6 Sept 2013 / 30 Syawal 1434H
ASMAUL HUSNA KE 10 : AL-JABBAR (YANG MEMILIKI MUTLAK SIFAT PERKASA)
BismillahirRahmanirRahim
Dengan nama Allah, Yang Maha Pengasih, Lagi Maha Penyayang
Allah SWT berfirman, ”Dia-lah Allah Yang tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia, Raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Sejahtera, Yang Mengaruniakan keamanan, Yang Maha Memelihara, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuasa, Yang Memiliki segala keagungan, Maha Suci, Allah dari apa yang mereka persekutukan,” - Al-Quran, surah Al Hasyr, ayat 23
Al-Jabbar diambil daripada kata dasar yang terdiri daripada huruf jim, ba dan ra, yang mengandungi makna keagungan, ketinggian dan istiqamah (berterusan). Perkataan ini hanya disebut sekali di dalam Al-Quran bagi menunjukkan sifat Allah, tetapi sebanyak lapan kali lagi disebut sebagai sifat manusia yang angkuh.
Pendapat para ulama mengenai makna Al-Jabbar, antara lain ialah “ketinggian yang tidak terjangkau.” Ini bermaksud ketinggian sifat-sifat Allah yang menjadikannya tidak mampu terjangkau oleh sesiapapun. Pakar tafsir Al-Biqai mentafsirkan kata Jabbar sebagai “Yang Maha tinggi sehingga memaksa yang rendah untuk tunduk kepada apa yang dikehendakinya; dan tidak terlihat atau terjangkau oleh yang rendah apa yang mereka harapkan untuk dicapai dari sisinya, ketundukan dan ketidakjangkauan yang tampak secara amat jelas.”
Berdasarkan pendapat-pendapat di atas, dapat ditegaskan Al-Jabbar hanyalah milik Allah. Hanya Dia yang berhak memaksa seluruh makhluk untuk mentaati kehendak-Nya. Tidak ada seorang pun yang boleh melaksanakan kehendak mereka ke atas Allah. Dia adalah zat yang tidak seorang pun berada di luar daripada genggamannya dan hanya Dia yang mempunyai kuasa secara mutlak. Disamping itu, nama Al-Jabbar juga membawa maksud Yang Maha Perkasa.
“Dan tunduklah semua muka (dengan merendah diri) kepada Tuhan Yang Hidup Kekal lagi sentiasa mengurus (makhluknya). Dan sesungguhnya merugilah orang yang melakukan kezaliman.” - Al-Quran, Surah Taha, ayat 111
“Kemudian dia menuju langit dan langit itu masih merupakan asap, lalu Dia berkata kepadanya dan kepada bumi:”Datanglah kamu keduanya menurut perintahku dengan rela ataupun terpaksa.” Keduanya menjawab,”Kami datang dengan rela.” - Al-Quran, surah Fussilat, ayat 11
Mencerminkan Al-Jabbar
Oleh kerana sifat ini hanya untuk Allah SWT, manusia tidak boleh memiliki sifat memaksakan sesuatu ke atas orang lain. Di sebalik paksaan Tuhan sebenarnya ada cinta dan kasih sayang. Dalam sebuah hadis qudsi yang disampaikan oleh Imam Muslim;
”Kemuliaan adalah pakaian Ku, keangkuhan adalah selendang Ku. Sesiapa yang mencoba merebutnya daripada Ku, akan Ku siksa Dia.”
Maksud dari hadis itu adalah manusia tak boleh angkuh, sombong dan memuliakan dirinya. Yang boleh angkuh hanya Allah SWT karena Dia lah yang berkuasa atas segala hal. Manusia harus selalu berusaha dan waspada jika sifat sombong ada dalam dirinya.
Seorang manusia yang sombong atau takbur adalah mereka yang menolak kebenaran. Ketika dirinya berbuat salah, tetapi tidak mahu dinasihati, berarti ada sifat sombong dalam dirinya. Ia merasakan dirinya lebih tinggi darjatnya daripada orang yang menasihatinya. Ia tidak sedar bahawa sifat sombong boleh menyebabkan dirinya tertutup dari melihat kebaikan-kebaikan lain.
Sesiapa yang membaca Ya Jabbar sebanyak 226 kali, setiap pagi dan petang dengan izin Allah, musuh tidak berdaya melemahkannya malah akan tunduk kepadanya dengan pertolongan Allah.
Sumber : Sulaiman AlKumayi. 99 Kecerdasan Berasaskan AsmaulHusna. PTS Millennia Sdn. Bhd. 2008.
http://anbag.wordpress.com/menyingkap-tabir-ilahi/hari-ke-9-al-jabbar/
MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)
MENUNAIKAN HAK SESAMA MUSLIM
Dari Abu Hurairah Radiallahu anhu: Beliau berkata bahawasanya Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda: Hak orang Islam atas orang Islam yang lain ada lima perkara; menjawab salam, mengunjungi orang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri jemputan dan menjawab orang yang bersin. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Dalam riwayat Muslim yang lain ada disebutkan: “Hak orang Islam atas orang Islam yang lain ada enam perkara; apabila dia menemuinya hendaklah memberi salam, apabila dia menjemput hendaklah memenuhi jemputannya, apabila dia meminta nasihat hendaklah diberi nasihat, apabila dia bersin lalu dia mengucapkan Alhamdulillah maka hendaklah dijawab (dengan ‘yarhamkumullah’), apabila dia sakit hendaklah pergi menziarahinya, dan apabila dia mati hendaklah diiringi jenazahnya.”
Keterangan: Hadis ini menyebut beberapa hak yang mesti ditunaikan antara sesama muslim. Hak-hak ini dilihat dari sudut fikahnya ada yang wajib seperti menjawab salam dan menghadiri jemputan perkahwinan. Manakala lainnya adalah sunat.
Walaupun perkara-perkara ini tidak kesemuanya wajib tetapi adalah sangat dituntut dalam agama kita, kerana keakrapan dan kemesraan dalam pergaulan sangat bergantung kepada pelaksanaan hak-hak ini terutama dengan sahabat handai atau kaum kerabat kita sendiri. Orang sakit berasa besar hati dan merasakan sedikit keringanan daripada penyakit yang sedang dialaminya apabila diziarahi oleh kaum kerabat dan sahabat handai. Begitu pula tuan kenduri berasa besar hati dan riang gembira apabila jemputannya diperkenankan oleh kawan-kawan dan kaum kerabatnya. Begitulah juga ketika memberi salam, mengiringi jenazah, menjawab orang yang bersih dan nasihat-menasihati.
Apabila masyarakat Islam keseluruhannya menunaikan segala perintah ini, maka kemesraan, perpaduan dan kerjasama akan wujud dalam masyarakat, dan semua anggota masyarakat akan lebih merasakan nikmat iman dan Islam yang telah dibawa oleh Baginda Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam.
(Sumber: 40 Hadis Akhlak Mulia, Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam (Abu Ali a- Banjari an- Nadwi al-Malik)
BANGUNLAH MALAM
Dari Jabir r.a., ia barkata, “Aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, “Sesungguhnya pada malam hari itu benar-benar ada suatu ketika yang seorang muslim dapat menepatinya untuk memohon kepada Allah suatu kebaikan dunia dan akhirat, pasti Allah akan memberikannya (mengabulkannya); dan keistimewaan itu berlaku pada setiap malam.” (HR. Muslim dan Ahmad)
Pengajaran : Pada setiap 1/3 malam Allah akan melihat hamba-hambanya yang bermunajat dan memohon kepadanya. Allah akan memakbulkan segala permintaannya.
No comments:
Post a Comment