Friday, June 10, 2011

KIKIS SIKAP MALU, SEGAN JIKA MAHU LAKUKAN AMALAN BAIK, MUFLIS DI AKHIRAT

TAZKIRAH JUMAAT
3 Jun 2011 (1 Rejab 1432H)


KIKIS SIKAP MALU, SEGAN JIKA MAHU LAKUKAN AMALAN BAIK

KEMULIAAN serta kualiti manusia bukan dilihat pada fizikal yang cantik atau kekayaan, tetapi iman serta amal salih yang diterjemahkan dalam kehidupan seharian. Menjadi pakej lengkap setiap orang beriman pasti gemar melakukan kebaikan dalam semua perkara. Semakin mantap iman, semakin mudah berbuat baik sekali gus darjatnya semakin tinggi di sisi Allah.

Di sinilah pentingnya kita mantapkan iman dan berlumba-lumba melakukan kebaikan sama ada kepada Allah, diri, masyarakat, haiwan dan alam. Semua yang dilakukan demi meraih kecintaan dan keredaan Allah sebagai kebahagiaan yang hakiki.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bahagialah (kerana kebaikan yang amat banyak) bagi orang yang baik kerjanya, baik dan bersih hatinya, mulia pula lahirnya dan jauh manusia daripada kejahatannya. Bahagialah orang beramal dengan ilmunya, membelanjakan (untuk kebaikan) lebihan dari hartanya dan menahan lebihan daripada kata-katanya." (Hadis riwayat Tabrani)

Ada individu enggan melakukan perkara baik seperti belajar atau mengajar ilmu bermanfaat kepada orang yang memerlukannya kerana malu. Sikap ini sangat mengelirukan, sebab malu hanya layak dalam perkara dilarang agama.

Kita sering berjumpa manusia yang memandang ringan terhadap kebaikan yang sedikit. Mereka keberatan atau enggan melakukannya lalu dicipta pelbagai alasan tidak masuk akal untuk mengelak daripada dilihat sebagai seorang pemalas dan orang yang bersalah.

Sedangkan Islam sangat menekankan perlunya manusia berlumba-lumba berbuat kebaikan. Walaupun hanya bersedekah sebelah daripada sebiji kurma yang dianggap perkara remeh namun sesungguhnya tetap diperhitung Allah sebagai amalan soleh.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Hindarilah seksa neraka meskipun dengan bersedekah sebelah buah kurma. Siapa yang tidak mampu bersedekah separuh buah kurma sekurang-kurangnya dia bertindak dengan menuturkan perkataan yang baik dan bermanfaat." (Maksud Al-Hadis)

Sekecil apapun perkara kebaikan yang dilakukan tetap dinilai dan diberi pahala oleh Allah dan begitu juga dengan kemungkaran, tidak akan dibiarkan begitu saja, pasti akan menerima balasannya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Siapa yang berbuat baik walau sebesar zarah kebaikan ia pasti melihat ganjarannya. Siapa yang berbuat sebesar zarah kejahatan pun ia pasti akan melihat akibatnya." (Surah Al-Zalzalah: 7-8)

Jika ruang hidup yang memang terhad ini tidak diisi dengan amalan baik yang mendatangkan manfaat, bermakna kita sudah melangkah di jalan salah yang terpesong daripada tujuan hidup sebenarnya dan seolah-olah sengaja mencampakkan diri ke dalam golongan orang rugi daripada rahmat-Nya.

Firman Allah bermaksud: "Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang beriman dan beramal salih dan mereka pula berpesan dengan kebenaran serta berpesan dengan sabar." (Surah Al-Asr: 1-3). Jika enggan atau berlengah-lengah maka dikhuatiri nanti kita tidak berkesempatan melakukan amal soleh disebabkan mungkin ditimpa sakit atau meninggal dunia.

Benarlah nasihat Hasan Basri: "Ayuh segeralah, segeralah! Sebab segala sesuatu itu tergantung daripada nyawamu saja, jika ini sudah diputuskan, terputuslah pula segala amalmu. Jika demikian, amalan mana lagi yang akan kau pergunakan untuk 'bertaqarrub' (mendekatkan diri) kepada Allah."

Kita perlu sentiasa nyalakan semangat dan azam berlumba-lumba melakukan kebaikan selari suruhan agama supaya terhindar daripada segala kemungkaran.

Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya mereka adalah orang yang selalu berlumba-lumba untuk mengerjakan kebaikan dan selalu berdoa kepada Kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka sentiasa khusyuk kepada Kami." (Surah Al-Anbia: 90)

Demi untuk menjadi insan mulia dan dikasihi Allah, kita perlu segera melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Sesungguhnya Allah selalu bersama orang yang bertakwa dan selalu menambah amalan salih. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Allah berserta orang yang bertakwa dan orang yang berusaha memperbaiki amalannya." (Surah An-Nahl: 128)

http://agamaberitaharian.blogspot.com


MUFLIS DI AKHIRAT

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Para sahabat menjawab: Bagi kami orang yang muflis ialah orang yang tidak memiliki wang mahupun hartabenda”. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: Sebenarnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari Kiamat datang dengan membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi semasa di dunia mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada hari kiamat, orang yang di zalimi akan menerima pahala amal si penzalim. Jika pahala amalnya telah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya semasa di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Alllah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT campakkan dia ke dalam neraka.”(Riwayat Muslim).

Kalau orang menuduh kita dalam sesuatu perkara yang kita tidak terlibat, janganlah membalas tuduhannya, (walaupun kita mengetahui yang dia yang sebetulnya terlibat) kerana dia akan menanggung dosa.

Rasulullah s.a.w. bersabda “Kamu harus bertaqwa kepada Allah, jika seseorang mencelamu dengan sesuatu yang diketahuinya ada pada diri maka janganlah kamu membalas mencelanya dengan sesuatu yang ada pada dirinya, nescaya dosanya kembali kepadanya dan pahalanya untuk kamu, dan janganlah kamu mencela sesuatu.” (HR Ahmad dan Thabrani)

Kita boleh membalas sesuatu kejahatan yang dilakukan tetapi hendaklah dengan kadar yang sama. Misalnya jika ditumbuk, kita hanya boleh membalas dengan kekuatan tumbukan yang sama. Jika tidak diketahui dengan tepat kadarnya, maka lebih baik tidak dibalas kejahatan intu.

An-Nahl [126] Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/

No comments: