Tazkirah Jumaat
8 Julai 2011 (5 Syaaban 1432H)
PERHATIAN KHAS ALLAH KEPADA HAMBA YANG MENGINGATINYA
Sesungguhnya Allah s.w.t. telah berfirman “Aku bersama hambaku selagi dia mengingatiku dan kedua bibir mulutnya bergerak menyebutku” (Riwayat Ahmad melalui Abu Hurairah r.a.)
Allah bersama hambanya dimana sahaja mereka berada:
Hadid [4] ……Dia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.
Tidak perlulah difikirkan bagaimana Allah bersama dengan hambanya kerana Allah tidak bertempat. Allah meliputi seluruh alam sepertimana ruh (nyawa) meliputi seluruh badan. Nyawa atau ruh bukan terletak dijantung, cuma sistemnya berada disitu.
Dalam hadith qudsi di atas Allah berfirman bahawa dia bersama hambanya selagi mereka berzikir kepadanya, ini bermaksud Allah memberikan perhatian yang khas kepada mereka. Zikir pula terbahagi kepada dua jenis iaitu zikir secara senyap (dalam hati) dan zikir secara nyaring (melalui mulut). Dalam ilmu tarikat pada permulaanya, guru akan mengajar muridnya berzikir secara nyaring. Apabila zikir itu sudah melekat dalam hatinya barulah mereka berzikir secara senyap.
Bahkan hati kita juga tidak dapat mengingati Allah kecuali dengan kehendaknya.
Dan (dalam pada itu) tiadalah mereka dapat beringat melainkan jika dikehendaki Allah; Dialah Tuhan yang berhak dipatuhi perintahNya dan Dialah jua yang berhak memberi keampunan (kepada orang-orang yang beriman dan taat). (Al-Muddaththir:56)
Sesiapa yang dibenci Allah akan dijadikan penyembah berhala dan kafir. Mereka ini langsung tidak dapat mengingati Allah.
Maidah [60] Katakanlah: Mahukah, aku khabarkan kepada kamu tentang yang lebih buruk balasannya di sisi Allah daripada yang demikian itu? Ialah orang-orang yang dilaknat oleh Allah dan dimurkaiNya dan orang-orang yang dijadikan di antara mereka sebagai kera dan babi dan penyembah Taghut. Mereka inilah yang lebih buruk kedudukannya dan yang lebih sesat dari jalan yang betul.
AMALAN ISTIGHFAR DITUNTUT SEBAGAI PENGHAPUSAN DOSA LALU
RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: "Demi Allah, jika kamu tidak berdosa, Allah akan menjadikan satu umat lain yang melakukan dosa, lantas mereka beristighfar kepada Allah lalu diampuni dosa mereka." - (Hadis riwayat Muslim)
Sudah menjadi lumrah manusia tidak boleh lepas daripada kesalahan dan dosa. Hal ini disebabkan adanya sifat lupa, lalai, mengikut hawa nafsu dan godaan syaitan.
Sesungguhnya dosa sebenarnya bukanlah perkara pelik dan mengaibkan tetapi yang aibnya ialah apabila seseorang itu kekal dalam dosa tanpa rasa ingin kembali bertaubat serta memohon ampun daripada Allah.
Oleh itu beristighfar amatlah dituntut dalam Islam kerana ia boleh menghapuskan dosa perbuatan yang dilakukan. Tetapi sayang, kita sukar sekali mengamalkan istighfar ini padahal ia sungguh ringkas dan mudah sehingga akhirnya bertambahlah dosa dilakukan lantaran kelalaian dan tabiat suka bertangguh.
Istighfar juga bukan setakat jalan untuk memohon ampun daripada Allah tetapi sebagai suatu sinar cahaya yang menerangi wajah seseorang.
Melakukan dosa biarpun yang dikatakan dosa kecil perlu dihindarkan kerana dosa kecil boleh menjadi dosa besar apabila:
Dilakukan secara berterusan dan tidak ada azam untuk meninggalkannya. Oleh sebab itu, ada yang mengatakan: "Tidak ada dosa kecil bersama adanya azam untuk terus melakukan, dan tidak ada dosa besar bersama adanya permohonan meminta keampunan.
Perbuatan dosa besar yang dilakukan sekali dan tidak diulangi, harapan untuk memperoleh keampunan terhadapnya lebih besar daripada dosa kecil dilakukan secara berterusan.
Jika dianggap kecil, tetapi sebaliknya, jika dianggap besar, maka ia menjadi kecil di sisi Allah kerana anggapan besar itu timbul daripada kebencian dan berpaling hati daripadanya.
Sebahagian ulama berkata: "Jika seseorang melihat kebesaran Tuhan yang ia menderhaka dengan melakukannya, maka ia akan memandang dosa kecil menjadi besar, dan bukan sebaliknya."
Jika disertai perasaan gembira dan bermegah dengannya.
Jika menganggap ringan keampunan Allah terhadap perbuatannya, tertipu diri kerana menyangka kebolehannya untuk terus melakukan perbuatannya itu disebabkan pemeliharaan Allah terhadapnya dan merasa aman daripada azab-Nya.
Jika dizahirkan, seperti mengatakannya kepada orang lain setelah melakukannya atau sengaja melakukannya di hadapan orang lain.
Jika dilakukan oleh orang yang berilmu dan diikuti masyarakat. Oleh sebab itu, seorang ulama berkewajipan menjauhi dosa, dan menyembunyikannya jika terlajak melakukannya.
HAJI ATAU UMRAH SETIAP 5 TAHUN BAGI MEREKA YANG MAMPU
Allah s.w.t. telah berfirman “Sesungguhnya seorang hamba yang telah diberi kesihatan tubuh badan dan diluaskan rezekinya, sehingga lima tahun, tetapi ia masih belum menziarahiku, dia telah menghampakanku (Riwayat Ibnu Hibban melalui Abu Said Al-Khudri r.a.)
Dalam hadith qudsi ini Allah s.w.t berfirman bahawa seorang hamba yang mampu daripada segi kesihatan dan kewangan dalam tempoh 5 tahun, tetapi tidak menziarahinya dalam bentuk ibadah haji, maka dia telah menghampakan Allah. Sekurang-kurangnya kerjakan umrah kerana ia juga adalah haji iaitu haji kecil.
No comments:
Post a Comment