Situasi A
”Tengok
sepupu-sepupu kau, semuanya sudah berjaya, tinggal kat bandar,
sudah ada rumah sendiri, kereta sendiri dan bla...bla..bla...kau apa pun tak
ada”
Situasi B
”Eh,
kaya kau sekarang ni, sudah pakai Mercedes, aku selisih dengan kau pun kau buat
tak kenal jer ya!mentang-mentang sudah berjaya.”
Situasi C
”Bagaimana
dengan anak engkau? Sudah habis belajar ke? O.....Sudah habis, sudah berjayalah
ya, apa nak dirisaukan lagi, dia sudah besar.”
Apakah penanda aras bagi kejayaan?
Mari kita rehat sejenak daripada
melakukan kerja-kerja harian. Kita fikir dan zikir kepada Allah untuk diri,
kita fikir tentang diri, bagaimana mahu jadi insan sempurna, bagaimana mahu mencapai
kejayaan yang hakiki. Ramai orang ingin berjaya tetapi tidak ramai yang
mengetahui kunci utama menuju kejayaan. Kita kata mahu jadi manusia yang
berjaya, tetapi bagaimana cara hendak berjaya? Kita kata mahu jadi
manusia yang cemerlang tetapi bagaimana mengikut acuan Islam yang benar? Jika
diberi pilihan antara ’gagal’ dan ’berjaya’, yang mana satu pilihan kita? Satu
dalam sepuluh yang memilih ’gagal’ dan kemungkinan yang memilih ’gagal’ itu
mempunyai masalah dalam berfikir.
Tidak keterlaluan jika dikatakan
terdapat sebahagian orang yang meletakkan kekayaan wang ringgit, harta benda
dan pangkat yang dimiliki sebagai ukuran kejayaan. Dialog biasa yang menjadi
halwa telinga bila kita dianggap telah melepasi tahap penilaian kejayaan
mengikut ukuran masyarakat sekeliling adalah antaranya seperti berikut, ”Kau
tak apalah berjawatan besar, rumah besar, kereta besar dan....” kita
bangga bila dikatakan begitu. Pernahkah kita berusaha untuk menafikan
sebenarnya kita belum berjaya dalam hidup ini, yang ada itu hanyalah pinjaman,
yang dilihat itu adalah pada pandangan manusia, bukan pandangan Allah.
Yang kita ingin, yang kita mahu, yang perlu kita usahakan adalah untuk
mencapai pandangan Allah, redha Allah dan kejayaan utama di sisi Allah, bukan
kejayaan di sisi masyarakat sekeliling sahaja. Dalam hal ini Allah SWT telah
memberi pelbagai gambaran yang meletakkan asas terhadap keinginan seseorang itu
untuk berjaya dalam kehidupan. Antaranya melalui peningkatan iman, taqwa,
ilmu dan tazkiah diri.
Bicara tentang Iman dan Taqwa
Iman dibina atas dasar membenarkan
dengan hati, mengakui dengan lidah dan mengikutinya dengan amalan. Menurut
al-Qaradhawi, iman ialah kepercayaan yang meresap ke dalam hati dengan penuh
keyakinan, tidak bercampur syak dan ragu, serta memberi pengaruh pada pandangan
hidup, tingkah laku dan perbuatan sehari-harian.
Tidak dinafikan masyarakat
keseluruhannya mengetahui tentang erti iman dan hakikat keimanan, namun apabila
ditanya soal yakin, keyakinan itu adakah sepenuh hati? Firman Allah SWT dalam
surah al-Baqarah, ayat 146 yang bermaksud, ”Dan sesungguhnya sebahagian
daripada mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedangkan mereka
mengetahuinya.” Persoalannya sudah tentu berkaitan dengan penerimaan
yang tidak sampai ke tahap yakin, walaupun kebenaran itu telah dinyatakan. Oleh
yang demikian, dalam surah al-Hujurat, ayat 15 mafhumnya, ”... Hanya
orang yang beriman itu ialah orang yang percaya kepada Allah dan rasul-Nya,
kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi.”
Dalam Surah al-Anfal ayat 2-4 yang bermaksud, ”Sesungguhnya hanya orang
yang beriman itu apabila disebut nama Allah gementar hati mereka dan apabila
dibacakan kepada mereka ayat-ayat Allah menjadikan mereka bertambah iman dan
kepada Allah mereka berserah. Iaitu orang yang mendirikan solat dan yang
mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka. Merekalah
orang beriman yang sebenar-benarnya...” Ini antara gambaran ciri-ciri
orang yang beriman yang mesti ada pada kita.
Sebagai tanda keimanan, kita wajib patuh dan taat segala perintah Allah SWT dan
tidak sekali-kali boleh melakukan perbuatan yang dilarang. Yakinlah
kejayaan dalam hidup akan datang apabila kita patuh dan taat pada perintah
Allah SWT serta tidak melanggar aturan-Nya. Firman Allah SWT dalam surah
al-A`raf ayat 96 bermaksud,“ Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya
penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah kami akan membuka kepada
mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi
tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab
seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” Dan firman Allah SWT
lagi dalam surah al-Talaq ayat 1-3 yang disebut juga sebagai ayat seribu dinar
memberi maksud,”....dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan
mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan
mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),
Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihatinya.....
Keimanan juga menjadi asas utama untuk
mendapat keberkatan hidup. Allah SWT telah menjanjikan keberkatan yang melimpah
ruah dari langit dan bumi jika kita beriman kepada-Nya. Iman dapat
dikatakan sebagai suatu kekuatan, suatu ubat yang mujarab dan suatu senjata
yang membawa kebaikan dalam hidup kita. Oleh yang demikian, jika benar kita
orang beriman, marilah kita bertaqwa kepada Allah sebagaimana firman Allah SWT
dalam Surah al-Taubah ayat 119, ”Wahai orang yang beriman! Bertaqwalah
kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang yang
benar."
Dalam al-Quran banyak dinyatakan
ciri-ciri orang yang bertaqwa. Orang yang memenuhi ciri-ciri yang dinyatakan,
dijamin akan berjaya kerana mereka dijanjikan jalan keluar (dari segala
perkara yang menyusahkan) dan rezeki dari jalan yang tidak terlintas dihati.
(lihat surat at-Talaq 2-3). Ini bermakna orang yang bertaqwa akan diberi
petunjuk dan diberi pertolongan Allah SWT. Sebaliknya orang yang tidak bertaqwa
akan gagal dalam kehidupan kerana natijahnya nafsu akan bermaharajalela dan
kerosakan akan teserlah. Sama-samalah kita berusaha untuk meningkat ketaqwaan
kepada Allah SWT.
Bicara tentang Ilmu Pengetahuan
Dalam surah al-Mujadalah ayat 11,
Allah SWT berfirman yang bermaksud, ”Allah akan meninggikan orang yang
beriman antara kamu dan orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat.”
semaksud dengan ayat ini dalam surah al-Zumar ayat 9, Allah SWT berfirman
yang maksudnya, ”Katakanlah lagi, adakah sama orang yang
mengetahui (berilmu) dengan orang yang tidak mengetahui (berilmu)...,”
Jawapannya, sudah tentu tidak! Orang
berilmu dengan orang yang tidak berilmu jauh sekali bezanya. Untuk memahami
sesuatu perkara seseorang hendaklah menguasai ilmu. Ilmu merupakan pelengkap ke
arah insan yang beriman, dapat mengukur sejauhmana ketaqwaan kita kepada Allah
SWT dan dapat membimbing ke arah kebaikan. Ilmu dan Iman tidak dapat dipisahkan
kerana ia saling berhubungan dan saling mempengaruhi. Melalui ilmu manusia
jdapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi ini.
Persoalannya, adakah kita termasuk
orang yang berilmu? Sebenarnya jika dihitung ilmu yang kita miliki hari ini
sebenarnya terlalu sedikit. Kita tidak mengetahui banyak perkara, kita tidak
pakar dalam semua bidang. Sayang juga kiranya ilmu yang sedikit milik kita ini tidak
dimanfaatkan bagi tujuan agama dan ummah. Ilmu yang ada hendaklah dimanfaatkan,
ilmu hendaklah dipelajari, dihayati dan diamalkan. Orang yang tahu, akan
menggunakan ”tahunya” pada tempat yang sesuai. Dalam surah al-Kahfi ayat 109
bermaksud, ”Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalaulah semua jenis lautan
menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis
kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi
lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan".
Bicara tentang Pembersihan Jiwa
”Dia tidak tidak akan berubah
selama-lamanya” layakkah kita untuk berkata begitu?
Lagikan kain yang kotor jika diberus dan disabun akan bersih kembali, inikan
pula kita manusia, lambat atau cepat akan berubah dengan izin Allah jika kita
tahu dan sedar bahawa kelakuan kita sebenarnya tidak cocok dengan ajaran Islam,
lalu kita berusaha untuk membersihkan jiwa kita dengan melakukan perkara yang
baik dan kita tinggalkan perkara yang dilarang. Kembali kepada tazkiah al-Nafs yang
bermakna penyucian dan pembersihan jiwa sebagaimana firman Allah dalam surah
al-Shams ayat 9 yang bermaksud, ”Sesungguhnya berjayalah orang yang
menjadikan dirinya-yang sedia bersih-bertambah-tambah bersih (dengan iman dan
amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya-yang
sedia bersih-itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran
maksiat).” Dapat difahami daripada maksud ayat ini perlunya penjagaan
diri untuk sentiasa taat dengan perintah Allah dan meninggalkan larangan
syariat dengan tujuan mencapai redha Allah, maka kita akan berjaya.
Mari kita kembali kepada fitrah
kejadian kita, diciptakan sebaik-baik kejadian dan mempunyai naluri yang bersih
seperti kain putih bersih, tidak dinodai oleh mana-mana kotoran pada asalnya,
tetapi kerana kita manusia yang sering lupa kita mudah terpengaruh dengan
unsur-unsur yang mencemarkan jiwa dan fikiran lalu ia menjadi kotor, perlu
dibersihkan dan dijernihkan serta digilap kembali pada landasan yang benar.
Oleh yang demikian, mari kita buang
sifat tercela yang ada dalam diri, kita hiasi dengan sifat-sifat terpuji. Kita
bersihkan diri dan jernihkan jiwa dengan amalan yang merujuk pesan dari
al-Quran dan sunnah, kita jadikan pedoman kisah kehidupan para nabi, sahabat,
tabi`in, atba-tabi`in, kita rujuk amalan alim ulama’ supaya hidup tidak
sia-sia. Allah SWT telah berfirman dalam surah Ar-Ra'd ayat 11 yang
maksudnya “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga
mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”. Mari kita ubah
cara fikir kita untuk membersih jiwa.
Dalam membersihkan jiwa kita tidak
terlepas dengan ilmu pengetahuan. Orang yang tidak beramal dengan ilmu,
pastinya tidak akan berubah. Mereka tidak dapat membezakan perkara yang hak dan
yang batil. Jangan marah jika disebut jahil, tetapi fahami bahawa jahil
merupakan hijab kebanyakan manusia untuk mendapat kejayaan dalam hidup. Ibarat
orang jahil seperti orang yang berjalan di dalam gelap, akhirnya fikir sendiri
kesudahan perjalanan itu... Sebenarnya ilmu tanpa amal adalah rugi, manakala
amal tanpa ilmu adalah kosong.
Solusi Menuju Kejayaan
Sedar atau tidak, sebenarnya setiap kali
azan berkemundang seruan ”hayya ala falah” sebanyak dua
kaliyang dapat diterjemahkan sebagai mari menuju kemenangan atau kejayaan
memberi pengertian yang cukup luas iaitu kejayaan di dunia dan diakhirat. Orang
yang melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan segala larangannya adalah
orang yang berjaya dalam hidup. Ini kerana ukuran kejayaan hidup seseorang
ialah sejauhmana kita taat pada perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.
Kesempatan hidup yang jadi milik kita hari ini, jangan disia-siakan. Mari kita
fikir sejenak, adakah bila kita fikir tentang hidup sebenarnya kita fikir
tentang mati, bila kita fikir mati, kita fikir balasan, bila fikir balasan,
kita fikir tempat kesudahan? Kesimpulannya dari fikir dan fikir kita akan
temukan jawapan, kita ingin menjadi hamba Allah yang berjaya. Kita ingin
nikmat dan rahmat-Nya, kita ingin menikmati syurga Allah tetapi untuk itu
semua kita perlu tingkatkan iman dan taqwa, ilmu dan amal serta tazkiah diri
dalam kehidupan bagi mencapai kejayaan hidup yang hakiki. Orang yang berjaya
orang yang kenal diri, tahu tugas dan tanggungjawab serta tahu tujuan akhir
sebuah kehidupan. Mari kita audit diri apakah yang kita ingin dalam hidup ini?
*Artikel ini telah diterbitkan dalam
Majalah Dian.
Sumber:JAKIM
No comments:
Post a Comment