30 Ogos 2013 / 24 Syawal 1434H
ASMAUL HUSNA KE 9 : AL-AZIZ (YANG MEMILIKI MUTLAK KEGAGAHAN)
Perkataan Al-Aziz disebut sebanyak 99 kali di dalam Quran. Al-Aziz membawa maksud Yang Maha Mulia atau Yang Maha Perkasa. “Barang siapa yang menghendaki kemuliaan, maka bagi Allah lah semua kemuliaan itu.” - Al-Quran : Surah Fathir, ayat 10.
Imam Al-Ghazali melalui karyanya Al-Maqasid Al-asna fi Syarh Asma Al-Husna, menghuraikan tiga syarat yang perlu dipenuhi bagi memegang sifat di atas, iaitu pertama, peranan yang penting dan sedikit yang wujud bersamanya, kedua, sangat diperlukan, ketiga, sukar dicapai atau disentuh.
Menurut Al-Ghazali, apabila tidak ada ketiga-tiga perkara itu, maka dengan itu sesuatu tidak wajar dinamakan aziz. Sesuatu yang jarang wujud tetapi tidak memiliki peranan penting, tidak banyak pula manfaatnya, dengan itu ia bukan sesuatu yang aziz. Ada juga yang mempunyai peranan besar, banyak manfaatnya, jarang wujud tetapi tidak susah memperolehinya, jadi masih juga tidak boleh dinamakan aziz.
Imam Ghazali memberi contoh matahari dalam sistem suria kita, tidak ada bandingannya dengan yang lain. Manfaatnya juga banyak bagi setiap benda hidup yang sangat memerlukannya. Namun demikian, ia tidak dapat dinamakan aziz kerana tidak susah bagi sesiapa pun yang mahu melihatnya.
Kemuliaan Kita : Dekat kepada Allah
Cuba kita perhatikan orang-orang disekeliling kita. Sesungguhnya kemuliaan seseorang itu ternyata bukan terletak pada harta, pangkat dan juga keturunan, tetapi bergantung pada kedudukannya disisi Allah.
Asal-usul kita diciptakan daripada seorang lelaki dan perempuan, kemudian Dia menjadikan kita berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kita saling kenal-mengenal (surah al-Hujarat, ayat 13). Disamping itu kita juga dijadikan berbeza dari segi bahasa dan warna kulit (lihat surah al-Rum, ayat 22). Namun yang membezakan kita pada pandangan Allah adalah yang bertakwa kepada Nya (lihat surah al-Hujarat, ayat 13). Oleh itu janganlah kita memuliakan diri dengan gelaran, pangkat, harta, keturunan, suku atau bangsa. Sesungguhnya mereka yang suka memuliakan dirinya adalah manusia-manusia yang tercela disisi Allah. Nabi Muhammad s.a.w bersabda, “apabila engkau ingin mengetahui kedudukan mu disisi Allah, perhatikan bagaimana kedudukan Allah di hati mu. Sungguh Allah menempatkan kedudukan seorang hamba disamping Nya apabila si hamba meletakkan Allah di dalam dirinya.”
Menurut Abu Thalib Al-Makki, apabila hamba mengenal Allah, ia tentu menghormatinya, memuliakannya dengan cintanya dan redanya, begitu juga Allah akan memandangnya bersama rahmat serta kasih sayangnya. Orang yang taat kepada Allah, mendahulukan Allah dalam segala hal. Nama Allah sentiasa disebut setiap kali memulakan sebarang kerja. Allah sentiasa berada dalam jiwanya, fikirannya dan dalam setiap tingkah lakunya.
Al-Aziz : Sumber kekuatan dan inspirasi
Setiap dari kita hidup di dunia ini memerlukan sumber kekuatan dan inspirasi. Orang-orang yang gagal dalam kehidupan atau sesuatu pekerjaan bukan lah disebabkan mereka lemah, tetapi mereka tidak mempunyai pegangan hidup yang mampu memberi mereka kekuatan untuk berjaya. Mungkin apa yang menjadi matlamat kehidupan atau pekerjaan mereka adalah wang, pangkat, pengaruh, kuasa dan gelaran. Pada hal matlamat yang diperjuangkan adalah bersifat sementara dan berupa pinjaman yang boleh menyesatkan manusia.
Oleh itu, marilah kita jadikan al-Aziz sebagai sumber kekuatan kita dalam apa keadaan pun. Samada dalam keadaan susah atau miskin, sudah pasti kita akan tetap merasai nikmatnya. Yakinilah bahawa musibah bukan azab, tetapi seni kehidupan (art of life). Nabi pernah menegaskan bahawa, bahagia ada bersama sengsara.
“Berusahalah bersabar, kerana akibat sabar adalah baik. Jangan gelisah atas musibah yang menimpa. Kemudahan datang selepas kesulitan. Apabila sempit hilanglah duka.”
“Allah memberi kamu kelapangan supaya kamu tidak selalu dalam kesempitan. Allah memberi kesempitan kepada mu supaya kamu tidak hanyut sewaktu kelapangan. Allah melepaskan kamu daripada kedua-duanya supaya kamu tidak bergantung diri kecuali kepada Allah semata-mata.” - Syeikh Ahmad Athaillah
Menyebarkan Al-Aziz
Bagi merasai nikmatnya hidup di bawah naungan Al-Aziz, marilah kita bersama-sama menyebarkan semangat nama Allah ini kepada seluruh makhluk Nya di dunia ini. Menyebarkan semangat Al-Aziz, bermaksud memandang segala kemuliaan itu adalah milik Allah dan sumber kemuliaan sebenar hanyalah daripada Allah. Dengan semangat Al-Aziz, kita sebaik-baiknya memuliakan sesama manusia dan tidak menghina sesiapa pun. Hakikatnya apabila kita menghina seseorang kita sebenarnya menghina Allah, yakni menghina ciptaan Nya. Ini adalah kerana kita semua diciptakan Allah sebagai wakilnya di muka bumi ini.
“Dia telah menjadikan kalian sebagai khalifahnya di muka bumi.” - Al-Quran, surah Yunus, ayat 14
Kita perlu sedar bahawa kita semua adalah sama pada pandangan Tuhan. Jadi, mengapa kita perlu membeza-bezakan dan menyingkirkan orang lain, sedangkan Tuhan Yang Maha Mulia tidak pernah mahu menyingkirkan sesiapa pun. Tuhan mencintai yang cacat, miskin dan melarat. Pada masa sama, Tuhan juga mencintai yang kaya, berkuasa atau yang berpangkat. Apa yang membezakan kita pada pandangan Allah adalah ketaatan kita dan kepatuhan kita kepada Nya.
Marilah kita menyuburkan Al-Aziz di dalam diri kita dengan membaca Ya Aziz sebanyak 40 kali selama 40 hari selepas sembahyang Subuh, dengan izin Allah kita akan mencapai tahap kemuliaan dan kaya dengan pertolongan Allah.
Sumber : Sulaiman Al-Kumayi. 99 Kecerdasan Berasaskan Asmaul Husna. PTS Millennia Sdn. Bhd. 2008
http://anbag.wordpress.com/menyingkap-tabir-ilahi/hari-ke-8-al-aziz/
No comments:
Post a Comment