Tazkirah Jumaat
23 Ogos 2013 / 16 Syawal 1434H
ASMAUL HUSNA KE 8. AL-MUHAIMIN YANG MAHA MENGAMBIL BERAT ATAU MENJAGA ATAU MELINDUNGI. ERTINYA ALLAH S.W.T.MENTADBIR DAN MENJAGA SEGALA SESUATU
1. Membersihkan perwatakan
Siapa yang mengamalkan solat sunat 2 rakaat atau sunat nafil (terutama di tengah malam) kemudian membaca Ya Muhaimin 100 kali,jiwa dan jasadnya akan dibersihkan. Hatinya akan menjadi suci dengan cahaya keimanan bersinar menyerlah di wajahnya. Ertinya cahaya yang bersinar di hatinya akan terpancar dari wajahnya.
2. Kuat ingatan
Baca Ya MUHAIMIN 145 kali selepas solat Isyak,insya Allah anda akan memperolehi daya ingatan yang kuat. Mereka yang lemah daya ingatannya hendaklah sentiasa membaca kalimah ini 145 kali supaya daya ingatan dan hafalannya bertambah baik, insya Allah.
3. Pelindung Diri
Selepas berwuduk atau mandi sunat untuk solat Jumaat, kerjakan solat sunat 2 rakaat dan baca Ya Muhaimin 115 kali, insya Allah anda akan dijauhi perasaan bimbang sehingga Jumaat yang berikutnya.
4. Keamanan
Baca Ya Muhaimin 40 kali sehari untuk merasa aman dan tenteram.
5. Mempelajari rahsia Ilahi
Allah s.w.t. mengajar kita rahsia-Nya jika kita membaca Ya Muhaimin di sebarang waktu atau hari, insya Allah dan jika anda membacanya 101 kali bila-bila masa ketika anda inginkan sesuatu, insya Allah keinginan anda akan tercapai.
YANG BIASA DAN LUAR BIASA
1. Sembahyang
Biasa : Ramai dari kita yang sembahyang. Yang biasa, kita sembahyang apabila telah masuk waktu. Yang kerap berlaku juga, sembahyang kita di akhir waktu. Mungkin pepatah orang putih Better late than never menjadi pegangan kita. Inilah golongan yang hanya tahu dirinya hamba tapi tak rasa hamba.
Luar biasa : Orang yang selalu menunggu-nunggu waktu untuk sembahyang. Seperti seorang yang sangat merindukan pertemuan dengan kekasihnya. 15 minit sebelum azan, dia dah duduk di tikar sembahyang. Kalau begitu, sahihlah dia orang luarbiasa .
2. Sedeqah
Biasa : Kalau kita sedekah, kita mahu seluruh dunia tahu. Kalau tak panggil press, sekurang-kurangnya, kita bercerita pada orang. Kita mahu orang tahu kita pemurah. Agaknya kita memang tak nak pahala sebab hanya sedeqah yang ikhlas akan dibalas oleh Tuhan.
Luarbiasa : Apabila bersedekah, kita lebih suka melakukan secara sembunyi. Ibarat kata, tangan kanan sedekah, tangan kiri pun tak tahu. Yang penting bagi kita ialah membantu meringankan kesusahan orang. Itu pun kita bimbang juga kalau-kalau dalam hati ada rasa riyak atau takjub dengan diri sendiri. Sedangkan kita berharap dengan banyak bersedekah, akan turun rahmat serta ampunan Tuhan.
3. Berjaga malam
Biasa : Kita biasa berjaga malam. Sama ada untuk tengok bola sepak piala dunia, atau melayan VCD terbaru. Yang lebih teruk, kalau malam dihidupkan dengan berhibur di pusat-pusat hiburan.
Luarbiasa : Malam kita dihidupkan dengan pelbagai ibadah dan amalan. Ketika orang lain lena dibuai mimpi, kita meninggalkan tilam empuk untuk bertahajud dan menghisab diri. Bagi kita, kesepian malam adalah saat paling sesuai untuk kita merayu kasih sayang Tuhan, Pencipta kita. Memohon keampunan, rahmat dan nikmat dari-Nya. Ini malam para nabi dan para wali. Kalau kita konsisten beribadah malam, memang kita ikut tradisi orang-orang yang luar biasa.
4. Kerja
Biasa : Kita cukup berbangga bila berjaya di dalam sebarang kerja. Sama ada dalam kerjaya, pelajaran mahupun bila dapat buat banyak amal ibadah. Kita rasa, kalau tak kerana otak kita yang genius, atau kerja kuat kita, tentu kita gagal. Sebab itu kita mudah pandang rendah pada orang yang kurang upaya atau kurang berjaya. Walaupun kita ucapkan alhamdulillah, tapi di hati kecil kita tak rasa apa yang berlaku, Tuhan punya kuasa.
Luarbiasa : Bila kita dapat rasakan segala yang kita miliki adalah dari Tuhan. Kita sangat yakin bahawa kekayaan, pangkat dan kelulusan tidak akan kita nikmati kalau tidak dengan izin Tuhan. Makin banyak nikmat yang kita dapat, makin tinggi rasa kehambaan. Bimbang dan cemas kalau-kalau kita tidak mampu berterima kasih kepada Tuhan sehingga tersilap menggunakan nikmat dari-Nya. Makin banyak ibadah pula, makin takut dengan Tuhan . Luar biasalah jika manusia dapat merasakan dirinya hanya hamba Allah yang tidak memiliki apa-apa.
http://www.mukmin.com.my/
MENUNAIKAN HAJAT SAUDARA
Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)
Daripada Abi Hurairah r.a dari Nabi s.a.w bersabda: "Barangsiapa melapangkan orang mukmin dari suatu kesusahan (menunaikan hajat) dari kesusahan dunia nescaya Allah s.w.t melapangkan daripadanya akan kesusahan dari kesusahan hari kiamat. Dan barang siapa memudahkan atas orang yang sedang dalam kesusahan, maka Allah s.w.t akan memudahkan ke atasnya daripada kesusahan di dunia dan di akhirat". Riwayat Muslim.
http://www.mukmin.com.my/
No comments:
Post a Comment