Tuesday, July 16, 2013

SUNNAH HARI JUMAAT (5) : BERSEGERA UNTUK SOLAT JUMAAT, ZIKIR ASMA UL HUSNA : ALLAH (TIDAK ADA YANG LAIN MELAINKAN DIA),

Tazkirah Jumaat
5 Julai 2013 / 26 Syaaban 1434H

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)

SUNNAH HARI JUMAAT (5) : BERSEGERA UNTUK SOLAT JUMAAT

Dari Abu Hurairah, Sabda Rasulullah Sallallahualaihiwasallam maksudnya: “  Barangsiapa mandi pada hari Jumaat seperti mandi  junub, lalu berangkat (ke masjid) pada saat yang pertama, seakan-akan dia telah berkorban dengan seekor unta, barangsiapa yang berangkat pada saat kedua, seolah-olah dia telah berkorban dengan seekor lembu, barangsiapa yang berangkat pada saat ketiga, seolah-olah dia telah berkorban dengan seekor kibas bertanduk, barangsiapa yang berangkat pada saat keempat, seolah-olah dia telah berkorban dengan seekor ayam, barangsiapa yang berangkat pada saat kelima, seolah-olah dia telah berkorban dengan sebutir telur. Jika imam telah telah keluar, maka para malaikat hadir untuk mendengar khutbah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pengajaran: Bersegeralah ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat seawal yang boleh mengikut kemampuan. Elakkan dari melakukan perkara yang sia-sia yang boleh menyebabkan kita  terlewat atau pergi pada akhir waktu ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat, contohnya seperti bersembang-sembang di kedai-kedai kopi, memilih-milih barang yang tidak perlu( atau boleh dilakukan pada waktu yang lain )di tamu, menonton television, internet dan sebagainya.


ZIKIR ASMA UL HUSNA :  1. ALLAH (TIDAK ADA YANG LAIN MELAINKAN DIA)

NAMA Allah adalah nama yang teragung bagi Pencipta segala makhluk dan tuan alam semesta ini. Nama ini adalah nama umum bagi ALLAH SWT dan dengan nama inilah ALLAH memperkenalkan diriNya kepada manusia. Allah SWT telah memberi ilmu kepada manusia bahawa Dia adalah Esa dan segala pujian hanya layak untukNya. Perkataan ‘Allah’ adalah keterangan secara kasar tentang zarah/zat Allah SWT Roh manusia dan jasad manusia semuanya adalah zat. Jiwa atau roh megembara dari bumi ke punca kejadian selepas matinya anak adam itu dalam bentuk zat ‘tenaga’. Dengan cara yang sama perkataan Allah menerangkan kandungan zat pencipta kita. Mulakan dengan Bismillah. Bila menyebut atau membaca nama-nama Allah, hendaklah seseorang itu memulakan dengan menyebut Asma ul Husna yang pertama iaitu Bismillah hir rahman nir rahim. Setelah menyebut nama-nama Asma ul Husna, bacalah selawat keatas Nabi sekali lagi dan selawat seharusnya dibaca sekurang-kurangnya sekali sebelum dan selepas membaca Asma ul Husna. Para wali mengatakan apabila kita
membaca selawat, malaikat mendatangi kita untuk menyampaikan pesanan kita tetapi apabila kita terlupa untuk berselawat, pesanan itu tertinggal di dunia. Selawat ini hendaklah dibaca sekali atau 10 kali atau 100 kali sebelum dan selepas membaca nama-nama Allah yang terbaik ini.

Doa dimakbulkan. Sesiapa yang membaca Ya Allah 5000 kali setiap malam dengan penuh khusyuk, insyaAllah apa sahaja yang diinginkan atau dipinta akan dimakbulkan. Nama Allah SWT boleh dibaca 5000 kali untuk mendapat rezeki atau kekuatan jiwa dan mental. Malah dikatakan siapa yang menyebut Ya Allah setiap hari dengan penuh keimanan dan keikhlasan terhadap Allah SWT, kekayaan akan datang mencurah-curah dari setiap penjuru. Namun pastikan perbuatan anda selari dengan doa anda kepadaNya.

http://perjalanantanpahenti.blogspot.com/2012/07/zikir-asma-ul-husna.html


HADIS-HADIS BERKENAAN BULAN PUASA

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, "Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang berpuasa, iaitu pahala orang berpuasa yang tidak dikurangkan walau sedikit". (HR al-Tirmizi)

Diceritakan oleh Ibnu Abbas radhiallahu’anhuma, "Nabi s.a.w adalah manusia paling dermawan dan kemuncak sifat dermawan baginda itu ditunjukkan pada bulan Ramadan." (HR Bukhari)

Kelebihan Ramadan

1)  Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu

2)  Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: …Dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu

Kelebihan berpuasa

1)   Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesungguhnya di dalam Syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorangpun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya

2)   Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap hamba yang berpuasa di jalan Allah, Allah akan menjauhkannya dari api Neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun

Akhlak sewaktu berpuasa

1- Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah bercakap tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa

2- Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan perbuatan tidak baik, Allah tidak inginkan tindakannya menahan diri dari makan dan minum (yakni Allah tidak menerima puasanya).


No comments: