Friday, April 2, 2010

As Samii'u, Al Bashiiru, Kelebihan Al-Quran, Kehebatan Allah

Tazkirah Jumaat
2 April 2010 (17 Rabiul Akhir 1431H)


FADHILAT ASMAUL HUSNA

27. AS SAMII'U Ertinya Maha Mendengar.

KHASIATNYA: Ya Samii’ apabila dibaca 500 kali, setelah selesai sembahyang dhuha pada hari Khamis, maka doanya akan ditunaikan oleh Allah s.w.t. dan akan disembuhkan pendengarannya daripada penyakit tuli atau pendengarannya akan menjadi baik.

28. AL BASHIIRU Ertinya Maha Melihat.

KHASIATNYA: Ya Bashiir apabila dibaca sebelum sembahyang Jumaat dimulai sebanyak 100 kali pasti fikirannya akan bertambah cerdas dan hatinya akan terbuka.


KELEBIHAN AL-QURAN

Setiap Huruf Diberi 10 Pahala

Abdullah bin Mas’ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda,“Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab ALLAH TAALA maka untuknya diberi satu ‘hasanah’ (kebaikan) sebagai ganjaran bagi huruf itu dan satu hasanah adalah sama dengan sepuluh pahala. Aku tidak berkata (’Alif, lam, mim) sebagai satu huruf tetapi (alif) adalah satu huruf, (lam) adalah satu huruf dan (mim) adalah satu huruf.”

Sama sahaja pahala orang yang membaca itu samada dia faham makna atau tidak, cuma orang yang faham makna akan lebih tersentuh hatinya dan lebih merasai keinsafan.

Tengok Saja Pun Dapat Pahala

Tengok (melihat atau memandang) ayat-ayat Quran yang mulia. Apalagi kalau dibaca dan diamalkan dalam kehidupan.

Bacalah Al-Quran

Jadikan amalan membaca quran sebagai satu rutin harian samada 1 helai, 1 muka atau sekurang-kurangnya 3 ayat sehari. Membacanya dengan mulut dan memandang al-Quran dengan mata lebih banyak markahnya dari orang yang sekadar mendengarnya sahaja.

Ajarlah Anak-Anak Al-Quran

Daripada Usman bin Affan r.a., Nabi Shalallahu ‘alaihi wasallam ia bersabda; “Sebaik-baik orang di antara kamu adalah yang belajar Al-quran dan mengajarkannya kepada orang lain”. (Riwayat Bukhari ).

Sekurang-kurangnya ajarlah asas seperti huruf-huruf al-Quran supaya anak-anak mengenalnya daripada ibubapa mereka sendiri. Tambahan pula, ia menjadi ilmu yang mengalir pahalanya apabila anak itu menjadi ibubapa dan mengajarkannya kepada anak-anak mereka pula.

Syafaat

Quran adalah pemberi syafaat yang paling besar kerana ia adalah kalam Allah. Syafaatnya lebih tinggi dari syafaat Nabi Muhammad s.a.w. kerana ia adalah Kalam Allah sendiri. Ia umpama ahli kabinet yang memberi sokongan kepada Perdana Menteri. Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Bacalah al- Quran kerana ia akan datang pada Hari Akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.”

Dalam hadith yang lain pula “Pada hari Kiamat nanti, di hadapan Allah swt , bukan Nabi,bukan malaikat dan sebagainya“.tidak akan ada syafaat yang mempunyai taraf yang lebih tinggi daripada Al-Quran.

Para Hafiz iaitu orang yang menghafal al-quran dan yang beramal dengan ilmunya boleh memberi syafaat kepada 10 orang ahli keluarganya. Disebut dalam hadith daripada Anas r.a. :

“Sesiapa yang membaca al-Quran dan menghafalnya, dia menghalalkan apa yang dihalalkan di dalam al-Quran dan mengharamkan apa yang diharamkan di dalam al-Quran, Allah akan memasukkan ke dalam syurga dan dia akan dapat memberi syafaat 10 orang ahli keluarganya yang semuanya adalah ahli neraka.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/03/22/kelebihan-al-quran/


KEHEBATAN ALLAH

Israa [88] Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.

Hud [13]…cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan Al-Quran itu dan panggilah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.

Usahkan sepuluh surah, satu surah pun mereka tidak mampu cipta yang setandingnya:

Baqarah [23] Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.

Bahkan seekor lalat pun tuhan mereka tidak mampu cipta…

Al-Hajj [73] Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya….

Apalagi untuk mencipta tulang daripada daging yang keras:

Mukminun [14] Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang….

Apalagi untuk mencipta nyawa dan mengembalikankan…

Waqiah [86] Maka bukankah elok kalau kamu orang-orang yang tidak dikuasai (dan tidak tunduk kepada kekuasaan Kami);

Waqiah [87] Kamu kembalikan roh itu (kepada keadaan sebelumnya) jika betul kamu orang-orang yang benar?

Sekiranya 7 lautan dijadikan dakwat untuk menulis kehebatan Allah, ianya masih tidak mencukupi.

Al-Kahfi [109] Katakanlah (wahai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.

Luqman [27] Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/03/21/kehebatan-allah/

No comments: