Tuesday, July 16, 2013

SUNNAH HARI JUMAAT (4) : MEMPERBANYAKKAN SELAWAT KE ATAS RASULULLAH SAW, JANGANLAH KITA MELAKUKAN PERKARA YANG LAGHA, HADIS : DUGAAN MENGHAPUSKAN DOSA


Tazkirah Jumaat
28 Jun 2013 / 19 Syaaban 1434

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)
SUNNAH HARI JUMAAT (4) : MEMPERBANYAKKAN SELAWAT KE ATAS RASULULLAH SAW

Sabda Rasulullah Sallallahualaihiwasallam maksudnya: “ Sesungguhnya hari-hari kamu yang paling afdal ialah hari Jumaat. Pada hari tersebut, Nabi Adam dijadikan dan diwafatkan oleh Allah. Pada hari tersebut juga akan berlaku kiamat. Perbanyakkanlah selawat ke atasku pada hari itu. Sesungguhnya selawat kalian akan disampaikan kepadaku. Sesungguhnya Allah telah mengharamkan bumi daripada memakan jasad para Nabi.” (Hadis riwayat Ahmad)

Pengajaran: Perbanyakkan berselawat kepada Rasulullah Sallallahualaihiwasallam pada setiap                      masa kerana besar sekali fadhilatnya.


JANGANLAH KITA MELAKUKAN PERKARA YANG LAGHA

Lagha ialah satu perkataan yang berasal dari bahasa Arab yang bermaksud sia-sia. Di dalam kehidupan kita, banyak perkara yang sia-sia yang kita lakukan tanpa kita sedari. Ada juga perkara yang sia-sia (yang tiada faedahnya) yang memang kita sedia maklum tetapi kita masih melakukannya seperti berbual-bual kosong dan berangan-angan akan kepada perkara yang mustahil.

Setiap perbuatan/amalan yang baik yang dilakukan kita di atas dunia ini akan mendapat balasan pahala di hari Akhirat nanti tetapi tahukah kita amalan/ibadah kita tadi juga akan menjadi sia-sia sekiranya kita tidak melakukan beberapa perkara seiring dengannya?

Sufyan ats-Tsauri, merupakan seorang ulama hadis yang terkemuka yang hidup di zaman pemerintahan Khalifah Sulaiman bin Abdul Malik dalam tahun 77 Hijrah pernah menyatakan bahawa terdapat sepuluh hal yang termasuk dalam kategori sia-sia (lagha) iaitu:-

1. Kita hanya memohon doa kepada Allah agar dikurniakan kebaikan dan kesejahteraan terhadap diri kita sahaja, tetapi kita di dalam doa, kita tidak memohon agar Allah mengurniakan kebaikan dan kesejahteraan untuk ibu-bapa kita sendiri dan juga sekelian kaum Muslimin yang lain.

2. Kita mungkin kerapkali membaca Al Quran atau menghafal sebahagian dari ayat-ayat dan surah-surahnya, tetapi tidak membacanya secara tertib (menjadi amalan) sehingga seratus ayat setiap hari.

3. Kita pergi ke masjid untuk mengerjakan solat fardhu berjemaah tanpa mengerjakan solat sunat tahiyatul-masjid. Samalah juga sekiranya kita memasuki masjid untuk membuat sesuatu urusan seperti nikah kahwin atau membayar zakat tetapi solat sunat tahiyatul masjid tidak dilakukan.

4. Kita melewati sebuah tanah perkuburan Islam, tetapi kita tidak memberikan salam kepada para penghuni kubur tersebut dan tidak mendoakan untuk kesejahteraan mereka yang berada di alam kubur.

5. Kita (bagi kaum lelaki) pergi ke suatu kawasan atau tempat dan tiba pada awal pagi hari Jumaat, tetapi tidak bersembahyang Jumaat berjemaah di situ.

6. Kita mungkin tinggal di suatu kawasan yang ada berdekatan dengan kita seorang alim ulama, tetapi kita tidak mempergunakan kelebihan itu untuk menambah ilmu pengetahuan darinya.

7. Kita mungkin berjumpa kembali dengan seorang sahabat lama, tapi kita tidak bertanyakan khabar tentang keadaan masing-masing dan keluarganya.

8. Kita mungkin juga pernah mengundang seseorang untuk menjadi tetamu kita, tetapi kita tidak melayani tetamu tersebut sebaik-baiknya.

9. Kita membiarkan zaman muda kita berlalu begitu sahaja tanpa memanfaatkan waktu muda itu dengan menuntut ilmu dan meningkatkan budi pekerti kita.

10. Kita mungkin tidak menyedari adanya jiran kita yang merintih lantaran dek kelaparan atau kesusahan, sedangkan kita kekenyangan di rumah.

Semoga kita terhindar dari melakukan perkara -perkara yang lagha atau sia-sia ini dan amalan atau ibadah kita ini diterima oleh Allah Taala.Amin. Wallah'ualam...

http://maidaribendang.blogspot.com/2011/04/janganlah-kita-melakukan-perkara-yang.html


HADIS : DUGAAN MENGHAPUSKAN DOSA

Dari Abdullah r.a katanya:"Aku datang mengunjungi Rasulullah s.a.w ketika beliau sakit, lalu kusentuh baginda seraya berkata:"Ya Rasulullah! Demam anda bertambah teruk." Jawab baginda,"Memang demamku sama dengan demam dua orang kamu. Kataku pula, “Semoga anda mendapat pahala berganda pula." Jawab baginda:"Semoga!" Kemudian sabda baginda pula:"Tidak ada seorang muslim yang ditimpa cubaan berupa sakit dan sebagainya melainkan dihapuskan Allah Taala dosa-dosanya, seperti pohon kayu menggugurkan daunnya."

(Hadis Riwayat Muslim)

No comments: