Friday, February 26, 2010

AL WAHHAABU, AR RAZZAQU, MAULIDUR RASUL

Tazkirah Jumaat
26 Feb 2010 (12 RABIUL AWAL 1431H)


FADHILAT ASMAUL HUSNA

17. AL WAHHAABU Ertinya Yang Maha Memberi.

KHASIATNYA: “Ya Wahhaab!” dizikir sebanyak 100 x sesudah solat fardhu, barang siapa yang selalu didalam kesempitan, Insya Allah segala kesulitan atau kesempitan dalam soal apa pun akan hilang.

Barangsiapa yang kekal mewiridkannya tiap-tiap hari atau tiap-tiap selesai sembahyang fardhu yang lima waktu sebanyak 300 kali atau lebih, Insyaallah akan dikabul dan hebat baginya kekayaan dan kebesarannya, dan barangsiapa mengekalkan membacanya pada akhir sujud sembahyang dhuha sebanyak 40 kali, Insyaallah dimudahkan baginya kekayaan yang mudah dan hebat.

18. AR RAZZAQU : Yang Maha Memberi Rezeki.

KHASIATNYA: “Ya Razzaq!” dizikir mengikut kemampuan sesudah solat fardhu khususnya solat subuh, Insya Allah akan dipermudahkan rezeki yang halal & membawa berkat. Rezeki akan datang tanpa diduga!! tetapi perlulah dilakukan dengan ikhtiar yang zahir.

Barangsiapa yang mengekalkan membaca tiap-tiap hari 308 kali, Insyaallah ditunaikan hajatnya kepada raja dan pemerintah dan apabila berzikir 17 kali, Insyaallah ditunaikan hajatnya dan barangsiapa yang berzikir sebanyak 20 hari berturut-turut dan tiap-tiap hari 20 kali pada pagi sebelum makan dan minum, Insyaallah akan diberikan padanya faham yang dalam dan sempurna.


PERISTIWA-PERISTIWA PENTING BULAN RABIUL AWAL

Ada banyak peristiwa penting yang telah dicatatkan oleh sejarah jatuh bangunnya tamadun Islam di dalam bulan Rabiulawal ini dan diantaranya ialah;

1. Kelahiran junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw. Mengikut sumber-sumber mengatakan bahawa nabi lahir pada 12 Rabiul Awwal tahun gajah bersamaan 23 April 571M. Ini adalah sumber yang masyhur dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidurrasul pada 12 Rabiul Awwal di setiap tahun sehinggalah sekarang. Walau bagaimanapun ada sumber yang lain mengatakan bahawa nabi lahir pada 9 Rabiul Awwal tahun Gajah. Perbezaan pendapat ini akan disentuh lebih lanjut di bahagian Maulidur Rasul.

2. Perlantikan Nabi menjadi Rasul. Dibulan Rabiulawal inilah Nabi saw diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi saw berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.

3. Tarikh hijrah adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah pada ketika itu di sebut Yatsrib. Rasulullah sampai di Quba' pada hari Isnin 8 Rabiulawal dan Baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiulawal dan Baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama.

4. Banyak peperangan yang telah terjadi pada zaman Rasulullah saw diantara tentera Islam dan tentera kuffar. Diantara peperangan yang berlaku di bulan Rabiulawal ialah peperangan Safwan (Badar pertama), Bawat, Zi Amar (Ghatfan), Bani An-Nadhir, Daumatul Jandal dan peperangan Bani Lahyan.

5. Wafatnya junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw. Rasulullah telah wafat pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah ra dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.

6. Abu Bakar ra. menjadi khalifah Pada hari Rasulullah wafat, para sahabat tidak mahu menangguh urusan pentadbiran kerajaan dan segera membai'ah saidina Abu Bakar ra di Dewan Bani Sa'idah. Ini adalah kerana urusan pentadbiran negara tidak boleh terhenti walau seketika dan ia adalah nadi sesebuah kerajaan. Sebahagian sahabat pula menguruskan pengkebumian jenazah Rasulullah saw yang diketuai oleh Saidina Ali ra Ahli Bait Rasulullah saw.

7. Pembukaan Iraq : Tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid ra telah memasuki Iraq dan bermulalah pemerintahan Islam di bumi Iraq di zaman saidina Abu Bakar ra.

8. Pembukaan Baitul Muqaddis : Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada tahun 583 H.

9. Kejatuhan Empayar kerajaan Islam Sepanyol : Kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H. Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid-masjid ditukar menjadi gereja dan muzium dan tiada lagi suara azan di negara tersebut.

Masjid Haiga Sophia di Sepanyol yang telah ditukar menjadi muzium.

© Jabatan Mufti Melaka

http://www.al-azim.com/masjid/rabiulawal/home.htm


MAULIDUR RASUL

Kita perlu menghormati Rasulullah s.a.w. dan menerima Baginda sebagai seorang ketua untuk dituruti dan duta Allah kepada semua umat Islam.

Al-Ahzab [21] Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).

Nabi Muhammad s.a.w. juga tidak memperkatakan sesuatu mengikut hawa nafsunya, melainkan apa yang telah diwahyukan oleh Allah.

An-Najm [3] Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.[4] Segala yang diperkatakannya itu (samada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.

Diantara para nabi, Nabi Muhammadlah yang paling ramai umatnya kerana tempoh kenabiannya yang panjang semenjak 1500 tahun dahulu hingga sekarang. Salasilah para nabi dan rasul telah tamat dan ditutup selepas Baginda Mulia.

Ali-Imran [144] Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh).

Nabi Muhammad s.a.w berdakwah untuk sekelian alam sepertimana Allah juga tuhan sekelian alam.

Fatihah [2] Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang Memelihara dan Mentadbirkan sekalian alam.

Anbiya [107] Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

Isteri Rasulullah SAW, Aisyah pernah berkata: Maksudnya: Sesungguhnya akhlak Nabi ALLAH SAW adalah Al Quran. Berakhlaklah dengan akhlak Nabi iaitu akhlak Al Quran. Nabi mengamalkan setiap perkara dan akhlak baik yang disebut dalam Al Quran. [ ]

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/03/06/maulidur-rasul/

Friday, February 19, 2010

AL GHAFFAARU, AL QAHHAARU, IMAM GHAZALI DAN NABI MUSA, SEDIA AMAL SEBELUM MAUT, BADAL HAJI

Tazkirah Jumaat
19 Feb 2010 (5 RABIUL AWAL 1431H)


FADHILAT ASMAUL HUSNA

15. AL GHAFFAARU Ertinya Maha Mengampuni

KHASIATNYA: ”Ya Ghaffaar!” sambil beri’tikaf (diam dalam masjid dalam keadaan suci) bacalah zikir ini sebanyak 100 x sambil menunggu masuknya waktu solat Jumaat, InsyaAllah akan diampunkan dosa-dosa kita.

16. AL QAHHAARU Ertinya Yang Maha Keras / Maha Menundukkan

KHASIATNYA: Apabila dibaca tiap-tiap hari dan malam sebanyak 306 kali atau lebih, InsyaAllah keluar dari hatinya cinta dunia dan kebesaran barang lain daripada Allah s.w.t. dan zahir baginya pertolongan Allah s.w.t. atas musuhnya & InsyaAllah orang-orang yang selalu memusuhi kita akan sedar & tunduk akhirnya.

Barangsiapa yang adanya hajat lalu berzikir 100 kali kemudian mengangkat kedua tangannya dan membuka akan kepalanya, Insyaallah ditunaikan hajatnya.


KISAH IMAM GHAZALI DAN NABI MUSA

Dalam sebuah hadith disebut “ulama-ulama dikalangan umatku seperti nabi-nabi Bani Israel”. Ertinya walaupun sudah tiada nabi selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w., namun ulama dikalangan umatnya tetap mendapat pahala sama seperti nabi dikalangan Bani Israel sekiranya mereka menjalankan tugas dengan baik.

Diceritakan bahawa Imam Ghazali (ulama dikalangan umat Nabi Muhammad s.a.w) pernah bertemu dengan Nabi Musa as (nabi dikalangan Bani Israel) di alam arwah.

Nabi Musa bertanya kepadanya ” Siapa namamu ?

“Imam Ghazali menjawab ” Namaku Muhammad bin Muhammad bin Muhammad Al Ghazali”.

Nabi Musa marah dan berkata kepadanya ” Saya tidak tanya nama bapamu dan datukmu, saya tanya siapa namamu”.

Imam Ghazali berkata ” Jika saya bersalah kepadamu saya minta maaf, tetapi kamu telah bersalah kepada Allah dan kamu tidak meminta maaf”.

Nabi Musa sangat terkejut dan berkata ” Apa salahku kepada Allah?”

Imam Ghazali menjawab ” bukankah Allah telah bertanya kepadamu : “Dan apa (bendanya) yang di tangan kananmu itu wahai Musa? (To-Ha:17) , seharusnya kamu cukup menjawab ditangan kananku adalah tongkat, tapi kamu menjawab panjang lebar:

Nabi Musa menjawab: Ini ialah tongkatku; aku bertekan atasnya semasa berjalan, dan aku memukul dengannya daun-daun kayu supaya gugur kepada kambing-kambingku dan ada lagi lain-lain keperluanku pada tongkat itu. (To-Ha:18)

Nabi Musa berkata “Tuhan itu adalah kekasih kita, maka aku mengambil peluang itu untuk bercakap panjang lebar dengannya. Imam Ghazali pula mengatakan “Begitulah aku, kamu juga adalah kekasih aku, maka aku juga mengambil kesempatan untuk bercakap panjang lebar denganmu”.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/02/08/kisah-imam-ghazali-dan-nabi-musa


SEDIA AMAL SEBELUM MAUT

Al-Munafiqun [10] Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya:

Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh.

Al-Munafiqun [11] Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan.

Allah maha mengetahui jika dilambatkan kematian pun mereka tetap tidak akan melakukan amal soleh. Di dalam ayat yang lain:

Al-Mukminun [99] Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia)

Al-Mukminun [100] Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan .

Tidak! Masakan dapat?

Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).

Az-Zumar [58] Atau berkata semasa dia melihat azab: Kalaulah aku dapat kembali ke dunia, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang mengerjakan kebaikan![59] (Kata-kata yang tersebut ditolak oleh Allah dengan firmanNya): Bahkan telahpun datang kepadamu ayat-ayat petunjukKu (melalui RasulKu), maka engkau telah mendustakannya serta engkau berlaku sombong angkuh mengenainya dan engkau telah menjadikan dirimu dari orang-orang yang kufur ingkar!


BADAL HAJI

Soalan: Bolehkah seseorang itu melakukan ibadat haji untuk ibu atau bapanya yang telah meninggal?

Jawapan: Ibadat haji boleh dilakukan untuk ibu atau bapanya samada yang telah mati ataupun yang masih hidup, ini dikenali sebagai badal haji. Di dalam mazhab Syafie, seorang yang hendak melakukan badal haji itu hendaklah melakukan ibadat haji bagi dirinya sendiri terlebih dahulu. Di dalam mazhab Hanafi pula tidak disyaratkan begitu.

“Seorang perempuan daripada puak Khath’am telah datang (menemui Rasulullah S.A.W.) dan bertanya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibadat haji telah difardhukan oleh Allah S.W.T. ke atas hamba-hamba-Nya ketika bapaku telah berusia lanjut dan tidak mampu lagi untuk berada di atas tunggangan (untuk bermusafir mengerjakan ibadat haji), adakah dia wajib menqadha’kannya dengan cara aku lakukan ibadat haji tersebut bagi pihaknya? Rasulullah S.A.W. bersabda: Ya.”

“Seorang perempuan daripada puak Juhainah telah datang menemui Rasulullah S.A.W. dan berkata: Sesungguhnya ibuku telah bernazar untuk mengerjakan ibadat haji, tetapi tidak sempat menunaikannya sebelum dia meninggal dunia, adakah aku boleh mengerjakan ibadat haji itu bagi pihaknya? Rasulullah S.A.W. bersabda: Ya, tunaikanlah ibadat haji itu bagi pihaknya. Apakah pandanganmu jika ibumu mempunyai hutang, sudah tentu kamu akan melangsaikan hutang tersebut (bagi pihaknya). Langsaikanlah hutang (dari segi ibadat) kepada Allah, sesungguhnya hutang kepada Allah adalah lebih patut untuk kamu langsaikan.” [ ]

Friday, February 12, 2010

AL BAARI, AL MUSAWWIR, Riak, Apabila Mati Seorang Manusia, Sembahyang Hubungan Dgn Allah

Tazkirah Jumaat
12 Feb 2010 (27 Safar 1431H)



FADHILAT ASMAUL HUSNA

13. AL BAARI-U Ertinya Yang Menerbitkan Makhluk/Yang Mengadakan Dari Tiada.

KHASIATNYA: Ya Baari’ Barangsiapa yang berzikir pada siang hari sebanyak 100 kali, Insyaallah ia akan selamat dari kebinasaan dan tidak akan merasa takut ia didalam kubur, dan barangsiapa berada didalam kesukaran atau sedang sakit, dibaca pada malam hari selama 7 malam berturut-turut dan pada tiap-tiap malam dibaca 100 kali, InsyaAllah kita akan terlepas dari kesukaran & sembuh dari penyakit tersebut.

14. AL MUSAWWIRU Ertinya Yang Merupakan Makhluk/Yang Membuat Bentuk.

KHASIATNYA: ”Ya Musawwir” sekiranya seorang isteri yang sudah lama belum mempunyai anak, maka cubalah ikhtiar ini dengan berpuasa selama 7 hari dari hari Ahad hingga Sabtu. Di waktu hendak berbuka puasa, ambil segelas air & dibacakan “Ya Musawwir” sebanyak 21 x, kemudian diminum air tersebut untuk berbuka puasa. Bagi suami, hendaklah berbuat perkara yang sama tetapi hanya dengan berpuasa selama 3 hari. Kemudian pada waktu hendak berjimak, bacalah zikir ini sebanyak 10 x, InsyaAllah akan dikurniakan anak yang soleh.

Barangsiapa yang berzikir sebanyak 336 kali atau lebih, maka InsyaAllah akan menjadi baik segala perbuatannya atau apa yang dikerjakannya.


RIAK

Riak dalam beribadah adalah satu daripada syirik kecil kerana sesorang itu menyembah Allah tetapi melakukan ibadah itu tidak 100 peratus kerana Allah. Riak boleh menghilangkan pahala ibadah seseorang.

Al-Kahfi [110] ….Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya

Semua ibadah adalah hak milik Allah kerana DIA yang mencipta dan menganjurkannya. Maka kita tidak boleh riak iaitu melakukan ibadah untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain, sepertimana dilakukan oleh golongan munafik.

An-Nisa [142]…. Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman) dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang). .

Orang Islam disuruh melakukan ibadah dengan niat yang ikhlas kerana Allah semata-mata. Ikhlas adalah perasaan hati. Kita tidak dibenarkan menggunakan ibadat kepada Allah untuk tujuan lain misalnya untuk menunjuk-nunjuk, inilah dinamakan riak.

Al-Bayyinah [5] Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan (hanya) supaya menyembah Allah S.W.T. dengan mengikhlaskan Ibadat kepadanya, lagi teguh di atas kesucian batin (Tauhid) dan seterus ayat tersebut.”

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/02/11/riak/


APABILA MATI SEORANG MANUSIA

Rasulullah SAW bersabda :“Apabila mati seorang manusia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara. Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang berdoa untuknya

Apabila kita meninggal dunia, terputuslah amalan kita secara praktikalnya kerana kita sudah tidak boleh beribadah lagi. Tiada lagi sembahyang, puasa dan lain-lain. Yang masih ada hanyalah tiga perkara itu.

Sedekah jariah ertinya, sedekah yang mengalir. Ertinya bahan sedekah kita itu, selama ia masih diguna dan dimanfaatkan, walaupun kita telah meninggal dunia, pahalanya tetap mengalir masuk dalam akaun kita. Contohnya, bersedekah untuk membina masjid, menderma sajadah, membeli buku pelajaran dan sebagainya.

Ilmu yang baik yang diperturunkan itu juga menjadi amal jariah (amal yang mengalir pahalanya walaupun setelah kita meninggal dunia) Begitu juga ilmu dan perbuatan yang tidak baik, seseorang menanggung dosa dari ilmu yang diajarnya atau kesan perbuatannya. Kata Imam Ghazali ” orang yang bernasib baik ialah orang yang dosanya berhenti setelah dia meninggal”

Yassin [12]…dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catatkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata

Perkara yang ketiga ialah anak soleh yang berdoa untuknya. Walaupun hadith ini cuma menyebut tentang anak yang berdoa untuk bapanya, ia tidak menafikan doa seorang anak untuk ibunya, datuknya, neneknya, doa di antara adik beradik dan doa seorang suami kepada isteri atau sebaliknya, sepertimana firman Allah yang mengajar kita supaya berdoa kepada para senior:

Hasyr [10] Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah belas kasihan dan rahmatMu.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/02/08/apabila-mati-seorang-manusia


SEMBAHYANG HUBUNGAN PERIBADI DENGAN ALLAH

Sembahyang itu adalah munajat, iaitu “personal contact” atau hubungan peribadi dengan Allah dan kontrak sembahyang wajib ialah 5 waktu sehari semalam. Nabi Musa perlu ke Bukit Thur untuk bermunajat kepada Allah. Umat Nabi Muhammad s.a.w. tidak perlu ke mana-mana kerana mereka boleh sembahyang di mana sahaja, walaupun di rumah masing-masing untuk bermunajat kepada Allah. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:“Sesungguhnya orang sedang sembahyang sedang munajat kepada Tuhannya ….. (diriwayatkan oleh Imam Ahmad).

Sembahyang adalah hubungan peribadi manusia dengan Allah (hablun minallah). Al-Ankabut [45]…..sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar.

Umat terdahulu cuma sembahyang dua waktu sehari semalam (sebelum naik matahari dan selepas jatuh matahari). Allah sayang kita umat Muhammad s.a.w., bagi kontrak solat 5 waktu. (seperti kontrak dunia, lagi banyak kerjanya, lagi banyak bayaran). Lebih banyak waktu sembahyang bererti lebih kerap kita menemui Allah dan lebih rapatlah hubungan peribadi dengan Allah. Seperti di dunia ini, manusia yang selalu bertemu dengan para VIP biasanya lebih rapat dengan mereka. Selain itu syurga juga dipenuhi oleh majoriti umat Muhammad s.a.w. [ ]

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/12/28/sembahyang-itu-hubungan-peribadi-manusia-dengan-allah/

Friday, February 5, 2010

AL-'AZIIZ, AL MUTAKABBIR, AL KHOOLIQ, IBLIS AZAZIL

Tazkirah Jumaat
5 Feb 2010 (20 Safar 1431H)


PEMBETULAN ARTIKEL MINGGU LEPAS

9. Ertinya Yang Mengalahkan/ Menundukkan/Maha Mulia/Perkasa

KHASIATNYA: “Ya ‘Aziiz!” apabila dizikirkan sebanyak 40 x sesudah solat subuh, InsyaAllah, kita akan menjadi orang yang mulia, disegani orang kerana penuh kewibawaan. Barangsiapa yang berzikir sebanyak 40 kali tiap-tiap hari selama 40 hari dan yang lebih baik dibaca setelah sembahyang Subuh, Insyaallah akan dikayakan dan dimuliakan oleh Allah s.w.t. dan tidak dihajatkan dia kepada seseorang dari makhlukNya.

Terdapat kesilapan pada artikel minggu lepas mengenai erti Al-’Aziiz dan yang betul adalah seperti yang tertera di atas. Pihak kami memohon maaf atas ralat ini.


ASMAUL HUSNA

11. Al Mutakabbir ertinya Yang Mempunyai Kebesaran.

Lafadz ini mempunyai khasiat yang sangat besar dan banyak sekali jika kita mengamalkannya. Oleh karena itu jika kita mau membaca lafadz Yaa Mutakabbir sebanyak 662 kali sungguh menjadi tunduklah musuh-musuh kita atau siapa saja yang anti kepada kita. Kemudian jika lafadz ini kita baca sewaktu akan bersetubuh dengan isteri, sungguh jika akan menjadi anak maka akan menjadi anak yang shalih dan shalihah. Amiin.

12. Al Khooliq ertinya Maha Pencipta

Jika kita kehilangan barang, dan agar barang itu dapat ketemu dan kembali lagi kepada kita, maka lakukanlah shalat sunnah 2 rakaat lalu bacalah Yaa Khooliq sebanyak 5000 kali. Insya Allah berkat pertolongan Tuhan Yang Maha Kuasa barang yang hilang itu akan kembali.

Bila kekasih, anak atau isteri kita meninggalkan rumah tanpa khabar, agar mereka itu kembali lagi kepada kita, Bacalah Yaa Khooliq sebanyak 5000 kali. Insya Allah Tuhan Yang Maha Kuasa menggerakkan hati mereka, dan mereka akan kembali lagi.

Dibaca mengikut kemampuan atau sebanyak 731x, InsyaAllah yang ingin otak cerdas, cepat menerima sesuatu pelajaran , amalan ini akan memberikan otak kita cerdas dan cepat tangkap (faham).


IBLIS AZAZIL

Azazil bukanlah malaikat, ia adalah iblis yang asalnya dari golongan jin yang kuat beribadat.

Al-Kahf [50] Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; lalu mereka sujud melainkan iblis; dia adalah berasal dari golongan jin…

Iblis pada mulanya bernama Azazil dan tinggal di bumi. Azazil adalah jin yang taat kepada Allah. Dia menyembah Allah selama 1000 tahun, lalu Allah swt mengangkatnya ke langit pertama. Di langit pertama, Azazil beribadah menyembah Allah swt selama 1000 tahun. Kemudian dia diangkat ke langit kedua. Begitu seterusnya hingga akhirnya dia diangkat menjadi imam kepada para malaikat. Apa pun perintah Allah kepada malaikat juga adalah perintah baginya, kerana dialah imam para malaikat yang memimpin malaikat.

Azazil adalah imam kepada kepada seluruh malaikat. Ibadahnya kepada Allah banyak. Ada riwayat yang menyatakan Azazil beribadah kepada Allah selama 80,000 tahun dan tiada tempat di dunia ini yang tidak dijadikan tempat sujudnya ke hadrat Allah.

Dalam satu riwayat menceritakan, akan malaikat Israfil melihat yang tersurat di Loh Mahfuz ada tercatat satu suratan berkenaan :

“Adanya satu hamba Allah yang beribadah selama 80,000 tahun tetapi hanya kerana satu kesalahan, maka ibadah hamba itu tidak diterima Allah dan hamba itu terlaknat sehingga hari Kiamat”

Maka menangislah Israfil kerana bimbang makhluk yang tersurat di Loh Mahfuz itu adalah dirinya. Maka diceritakanlah Israfil kepada segala malaikat pengalamannya melihat apa yang tersurat di Loh Mahfuz. Maka menangislah sekelian malaikat kerana takut dan bimbang nasib mereka. Lalu kesemua malaikat datang menemui Azazil yang menjadi imam kepada para malaikat, agar Azazil akan mendoakan keselamatan dunia dan akhirat kepada seluruh malaikat. Azazil pun mendoakan keselamatan di dunia dan akhirat kepada seluruh malaikat dengan doa :

“Ya Allah, Janganlah ENGKAU murka terhadap mereka (para malaikat)”

Malangnya, Azazil lupa untuk mendoakan keselamatan untuk dirinya. Selepas mendoakan kesemua para malaikat, Azazil terus menuju ke syurga. Di atas pintu syurga, Azazil terlihat suratan yang menyatakan :

“Ada satu hamba dari kalangan hamba-hamba Allah yang muqarrabin yang telah diperintahkan Allah untuk membuat satu tugasan, tapi hamba tersebut mengengkari perintah Allah. Lalu dia tergolong dalam golongan yang sesat dan terlaknat”

Lalu Allah Menciptakan Adam a.s., dan memerintahkan malaikat untuk sujud menghormat kepada Adam a.s. Azazil, sebagai imam para malaikat, sepatutnya lebih dahulu bersujud memimpin para malaikat. Tetapi, dia menolak, kerana dia merasa bahawa dirinya lebih baik dari pada Adam. Sementara para malaikat lain terus sujud tanpa dipimpin oleh Azazil.

Bukan sahaja dia enggan sujud, malah sombong dan menjawab kepada Allah :-

Israa [61] Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: Sujudlah kamu kepada Adam; maka mereka sujudlah melainkan iblis; dia berkata: Patutkah aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)?

Keengganan sujud ini berpunca dari hasad dengki iblis@Azazil, yang irihati apabila Allah hendak melantik nabi Adam sebagai khalifah di bumi kerana ia dijadikan dari api sedangkan manusia dijadikan dari tanah yang busuk dan melekat. Ia derhaka kepada Allah, takabbur dan lupa daratan.

Maka terhalaulah Azazil dari syurga. Namanya diubah kepada Iblis. Apabila Iblis diturunkan ke bumi, dia berjanji akan menyesatkan manusia serta keturunannya.

Israa [62] Dia berkata lagi: Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan memancing menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di antaranya).

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/02/02/iblis-azazil/


KATA HIKMAH

Banyak hal yang kita sebut sebagai was-was untuk bertindak seringkali dapat diubah menjadi kejayaan dan keuntungan, hanya dengan mengubah sedikit sahaja sikap dalam diri seseorang daripada rasa takut bertukar untuk berjuang. [ ]