Friday, April 9, 2010

AL HAKAMU, AL'ADLU, RASULULLAH DISIHIR DAN 2 QUL, BILA MAKSIAT BANYAK, TANPA IZIN ALLAH

Tazkirah Jumaat
9 April 2010 (24 Rabiul Akhir 1431H)


FADHILAT ASMAUL HUSNA

29. AL HAKAMU Ertinya Yang Menetapkan Hukum-hukum MakhlukNya.

KHASIATNYA: “Ya Hakam!” apabila dizikirkan setiap malam sunyi serta suci dari hadas dan najis sebanyak 68 kali, Insyaallah akan dijadikan hatinya tempat rahsia dan hikmah ilmu agama.

30. AL'ADLU Ertinya Yang Maha Adil.

KHASIATNYA: “Ya ‘Adlu!” apabila dizikirkan setelah selesai solat lima waktu 104 kali pasti ia akan menjadi pemutus hukum yang adil dan akan merasa tertarik hati orang lain kepadanya.


RASULULLAH DISIHIR DAN 2 QUL

Apabila Rasulullah s.a.w. jatuh sakit kerana disihir, Malaikat Jibril telah menjampi Baginda dengan membaca 2 Qul iaitu Surah An-Nas (Qul a’uzubirabbinnas) dan Al-Falaq (Qul a’uzubirabbil falaq) dan ditiup pada seluruh tubuhnya.

Salah satu daripada bahan sihir itu ialah 12 simpulan rambut Baginda. Diriwayatkan bahawa rambut Rasulullah s.a.w. diambil melalui seorang hamba Yahudi yang pernah bekerja sebagai khadam Baginda.

Al-Falaq [1] Katakanlah (wahai Muhammad): Aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk. [2] Dari bencana makhluk-makhluk yang Dia ciptakan. [3] Dari bahaya gelap apabila ia masuk. [4] Dari kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan). [5] Serta dari kejahatan orang yang dengki apabila dia melakukan dengkinya.

Menurut riwayat al-Imam al-Bukhari dari ‘Aisyah r.a. katanya adalah Rasulullah SAW apabila beliau berada di tempat tidurnya setiap malam beliau menemukan dua tangannya kemudian menghembuskan pada kedua-duanya dan membaca (Qul a’uzubirabbinnas) dan (Qul a’uzubirabbil falaq) kemudian beliau sapukan dengan kedua-dua tapak tangannya semua bahagian tubuhnya yang dapat disapukan olehnya, beliau mulakan di atas kepala dan mukanya dan bahagian hadapan badannya.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/04/02/rasulullah-disihir-dan-2-qul/


BILA MAKSIAT SUDAH TERLALU BANYAK

Bila maksiat sudah terlalu banyak, dan tiada usaha dakwah dilakukan, Allah akan menurunkan azab untuk menyelesaikannya. Bila azab diturunkan, tiada siapa yang dapat menghalangnya. Hanya dalam kes Nabi Yunus sahaja, azab ditarik balik kerana mereka bertaubat setelah Nabi Yunus berdoa minta diturunkan azab dalam masa 2-3 hari.

Yunus [98] (Dengan kisah Firaun itu) maka ada baiknya kalau (penduduk) sesebuah negeri beriman (sebelum mereka ditimpa azab), supaya imannya itu mendatangkan manfaat menyelamatkannya. Hanya kaum Nabi Yunus sahaja yang telah berbuat demikian – ketika mereka beriman, Kami elakkan azab sengsara yang membawa kehinaan dalam kehidupan dunia dari menimpa mereka dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan sehingga ke suatu masa (yang Kami tentukan)

Sabda Rasulullah SAW: “Demi Allah (SWT) s.w.t yang jiwaku berada dalam kekuasaan-Nya hendaklah kalian menyeru kepada yang makruf (baik) dan mencegah daripada melakukan perkara yang mungkar (keji). Jika kalian tidak melakukannya Allah (SWT) s.w.t akan menurunkan seksa kepada kalian dan apabila kalian berdoa kepadanya nescaya tidak akan dimakbulkan.(Riwayat Tirmidzi)

Pada masa azab diturunkan itu doa tidak lagi diterima iaitu doa untuk menolak azab yang datang itu (bila maksiat sudah terlalu banyak). Adakalanya semua akan terkena azab itu termasuk orang-orang soleh. Tetapi orang-orang soleh itu selamat di hari kiamat nanti.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/04/07/bila-maksiat-sudah-terlalu-banyak/


TANPA IZIN ALLAH

Api tabiatnya boleh memanaskan, namun tanpa izin Allah ia tidak boleh memanaskan atau membakar. Ibu Nabi Musa pernah meletakan Nabi Musa didalam tempat periuk yang panas di atas api, ketika pasukan tentera Firaun datang untuk mencari bayi lelaki. Namun Nabi Musa tetap selamat kerana Allah tidak mengizinkan api itu memanas dan membakarnya.

Bapa Nabi Musa bekerja di istana Firaun. Beliau mendapat tahu bahawa Firaun ingin membunuh semua anak lelaki setelah diberitahu oleh nujum istana bahawa akan lahir seorang anak lelaki yang akan mengalahkannya.

Al-A`raf[127] Dan berkatalah pula Ketua-ketua dari kaum Firaun: Adakah engkau (wahai Firaun) hendak membiarkan musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu? Firaun menjawab: Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka dan kita tetap menguasai (menundukkan) mereka.

Baqarah [49] Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.

Begitu juga semasa Nabi Ibrahim dibakar oleh Namrud. Namrud memerintahkan seluruh rakyatnya agar menyediakan api besar hinggakan sampai peringkat burung-burung tidak berani untuk terbang di atasnya kalau terbang juga mereka akan terbakar kerana nyalaan api yang besar itu.Setelah sampai masa yang telah ditetapkan, Namrud pun duduk di atas singgahsana sambil terus melihat kepada api yang sangat besar itu di dalam hatinya terselit kegembiraan yang sangat kerana sekejap lagi Nabi Ibrahim akan mati dibakar api, dia gembira kerana api akan memakan seorang yang tidak mahu beriman dengan tuhan mereka.Mereka pun mengikat Nabi Ibrahim pada satu tiang seakan-akan lastik yang besar dan terus Nabi Ibrahim di lemparkan ke dalam api yang besar itu. Mereka terkejut melihat Nabi Ibrahim kerana ketika mahu dilemparkan dia begitu tenang sekali langsung tidak meronta-ronta ataupun melawan. Lebih terkejutlah lagi bila mereka saksikan bahawa Nabi Ibrahim langsung tidak di makan oleh api bahkan dia boleh berjalan ke sana sini pula dalam api tersebut.

Anbiya [69] Kami berfirman: Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/04/07/tanpa-izin-allah/


SEBARKAN ILMU

RASULULLAH SAW BERSABDA: "Sampaikanlah Pesananku Kepada Umatku Yang Lain Walaupun Dengan Sepotong Ayat" [ ]

No comments: