Tazkirah Jumaat
15 Julai 2011 (13 Syaaban 1432H)
RAMADAN BULAN KERAHMATAN
Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekelian syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat.”(Bukhari & Muslim)
Ditutup Pintu Neraka
Pada bulan Ramadhan, pintu neraka ditutup maka kepanasannya tidak sampai ke alam barzakh (alam perantaran antara alam dunia dan alam akhirat). Seksaan kubur ke atas orang Islam dihentikan pada bulan Ramadan. Selain itu orang Islam yang meninggal dunia pada bulan Ramadhan tidak diseksa dan disoal oleh Malaikat Mungkar dan Nakir.
Dibuka Semua 8 Pintu Syurga.
Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila datang bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu syurga”.(Hadith Sahih – Riwayat Bukhari). Banyak rahmat yang diturunkan oleh Allah s.w.t pada bulan ini. Orang mukmin ditambah rezekinya seperti makanan yang sedap-sedap semuanya ada di bulan ini bahkan golongan miskin juga dapat menikmatinya pada bulan ini.
Allah Perhiaskan Syurga.
Allah percantikkan syurga yang sememangnya cantik. Bagaimana? Tidak terfikir oleh akal manusia. Bidadari bernasyid dan menyanyi-nyanyi minta disegerakan bertemu dengan bakal suaminya di syurga nanti.
Bahawa syurga berlenggang-lenggang ia dan berhias dari setahun ke setahun kerana masuknya bulan Ramadhan . Pada awal bulan Ramadhan bertiup angina di bawah Arasy dan bergeraklah daun kayu dengan longlai di bawah syurga, terdengarlah desiran daun kayu, hembusan bayu syurga yang teramat indahnya, seni rentak lagunya menawan seluruh perasaan nurani. Maka berhiaslah bidadari sekaliannya hingga berdirilah di atas puncak mercu syurga itu, lantas bersuaralah bidadari : Adakah orang yang hendak meminang kami kepada Allah ? Lalu bidadari lain pula bertanya : Apakah nama malam ini ? Jawab Malik Ridhwan , hai bidadari yang cantik manis, inilah malam Ramadhan.
RAMADAN BULAN KEAMPUNAN
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan dosanya yang telah lalu dan dosanya yang akan datang, sesiapa yang menghidupkan malam dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan dosanya yang telah lalu dan yang akan datang.
Untuk mendapatkan pengampunan dosa, pastikan nafsu dikawal dan semua pantang larang Ramadan dijaga. Dalam hadith yang lain pula cuma disebut “dosa yang telah lalu” iaitu mulai 1 Syawal hingga 30 Syaaban sebelumnya. Inipun sudah cukup bagus.
Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan keimanan dan mengharap redha Allah, akan diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)
“Sembahyang lima waktu, dari Jumaat (yang satu) menuju Jum’at berikutnya, (dari) Ramadhan hingga Ramadhan (berikutnya) adalah penghapus dosa di antaranya, apabila ditinggalkan dosa-dosa besar.” (Riwayat Muslim)
Menghidupkan malam melalui aktiviti seperti Sembahyang Terawih dan bertadarus juga mendapat pengampunan dosa oleh Allah s.w.t. Sembahyang Terawih sebanyak 20 rakaat diasaskan oleh Sayyidina Umar r.a. dan ini dilakukan bagi menggantikan sembahyang malam atau tahajjud Rasulullah sebanyak 8 rakaat pada malam bulan Ramadan. Sembahyang terawih 20 rakaat adalaha sunnah dari para Jamaah iaitu jamaah sahabat nabi dan kita adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Dari Abu Hurairah r.a berkata: “Adalah Rasulullah SAW menggalakkan qiyamullail (sembahyang malam) di bulan Ramadhan tanpa memerintahkan secara wajib, baginda bersabda: “Sesiapa yang sembahyang malam di bulan Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan pahala daripada Allah, maka diampuni baginya dosa yang telah lalu.”
Selain itu memberi makan kepada orang yang berpuasa juga diberi tawaran pengampunan dosa.
Sesiapa yang mengenyangkan orang berpuasa diampunkan Tuhan dosanya , Tuhan memberi minum daripada kolam Haudh sejenis minuman yang tiada dahaga-dahaga lagi kemudiannya , hingga masuk ia ke syurga dan pahalanya seperti pahala orang berpuasa.
HADIS PILIHAN
Hadis-1 [Mafhumnya] : Barangsiapa ingin doanya terkabul dan dibebaskan dari kesulitannya hendaklah dia mengatasi (menyelesaikan) kesulitan orang lain.
(Hadis Riwayat: Imam Ahmad)
Hadis-2 [Mafhumnya] : Bentengilah hartamu dengan zakat, ubati orang-orang sakit (dari kalanganmu) dengan Bersedekah dan persiapkan doa untuk menghadapi datangnya bencana.
(Hadis Riwayat: Imam Ath-Thabrani)
Hadis-3 [Mafhumnya] : Tiap muslim wajib Bersedekah. Para sahabat bertanya, "Bagaimana kalau dia tidak memiliki sesuatu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Bekerja dengan keterampilan tangannya untuk kemanfaatan bagi dirinya lalu Bersedekah." Mereka bertanya lagi. Bagaimana kalau dia tidak mampu?" Nabi menjawab: "Menolong orang yang memerlukankan yang sedang teraniaya" Mereka bertanya: "Bagaimana kalau dia tidak melakukannya?" Nabi menjawab: "Menyuruh berbuat ma'ruf." Mereka bertanya: "Bagaimana kalau dia tidak melakukannya?" Nabi s.a.w. menjawab, "Mencegah diri dari berbuat kejahatan itulah sedekah."
(Hadis Riwayat: Imam Bukhari dan Imam Muslim)
No comments:
Post a Comment