Saturday, June 27, 2009

Dakwah & Ilmu

Tazkirah Edisi Khas
Mega Konvoi Dakwah Bermotor 2009
5 Rejab 1430H / 28 Jun 2009

DAKWAH: MENYERU KEPADA KEBAIKAN

An-Nahl [125] Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik ; Berdakwahlah dan nasihatlah dengan cara yang hikmah, baik dan lemah lembut. Semasa berdakwah lihatlah keadaan dan ‘mood’ orang yang hendak didakwah itu. Dakwahlah semasa dia berada dalam keadaan tenang dan bukannya semasa dia sedang kelam-kabut atau bermasaalah.

Berilah nasihat yang baik (Mauizah Hasanah) dan secara lemah lembut. Nabi Musa dan Nabi Harun disuruh berlemah lembut semasa menghadapi raja Firaun (yang mempunyai kuasa politik). Begitu juga para pendakwah dalam menarik manusia kepada Islam.

Taha [43] Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas dalam kekufurannya.[44] Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut.

Berdakwah adalah satu jihad (pengorbanan), hukumnya fardhu kifayah (dalam keadaan biasa) dan hendaklah ada satu golongan yang berdakwah dan melakukan kerja agama:-

Ali Imran [104] Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

Tetapi jikalau umat sudah rosak teruk, hukum dakwah berubah menjadi fardhu ain. Setiap orang yang mempunyai ilmu ugama wajib berdakwah. Selain itu hendaklah ada sekumpulan yang keluar untuk belajar ilmu agama dan balik ke kampung halamannya untuk berdakwah dan mengajar ilmu agama:

At-Taubah [122] Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

Sayyidina Abu Bakar adalah orang yang pertama menjalankan kerja dakwah dan tabligh (menyampaikan Islam). Setelah memeluk Islam, beliau bertanya kepada Rasulullah saw “apakah yang boleh saya lakukan?”. Maka Rasulullah menyuruhnya berdakwah dan mengajak manusia kepada Islam. Dihari pertamanya berdakwah, beliau berjaya mengajak 4 atau 5 orang kepada Islam.

Selain itu kita hendaklah tolong-menolong dalam 2 perkara dan jangan tolong-menolong dalam 2 perkara:

Al-Maidah [2]……dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/06/15/dakwah-menyeru-kepada-kebaikan/


ILMU


Ilmu adalah kunci kejayaan dunia dan akhirat. Dalam satu hadith, Rasulullah SAW bersabda “Siapa yang berkehendakkan kejayaan dunia, hendaklah mereka mencari ilmunya. Siapa yang berkehendakkan kejayaan akhirat, hendaklah mereka mencari ilmunya, tetapi siapa yang berkehendakkan kejayaan di dunia dan akhirat, hendaklah mereka mencari ilmu dunia dan akhirat”.

Az-Zumar [9]…adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?

Al-Mujadilah [11]….Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat….

Orang yang alim yang mempraktikkan ilmunya diangkat darjat (kedudukannya). Dalam syurga juga ada ulama dan Allah kekalkan status ulama disana. .Tujuannya supaya manusia dapat bertanya tentang apakah yang perlu diminta dari Allah. Setiap hari Jumaat diadakan satu majlis bersama Allah. Ketua ulama disana ialah Muaz Bin Jabal. Di dalam satu hadis:-

Sesungguhnya ahli syurga benar-benar memerlukan ulama di dalam syurga. Demikian itu kerana setiap Jumaat mereka mengunjungi Allah SWT, lalu Allah SWT menawarkan kepada mereka “Mintalah kepadaku apa yang kamu kehendaki.” Lalu mereka berpaling kepada para ulama lalu berkata “Apakah gerangan yang kami minta?” Maka para ulama berkata kepada mereka: Mintalah kepadaNya demikian, demikian.” Mereka masih tetap memerlukan para ulama sekalipun di dalam syurga, sebagaimana mereka memerlukan sewaktu di dunia. (Riwayat Ibnu Asaki melalui Jabir r.a)

Namun ada juga orang yang menjual ilmu agamanya untuk kepentingan dunia. Dalam satu hadith, Rasulullah SAW berpesan “Bersegeralah kamu melakukan amalan soleh kerana akan datang kepada umatku di suatu masa, satu fitnah yang begitu besar yang datangnya seperti satu kepingan hitam di malam gelap gelita tak nampak”. Sahabat bertanya “Apakah fitnah besar itu ya Rasullullah?”"Fitnah itu adalah kamu akan lihat umatku di hari itu, di waktu itu, pada masa itu, pagi hari Islam, petang kafir. Petang Islam, pagi kafir balik.”Sahabat bertanya lagi. “Mengapa begitu ya Rasullullah?” Rasullullah SAW menjawab, “Sebab dia jual agamanya dengan nilai dunia““

Dalam hadith yang lain disebut, Akan datang suatu masa, Islam itu hanya akan tinggal namanya sahaja, agama hanya bentuknya sahaja, al-Quran hanya dijadikan bacaan sahaja, mereka mendirikan masjid, sedangkan masjid itu sunyi dari zikir menyebut nama-nama Allah. Orang yang paling buruk pada zaman itu ialah para ulama, dari mereka akan timbul fitnah dan fitnah itu akan kembali kepada mereka juga dan semua yang tersebut adalah tanda-tanda hari kiamat.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/06/17/ilmu/


HADIS : YANG LEBIH BAIK DARIPADA PEMBANTU / KHADAM

Dari Abu Hurairah r.a katanya, Fatimah meminta kepada nabi s.a.w seorang khadam (pembantu) dan mengadukan bahawa beliau terlalu penat bekerja. Jawab nabi s.a.w :"Engkau tidak akan mendapatkannya daripada kami. Mahukah engkau kutunjukkan sesuatu yang lebih baik daripada seorang khadam? Iaitu, tasbih 33 kali, tahmid 33 kali dan takbir 34 kali ketika engkau hendak tidur." (HR Muslim)

Huraian :

Menurut ajaran Islam, seorang wanita tidak bertanggungjawab untuk mencari nafkah keluarga. Tujuannya supaya isteri itu dapat sepenuhnya mencurahkan perhatian kepada urusan rumahtangga, mendidik anak-anak dan membesarkan mereka. Ini bersesuaian dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar katanya: "Rasulullah bersabda," Isteri bertanggungjawab dalam urusan rumahtangga suaminya." (Bukhari & Muslim) Namun begitu dewasa ini tuntutan semasa memerlukan golongan isteri juga keluar rumah berganding bahu mencari nafkah untuk membantu suami menyara keluarga.

Oleh yang demikian komitmen selaku seorang isteri, ibu dan juga seorang pekerja kepada majikan tidak dinafikan mengundang rasa penat yang tidak tertanggung secara sendirian. Oleh itu ramai antara para isteri yang bekerja menginginkan adanya seorang pembantu rumah untuk menolong mereka menguruskan rumahtangga.

Namun begitu masalah ini sebenarnya tidak hanya boleh diselesaikan dengan adanya pembantu rumah semata-mata kerana seorang suami yang memahami keadaan isterinya sudah tentu tidak akan berat tulang memberikan kerjasama, menolong serta bertolak-ansur dalam meringankan tugas isteri di rumah. Ini bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah rumahtangga daripada berlaku pergaduhan dan sebagainya, malah dapat menumbuhkan rasa kasih dan sayang antara suami isteri kerana masing-masing dapat menerima dan mengorbankan kepentingan diri.

Di samping itu si isteri juga dianjurkan mengamalkan petua yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w seperti dalam hadith di atas kerana dengan menyebut nama Allah dengan berzikir kepadanya jiwa akan terasa tenang, hilang keserabutan dan keletihan.

http://dakwah2u.blogspot.com/2008/11/hadis-yang-lebih-baik-daripada-pembantu.html

Selamat Berkonvoi

No comments: