Thursday, July 21, 2011

AMALAN BERPUASA BERSIHKAN PENYAKIT FIZIKAL, KEJIWAAN MANUSIA, PUASA UNTUK MENDAMPINGI ALLAH

Tazkirah Jumaat
22 Julai 2011 (20 Syaaban 1432H)


AMALAN BERPUASA BERSIHKAN PENYAKIT FIZIKAL, KEJIWAAN MANUSIA

Oleh Ibrahim Abdullah

SABDA Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sumber daripada penyakit adalah perut. Perut adalah gedung penyakit dan berpuasa adalah ubatnya." - (Hadis riwayat Muslim)

Makanan berlebihan mempunyai dua kesan membahayakan iaitu diserap berlebihan menimbulkan penimbunan lemak, manakala yang dibuang menimbulkan kotoran. Hasil kajian dan penelitian menyatakan, 90 peratus penyakit bermula dari usus besar yang menghimpunkan toksin.

Menurut hasil kajian itu juga, daripada 100,000 usus besar, hanya 6 peratus yang betul-betul normal. Doktor terkemuka dunia pernah melakukan diagnosa terhadap 22,000 usus besar dan hasilnya belum pernah ditemukan suatu usus besar yang berada dalam keadaan normal.

Punca kepada segala penyakit adalah kotoran yang tertahan seperti sisa makanan yang melekat pada dinding usus dan dapat diresap oleh lapisan mukosa, yang akhirnya menjadi kotoran tidak dapat dikeluarkan.

Kotoran tertahan itu seterusnya menghambat proses detokfikasi, melambatkan proses metabolisme dan meracuni tubuh.

Penyelidikan oleh sebahagian pakar Jepun menyimpulkan bahawa jumlah kotoran tertahan yang berada dalam tubuh seseorang sihat, rata-rata seberat 2.72 hingga 4.54 kilogram. Tentulah pada orang yang menderita kelainan, jumlah kotoran tertimbun jauh lebih banyak lagi.

Dijelaskan bahawa berpuasa adalah cara utama untuk menghindari tompokan kotoran itu. Selain itu dicadangkan memakan makanan organik yang tidak tercemar, meminum air bersih secukupnya, mengendalikan emosi, mendapatkan cukup sinar matahari, udara segar serta membiasakan beriadah.

Berpuasa membolehkan makanan yang masuk ke dalam perut dikendalikan kuantitinya. Pengendalian itu memberi kesempatan kepada organ tubuh untuk bekerja secara optimum.

Jika usus besar menerima banyak zat buangan, maka akan terjadi tompokan di sana. Sebaliknya dengan pengendalian makan, maka zat buangan yang dilempar ke usus besar boleh dialirkan tanpa menimbulkan tompokan kotoran.

Penyerapan zat makanan berlebihan juga mengakibatkan tompokan lemak dalam darah pembuluh atau di kelenjar lemak. Keadaan itu membahayakan aliran darah dalam tubuh kerana darah perlu bekerja untuk menghantarkan sari makanan dan oksigen ke seluruh sel tubuh, termasuk jantung.

Makanan berlebihan juga mengakibatkan tenaga berlebihan dalam tubuh, termasuk rangsangan hawa nafsu. Nafsu jika tidak dikendalikan dengan baik, boleh menyebabkan berlaku perkara yang tidak sepatutnya.

Selain itu, makanan berlebihan apa lagi membazirkan, menimbulkan pelbagai macam penyakit emosi atau hawa nafsu, seperti marah, sombong, tidak hormat kepada orang, kikir dan tamak. Semua perilaku itu mengarahkan manusia pada tindakan serta perbuatan melampau dan dosa.

Manfaat berpuasa sebenarnya untuk kebaikan manusia iaitu membersihkan daripada penyakit fizikal dan penyakit kejiwaan.

Sungguh menyedihkan jika ada kaum Muslimin yang tidak melaksanakan puasa tanpa uzur syarie. Ibarat diberi kemudahan untuk menuju sihat dan ceria, mereka memilih sakit. Diberi jalan menuju ketakwaan, mereka memilih jalan penyakit dan dosa.



PUASA UNTUK MENDAMPINGI ALLAH

Al-Barqarah [183] Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.

Apabila seseorang itu berpuasa dia tidak makan, tidak minum dan tidak melakukan percampuran pada waktu siang hari. Tidak makan, tidak minum dan tidak mempunyai isteri juga adalah sifat para Malaikat. Puasa yang cemerlang mampu menjadikan seseorang yang berpuasa mencapai makam (status) setaraf para Malaikat. Allah s.w.t sendiri tidak makan, tidak minum dan tidak berhajat kepada isteri.

An’am [101] (Dialah) yang menciptakan langit dan bumi. Bagaimanakah Dia mempunyai anak sedang Dia tidak mempunyai isteri? Dia pula yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dan Dialah Yang Maha Mengetahui akan segala-galanya.

Maka orang yang berpuasa juga mampu mendampingi Allah dengan cara meninggalkan makan, minum, percampuran pada waktu siang hari dan segala perbuatan yang boleh menaikkan nafsu samada melalui penglihatan (mata) percakapan (mulut), pendengaran (telinga) atau pergerakan (tangan dan kaki).

Puasa yang sia-sia adalah puasa yang tidak mempunyai nilai, ia ibarat bateri yang sudah lemah, hanya layak dicampakkan ke dalam tong sampah. Ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Berapa banyak orang yang berpuasa tetapi dia tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga.”

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain dari lapar dan dahaga sahaja yang didapatinya.” (Riwayat Bukhari)

Matlamat puasa bukanlah sekadar meninggalkan makan dan minum, tetapi fokusnya adalah untuk melemahkan nafsu yang buruk dan seterusnya mendampingi Allah s.w.t. Oleh itu kita hendaklah mengawal diri daripada melakukan perkara yang keji semasa berpuasa. Perangi nafsu dan berjuanglah untuk menjagalah semua disiplin-disiplin di bulan Ramadahan, selain dari makan, minum, jagalah lidah, mata, telinga, anggota lain dari perkara yang sia-sia agar kita mendapat rahmat (10 Ramadhan pertama), keampunan (10 Ramadhan kedua) dan kemerdekaan dari azab neraka (10 Ramadhan terakhir).



No comments: