TAZKIRAH JUMAAT
20 Mei 2011/16 JAMADIL AKHIR 1432H
20 Mei 2011/16 JAMADIL AKHIR 1432H
HADIS : TERIMA UNDANGAN DAN MENERIMA HADIAH
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksid: “Sekiranya aku dijemput menghadiri sesuatu majlis mahupun kecil atau besar nescaya aku menerima jemputan tersebut dan sekiranya aku dihadiahkan sesuatu barang yang bernilai atau tidak nescaya aku menerimanya juga” Riwayat Hadith Al-Bukhari
Huraian :
1. Dalam kehidupan bermasyarakat, kita hendaklah menjaga hati dan perasaan orang lain agar hubungan silaturahim sentiasa terjaga selain dapat menghindari perselisihan faham yang mengakibatkan perbalahan dan perpecahan.
2. Rasulullah s.a.w contohnya tidak pernah menolak sebarang pemberian atau hadiah dan baginda juga tetap menerima apa juga bentuk jemputan tanpa membeza-bezakannya sama ada kecil, besar, kaya, miskin atau sebagainya.
3. Orang yang memilih- milih jemputan bagi sesuatu jamuan atau hadiah yang diberikan kepadanya adalah mempamerkan sifat orang yang sombong dan bongkak sedangkan sifat ini adalah sangat dilarang di dalam Islam.
http://dakwah2u.blogspot.com/
BALASAN SYURGA BAGI SIBUTA YANG SABAR
Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesungguhnya Allah tidak berpuas hati tentang balasan bagi seorang hamba yang kehilangan dua mata yang disayangi di dunia lalu dia bersabar menghadapinya, selagi dia tidak diberi balasan syurga.” (Riwayat Bukhari)
Abdullah Bin Abbas r.a. sepupu kepada Rasulullah s.a.w juga seorang yang buta. Satu hari beliau telah pergi menemui seorang tabib (doktor) untuk membuat pembedahan matanya. Doktor mata itu mengatakan bahawa beliau mesti berehat dan tidak boleh banyak bergerak selama 7 hari selepas pembedahan dijalankan. Setelah diberitahu bahawa dia tidak dapat berjalan seminggu selepas pembedahannya, beliau membatalkan hasratnya untuk “operate” matanya kerana tidak mahu ketinggalan sembahyang berjemaah di masjid selama seminggu. Beliau memilih untuk bersabar dengan kebutaannya demi untuk mendapatkan syurga.
Abdullah Bin Abbas r.a. juga berdoa agar Allah memberinya penglihatan semasa beliau hendak berjalan ke masjid, agar tidak perlu dipimpin dan juga agar dapat melihat semasa membaca quran. Doanya dimakbulkan oleh Allah dan beliau dapat melihat hanya untuk berjalan ke masjid dan juga semasa membaca quran.
Dalam hadith yang lain disebut seorang yang dibutakan matanya samada sejak lahir atau selepas dan dia tidak mengungkit (redha), maka Allah akan membalasnya dengan syurga. Orang Islam yang buta semasa di dunia ini akan bangkit dalam keadaan celik semasa di Padang Mahsyar nanti.
http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/05/13/
KEPUTUSAN SYURGA ATAU NERAKA TIDAK BERDASARKAN RUPA, KETURUNAN DAN HARTA
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada paras rupa, tidak kepada nasab keturunan dan harta kekayaan kamu, sebaliknya Allah melihat kepada hati kamu”.
“Allah tidak melihat ” bermaksud Allah tidak membuat keputusan tentang kedudukan seseorang samada di syurga atau neraka berdasarkan kepada paras rupa, keturunan dan harta yang dimiliki seseorang.
Paras rupa yang cantik atau tidak adalah ujian Allah semata-mata kerana Allah ingin melihat bagaimana kita menggunakannya dalam perbuatan dan pergaulan dan semuanya diberi markah.
Allah menciptakan pelbagai bangsa dan keturunan hanya untuk memperlihatkan kekuasaannya. Tetapi Allah tidak melihat keturunan seseorang dalam membuat keputusan syurga dan neraka. Dalam sebuah hadith disebut, sesiapa yang tercicir amalannya, nasab keturunannya tidak boleh membawanya ke hadapan (melepasi titian Sirat)
Rasulullah s.a.w bersabda “Sesiapa yang melambatkan amalan, keturunannya tidak akan bersegera untuknya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Begitu juga harta yang dimiliki, Allah hanya ingin melihat daripada mana kita mendapatkan harta itu (samada daripada sumber yang halal atau haram) dan ke mana ia dibelanjakan. Ada orang yang mendapat rezeki yang daripada sumber yang haram dan mengatakan “nak buat macam mana dah memang rezeki saya”. Sememangnya Ahli Sunnah Wal Jamaah berpendapat semua rezeki samada halal atau haram adalah daripada Allah, namun rezeki yang haram akan diambilkira dalam perhitungan Allah nanti. Dari Abi Barzah al-Aslami r.a., dari Nabi s.a.w, sabdanya:
“Tidak berganjak kedua kaki seseorang dari tempat berdirinya di mahkamah Tuhan pada hari qiamat sehingga ia disoal tentang umurnya pada perkara apakah ia habiskan dan tentang ilmunya untuk apakah ia gunakan dan tentang harta bendanya dari manakah ia dapati dan pada perkara apakah ia belanjakan dan juga tentang tubuh badannya pada perkara apakah ia susutkan kemudaan dan kecergasannya?”
“Allah melihat kepada hati” bermaksud Allah melihat kepada keimanan dan keikhlasan sesorang dalam melakukan amalan. Hati hendaklah baik dan ikhlas samada dalam hubungan dengan Allah juga dalam hubungan sesama manusia. Bahkan manusia tidak akan menerima persahabatan yang tidak ikhlas, misalnya persahabatan hanya untuk sesuatu kepentingan. Ulama dahulu mengajar kita menyebut “Sengaja aku sembahyang kerana Allah” supaya kita mengikhlaskan atau melakukan sembahyang secara sukarela, daripada kehendak hati dan bukannya kerana paksaan.
Ada orang mengatakan “Aku ni luar saja jahat tapi dalam (hati) baik” dan “walaupun saya tidak bertudung (menutup aurat), tapi hati saya baik“. Sebenarnya kalau dalaman (hati) baik, maka luaran (amalan, perangai dan pakaian) pun baik kerana setiap amalan itu lahir dari hati.
Rasulullah s.a.w. bersabda “Ketahuilah, bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya baik maka baik seseorang itu, dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang itu, ketahuilah, ia adalah hati” (Riwayat Muslim)
http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/05/12/
No comments:
Post a Comment