Tazkirah Jumaat
2 Julai 2010 (19 Rejab 1431H)
2 Julai 2010 (19 Rejab 1431H)
FADHILAT ASMAUL HUSNA
53. AL WAKIIL Ertinya Maha Melaksanakan Urusan MakhlukNya.
“Ya Wakiil” Sekiranya terjadi hujan yang disertai ribut yang kuat, atau terjadi gempa bumi, maka ketika itu perbanyakkan zikir ini, InsyaAllah bencana tersebut akan menjadi reda & kembali seperti sediakala dan juga apabila dibaca pada tiap-tiap hari atau malam sebanyak 66 kali atau lebih, Insyaallah akan dibukakan baginya pintu kebaikan dan rezekinya.
54. AL QAWIY Ertinya Yang Maha Memiliki Kekuatan.
“Ya Qawiy!” Amalkan zikir ini sebanyak mungkin agar kita tidak gentar apabila berdepan dengan sebarang keadaan mahupun berdepan dengan si zalim.
REBUT 5 SEBELUM 5
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rebut lima perkara sebelum datang lima perkara. Masa sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati.” (Hadis riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)
Janganlah bertangguh-tangguh dalam berbuat kebaikan dan rebutlah 5 perkara sebelum datangnya 5 perkara.
Beribadatlah, dan lakukanlah ibadat sunat disamping ibadat fardhu semasa sihat sebelum datangnya kesakitan,
Bersedekahlah semasa masih kaya (berharta) sebelum ditimpa kemiskinan.
Berzikirlah sewaktu masih mempunyai kelapangan sebelum dilanda kesibukan, misalnya di waktu pagi sebelum melakukan kerja-kerja harian dan di waktu petang setelah selesai bekerja.
Carilah keperluan dunia dan akhirat semasa masih muda dan mempunyai kekuatan tenaga sebelum datangnya tua dan tidak mempunyai kekuatan.
Beramallah di sini (semasa berada di dunia) semasa hidup kerana ia berguna selepas kematian nanti (semasa di akhirat). Di sana kita tidak lagi dapat beramal.
http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/06/28/rebut-5-sebelum-5/
TANDA-TANDA KEMATIAN YANG BAIK (HUSNUL-KHATIMAH)
Nas yang jelas tentang tanda-tanda kematian yang baik (husnul-khatimah) iaitu;
1. Mati dengan mengucap kalimah syahadah
Sabda Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-; “Sesiapa yang ucapan terakhirnya (sebelum mati) ialah Lailahaillallah, maka ia akan masuk syurga”. (Riwayat Imam al-Hakim dari Mu’az bin Jabar –radhiyallahu ‘anhu-. Kata al-Hakim; Hadis ini sanadnya soheh.)
2. Berpeluh di dahi
Sabda Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-;
“Seorang mukmin mati dengan berpeluh dahinya”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai dan al-Hakim dari Buraidah –radhiyallahu ‘anhu. Kata Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan. Menurut al-Hakim; hadis ini adalah soheh. Tashih al-Hakim itu dipersetujui Imam az-Zahabi. (Lihat; Faidhul-Qadier, hadis no. 9145))
Maksud hadis di atas ialah; jika kelihatan pada dahi si mati renik-renik peluh, maka itu tanda bahawa ia mati dalam iman. Sebab terjadinya renik-renik peluh itu menurut sebahagian ulamak ialah kerana malunya kepada Allah yang memberi rahmat kepadanya sedangkan masih ada dosanya kepada Allah. Sebahagian ulamak pula berkata; orang mukmin tidak terlepas dari merasai kepayahan ketika mati, namun kepayahan yang dihadapinya ringan sahaja iaitu hanya sekadar kepayahan yang menerbitkan peluh yang berpercikan pada dahi. (Faidhul-Qadier, hadis no. 9145)
Dalam satu hadis yang lain, Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- bersabda;
“Ajarilah orang yang hampir mati di antara kamu Lailahaillallah. Sesungguhnya ruh orang beriman akan keluar dengan bercucuran peluhnya. Adapun ruh orang kafir akan keluar dari rahangnya sebagaimana keluarnya ruh kaldai”. (Riwayat Imam at-Thabrani dari Abdullah bin Mas’ud –radhiyallahu ‘anhu-. Kata Imam al-Haithami; sanad hadis ini adalah hasan. (Lihat; al-Asas Fi as-Sunnah, Sa’id Hawa, jil. 3, hlm. 1164, hadis no. 1112)).
3. Mati ketika sedang melakukan amal soleh
Sabda Rasulullah –sallallahu ‘alaihi wasallam-;
“Sesiapa mengucapkan Lailahaillallah semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah, lalu ia mati dengan kalimah itu, maka ia akan masuk syurga. Sesiapa berpuasa pada satu hari kerana mengharapkan keredhaan Allah, lalu ia mati ketika sedang berpuasa itu, maka ia akan masuk syurga. Sesiapa bersedekah dengan satu sedekah kerana mencari redha Allah, lalu ia mati sesudah bersedekah itu, maka ia akan masuk syurga”. (Riwayat Imam Ahmad dari Huzaifah –radhiyallahu ‘anhu-. Berkata Imam al-Haithami di dalam Majma’ az-Zawaid; “Para perawi hadis ini adalah tsiqah”. Menurut Syeikh al-Albani; hadis ini adalah soheh. (Lihat; Ahkam al-Janaiz)).
http://ilmudanulamak.blogspot.com/2010/06/tanda-tanda-kematian.html
SEBUAH KISAH TENTANG JANGGUT
Di zaman Rasulullah s.a.w. ada seorang sahabat yang berjanggut nipis atau jarang-jarang sekadar sehelai dua. Semasa beliau mengambil wuduk untuk bersembahyang di masjid, Rasulullah tersenyum dan memalingkan mukanya.
Sahabat itu pun merasa hairan dan dia menyangka Rasulullah s.a.w. senyum kerana janggutnya yang nipis itu dan memalingkan mukanya kerana tidak suka kepada janggutnya yang jarang itu.
Keesokkan harinya sahabat lelaki tersebut datang ke masjid setelah mencukur janggutnya. Apabila terserempak dengan Rasulullah s.a.w, lelaki itu melemparkan senyuman tetapi Rasulullah tidak memandang langsung kepada lelaki tersebut…
Bertambah hairanlah beliau lalu diajukan pertanyaan kepada Baginda, “Wahai Rasulullah mengapa hari ini kamu tidak senyum kepadaku seperti sebelum ini?”
Lalu Baginda menjawab, ”Sebelum ini aku nampak malaikat berebut-rebut untuk menadah air wuduk yang jatuh dari janggutmu tetapi apabila kamu mencukur janggutmu tidak ada lagi malaikat yang menunggu di janggutmu wahai sahabat”…..
http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/06/28/sebuah-kisah-tentang-janggut/
No comments:
Post a Comment