Friday, June 10, 2011

IKHLAS DALAM BERAMAL SYARAT DITERIMA AMALAN, TANGGUNGJAWAB BAPA TERHADAP ANAK, SUNNAH MENGIRINGI TETAMU PULANG

TAZKIRAH JUMAAT
27 Mei 2011 (23 Jamadil Akhir 1432H)


IKHLAS DALAM BERAMAL SYARAT DITERIMA AMALAN

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesungguhnya Allah s.w.t tidak menerima apa-apa amalan melainkan amalan yang dilakukan khas untuknya dan diharapkan supaya Allah memperkenankannya” (Riwayat An-Nasai melalui Abu Umamah)

Allah melihat kepada keikhlasan sesorang dalam melakukan amalan. Hati hendaklah baik dan ikhlas samada dalam hubungan dengan Allah juga dalam hubungan sesama manusia. Bahkan manusia tidak akan menerima persahabatan yang tidak ikhlas, misalnya persahabatan hanya untuk sesuatu kepentingan.

Ulama dahulu mengajar kita menyebut “Sengaja aku sembahyang kerana Allah” supaya kita mengikhlaskan atau melakukan sembahyang secara sukarela, daripada kehendak hati dan bukannya kerana paksaan.

Apabila Allah s.w.t berkenan dengan sesuatu perbuatan, maka pelakunya diletakkan dan dimasukkan ke dalam syurga dan dihindarkan daripada musibah di Padang Mahsyar dan api neraka.

Dari Aisyah r.a. katanya Rasulullah saw bersabda :”Siapa yang ingin bertemu dengan Allah, nescaya Allah ingin pula bertemu dengannya.Dan siapa yang benci bertemu dengan Allah, nescaya Allah benci pula bertemu dengannya.Sedangkan mati itu terjadi sebelum bertemu dengan Allah (Riwayat Muslim)

Semenangnya amalan kita tidak mencukupi untuk masuk syurga. Ulama mengatakan bahawa amalan sembahyang selama 500 tahun pun hanya cukup untuk membayar nikmat 2 biji mata sahaja.

Kita memerlukan kepada rahmat Allah untuk masuk ke dalam syurga. rahmat Allah meliputi seluruh orang Islam yang ikhlas dalam beramal.

Saiyidatina `Aisyah pernah bertanya : “Ya Rasulullah S.A.W., tidak ada sesiapa pun yang akan masuk syurga melainkan dengan rahmat dan belas kasihan Allah Taala?”

Lalu Baginda menerangkan: “(Benar wahai `Aisyah), tidak ada siapa pun yang akan masuk syurga melainkan dengan rahmat dan belas kasihan Allah Taala” – (Baginda menegaskan) sebanyak tiga kali.

Saiyidatina `Aisyah berkata: Aku pun bertanya lagi: “Dan tidak juga Tuan, Ya Rasulullah? ” Maka Baginda pun meletakkan tangannya di atas kepalanya lalu bersabda: “Dan aku juga tidak, kecuali dilimpahi Allah dengan rahmat dan belas kasihan-Nya” – (Baginda menegaskan pengakuan nya itu sebanyak tiga kali).(Riwayat Baihaqi)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/05/25/ikhlas-dalam-beramal-syarat-diterima-amalan/


TANGGUNGJAWAB BAPA TERHADAP ANAK

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesungguhnya termasuk hak seorang bapa terhadap anaknya ialah mengajarnya menulis, mempercantikkan namanya dan mengahwinkannya apabila dia telah baligh (cukup umur) (Riwayat Ibnu Najjar)

Ajar Anak Menulis

Daripada sejumlah 124,000 sahabat hanya 12 orang sahabat yang tahu menulis, maka Rasulullah s.a.w. menyuruh para sahabat mengajar anak-anak mereka menulis.

“Ajarlah anak-anakmu, bukan dalam keadaan yang serupa denganmu. Didiklah dan persiapkan lah anak-anakmu untuk suatu zaman yang bukan zamanmu. Mereka akan hidup pada suatu zaman yang bukan zamanmu.”

Meletakkan Nama Yang Baik

Dalam sebuah hadith ada menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda : “Sesungguhnya kamu dipanggil pada Hari Kiamat dengan nama-nama kamu dan nama-nama bapa kamu, dari itu elokkanlah nama-nama kamu.” (Hadith riwayat Abu Daud dan Ahmad).

Nama yang paling baik ialah nama-nama Allah, namun haruslah ditambah perkataan “Abdul” sebelum nama Allah, misalnya Abdul Rahman. Ini diikuti dengan nama-nama nabi dan nama orang-orang soleh.

Mengahwinkan Anak Apabila Baligh

Seorang bapa hendaklah mengahwinkan anaknya yang telah cukup umur dengan pasangan yang sekufu iaitu setaraf. Ini kerana dibimbangi berlakunya perceraian di kemudian hari terutamanya apabila anak perempuan itu biasa hidup dalam kemewahan dan kesenangan.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/05/26/tanggungjawab-bapa-terhadap-anak/


SUNNAH MENGIRINGI TETAMU PULANG

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya adalah termasuk sunnah iaitu seseorang keluar menghantarkan tetamunya hingga sampai ke pintu (pagar) rumahnya (Riwayat Ibnu Majah)

Hantarlah dan iringilah tetamu yang pulang hingga ke pintu rumah atau pintu pagar (jika rumah berpagar) dan janganlah duduk di atas kerusi sahaja apabila mereka ingin balik. Ini adalah peradaban yang baik dan selaras dengan Islam. Perbuatan ini menjadikan hubungan di antara tuan rumah dan tetamu itu lebih mesra.

Apa yang dimakan oleh tetamu yang datang ke rumah kita adalah haknya kerana ianya adalah rezeki mereka, cuma ianya diletakkan dalam harta kita. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila tetamu masuk ke rumah maka dia masuk dengan rezekinya dan jika keluar, dia membawa pengampunan dosa orang-orang rumah itu” (Riwayat Ad-Dailami dari Anas r.a.)

Dari Abu Suraih al-Adawi bahawa dia berkata, mataku telah melihat Rasulullah saw dan telingaku telah mendengar ketika dia telah bersabda dengannya. Sabdanya, sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya dan tempohnya. Mereka berkata, apakah tempohnya? Baginda bersabda, satu hari satu malam dan tempoh bertamu adalah tiga hari dan apa yang selepas itu maka dia menjadi sedekah dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia berkata dengan baik atau diam.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/05/25/sunnah-mengiringi-tetamu-pulang/

No comments: