Thursday, June 25, 2009

Taubat, Berdoa Dgn Yakin, Amal Soleh, Hubungan, Zikir & Sedekah

Tazkirah Jumaat
3 Rejab 1430H / 26 Jun 2009



TAUBAT

Firman Allah swt : “Wahai Orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha” (At-Tahrim: 8).

Di dalam ayat ini Allah swt menyeru hamba-hambaNya supaya bertaubat di atas dosa-dosa yang telah dilakukan dengan sebenar-benar taubat. Bukan sepertimana yang dilakukan oleh sesetengah golongan manusia yang hanya lisannya sahaja melafazkan kalimah taubat sedangkan ia masih lagi bergelumang dengan dosa dan maksiat.

Ulama’ telah menyebutkan syarat-syarat yang mesti ada bagi seseorang yang benar-benar ingin bertaubat sepertimana yang telah diambil dari Al-Quran dan hadis, antaranya:

1) Bersegera meninggalkan perbuatan dosa dan maksiat tersebut.

2) Menyesal atas dosa-dosa yang telah dilakukan.

3) Berazam untuk tidak kembali bergelumang dalam dosa dan kemaksiatan.

4) Mengembalikan hak-hak orang yang dizalimi atau memohon kemaafan darinya.

Terdapat juga sebahagian ulama’ yang menggariskan syarat-syarat lain bagi mereka yang ingin bertaubat dengan taubat nasuha, antaranya:

1) Meninggalkan dosa-dosa tersebut (taubat nasuha) ikhlas kerana Allah swt dan bukan kerana perkara-pekara lain.

2) Merasa jijik dan benci dengan dosa yang yang dilakukan dan mengakui akan kemudharatannya.

3) Bersegera melakukan taubat nasuha.

4) Berasa takut dan risau ia akan kembali kepada dosa dan kemaksiatan.

5) Cuba Mendapatkan kembali hak-hak Allah swt (cth: zakat, solat, dsb.) yang telah di tingalkan sebelumnya (sekiranya boleh).

6) Mencari sahabat-sahabat yang soleh yang mampu membimbing dan membantu supaya dia sentiasa mengingati Allah dan tidak kembali kepada kemaksiatan.

Adakah Allah Menerima Taubatku???

“Aku ingin bertaubat tetapi dosaku terlalu banyak. Aku masih belum meninggalkan perbuatan-perbuatan keji dan maksiat yang aku lakukan. Aku telah melakukan maksiat ini sejak aku masih kecil sehinggalah sekarang. Aku mencuri. Aku berbohong. Aku meninggalkan solat. Aku tidak membayar zakat. Dosaku terlalu banyak sehingga aku tidak yakin bahawa Allah swt akan mengampunkan dosa-dosa yang telah aku lakukan sekian lama. Kini aku bertahajjud disepertiga malam, aku berpuasa isnin dan khamis, dan aku membaca Al-Quran. Adakah Allah akan mengampunkan aku dan menerima taubatku???”

Firman Allah swt: “ Katakanlah, wahai hamba-hambaKu yang berlebih-lebihan terhadap dirinya (dengan memperbuat dosa), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah swt. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Kembalilah (bertaubatlah) kamu kepada tuhanmu, dan patuhlah kamu kepadaNya sebelum tiba siksaan kepadamu, kemudian kamu tidak mendapat pertolongan” (Az-Zumar: 53,54).

Marilah sama-sama kita renungi dan hayati maksud Firman Allah di atas yang secara langsung menjadi jawapan bagi persoalan hamba-hambaNya yang masih ragu-ragu untuk bertaubat.
Seorang hamba yang merasakan bahawa dosanya terlalu banyak dan merasakan ianya tidak mungin mendapat keampunan daripada Allah swt akan menjerumuskan dia kepada perkara-perkara berikut :

Pertama: Tidak yakin pada luasnya rahmat dan magfirah Allah swt.

Firman Allah swt: “Dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu (Al-A’raf: 156).

Kedua: Berkurangnya keimanan dan keyakinan terhadap qudrah Allah swt mengampunkan dosa hamba-hambanya.

Firman Allah swt dalam sebuah hadis qudsi: “Barangsiapa yang mengetahui dan meyakini bahawa hanya Aku yang mampu mengampunkan segala dosa maka akan aku ampunkan dosa-dosanya selama mana dia tidak mensyirikkan aku dengan sesuatu”.

Ketiga: Lemahnya salah satu perasaan yang patut ada pada diri seorang hamba iaitu Ar-raja’ (berharap).

Allah swt telah berfirman dalam sebuah hadis qudsi : “Wahai anak Adam! Sekiranya engkau berdoa dan memohon keampunan dariKu, maka akan Aku ampunkan segala dosa-dosamu. Wahai anak Adam! Sekiranya dosa-dosa yang telah engkau lakukan menggunung setinggi langit kemudian kau memohon keampunan dariku, maka akan Aku ampunkan dosa-dosamu. Wahai anak Adam! Sekiranya kau datang kepadaku dengan dosa sebanyak seisi dunia dan kau tidak mensyirikkan Aku dengan sesuatu, maka akan Aku datangkan padamu maghfirahku sebanyak seisi dunia”.

Keempat: Tidak berusaha untuk bertaubat dan memohon keampunan bagi menghapuskan dosa-dosanya.

Rasulullah saw bersabda: “Orang yang bertaubat daripada dosa-dosa yang dilakukannya seumpama tidak ada dosa bagi dirinya.”

Semoga kita semua tergolong dikalangan orang-orang yang bertaubat dengan sebenar-benar taubat (taubat nasuha) dan ikhlas kerana Allah swt. Sesungguhnya Allah itu Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.

Janganlah melambat-lambatkan taubat kerana ajal kita tidak memandang usia dan tempat. Firman Allah swt: “Bagi tiap-tiap ummat itu ada ajalnya, apabila datang ajal mereka itu, mereka tidak akan dapat melambatkannya dan tidak pula dapat mempercepatkannya walau sesaat jua pun” (Al-A’raf: 34). “Dan mohon ampunlah (beristighfar) kamu kepada tuhanmu kemudian bertaubatlah kamu kepadaNya, nescaya Dia akan memberi kamu kesenangan yang baik sehingga sampai ajalmu” (Hud: 3).

http://firdauznoh.blogspot.com/2007/03/taubat.html


BERDOALAH DENGAN YAKIN

Sabda Rasulullah s.a.w.:“Berdoalah kamu kepada Allah Taala dalam keadaan kamu yakin akan dimustajabkan (diterima). Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai dan alpa.” (Riwayat al-Tirmizi)

Ketika berdoa, kita hendaklah peka kepada apa yang didoakan (dipohon), janganlah berdoa dengan mulut sahaja sedangkan hati kita lalai. Sebaliknya hayati apa yang dipohonkan itu serta yakin bahawa Allah akan menerima doa tersebut kerana Allah S.W.T tidak akan memperkenankan doa orang yang hatinya lalai dan alpa.

Jangan bosan dalam berdoa. Rasulullah SAW bersabda: Akan dimakbulkan doa salah seorang di antara kamu selagi dia tidak terburu-buru lalu dia mengatakan: Aku sudah berdoa namun tidak dimakbulkan bagiku. (riwayat Imam al-Bukhari)

Cepat atau lambat sesuatu doa itu dimakbulkan (diterima) bergantung kepada Allah dan banyak atau sedikit dosa yang dilakukan oleh seseorang itu. Ada orang yang bertaubat selama 30 tahun baru Allah terima taubatnya itu. Nabi Musa juga berdoa selama 30 tahun kemudian barulah Firaun dimusnahkan.

Ada juga doa yang tidak diterima semasa di dunia ini tetapi diberi pahala di akhirat nanti. Ketika itu orang yang doanya diterima berkata “alangkah baiknya jika doa aku tidak diterima dulu”

Jagalah makan minum dan adab berdoa, agar doa kita diterima.

Doa diterima bila “yang ada jadi tiada” (contohnya penyakit disembuhkan) atau “yang tiada jadi ada” (contohnya diberikan rezeki). Semuanya berlaku dengan izinnya dan bukan secara kebetulan. Orang kafir berjaya bukan kerana doa mereka diterima tapi sebab Allah telah menentukan bahagiannya (kecuali kafir yang teraniaya).

Ar-Ra’d [14]…dan tiadalah ibadat dan doa permohonan orang-orang kafir itu melainkan dalam kesesatan.

Dalam sebuah hadis disebutkan: Doa adalah senjata bagi orang mukmin. Sesiapa tidak memohon (berdoa) kepada Allah, maka Allah akan murka kepadanya.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/06/25/berdoalah-dengan-yakin/


TAUBAT, AMAL SOLEH, HUBUNGAN SESAMA MANUSIA, ZIKIR DAN SEDEKAH

Dari Jabir r.a. katanya: “Rasulullah saw berkhutbah kepada kami, sabdanya: Wahai umat manusia, bertaubatlah kepada Allah sebelum kamu mati dan segeralah mengerjakan amal salih sebelum kamu sibuk (dengan yang lain), dan hubungkan apa yang ada di antara kamu dengan Tuhan kamu dengan sentiasa mengingatinya dan banyakkan bersedekah secara bersembunyi atau terang-terangan, nescaya kamu diberi rezeki yang mewah, diberi kemenangan (terhadap musuh dan digantikan dengan apa yang kamu dermakan itu dengan balasan yang berganda-ganda.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Bertaubatlah kepada Allah sebelum kamu mati:“

Sabda Nabi s.a.w. lagi,”Bahawasanya ALLAH yang Maha Mulia lagi Maha Besar menerima ia akan taubat hamba selama belum sampai rohnya kepada halkumnya.” (Riwayat At-Tirmizi)Kalau kita melakukan dosa, istigfarlah.

