riak Yang Digalakkan

Ada juga riak iaitu menunjukan-nunjukkan sesuatu kepada orang yang digalakkan, ia yang bermotif menarik perhatian umum supaya mereka juga melakukan sedemikian itu kerana Allah (swt).

Riak ini sebenarnya bukanlah riak dalam erti kata sebenar, atau menunjuk-nunjukkan yang diharamkan, kerana motifnya, ialah Allah (swt) juga, iaitu seperti menunjukkan derma, bantuan yang dihulurkan bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik, supaya timbul pada perasaan orang lain itu, keinginan untuk menghulurkan derma bakti kepada mereka-mereka yang memerlukannya. Begitu juga seperti mengiklankan, menunjukkan zakat yang hendak dikeluarkan, supaya ada mereka yang lain pula ingin mengeluarkan zakatnya kerana Allah (swt). Jadi tujuannya, untuk menggalakkan orang lain berbuat kebaikan.

Begitu juga dengan riak, atau menunjuk-nunjukkan sebagai pelajaran, supaya ia dipelajari. Pendek kata penunjukkan seperti di atas, adalah digalakkan, tetapi dengan syarat bahawa segala yang dilakukan itu mestilah kerana Allah (swt). Mudah-mudahan dengan cara sedemikian boleh menarik orang ramai melakukan ibadah tersebut yang dikehendaki oleh Allah (swt).

Wallahu a’lam bissawab, wailmuhu atammu wa adalla.


No comments: