Tazkirah Jumaat
22 Okt. 2010 (14 Zulkaedah 1431H)
22 Okt. 2010 (14 Zulkaedah 1431H)
FADHILAT ASMAUL HUSNA
85. DZUL JALAALI WAL IKRAAMI Ertinya Zat yang mempunyai Ketinggian Kemuliaan yang Sempurna.
“Ya Dzul Jalaali wal Ikraam!” Amalkanlah zikir ini sebanyak 65 x setiap hari selama sebulan, InsyaAllah segala hajat kita akan tercapai dengan pertolongan Allah.
86. AL-MUQSITH Ertinya Maha Mengadili
“Ya Muqsith!” Berzikirlah dengan zikir ini mengikut kemampuan, InsyaAllah Tuhan akan menganugerahkan sifat adil kepada mereka yang mengamalkannya.
SEGALA PERKATAAN NABI ADALAH BENAR
Dari Abdullah bin Umar r.a., katanya: Biasanya aku menulis segala yang aku dengar dari Nabi s.a.w. dengan tujuan hendak menghafaznya, lalu dilarang oleh orang-orang Quraisy serta berkata: “Patutkah engkau menulis segala yang engkau dengar, sedang Rasulullah s.a.w. seorang manusia yang bercakap dalam masa marah dan dalam masa suka? ” Setelah itu aku pun berhenti dan menulis, kemudian aku menyebutkan hal itu kepada Rasulullah s.a.w., lalu Baginda menunjuk kepada mulutnya dengan jarinya sambil bersabda: “Tulislah, kerana demi Tuhan yang diriku dalam kekuasaanNya, tidak keluar dari mulutku ini melainkan yang benar. ” (Abu Daud)
Pada permulaan Islam Rasulullah s.a.w. melarang percakapannya ditulis kerana bimbang sahabat keliru di antara hadith dan ayat quran. Namun akhirnya setelah Islam semakin mantap, baginda mengizinkan sahabat menulisnya.
Nabi Muhammad s.a.w. bersifat Siddik iaitu Baginda hanya mengatakan apa yang benar dan tidak memperkatakan sesuatu mengikut hawa nafsunya, melainkan apa yang telah diwahyukan oleh Allah.
An-Najm [3] Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.[4] Segala yang diperkatakannya itu (samada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya
Hadith tidak bercanggah dengan quran, cuma kadangkala terdapat kesalahan dalam memahaminya. Selain itu terdapat perubahan dalam hadith setelah hukum-hakam Islam dimantapkan. Misalnya dipermulaan Islam dibenarkan bercakap-cakap dalam sembahyang namun akhirnya ia dibatalkan. Dipermulaan Islam, dibenarkan orang yang belum sembahyang boleh bertanya bilangan rakaat kepada orang yang sedang sembahyang dan dibenarkan mereka menjawab pertanyaan itu. Selain itu ada juga hadith yang tidak dibatalkan tetapi ditinggalkan (tidak diamalkan) oleh Rasululllah s.a.w. misalnya bacaan qunut dalam sembahyang Subuh. Tidaklah menjadi kesalahan sekiranya dibaca qunut kerana hadith tentang qunut tidaklah dibatalkan oleh hadith yang lain.
Hadith menerangkan dan menjelaskan ayat-ayat quran. Misalnya hadith menerangkan cara sembahyang secara terperinci misalnya tentang bacaan tahiyyat, bacaan fatihah dalam sembahyang, sedangkan quran cuma menyebut tentang sujud, rukuk dan membaca apa-apa ayat quran sebagai bacaan dalam sembahyang.
http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/10/19/segala-perkataan-nabi-adalah-benar/
KALIMAH ZIKIR YANG RINGKAS TETAPI PADAT
Dalam sebuah riwayat diceritakan bahawa Nabi Musa telah berdialog dengan Allah. Dalam dialog itu Nabi Musa berkata: Ya Allah, ajarlah kami satu kalimah yang dapat kami gunakan untuk berzikir dan berdoa kepadaMu.
Jawab Allah: ucapkanlah “Lailaha illallah...” Wahai Musa. Maka kata Nabi Musa : Semua umatmu sudah mengucapkan kalimah itu wahai tuhan
Jawab Allah : Wahai Musa, andaikan langit yang tujuh beserta seluruh penghuninya, dan bumi yang tujuh ditimbang dengan kalimah “Lailaha illallah, nescaya masih berat “Lailaha illallah“
Zikir yang terbaik ialah Kalimatul Hak iaitu “La ila ha illallah sepertimana maksud hadith: Dari Ibnu Abbas Radiallahu-Anhuma bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Demi yang diriku ditangannya (kekuasaannya), jika sekiranya segala langit dan bumi dan siapa yang ada padanya dan apa-apa yang ada di antaranya dan apa-apa yang ada di bawahnya diletakkan disebelah dacing dan kalimah La Ilaha Illallah disebelah yang lain, maka dacing kalimah (La Ilaha Illallah) itulah yang lebih berat”. (Riwayat Al-Imam At-Thabrani)
Kalimatul hak itu menunjukkan keesaan Allah. Kalau ada tuhan selain Allah, maka kita juga terpaksa memenuhi perintah tuhan yang lain. Jikalau ada 2 atau 3 tuhan (selain Allah), matilah kita bila tuhan-tuhan itu berperang antara satu sama lain.
Al-Anbiyaa [22] Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan.
http://nasbunnuraini.wordpress.com/2010/05/10/kalimah-zikir-yang-ringkas-tetapi-padat/
RENUNGAN : BERISTIQAMAHLAH DALAM BERAMAL
Hanya mukmin yang berkedudukan tinggi dapat istiqamah dalam memelihara wudhu’nya. Mereka ini akan mengulangi wudhu’ sekiranya terbatal dan sentiasa dalam keadaan berwuduk. Amalan yang berterusan walaupun sedikit adalah perkara yang disukai oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Sebagaimana di dalam hadis ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata yang maksudnya: ”Ditanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang amalan-amalan yang disukai oleh Allah. Baginda bersabda: “Amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Hadis riwayat Bukhari) [ ]
No comments:
Post a Comment