Ada 3 cara untuk bertaubat iaitu istigfar, menjaga sisa umur dari melakukan dosa, menyesal dan berazam untuk tidak mengulanginya.

Istigfar boleh memadamkan amalan tidak baik yang ditulis oleh Malaikat Kiraman Katibin . Malaikat dilupakan kejahatan yang kita buat. Dan diganti dengan pahala.

“Sesiapa bertaubat kepada Allah dengan taubat yang murni, maka Allah melupakan dua malaikat pencatit amalnya, semua anggota tubuhnya dan tempat-tempat ia melakukan dosa, sehingga semuanya tidak dapat menjadi saksi bagi kesalahan-kesalahan dan dosa-dosa yang dikerjakan (sebelum ia bertaubat) – Riwayat Abu Abbas al-Hamadani

Dalam satu hadith disebut “jagalah sisa umur kamu dari dosa-dosa sebelumnya, Allah ampuni dosa kamu yang lepas”.

Penyesalan itu adalah taubat.”(Hadis riwayat Ibnu Majah). Dalam hadith ini, penyesalan itu sendiri adalah taubat, tanpa perlu melafazkan istigfar.

Segeralah mengerjakan amal salih sebelum kamu sibuk (dengan yang lain),

Lakukanlah amal soleh sementara kita masih mempunyai masa dan kelapangan. Sekurang-kurangnya lakukan amal soleh seperti sembahyang, zikir dan puasa. Amal soleh berperanan menebalkan iman kita.

Dan hubungkan apa yang ada di antara kamu dengan Tuhan kamu dengan sentiasa mengingatinya (zikir)

Jagalah hubungan sesama manusia terutamanya hak kejiranan. Kes sosial yang pertama disebut atau dibicarakan di mahkamah Allah pada hari Kiamat ialah berkenaan kejiranan. Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a katanya:

Rasulullah s.a.w bersabda: Jibril sentiasa mewasiatkan kepadaku mengenai jiran tetangga sehingga aku mengira bahawa beliau iaitu jiran tersebut yang akan mewarisinya (pusaka).

Berzikir dan mengingati Allah ialah tanda kita menyayangi Allah. Seseorang yang menyayangi seseorang banyak menyebut namanya atau mengingatinya. Dalam sebuah hadith, apabila kita menyebut tentang Allah dihadapan orang ramai, Allah akan menyebut kita di hadapan para malaikat.

“Allah Ta’ala berfirman: Aku sesuai dengan persangkaan hamba-Ku kepda-Ku. Dan Aku bersamanya apabila ia berzikir (mengingat) Aku. Kalau ia berzikir kepada-Ku secara tersembunyi (dalam hatinya saja), Aku pun ingat pula kepadanya seperti itu, kalau ia berzikir (mengingat) Aku dalam majlis, maka Aku pun ingat pula kepadanya dalam majlis yang lebih baik dari itu (iaitu majlis malaikat).” (Hadith Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim.

“Tidaklah duduk suatu kaum berzikir (menyebut) nama Allah ‘Azza wa Jalla melainkan dinaungilah mereka oleh para malaikat, dipenuhi mereka oleh rahmat Allah dan diberikan ketenangan kepada mereka, juga Allah menyebut-nyebut mereka di hadapan malaikat yang ada di sisi-Nya.” (Hadith Riwayat Imam Muslim, Imam Tirmidzi dan Imam Ibn Majah dari Abu Hurairah dan Abu Sa’id al-Khudri r.a.)

Dalam sebuah hadith qudsi:“Aku (Allah) bersamanya (hamba-Ku) apabila dia berzikir kepada-Ku. Maka jika ia mengingati aku di dalam hatinya, nescaya Aku ingat pula kepadanya pada zat-Ku.”(Bukhari)

dan banyakkan bersedekah secara bersembunyi atau terang-terangan, nescaya kamu diberi rezeki yang mewah, diberi kemenangan (terhadap musuh dan digantikan dengan apa yang kamu dermakan itu dengan balasan yang berganda-ganda.”

Sedekah yang wajib iaitu zakat afdhal dilakukan secara terang-terangan. Sedekah yang sunat pula afdhal dilakukan secara senyap-senyap(sembunyi).Salah satu diantara 7 manusia yang dilindungi panas di hari Kiamat ialah “Orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya” Sedekah juga menyejukkan Alam Barzah yang panas.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/06/22/taubat-amal-soleh-hubungan-sesama-manusia-zikir-dan-sedekah/

No comments: