Friday, April 30, 2010

AL GHAFUURU, ASY SYAKUURU, SOLAT SEBAGAI PENGUKUR HUBUNGAN KITA DENGAN ALLAH, SUBHANALLAH WABIHAMDIHI, MANUSIA YG DIKASIHI DAN DIBENCI OLEH NABI SAW

Tazkirah Jumaat
30 April 2010 (16 Jamadil Awal 1431H)


FADHILAT ASMAUL HUSNA

35. AL GHAFUURU Ertinya Maha Pengampun.

“Ya Ghafuur!” bagi orang yang bertaubat, hendaklah memperbanyakkan zikir ini dengan mengakui dosa-dosa & beriktikad untuk tidak mengulanginya, InsyaAllah akan diterima taubatnya oleh Allah.

36. ASY SYAKUURU Ertinya Yang Sangat Syukur.

“Ya Syakuur!” dizikirkan sebanyak 40 x sehabis solat hajat, sebagai pengucapan terima kasih kepada Allah, InsyaAllah semua hajat kita akan dimakbulkan Allah. Lakukanlah setiap kali kita mempunyai hajat yang penting & terdesak.


SOLAT SEBAGAI PENGUKUR HUBUNGAN KITA DENGAN ALLAH

Ukurlah dirimu dengan solat. Kalau ketika solat ternyata engkau tidak memikirkan segala sesuatu selain Allah, maka berbahagialah. Tetapi, jika tidak demikian, maka tangisilah dirimu setiap kali engkau menggerakkan kakimu menuju solat.

Pernahkah engkau melihat seorang kekasih tidak ingin bertemu dengan kekasihnya ? ALlah Ta'ala mewahyukan :

“Sesungguhnya solat akan mencegah dari (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar “ (Al Ankabut ayat 45)

Barangsiapa ingin mengetahui kedudukannya di sisi ALlah, maka hendaknya ia perhatikan bagaimana solatnya, ia kerjakan dengan tenang dan khusyuk atau dengan tergesa-gesa dan lalai. Jika solat tersebut ternyata engkau lakukan dengan lalai dan tergesa-gesa, maka taburlah pasir ke wajahmu (sesalilah hal tersebut dengan penuh penyesalan)

Seseorang yang duduk bersama penjual minyak wangi akan mencium aroma wanginya. Sedangkan solat adalah sebuah ibadah yang seakan-akan kita sedang duduk bersama ALlah Ta'ala (kita sangat dekat sekali dengan rahmat, ampunan dan kurnia Allah). Jika engkau duduk bersama Allah, tetapi tidak memperoleh apa-apa. Itu tandanya dalam hatimu terdapat penyakit, entah itu kesombongan, berbangga diri atau ketidaksopanan.

Allah ta'ala mewahyukan : “Aku akan memalingkan orang-orang yang menyombongkan dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar dari tanda-tanda kekuasaan-Ku” (Al A'raf ayat 146)

Selepas solat ia tidak sepatutnya bergegas (tergesa-gesa) untuk meninggalkan tempat solatnya. Akan tetapi hendaknya dia berzikir kepada Allah Ta'ala dan beristighfar memohon ampun kepadaNya atas segala kekurangan yang ia lakukan di dalam solatnya. Berapa banyak solat yang tidak layak untuk diterima Allah, tetapi setelah engkau beristighfar memohon ampun kepadaNya atas solat tersebut. ALlah kemudian menerimanya. Dahulu RasuluLLah sallaLlahu 'alaihi wasallam selepas solat beristighfar sebanyak tiga kali.

http://jarumemas.blogspot.com/


SUBHANALLAH WABIHAMDIHI

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesiapa pada waktu pagi dan petang mengucapkan Subhanallah wabihamdihi (Maha suci Allah dan segala puji baginya) sebanyak seratus kali maka tidak ada seorang pun yang akan datang pada hari kiamat nanti membawa pahala sebesar itu kecuali mereka yang membaca kalimah itu sebanyak 100 kali atau lebih dari itu” (Riwayat Imam Tirmidzi)

Maha suci Allah dan segala pujian hanyalah berhak diberikan kepadanya kerana dialah yang memiliki kedudukan yang tertinggi dan kepadanyalah kita menumpang. Pujilah Allah yang sangat hebat dan jika sekiranya 7 lautan dijadikan dakwat untuk memuji dan menulis kehebatan Allah, ianya masih tidak mencukupi.

Al-Kahfi [109] Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.

Luqman [27] Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa membaca : ‘Subhanallah,wabihamdihi’ (Maha Suci Allah dan segala puji bagiNya) dalam sehari seratus kali, akan digugurkan dosanya walaupun sebanyak buih lautan.’ (Riwayat Syaikhan dari Abu Hurairah)

Imam Bukhari menamatkan kitab hadithnya dengan hadith berikut, Rasulullah s.a.w bersabda: “Dua kalimat yang ringan di lidah, pahalanya berat di timbangan (hari Kiamat) dan disenangi oleh Tuhan Yang Maha Pengasih, adalah: Subhaanallaah wabihamdihi, subhaanallaahil ‘azhiim.” (HR. Al-Bukhari 7/168, Muslim 4/2072.)

Dalam zikir yang lain pula: ……..Subhanallahi wa bihamdihi ‘adada khalqihi,wa ridhaka nafsihi, wa ziinata ‘Arsyihi, wa midada kalimatihi’ (Maha Suci Allah dan segala puji bagiNya sebanyak bilangan makhlukNya, dan sebesar redhaNya, dan seberat ‘ArasyNya,dan sebanyak hitungan kalimatNya).’ (Hadis riwayat Muslim)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/04/25/subhanallah-wabihamdihi-2/


MANUSIA YG DIKASIHI DAN DIBENCI OLEH NABI SAW

Rasulullah s.a.w bersabda, bermaksud:

"Sesungguhnya orang-orang yang paling aku kasihi di kalangan kamu dan orang yang paling dekat tempat duduknya denganku dihari kiamat ialah orang yang paling baik akhlaknya. Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku pada hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap perkara sia-sia, dan berlagak angkuh, sombong malah ia merasa bangga dengan kesombongannya." Para sahabat bertanya lagi, "wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui maksud perkataan orang-orang yang suka bercakap banyak yang sia-sia, dan yang berlagak angkuh dan sombong, tetapi apakah maksud orang yang bangga dengan kesombongannya? Jawab Rasulullah "ialah orang yang takbur." Riwayat at-Tarmizi

Huraian

1. Orang yang berakhlak mulia adalah orang yang paling dikasihi oleh Rasulullah dan diberi tempat yang paling dekat dengan baginda di hari kiamat nanti.

2. Bercakap-cakap kosong atau perkara-perkara yang sia-sia dan membuat fitnah adalah perbuatan yang dilarang oleh agama kerana ia tidak mendatang apa-apa kebaikan bahkan bakal mengundang azab di hari akhirat kelak.

3. Islam juga melarang umatnya bersifat membangga diri dan memandang rendah serta menghina orang lain tetapi hendaklah bersifat tawaduk dan rendah diri demi menjaga hati dan perasaan orang lain.

http://dakwah2u.blogspot.com/2008/07/hadis-manusia-yang-dikasihi-dan-dibenci.html

Thursday, April 22, 2010

AL HALIIM, AL ‘AZHIIM, FADHILAT WUDHU, KELEBIHAN AIR SEMBAHYANG

Tazkirah Jumaat
23 April 2010 (9 Jamadil Awal 1431H)


FADHILAT ASMAUL HUSNA

33 Al Haliim Ertinya Yang Memiliki Mutlak sifat Maha Penyantun (Maha Penyayang dan Penyabar)

KHASIATNYA : “Ya Haliim!” Dizikirkan sebanyak 88 x selepas solat lima waktu, bagi mereka yang mempunyai kedudukan di dalam pemerintahan, syarikat atau apa saja, InsyaAllah dipastikan kedudukannya tidak akan dicabar atau diungkit-ungkit atau tergugat.

34 Al ‘Azhiim Ertinya Yang Memiliki Mutlak sifat Maha Agung

KHASIATNYA : “Ya ‘Azhiim!” dizikirkan sebanyak 12 x setiap hari untuk orang yang sekian lama menderitai sakit, InsyaAllah akan sembuh. Juga apabila dibaca 12 x kemudian ditiupkan pada tangan lalu diusap-usap pada seluruh badan, maka dengan izin Allah akan terhindar dari gangguan jin, jin syaitan & sebagainya.


FADHILAT WUDHU

Setiap kali kita berwudhu akan gugur dosa-dosa kecil. Jadi, sama-samalah kita fikirkan. Tidakkah kita mahu dosa kita di hapuskan dengan hanya mengambil wudhu yang sempurna. Sesungguhnya wudhu yang sempurna bukan hanya menjamin solat diterima tetapi juga boleh menghapuskan doa-dosa selagi tidak melakukan syirik.

Rasulullah saw bersabda :

“Dari Abu Hurairah berkata: telah bersabda Rasulullah saw: Apabila seseorang hamba muslim atau mukmin berwuduk maka setelah ia membasuh wajahnya, keluarlah dari wajahnya segala dosa yang telah dilihat oleh kedua matanya melalui air atau bersama titisan air yang terakhir. Ketika membasuh kedua tangannya keluarlah dari kedua tangannya bersama air atau titisan air yang terakhir. Sewaktu ia membasuh kakinya setiap dosa yang dilangkah oleh kedua kakinya bersama air atau bersama air terakhir sehinggalah setelah ia selesai berwuduk ia bersih dari dosa-dosanya. (hadis riwayat muslim)”

Selain daripada itu, antara fadhilat lain wuduk ialah mengangkat darjat manusia.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu:

“Sesungguhnya Rasulullah saw telah bersabda: Sukakah kamu semua sekiranya aku tunjukkan kepada kalian akan amalan yang dapat menghapuskan kesalahan-kesalahan dan mengangkat beberapa darjat kalian? Mereka menjawab: Ya, wahai Rasulullah. Maka Baginda saw pun bersabda: Iaitu (antaranya) menyempurnakan wudhu walaupun dalam keadaan yang tidak disenangi (seperti kesejukan dan sebagainya) (Hadis riwayat Muslim)”

Seterusnya, wudhu dapat memberi cahaya di akhirat.

”Sesungguhnya umatku dipanggil pada Hari Kiamat dalam keadaan bercahaya wajah-wajah, tangan-tangan & kaki-kaki mereka kerana bekas wudhu (Riwayat Bukhori & Muslim)”

Pernahkah kita dengar bahawa wudhu dapat membuka ikatan syaitan? Ya, Rasulullah ada bersabda bahawa ikatan syaitan pada manusia akan terlerai dengan wudhu.

“Dari Abu Hurairah, beliau meriwayatkan dari Rasulullah saw, bahawa syaitan mengikut manusia ketika tidur di malam hari, dengan tiga ikatan. Kemudian Rasulullah saw memberitahu cara untuk merungkai ikatan tersebut, dalam sabda Baginda saw: Sekiranya dia (manusia) bangun (dari tidurnya), dan mengingati Allah, bebaslah satu ikatan. Sekiranya dia berwudhu pula, bebaslah satu ikatan lagi, dan sekiranya dia bersolat, bebaslah satu ikatan lagi. Maka dia akan menjadi segar dan baik dirinya. Sekiranya dia tidak melakukannya (berzikir, wudhu, dan bersolat), maka dia akan menjadi buruk dan pemalas. (hadis riwayat. al-Bukhari)”

Subhanallah, betapa besar dan istimewanya ganjaran berwudhu. Tak susahkan?? Sesungguhnya islam itu sangat mudah. Jadi, saya ingin menyeru kepada semua dan diri sendiri juga untuk rajin-rajinkalah diri kita untuk berwudhu. Basahkanlah anggota badan kita dengan wudhu. InsyaAllah segala usaha kita untuk berwudhu dan menyucikan diri mendapat ganjaran yg besar daripada Allah.

Firman Allah: “…Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat dan mencintai orang-orang yang bersih (Al-baqarah : 222)”

Sekadar ini sahaja perkongsian untuk kali ini. Semoga kita dapat mengamalkannya.

http://www.ataphijau.com/2010/01/11/fadhilat-wudhu/


KELEBIHAN AIR SEMBAHYANG

1. Ketika berkumur, berniatlah kamu dengan, “Ya Allah, ampunilah dosa mulut dan lidahku ini”. Penjelasan nombor 1 : Kita hari-hari bercakap benda-benda yang tak berfaedah.

2. Ketika membasuh muka, berniatlah kamu dengan, “Ya Allah, putihkanlah muka ku di akhirat kelak, Janganlah Kau hitamkan muka ku ini”. Penjelasan nombor 2 : Ahli syurga mukanya putih berseri-seri.

3. Ketika membasuh tangan kanan, berniatlah kamu dengan, “Ya Allah, berikanlah hisab-hisab ku ditangan kanan ku ini”. Penjelasan nombor 3 : Ahli syurga diberikanhisab-hisabnya di tangan kanan .

4. Ketika membasuh tangan kiri, berniatlah kamu dengan, “Ya Allah, janganlah Kau berikan hisab-hisab ku di tangan kiri ku ini”. Penjelasan nombor 4 : Ahli neraka diberikan hisab-hisabnya di tangan kiri .

5. Ketika membasuh kepala, berniatlah kamu dengan,”Ya Allah, lindunganlah daku dari terik matahari di padang Masyar dengan Arasy Mu”. Penjelasan nombor 5 : Panas di Padang Masyar macam matahari sejengkal di atas kepala.

6. Ketika membasuh telinga, berniatlah kamu dengan,”Ya Allah, ampunilah dosa telinga ku ini” Penjelasan nombor 6 : Hari-hari mendengar orang mengumpat, memfitnah dll.

7. Ketika membasuh kaki kanan, berniatlah kamu dengan.”Ya Allah, permudahkanlah aku melintasi titian Siratul Mustaqqim”. Penjelasan nombor 7 : Ahli syurga melintasi titian dengan pantas sekali.

8. Ketika membasuh kaki kiri, berniatlah kamu dengan,”Ya, Allah, bawakanlah daku pergi ke masjid-masjid, surau-surau dan bukan tempat-tempat maksiat” Penjelasan nombor 8 : Qada’ dan Qadar kita di tangan Allah.

Ramai di antara kita yang tidak sedar akan hakikat bahawa setiap yang dituntut dalam Islam mempunyai hikmah nya yang tersendiri.

Pernahkah kita terfikir mengapa kita mengambil wuduk sedemikian rupa? Pernah kita terfikir segala hikmah yang kita perolehi dalam menghayati Islam?

Pernah kita terfikir mengapa Allah lahirkan kita sebagai umat Islam?

Bersyukur dan bertaubatlah selalu.

wassalam.

http://fazdleeisa.wordpress.com/2008/12/16/fadhilat-dan-kelebihan-wudhu/

Friday, April 16, 2010

AL-LATHIIF, AL-KHABIIR, ZIKIR MENGINGATI ALLAH, 4 PAHALA YANG TERUS MENGALIR KE DALAM AKAUN SI MATI

Tazkirah Jumaat
16 April 2010 (2 Jamadil Awal 1431H)



FADHILAT ASMAUL HUSNA

31 Al-Lathiif : Yang Maha Lembut (Al-Mulk: 14)

“Ya Lathiif!” Dengan memperbanyakkan zikir ini mengikut kemampuan, InsyaAllah bagi para peniaga, ikhtiar ini akan menjadikan barangan jualannya menjadi laris & maju.

32 Al-Khabiir : Yang Maha Mengetahui (Al-An’aam: 18)

“Ya Khabiir!” Dengan memperbanyakkan zikir ini setiap hari, terkandung faedah yang teramat banyak sekali sesuai dengan maksud zikir ini antara lain faedahnya ialah dapat bertemu dengan teman atau anak yang telah terpisah sekian lama. Apabila dibaca selama 7 hari dan tiap-tiap hari sebanyak 812 kali, InsyaAllah akan datang kepadanya rahmat dengan segala khabar yang dikehendaki.


ZIKIR MENGINGATI ALLAH

Abu Musa r. a memberitakan bahawa Rasulullah s. a. w bersabda: “Perbandingan orang yang berzikir dengan orang yang tidak berzikir adalah seperti orang yang hidup dengan orang yang mati. Orang yang tidak berzikir itu adalah seperti orang mati.”

Rasulullah s.a.w bersabda, siapa yang banyak mengingati Allah (zikir), Allah menyayanginya. (Riwayat Dailami dari Aisyah r.a).

Berzikir iaitu mengingati Allah ialah tanda kita menyayangi Allah. Seseorang yang menyayangi dan merindui seseorang banyak menyebut namanya atau mengingatinya di dalam hatinya.

Mengingati Allah dalam bentuk zikir ada 3 cara iaitu zikir mulut, zikir hati dan zikir nafas. Siapa yang menyayangi sesuatu, dia akan sentiasa menyebutnya (mulut) atau mengingatinya (hati). Ada zikir yang malaikat tidak dapat kesan, iaitu zikir nafas. Ulama membahaskan tentang yang mana lebih afdal diantara zikir mulut dan zikir hati, masing-masing membawa hujah dan hadis berkaitan. Contohnya hadis qudsi yang lebih kurang berbunyi ” siapa yang mengingatiku bila bibir mulutnya bergerak, aku bersamanya.

Sayangilah Allah, “sebut-sebutlah Allah” dan ingatlah Allah samada melalui zikir lidah, zikir hati atau zikir nafas. Siapa yang menyayangi Allah, Allah menyayanginya. Siapa yang disayangi Allah diampunkan dosanya dan dimasukkan ke dalam Syurga.

Dalam sembahyang kita wajib mengingati Allah, kalau terlalai cepat-cepat kembalikan ingatan kepada Allah:-

Ta-Ha [14] Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku.

Rasulullah s.a.w. berkata “Aku ada masa aku untuk tuhanku”. Oleh itu peruntukkanlah masa yang khusus untuk berhubungan dengan Allah secara peribadi. Buatlah amalan atau wirid harian yang tetap walaupun sedikit, misalnya 10 minit setiap hari untuk berzikir atau istigfar kepada Allah. atau zikir “Laila ha illallah” 100 kali setiap sehari. Isilah masa dengan jadual atau program zikir supaya masa tidak terbuang begitu saja walaupun sedikit. Allah suka amalan yang berterusan walaupun sedikit.

Berzikir boleh dilakukan sambil berjalan kaki, memandu kereta, bahkan sambil berbaring di atas tilam yang empuk pun boleh berzikir. Ramai juga yang masuk syurga VIP kerana berzikir di atas tilam yang empuk.

Abu Said Al-K hudri r. a memberitakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Berapa banyak orang yang di dunia ini mengingati ALLAH s.w.t di atas tilam yang empuk, yang kerananya Tuhan membawa mereka ke peringkat tertinggi di dalam syurga.”

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/04/11/zikir-mengingati-allah/


4 PAHALA YANG TERUS MENGALIR KE DALAM AKAUN SI MATI

Ada empat perkara yang mengalir pahalanya setelah pelakunya meninggal dunia, yaitu, orang yang meninggal ketika menjaga sempadan negara Islam dalam perjuangan di jalan Allah (murabith), orang yang mengajarkan ilmunya, senantiasa mengalir pahala baginya, orang yang memberikan sedekah akan mengalir pahala sedekahnya di mana saja sedekah itu berada dan orang yang meninggalkan anak yang soleh dan anak tersebut selalu berdoa untuk kebahagiaannya.” (Riwayat Thabrani).

1. Pahala Murabith iaitu mereka yang bertugas menjaga sempadan negeri atau negara Islam daripada serangan musuh.

Daripada Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma, katanya: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ada dua jenis mata yang tidak akan disentuh oleh neraka, yaitu mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang pada malam hari menjaga sempadan negeri dalam melakukan peperangan fi-sabilillah.” (Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi). Apabila mata tidak masuk neraka, maka secara automatiklah tuannya tidak masuk neraka.

2. Pahala mengajar ilmu yang baik.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:“Sesiapa yang memberi contoh yang baik dalam Islam maka ia akan memperolehi pahala dan pahala orang yang beramal selepas ia meninggal tanpa kurang sedikit pun daripada pahala mereka dan siapa yang memberi contoh yang buruk di dalam Islam maka ia akan mendapat dosa dan dosa orang beramal dengannya selepas ia meninggal dunia tanpa kurang sedikitpun daripada dosa mereka.” (Riwayat Muslim)

Ilmu yang baik yang diperturunkan itu menjadi amal jariah (amal yang mengalir pahalanya walaupun setelah kita meninggal dunia) Begitu juga ilmu yang tidak baik, dia tetap menanggung dosa dari ilmu yang diajarnya. Dalam hadith disebut, “Siapa yang melakukan pembunuhan secara tidak betul, Qabil menanggung separuh dari dosanya” .

Ibnu Mas’ud berkata, Rasulullah s.a.w bersabda:“Tiada suatu jiwa yang terbunuh dengan penganiayaan, melainkan putera Adam yang pertama dahulu itu, mendapat bahagian dari penumpahan darah itu, kerana ia yang pertama membuka jalan untuk penumpahan darah.” (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim)

3. Pahala Sedekah Jariah.

Sedekah jariah ertinya, sedekah yang mengalir. Ertinya bahan sedekah kita itu, selama ia masih diguna dan dimanfaatkan, walaupun kita telah meninggal dunia, pahalanya tetap mengalir masuk dalam akaun kita. Contohnya, bersedekah untuk membina masjid, menderma sajadah, membeli buku pelajaran dan sebagainya.

4. Pahala dari doa anak yang soleh

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/04/09/4-pahala-yang-terus-mengalir-ke-dalam-akaun-si-mati/

Friday, April 9, 2010

AL HAKAMU, AL'ADLU, RASULULLAH DISIHIR DAN 2 QUL, BILA MAKSIAT BANYAK, TANPA IZIN ALLAH

Tazkirah Jumaat
9 April 2010 (24 Rabiul Akhir 1431H)


FADHILAT ASMAUL HUSNA

29. AL HAKAMU Ertinya Yang Menetapkan Hukum-hukum MakhlukNya.

KHASIATNYA: “Ya Hakam!” apabila dizikirkan setiap malam sunyi serta suci dari hadas dan najis sebanyak 68 kali, Insyaallah akan dijadikan hatinya tempat rahsia dan hikmah ilmu agama.

30. AL'ADLU Ertinya Yang Maha Adil.

KHASIATNYA: “Ya ‘Adlu!” apabila dizikirkan setelah selesai solat lima waktu 104 kali pasti ia akan menjadi pemutus hukum yang adil dan akan merasa tertarik hati orang lain kepadanya.


RASULULLAH DISIHIR DAN 2 QUL

Apabila Rasulullah s.a.w. jatuh sakit kerana disihir, Malaikat Jibril telah menjampi Baginda dengan membaca 2 Qul iaitu Surah An-Nas (Qul a’uzubirabbinnas) dan Al-Falaq (Qul a’uzubirabbil falaq) dan ditiup pada seluruh tubuhnya.

Salah satu daripada bahan sihir itu ialah 12 simpulan rambut Baginda. Diriwayatkan bahawa rambut Rasulullah s.a.w. diambil melalui seorang hamba Yahudi yang pernah bekerja sebagai khadam Baginda.

Al-Falaq [1] Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk. [2] Dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan. [3] Dari bahaya gelap apabila ia masuk. [4] Dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan). [5] Serta dari kejahatan orang yang dengki apabila dia melakukan dengkinya.

Menurut riwayat al-Imam al-Bukhari dari ‘Aisyah r.a. katanya adalah Rasulullah SAW apabila beliau berada di tempat tidurnya setiap malam beliau menemukan dua tangannya kemudian menghembuskan pada kedua-duanya dan membaca (Qul a’uzubirabbinnas) dan (Qul a’uzubirabbil falaq) kemudian beliau sapukan dengan kedua-dua tapak tangannya semua bahagian tubuhnya yang dapat disapukan olehnya, beliau mulakan di atas kepala dan mukanya dan bahagian hadapan badannya.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/04/02/rasulullah-disihir-dan-2-qul/


BILA MAKSIAT SUDAH TERLALU BANYAK

Bila maksiat sudah terlalu banyak, dan tiada usaha dakwah dilakukan, Allah akan menurunkan azab untuk menyelesaikannya. Bila azab diturunkan, tiada siapa yang dapat menghalangnya. Hanya dalam kes Nabi Yunus sahaja, azab ditarik balik kerana mereka bertaubat setelah Nabi Yunus berdoa minta diturunkan azab dalam masa 2-3 hari.

Yunus [98] (Dengan kisah Firaun itu) maka ada baiknya kalau (penduduk) sesebuah negeri beriman (sebelum mereka ditimpa azab), supaya imannya itu mendatangkan manfaat menyelamatkannya. Hanya kaum Nabi Yunus sahaja yang telah berbuat demikian – ketika mereka beriman, Kami elakkan azab sengsara yang membawa kehinaan dalam kehidupan dunia dari menimpa mereka dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan sehingga ke suatu masa (yang Kami tentukan)

Sabda Rasulullah SAW: “Demi Allah (SWT) s.w.t yang jiwaku berada dalam kekuasaan-Nya hendaklah kalian menyeru kepada yang makruf (baik) dan mencegah daripada melakukan perkara yang mungkar (keji). Jika kalian tidak melakukannya Allah (SWT) s.w.t akan menurunkan seksa kepada kalian dan apabila kalian berdoa kepadanya nescaya tidak akan dimakbulkan.(Riwayat Tirmidzi)

Pada masa azab diturunkan itu doa tidak lagi diterima iaitu doa untuk menolak azab yang datang itu (bila maksiat sudah terlalu banyak). Adakalanya semua akan terkena azab itu termasuk orang-orang soleh. Tetapi orang-orang soleh itu selamat di hari kiamat nanti.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/04/07/bila-maksiat-sudah-terlalu-banyak/


TANPA IZIN ALLAH

Api tabiatnya boleh memanaskan, namun tanpa izin Allah ia tidak boleh memanaskan atau membakar. Ibu Nabi Musa pernah meletakan Nabi Musa didalam tempat periuk yang panas di atas api, ketika pasukan tentera Firaun datang untuk mencari bayi lelaki. Namun Nabi Musa tetap selamat kerana Allah tidak mengizinkan api itu memanas dan membakarnya.

Bapa Nabi Musa bekerja di istana Firaun. Beliau mendapat tahu bahawa Firaun ingin membunuh semua anak lelaki setelah diberitahu oleh nujum istana bahawa akan lahir seorang anak lelaki yang akan mengalahkannya.

Al-A`raf[127] Dan berkatalah pula Ketua-ketua dari kaum Firaun: Adakah engkau (wahai Firaun) hendak membiarkan musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu? Firaun menjawab: Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka dan kita tetap menguasai (menundukkan) mereka.

Baqarah [49] Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.

Begitu juga semasa Nabi Ibrahim dibakar oleh Namrud. Namrud memerintahkan seluruh rakyatnya agar menyediakan api besar hinggakan sampai peringkat burung-burung tidak berani untuk terbang di atasnya kalau terbang juga mereka akan terbakar kerana nyalaan api yang besar itu.Setelah sampai masa yang telah ditetapkan, Namrud pun duduk di atas singgahsana sambil terus melihat kepada api yang sangat besar itu di dalam hatinya terselit kegembiraan yang sangat kerana sekejap lagi Nabi Ibrahim akan mati dibakar api, dia gembira kerana api akan memakan seorang yang tidak mahu beriman dengan tuhan mereka.Mereka pun mengikat Nabi Ibrahim pada satu tiang seakan-akan lastik yang besar dan terus Nabi Ibrahim di lemparkan ke dalam api yang besar itu. Mereka terkejut melihat Nabi Ibrahim kerana ketika mahu dilemparkan dia begitu tenang sekali langsung tidak meronta-ronta ataupun melawan. Lebih terkejutlah lagi bila mereka saksikan bahawa Nabi Ibrahim langsung tidak di makan oleh api bahkan dia boleh berjalan ke sana sini pula dalam api tersebut.

Anbiya [69] Kami berfirman: Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/04/07/tanpa-izin-allah/


SEBARKAN ILMU

RASULULLAH SAW BERSABDA: "Sampaikanlah Pesananku Kepada Umatku Yang Lain Walaupun Dengan Sepotong Ayat" [ ]

Friday, April 2, 2010

As Samii'u, Al Bashiiru, Kelebihan Al-Quran, Kehebatan Allah

Tazkirah Jumaat
2 April 2010 (17 Rabiul Akhir 1431H)


FADHILAT ASMAUL HUSNA

27. AS SAMII'U Ertinya Maha Mendengar.

KHASIATNYA: Ya Samii’ apabila dibaca 500 kali, setelah selesai sembahyang dhuha pada hari Khamis, maka doanya akan ditunaikan oleh Allah s.w.t. dan akan disembuhkan pendengarannya daripada penyakit tuli atau pendengarannya akan menjadi baik.

28. AL BASHIIRU Ertinya Maha Melihat.

KHASIATNYA: Ya Bashiir apabila dibaca sebelum sembahyang Jumaat dimulai sebanyak 100 kali pasti fikirannya akan bertambah cerdas dan hatinya akan terbuka.


KELEBIHAN AL-QURAN

Setiap Huruf Diberi 10 Pahala

Abdullah bin Mas’ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda,“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab ALLAH TAALA maka untuknya diberi satu ‘hasanah’ (kebaikan) sebagai ganjaran bagi huruf itu dan satu hasanah adalah sama dengan sepuluh pahala. Aku tidak berkata (’Alif, lam, mim) sebagai satu huruf tetapi (alif) adalah satu huruf, (lam) adalah satu huruf dan (mim) adalah satu huruf.”

Sama sahaja pahala orang yang membaca itu samada dia faham makna atau tidak, cuma orang yang faham makna akan lebih tersentuh hatinya dan lebih merasai keinsafan.

Tengok Saja Pun Dapat Pahala

Tengok (melihat atau memandang) ayat-ayat Quran yang mulia. Apalagi kalau dibaca dan diamalkan dalam kehidupan.

Bacalah Al-Quran

Jadikan amalan membaca quran sebagai satu rutin harian samada 1 helai, 1 muka atau sekurang-kurangnya 3 ayat sehari. Membacanya dengan mulut dan memandang al-Quran dengan mata lebih banyak markahnya dari orang yang sekadar mendengarnya sahaja.

Ajarlah Anak-Anak Al-Quran

Daripada Usman bin Affan r.a., Nabi Shalallahu ‘alaihi wasallam ia bersabda; “Sebaik-baik orang di antara kamu adalah yang belajar Al-quran dan mengajarkannya kepada orang lain”. (Riwayat Bukhari ).

Sekurang-kurangnya ajarlah asas seperti huruf-huruf al-Quran supaya anak-anak mengenalnya daripada ibubapa mereka sendiri. Tambahan pula, ia menjadi ilmu yang mengalir pahalanya apabila anak itu menjadi ibubapa dan mengajarkannya kepada anak-anak mereka pula.

Syafaat

Quran adalah pemberi syafaat yang paling besar kerana ia adalah kalam Allah. Syafaatnya lebih tinggi dari syafaat Nabi Muhammad s.a.w. kerana ia adalah Kalam Allah sendiri. Ia umpama ahli kabinet yang memberi sokongan kepada Perdana Menteri. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Bacalah al- Quran kerana ia akan datang pada Hari Akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.”

Dalam hadith yang lain pula “Pada hari Kiamat nanti, di hadapan Allah swt , bukan Nabi,bukan malaikat dan sebagainya“.tidak akan ada syafaat yang mempunyai taraf yang lebih tinggi daripada Al-Quran.

Para Hafiz iaitu orang yang menghafal al-quran dan yang beramal dengan ilmunya boleh memberi syafaat kepada 10 orang ahli keluarganya. Disebut dalam hadith daripada Anas r.a. :

“Sesiapa yang membaca al-Quran dan menghafalnya, dia menghalalkan apa yang dihalalkan di dalam al-Quran dan mengharamkan apa yang diharamkan di dalam al-Quran, Allah akan memasukkan ke dalam syurga dan dia akan dapat memberi syafaat 10 orang ahli keluarganya yang semuanya adalah ahli neraka.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/03/22/kelebihan-al-quran/


KEHEBATAN ALLAH

Israa [88] Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.

Hud [13]…cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan Al-Quran itu dan panggilah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.

Usahkan sepuluh surah, satu surah pun mereka tidak mampu cipta yang setandingnya:

Baqarah [23] Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.

Bahkan seekor lalat pun tuhan mereka tidak mampu cipta…

Al-Hajj [73] Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya….

Apalagi untuk mencipta tulang daripada daging yang keras:

Mukminun [14] Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang….

Apalagi untuk mencipta nyawa dan mengembalikankan…

Waqiah [86] Maka bukankah elok kalau kamu orang-orang yang tidak dikuasai (dan tidak tunduk kepada kekuasaan Kami);

Waqiah [87] Kamu kembalikan roh itu (kepada keadaan sebelumnya) jika betul kamu orang-orang yang benar?

Sekiranya 7 lautan dijadikan dakwat untuk menulis kehebatan Allah, ianya masih tidak mencukupi.

Al-Kahfi [109] Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.

Luqman [27] Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/03/21/kehebatan-allah/