Thursday, July 7, 2011

LATIH OTAK TERUS BERFIKIR, TAMBAH ILMU, AYAT AL-QURAN BUKAN SEKADAR HIASAN DINDING, MENGAMBIL IKTIBAR CABARAN DILALUI NABI KETIKA BERDEPAN KESUSAHAN

Tazkirah Jumaat
1 Julai 2011 (29 Rejab 1432H)


LATIH OTAK TERUS BERFIKIR, TAMBAH ILMU

UNTUK menjaga kesihatan jiwa, biasakan berfikir setiap hari walau fikiran yang kecil sekalipun kerana apabila otak dibiarkan menganggur, boleh ditimpa sakit malah menjadi bingung. Tiap-tiap hari otak mesti dilatih. Jika otak malas berfikir, kita menjadi dungu.

Kebanyakan mereka yang bodoh kerana malas berfikir. Itulah mati di dalam hidup. Haruslah diajar kekuatan berfikir sejak kecil kerana orang yang kuat berfikir akan dapat menghasilkan hikmat. Jika besar kelak dia akan menjadi garam, yang tanpanya sambal masyarakat tiada ada rasa.

Berfikir hampir dengan pengalaman. Seorang pemikir berpengalaman, boleh mengambil natijah (kesimpulan) suatu perkara dengan segera, sedang orang lain memandang perkara itu besar dan sulit.

Laksana seorang yang ada keris pusaka yang tajam, sentiasa diasah dan digosok. Jika keris itu disimpan saja, tidak diasah, digosok, akan berkarat. Begitu juga fikiran manusia, seorang ahli ilmu akan sentiasa ingin menambah ilmunya kerana ilmu laksana lautan.

Manusia umpamakan rahsia dan keajaiban alam ini dengan lautan besar. Ombaknya yang memecah, membawakan mutiara yang tersimpan di dasar lautan masih banyak, hingga dunia kiamat, perbendaharaan laut itu tidak akan habis.

Berkata Hasan Basri: "Pimpin dan kendalikan jiwa dengan baik, kerana amat liarnya, dan beri ingatlah, kerana dia lekas lupa."



AYAT AL-QURAN BUKAN SEKADAR HIASAN DINDING
Oleh Hashim Ahmad

UKIRAN ayat al-Quran, hadis nabi dan nama Allah menjadi pilihan sebagai hiasan yang digantung di dinding rumah, masjid serta premis perniagaan. Mungkin ada beranggapan ia sebagai satu bentuk ibadah atau bertujuan mengelak daripada gangguan.

Syeikh Ibnu 'Utsaimin memperingatkan dua perkara berkaitan al-Quran iaitu jika menganggap menggantungkan ayat al-Quran termasuk dalam ibadah, perbuatan itu tidak pernah dilakukan sabahat dan pengikut mereka.

Atau jika menggantungkan ayat itu dengan niat mengelak keburukan, ia bukan perantara untuk mengelak keburukan tetapi membaca ayat suci al-Quran dapat membantu daripada gangguan serta mengelak keburukan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang membaca ayat Kursi pada malam hari maka sentiasa dia akan mendapat penjagaan dari Allah dan syaitan tidak akan mendekatinya sampai pagi hari." (Hadis riwayat Imam Bukhari dan An Nasai)

Sesungguhnya cara mencari keberkatan dengan al-Quran adalah membacanya mengikut hukum, melafazkan dengan lisan, mengimani apa yang disampaikan dalam hati dan mengamalkan dengan anggota tubuhnya.

Firman Allah yang bermaksud: "Orang yang telah Kami berikan Al-Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itu beriman kepadanya. Dan barang siapa yang ingkar kepadanya, maka mereka itulah orang yang rugi." (Surah al-Baqarah, ayat 121)

Inilah jalan orang mukmin. Mereka membaca Kitabullah dan tidak menggantungkan di dinding. Namun, tidak dinafikan ada yang menggantungkan ayat al-Quran dengan niat murni supaya siapa yang melihat akan membaca ayat itu.

Tidak kurang juga menggantungkan ayat al-Quran, sekadar mengikut aliran semasa kerana kebanyakan rumah atau pejabat juga melakukannya dan tindakan itu tidak memberi makna sebenarnya. Oleh itu, keberkatan ayat al-Quran sepatutnya dimanfaatkan sebaiknya melalui amalan membaca secara berterusan, memahami isu kandungannya serta mengamalkan setiap ajaran dalam kehidupan bagi mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Adalah tidak adil rumah dipenuhi gantungan tulisan ayat al-Quran tetapi sebagai hiasan saja tetapi ayat itu tidak diulang baca atau ruang yang penuh ayat al-Quran, berlaku maksiat di situ oleh penghuni yang tidak menghormati kesuciannya.

Sesungguhnya al-Quran tidak diturunkan untuk ayatnya ditulis dengan cantik, dibingkaikan dan digantung sebagai hiasan pada dinding. Firman Allah yang bermaksud: "Ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang yang mempunyai fikiran." (Surah Shad, ayat 29)



MENGAMBIL IKTIBAR CABARAN DILALUI NABI KETIKA BERDEPAN KESUSAHAN

MANAKAH yang besar penderitaan kita dengan penderitaan Nabi Adam? Yang dalam syurga bersenang-senang dengan isterinya, lalu disuruh keluar. Manakah yang susah penderitaan kita dengan penderitaan Nabi Nuh, yang menyeru umat kepada Islam, pada hal anaknya enggan mengikut?

Hingga seketika disuruh Tuhan segala ahli kerabatnya naik perahu, anak itu tidak ikut. Malah sama karam dengan orang ramai di dalam gulungan banjir di hadapan matanya. Kemudian datang pula ketetapan Tuhan anak itu bukan keluarganya.

Pernahkah kita lihat cubaan serupa yang ditanggung Ibrahim? Disuruh menyembelih anak untuk ujian, ke manakah dia lebih cinta, kepada Tuhannya atau kepada anaknya?

Yaakub dipisahkan daripada anaknya Yusuf. Yusuf diperdayakan seorang perempuan. Ayub ditimpa penyakit parah. Daud dan Sulaiman kena pelbagai fitnah. Demikian Zakaria dan Yahya, yang memberikan jiwa mereka untuk korban keyakinan. Isa Al-Masih pun demikian pula. Muhammad lebih-lebih lagi.

Pernahkah mereka mengeluh? Tidak, kerana mereka yakin kepercayaan kepada Tuhan menghendaki perjuangan dan keteguhan. Mereka tidak menuntut kemenangan zahir kerana mereka sudah menang.

Mereka memikul beban seberat itu, menjadi Rasul Allah, memikul perintah Tuhan kerana mencintai manusia. Sebab itu mereka tempuh kesusahan, pertama membuktikan cintakan Tuhan, kedua menggembleng (mengekang) batin, ketiga kerana rahim yang sayang segenap umat. Apakah lagi yang akan kita keluhkan apabila berdepan cubaan? Sehingga manakah baru darjat kita, dibandingkan dengan nabi? Mari kita tempuh liku hidup, mari kita berjuang, bersabar, bertawakal dan berani menurut contoh nabi.

Sumber: Tasauf Moden oleh Prof Dr Hamka


No comments: