Saturday, October 9, 2010

AL MUNTAQIM, Al-‘AFUWW, ZIKIR (SAIRUS SALIKIN), DOA YANG AFDAL

Tazkirah Jumaat
8 Okt. 2010 (29 Syawal 1431H)


FADHILAT ASMAUL HUSNA

81. AL MUNTAQIM : Zat yang berhak membalas setiap perbuatan dosa dengan azabNya.

"Ya Muntaqim!" Jika kita berhadapan dengan orang yang zalim, supaya dia tidak melakukan kezalimannya terhadap kita, maka hendaklah kita memperbanyakkan zikir ini setiap kali sesudah solat fardhu. Insyaallah, kita akan mendapat pertolongan Allah.

82. Al-‘Afuww : Yang Maha Pemaaf

"Ya 'Afuww!" Barangsiapa memperbanyakkan zikir ini, nescaya dia akan diampuni segala dosanya oleh Allah.


ZIKIR (SAIRUS SALIKIN)

Malaikat mencari-cari mana-mana majlis zikir yang ada di muka bumi ini. Malaikat melihat tempat-tempat yang diadakan majlis zikir akan terang bercahaya. Majlis zikir dianggap sebagai satu kebun dari kebun-kebun syurga. Tempat orang-orang yang berzikir di atas muka bumi ini adalah sama seperti kebun-kebun di dalam syurga. Asal dapat hadir sahaja dalam majlis zikir maka seseorang itu sudah memperolehi kelebihan menghadiri majlis apatah lagi jika ia turut sama berzikir.

Berzikir secara beramai-ramai mempunyai kelebihan. Orang yang berzikir secara beramai-ramai akan diliputi oleh para malaikat dan dicucuri rahmat Allah. Hati menjadi tenang dan tetap dengan zikrullah. Masa kita tidak akan kosong apabila berzikir secara berjemaah. Misalnya jika kita berhenti berzikir seketika, kita masih boleh mendengar suara orang lain berzikir. Mendengar orang lain berzikir memberi kesan kepada jiwa dan hati. Walau bagaimanapun, ada orang yang tidak bersetuju berzikir beramai-ramai apatah lagi mengangkat suara. Padahal apabila mengerjakan haji di Makkah, seseorang itu tetap akan mengerjakan zikir secara beramai-ramai dengan mengangkat suara seperti mengucapkan talbiah.

Ketahuilah bahawa Allah membanggakan orang yang berzikir di hadapan para malaikat-Nya. Jangan terburu-buru keluar dari masjid setelah selesai solat Jumaat kerana pada masa itu, rahmat Allah sedang diagih-agihkan kepada umat Islam atas zikirnya, istighfarnya dan sebagainya. Kata syeikh, masyaikhnya iaitu Syeikh Zaini pada saat ia mengajar, tidak pernah sekalipun ia mempedulikan kebesaran sang penuntut ilmu (maksudnya jika berjawatan tinggi atau bergelar) kerana kebesaran itu hanyalah untuk Allah Ta’ala.

Nabi saw juga duduk bersama-sama kelompok para sahabat yang berzikir dengan ikhlas. Pernah satu hari Abu Jahal mengenakan syarat iaitu andainya Nabi saw dapat menyediakan satu majlis zikir khusus untuk orang-orang bangsawan Quraisy sepertinya maka ia akan masuk Islam. Allah Ta’ala kemudiannya memerintahkan Nabi saw agar tidak mempedulikan permintaan orang-orang yang mengenakan syarat untuk masuk Islam.

Ketahuilah bahawa sesuatu yang sangat berguna di dunia dan di akhirat ialah berzikir kepada Allah samada secara beramai-ramai atau bersendirian. Orang yang berzikir secara bersendirian sehingga mengalirkan air mata kerana takutkan Allah Ta’ala termasuk dalam golongan yang dinaungi Arasy. Orang yang berzikir maka syurgalah untungnya. Terlalu banyak kelebihan orang yang duduk berzikir. Antaranya ialah seperti mendapat pahala haji dan umrah yang sempurna bagi orang yang duduk berzikir setelah selesai solat subuh berjemaah hingga terbit matahari lalu ia mengerjakan solat sunat isyraqi.

Berzikir melemahkan semangat cinta kepada dunia di dalam hati. Orang yang memperbanyakkan zikir akan merasa ringan terhadap dunia. Mereka tidak akan terpengaruh dengan harta dunia kerana merasakan bahawa harta dunia ini terlalu sedikit jika dibandingkan dengan ganjaran akhirat. Ketahuilah bahawa zikir yang banyak akan membuahkan harta yang sangat banyak di akhirat kelak.

Orang yang sentiasa berzikir tidak akan didekati syaitan dan dunia. Tatkala umat Islam lupa atau lalai seketika untuk berzikir maka di saat itulah syaitan dan dunia akan menyelinap masuk. Oleh itu perbanyakkanlah zikir dan lazimilah diri untuk menghadiri majlis zikir.

Zikir yang paling afdhal ialah kalimah La Ilaha Illallah. Ini adalah kerana zikir ini disebut-sebut oleh Nabi saw dan juga nabi-nabi lain. Ada orang suka berselisih pendapat tentang amalan mana yang lebih afdhal sedangkan mereka sendiri belum pun beramal dengan mana-mana amalan pun. Dalam hal ini, Syeikh membawa satu kisah. Kisahnya tentang Amar dan Zaid. Salah seorang diantara mereka bercadang untuk membuat kebun manakala yang seorang lagi berminat hendak mengembala kambing. Lalu berkatalah si pemilik kebun, andaikata kambingmu masuk di dalam kebunku siapakah yang akan dipersalahkan? Lalu si pengembala kambing menyalahkan pemilik kebun kerana tidak memagar kebunnya manakala si pemilik kebun menyalahkan si pengembala kambing kerana tidak menjaga kambingnya dengan baik. Akhirnya mereka berdua bergaduh dan perkara ini sampai kepada kadi. Kadi lalu bertanya, “ Di mana kambing dan kebun yang diperkatakan?” Rupanya mereka baru merancang sahaja, belum lagi memulakannya.

http://ikantongkol09-mengaji.blogspot.com/2010/08/bab-pada-menyatakan-segala-zikir-sairus.html


DOA YANG AFDAL

Rasulullah SAW bersabda ” Doa yang paling afdal ialah kamu meminta kepada tuhanmu keampunan dan keselamatan di dunia dan di akhirat. Kerana bila keduanya diberikan kepadamu di dunia, lalu keduanya diberikan kepadamu diakhirat, maka kamu benar-benar berjaya (Riwayat Ibnu Majah melalui Anas r.a.)

No comments: