Thursday, January 29, 2009

TJ : FADHILAT ZIKIR (DIPETIK DARIPADA KITAB FADHAIL AMAL) BAHAGIAN 4/4, KESAN ZIKIR TERHADAP OTAK, KUTIPAN DANA UTK GAZA, SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1430

Tazkirah Jumaat
30 Jan. 2009 (3 Safar 1430)

FADHILAT ZIKIR (DIPETIK DARIPADA KITAB FADHAIL AMAL) BAHAGIAN 4/4

57. Zikir adalah pengganti kepada ibadat-ibadat nafilah (ibadat-ibadat sunat). Sebagaimana yang diriwayatkan di dalam sebuah hadis bahawa segolongan orang-orang miskin datang lalu merayu hal mereka kepada baginda Rasulullah s.a.w. dengan berkata:-

"Ya Rasulullah, saudara kami yang berharta benda telah meningkat darjat yang setinggi-tingginya disebabkan harta kekayaan mereka. Mereka bersembahyang seperti kami bersembahyang, mereka berpuasa seperti kami berpuasa tetapi kerana harta kekayaan, mereka telah mendahului kami dengan mengerjakan haji, umrah, jihad dan lain-lainnya." Sebagai menjawab, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Mahukah kamu sekelian ku ajarkan sesuatu untuk mencapai yang mendahului dan untuk mendahului sesudah kamu sehingga tiadalah lagi seorang pun yang lebih afzal daripada kamu kecuali orang yang berbuat seperti yang kamu perbuat?"

Selanjutnya baginda Rasulullah s.a.w. bersabda:-"Bacalah kamu sekalian: SUBHANALLAHI ALHAMDULILLAHI ALLAHUAKBAR, selepas tiap-tiap sembahyang (masaalah ini akan dijelaskan dengan panjang lebar dalam menghuraikan hadis yang ketujuh yang termuat dalam fasal kedua dari bab ketiga risalah ini)."

Ini menunjukkan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. menganggapkan zikir ini sebagai pengganti haji, umrah, jihad, dan lain-lainnya (bagi orang-orang yang tidak berada).

58. Zikir adalah pendorong bagi ibadat-ibadat yang lain. Dengan berzikir sebanyak-banyaknya maka ibadat-ibadat yang lain itu menjadi mudah dan senang dan kelazatan ibadat-ibadat itu pun dirasai benar, oleh itu semua ibadat itu dapat dikerjakan tanpa keberatan dan kesukaran apa-apa.

59. Dengan berzikir semua keberatan akan berubah menjadi ringan. Setiap kesukaran akan berubah menjadi senang. Setiap bebanan menjadi ringan dan semua bala bencana akan terlenyap.

60. Lantaran zikirlah maka segala rupa ketakutan dan kebimbangan akan terhindar. Zikrullah adalah mempunyai kuasa yang terkhas untuk melahirkan ketenteraman dan untuk melenyapkan ketakutan. lanya mempunyai kesan yang teristimewa di mana semakin berzikir sebanyak-banyaknya semakin itulah akan mencapai ketenteraman dan akan lenyap ketakutan.

61. Zikir adalah melahirkan kekuatan dan tenaga yang terkhas pada manusia. Maka dengan kekuatan itu ia dapat menyelenggarakan urusan-urusan yang agak sukar. Ketika Siti Fatimah r.a. puteri baginda Rasulullah s.a.w. merayukan halnya kepada baginda dengan berkata:
"Ya Rasulullah, berikan kepadaku seorang hamba (khadam) agar aku dapat mengatasi kesukaran-kesukaran yang ku alami dalam menyelenggarakan urusan-urusan rumah-tangga ku." Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Hendaklah kau ucapkan: SUBHANALLAHI sebanyak 33 kali ALHAMDULILLAHI sebanyak 33 kali dan ALLAHU AKBAR sebanyak 34 kali sebelum tidur di malam hari."
Lantas baginda Rasulullah s.a.w. bersabda lagi: "Ini lebih baik bagimu daripada khadam yang kau mintakan itu."

62. Pemberes urusan-urusan keakhiratan adalah dahulu-mendahului di antara satu dengan yang lain dan di dalam mendahului ini yang kelihatan di hadapan sekali ialah orang-orang yang berzikir. Diriwayatkan dari Omar Khadam Ghufrah rah.a. katanya bahawa apabila amal perbuatan manusia diganjari pada hari Kiamat maka sebahagian besar dari manusia akan menyesal sambil berkata:

"Alangkah bagusnya jika dahulunya kita memperbanyakkan amalan yang ringan dan mudah sekali iaitu zikir."

Di dalam sebuah hadis ada dilapurkan baginda Rasulullah s.a.w. sebagai bersabda: "Telah mendahului mereka yang mufarrid." Para Sahabat bertanya: "Siapakah yang mufarrid itu, Ya Rasulullah?" Baginda menjawab: "Mereka yang mengingati Allah sebanyak-banyaknya kerana zikir adalah meringankan bebanan mereka."

63. Allah s.w.t. sendiri membenarkan dan menguji orang-orang yang berzikir. Orang-orang yang dibenarkan oleh Allah s.w.t. itu tidaklah akan dibangkitkan bersama-sama orang-orang yang dusta. Di dalam sebuah hadis ada disebutkan bahawa apabila seorang hamba mengucapkan: LAILA HAILLAHU WALLAHU AKBAR maka Allah s.w.t. berfirman: "Benarlah ucapan hambaKu bahawa tiada Tuhan melainkan Aku dan Akulah Maha Besar."

64. Zikir adalah menyebabkan terbinanya rumah di dalam syurga. Apabila seseorang hamba berhenti daripada berzikir maka para malaikat berhenti daripada membina rumah itu. Manakala mereka ditanyakan, "Mengapakah kamu berhenti daripada membina rumah itu?" Mereka menjawab bahawa perbelanjaannya belum lagi tiba. Di dalam sebuah hadis lagi ada disebutkan bahawa barang-siapa mengucapkan, SUBHANALLAHI WABIHAMDIHI SUBJHANALLAH HILAZIM sebanyak tujuh kali nescaya dibinakan satu menara untuknya di dalam syurga.

65. Zikir adalah perisai atau pendinding bagi neraka jahanam. Barang-siapa yang dimasukkan ke dalam neraka amal perbuatannya yang tidak baik maka zikirnya itu menjadi pendinding di antaranya dengan neraka jahanam. Semakin banyak berzikir dibuat maka semakin kuatlah pendinding itu.

66. Para malaikat beristighfar bagi orang yang berzikir. Diberitakan kepada Amar bin 'Aas r.a. yang beliau meriwayatkan bahawa apabila seseorang hamba mengucapkan SUBHANALLAHI WABIHAMDIHI atau ALHAMDULLILLAHI RABBIL 'ALAMIIN maka para malaikat berkata, "Ya Allah, ampunilah dia" (dan termaklum bahawa doa para malaikat itu tidak ditolak malahan terus dikabulkanNya).

67. Jika seseorang yang berzikir di atas sebuah gunung atau di tanah datar maka tempat tersebut akan merasa amat bangga. Di dalam sebuah hadis ada diberitakan bahawa gunung-gunung bertanya-tanyakan di antara satu dengan yang lain bahawa hari ini adalah seseorang yang berzikir itu melalui di atas kau. Jika diberitahukan, "Ya, ada yang melalui maka ia berasa gembira lagi bangga.

68. Memperbanyakkan zikir merupakan sijil bagi kelepasan dari kemunafikin. Di dalam menerangkan tanda bagi orang munafikin, Allah s.w.t. telah berfirman: LAA YAZKURUNALLAAHA ILLAA QALIILAA ertinya: "Mereka tiada mengingati Allah melainkan sedikit." Ka'ab Akhbar r.a. berkata: "Barang-siapa berzikir sebanyak-banyaknya terpelihara ia daripada kemunafikan."

69. Berbanding dengan amalan-amalan yang baik maka zikir mempunyai suatu kelazatan yang tidak didapati pada amalan-amalan yang lain. Jika zikir tidak mempunyai satu fazilat pun selain daripada kelazatan tadi maka memadailah ia. Malik bin Dinar rah.a. berkata bahawa seseorang tidak akan berasa lazat dari suatu apa pun seperti kelazatan zikir.

70. Pada wajah orang yang berzikir itu didapati kegembiraan di dunia ini dan akan kelihatan nur padanya di hari kiamat.

71. Barang-siapa mengingati Allah sebanyak-banyaknya ditengah-tengah jalan, dirumah, di dalam safar dan ketika berada di kampung maka ia akan mempunyai pembela-pembela yang ramai sekali di hari hisab kelak.

Di dalam menerangkan keadaan hari Kiamat, Allah s.w.t. berfirman: YAUMA IZIN TUHADDISU AKHBAARAHAA - ertinya: "Pada hari itu (yakni pada hari kiamat) bumi menceritakan berita-beritanya." Baginda Rasulullah s.a.w. bertanya kepada para sahabat: "Tahukah kamu berita-berita bumi itu?"

Mereka menjawab: "Tidak, kami tidak tahu, Ya Rasulullah s.a.w." Baginda Rasulullah bersabda: "Pekerjaan-pekerjaan yang dibuat oleh lelaki atau wanita (samada pekerjaan yang baik ataupun yang buruk) dipermukaan bumi ini, maka bumi akan menceritakan bahawa sifulan pernah melakukan sekian-sekian perbuatan disekian tempat dipermukaannya pada sekian masa. Oleh itu orang-orang yang berzikir sebanyak-banyaknya di tempat-tempat yang berlainan maka dia akan mempunyai saksi yang banyak di hari hisab nanti."

72. Selama lidah sibuk dengan berzikir maka selama itulah ia terpelihara daripada perbicaraan yang sia-sia, berdusta mengumpat dan sebagainya. Kerana lidah itu sememangnya tidak bisa diam, ia akan sibuk dengan berzikir kalau tidak sudah tentu dengan kesia-siaan. Demikian juga halnya hati jika ia tidak sibuk dengan mencintai Khaliq maka sudah tentu ia sibuk dengan mencintai makhluk.

73. Syaitan adalah musuh manusia yang nyata. Ia mencampakkan manusia di dalam kancah kerunsingan dan kegelisahan dengan berbagai cara. la juga mengerumuni mereka dari setiap penjuru. Orang yang halnya sedemikian rupa senantiasa berada ditengah-tengah lingkungan para musuh yang mana tiap-tiap seorang daripadanya ingin menimpakan ke atasnya penderitaan demi penderitaan. Maka tiadalah apa-apa untuk mematahkan serangan-serangan musuh itu melainkan zikrullah. Ada banyak hadis-hadis yang mengandungi doa-doa yang mana dengan membacanya syaitan tiada akan mendekati dan dengan membacanya sebelum tidur maka terpeliharalah dari serangan musuh-musuh itu semalam-malaman. Hafiz Ibnu Kaiyim rah.a. juga menukilkan doa-doa yang serupa itu. Selain daripadanya beliau memuatkan penerangan pembahagian zikir serta fazilat-fazilatnya yang tertentu di dalam enam bab. Sesudah itu beliau menyusun doa-doa yang harus dibaca pada masa-masa yang tertentu di dalam tujuhpuluh lima fasal. Doa-doa itu kami tidak nukilkan kerana khuatir risalah ini akan terlebih dari yang dianggarkan.

Yang telah diterangkan itu memadailah bagi mereka yang mendapat taufik untuk mengamal dan bagi mereka yang tidak mendapat taufik maka beribu-ribu fazilat pun tidaklah berguna sama sekali.

WAMAA TAUFIIQII ILLAA BILLAAH 'ALAIHI TAWAKKALTU WA ILAIHI UNIB.


KESAN ZIKIR TERHADAP OTAK MANUSIA

Otak hanyalah aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna. Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain. Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas.

Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan. Otak mula memahami perkara baru, melihat dari sudut perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedang sebelum berzikir otak tidak begini. Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.

Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993. satu kajian yang dilakukan di Universiti Washington dan ujian ini dilakukan melalui ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar. Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan. Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks.

Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang-ulang kali, aktiviti saraf otak merebak pada kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain. Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama. Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya.

Ketika saintis Barat baru menemui mukjizat ini, kita sebagai umat Islam terpilih ini telah lama mengamalkannya dan menerima manfaatnya. Malang bagi mereka yang masih memandang enteng kepentingan berzikir dan mengabaikannya.

http://amalan-harian.blogspot.com/2008/12/kesan-zikir-terhadap-otak-manusia.html


KUTIPAN DANA UNTUK GAZA

Tabung 1 untuk RM1 hingga tabung 10 untuk RM10 SMSkan ke 32776. Dermalah dengan ikhlas atas nama kemanusiaan dan ajak keluarga dan kawan-kawan untuk menyumbang sama. Mungkin satu sen sumbangan anda dapat menyelamatkan nyawa anak Palestin.

SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1430 PERINGKAT DAERAH RANAU

Muslimin dan muslimat dijemput ke Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Ranau pada 3 Februari 2009 (Selasa), jam 8.00 pagi. Dirasmikan oleh YB. Datuk Hj. Masidi Manjun, Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah. [ ]

Friday, January 23, 2009

Tazkirah Edisi Khas : SOLAT SUNAT GERHANA

AJK Masjid Jamek Kundasang menjemput orang ramai untuk sama-sama menunaikan Solat Sunat Gerhana pada hari Isnin 26 Januari 2009, pukul 4.30 petang. Berikut adalah info dan Tazkirah Edisi Khas mengenai Gerhana Matahari

GERHANA MATAHARI


Gerhana matahari berlaku apabila kedudukan bulan terletak di antara bumi dan matahari oleh itu menutup cahaya matahari. Walaupun bulan lebih kecil, bayangan bulan mampu melindungi cahaya matahari sepenuhnya kerana bulan dengan purata jarak 384,400 kilometer adalah lebih dekat kepada bumi berbanding matahari yang mempunyai jarak purata 149,680,000 kilometer.

Gerhana matahari boleh dibahagi kepada 3 iaitu gerhana penuh, gerhana separuh, dan gerhana analus. Gerhana penuh apabila matahari ditutup sepenuhnya oleh bulan disebabkan bulan berada dekat ke bumi dalam orbit bujurnya, gerhana separuh apabila bulan hanya menutup sebahagian daripada matahari, dan gerhana analus yang terjadi apabila bulan hanya menutup sebahagian daripada matahari dan cahaya matahari selebihnya membentuk cincin bercahaya sekeliling bayangan bulan yang dikenali sebagai 'corona'.

Gerhana matahari berlaku selama 7 minit 30 saat pada tempat yang paling lama. Ketika gerhana matahari, orang ramai dilarang melihat ke arah matahari secara langsung kerana ini boleh merosakkan mata dan mengakibatkan buta.


Bagi mereka yang beragama Islam, mereka digalakkan untuk melakukan Solat Sunat Gerhana ketika berlakunya gerhana.


SOLAT SUNAT GERHANA


Solat Sunat Gerhana atau juga dikenali sebagai solat sunat Kusuf atau Solat Khusuf merupakan solat yang didirikan sewaktu terjadi gerhana bulan atau matahari.

Definisi Kusuf dan Khusuf

Kusuf dari segi bahasa bermaksud terlindungnya cahaya matahari samada terlindungnya itu dalam bentuk juzu'nya atau keseluruhannya. Khusuf pula mutlak digunakan untuk lindungan cahaya bulan secara juzu' atau pun keseluruhannya. Ramai ulama' yang menyatakan bahawa kedua-dua kalimah itu boleh digunakan untuk kedua-duanya sekali samada gerhana bulan atau pun matahari.

Hukum Solat Gerhana Matahari

Hukumnya adalah sunat muakkadah atau pun sunat yang digalakkan.

Ini berdasarkan daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermakna : Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana kematiaan seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya. Maka apabila kamu melihat perkara itu maka sembahyanglah dan berdoalah sehingga kembali terang (hilang gerhana) apa dengan kamu.

Hadis ini keluar daripada mulut Rasulullah saw pada hari kematian anak lelakinya Ibrahim di mana ramai orang mendakwa bahawa kematian Ibrahim inilah yang menyebabkan matahari bersedih sehingga berlakunya gerhana. Mengikut kepercayaan mereka ketika jahiliah di mana apabila berlakunya gerhana matahari atau pun bulan maka mereka beranggapan bahawa berlakunya sesuatu gerhana disebabkan kematian seseorang yang besar dan mulia.

Rasulullah saw telah menyangkal kefahaman karut ini lalu bersabda sebagaimana tersebut. Begitulah juga dengan kebanyakan kita hari ini yang mana mereka bukan bersegera untuk solat gerhana apabila berlakunya sesuatu gerhana tetapi sebaliknya mencari sesuatu untuk memukul pangkal-pangkal pokok buahan supaya berbuah lebat. Perkara ini jika melibatkan kepercayaan yang berlawan dengan kekuasaan Allah dalam membuat sesuatu boleh membawa kepada syirik.

Gerhana Penuh Matahari

Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami'ah!! (Solat berjemaah)

Niatnya : "Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta'ala" - (Jika berimam) ataupun "Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Ta'ala" - (Jika solat seorang diri)

http://ms.wikipedia.org/wiki/Gerhana_matahari
http://ms.wikipedia.org/wiki/Solat_Sunat_Gerhana


HIKMAH DAN SEBAB GERHANA


Terdapat beberapa sebab dan hikmah mengapa Allah menciptakan kejadian ini. Antaranya yang dijelaskan oleh para Ulama ialah, Allah mahu menakut-nakutkan hambanya dan membuktikan bahawa Bulan dan Matahari tidak lebih dari kekuasaan-Nya. Abu Musa ada menyebut bahawa tanda-tanda ini ialah disebabkan Allah mahu menakutkan para hamba-Nya. Kata beliau, "Tanda-tanda yang Allah kirimkan ini bukanlah karena kematian atau kehidupan seseorang, tetapi Allah sedang manakut-nakutkan hamba-hamba-Nya dengannya, maka jika kalian melihat sesuatu yang demikian itu, bersegeralah untuk mengingat Allah, berdo’a dan meminta ampun kepada-Nya"[2].

Selain daripada menakutkan para hamba-Nya, menurut Imam Ibrahim al-Baijuri, antara hikmah berlakunya fenomena gerhana ialah sebagai peringatan kepada golongan penyembah matahari dan bulan bahawa kedua-dua matahari dan bulan adalah makhluk yang tunduk dan patuh pada kekuasaan Allah. Jika kedua-duanya adalah tuhan sebagaimana dakwaan mereka, nescaya akan menjaga dirinya daripada kekurangan, lalu mengapakah cahayanya boleh hilang seketika?

http://www.yussamir.com/2008/08/solat-sunat-gerhana-sunnah-yang.html

Solat Sunat Gerhana telah dilaksanakan pada pukul 4.45 petang. Imam : Ustaz Radzi

4.30 pm : Tazkirah
4.45 pm : Solat Sunat Gerhana (ditunaikan sebanyak 2 rakaat, 4 x bacaan fatihah dengan 4 kali Rukuk). Jemaah lebih kurang 40 orang.
4.50 pm : Khutbah solat sunat Gerhana
5.00 pm : Ujian telur berdiri semasa gerhana matahari.

TJ : FADHILAT ZIKIR (DIPETIK DARIPADA KITAB FADHAIL AMAL) BAHAGIAN 3/4, WAKAF AL QURAN

Tazkirah Jumaat
23 Jan. 2009 (26 Muharram 1430)

FADHILAT ZIKIR (DIPETIK DARIPADA KITAB FADHAIL AMAL) BAHAGIAN 3/4

37. Zikir adalah intisari ilmu tasauf yang diamalkan oleh setiap ahli Tariqat. Jika telah terbuka pintu zikir bagi seseorang bererti telah terbuka baginya jalan yang menuju kepada Allah. Barang siapa yang telah menuju kepada Allah nescaya ia telah mendapat segala-gala yang dikehendakinya kerana tidak berkurangan apa-apa pada khazanah Ilahi.

38. Pada hati manusia ada suatu bahagian yang tidak subur melainkan dengan zikrullah. Apabila zikir telah menguasai hati maka bukan ia menyubur bahagian hati itu sahaja bahkan ia menjadikan orang yang berzikir itu hidup dengan makmur walaupun ia tiada berharta benda, memuliakannya walaupun ia tidak berkeluarga dan menjadikannya penguasa walaupun ia tidak mempunyai kerajaan. Dan sebaliknya orang yang lalai daripada zikir pasti ia akan dihinakannya walaupun ia mempunyai harta benda, kaum keluarga dan kerajaan yang besar.

39. Zikir adalah menghimpunkan kembali yang telah bercerai dan menceraikan yang telah terhimpun, mendekatkan yang jauh dan menjauhkan yang dekat. Yakni hati manusia yang diselubungi oleh berbagai-bagai keraguan, dukacita dan kegelisahan, itu semuanya dilenyapkan sama sekali dan dilahirkan ketenteraman dan ketenangan jiwa. Dan hati atau jiwa manusia yang dikuasai oleh perbuatan-per-buatan yang keji itu dibersihkan. Dan manusia yang senantiasa digoda dan dikuasai oleh tentera-tentera syaitan itu diceraikan daripadanya. Dan akhirat yang jauh itu didekatkan dan dunia yang dekat itu dijauhkan dari jiwa manusia.

40. Zikir adalah menggerakkan hati manusia daripada tidur dan menyedarkannya daripada lalai. Selagi hati dan jiwa manusia tidak sedar maka selama itulah ia mengalami kerugian demi kerugian.

41. Zikir merupakan suatu pohon yang setiap masa mendatangkan buah makrifat. Menurut istilah ulama-ulama tasauf pohon itu mendatangkan buah ahwal dan makamat. Semakin zikir itu diperbanyakkan semakin akar pohon itu terkukuh, semakin akar-nya kukuh semakin pohon itu mengeluarkan buah-buahannya.

42. Zikir adalah mendekatkan kepada dzat yang zikirnya, dikerjakan sehingga mendapat penyertaan dengan-Nya. Sebagaimana diterang di dalam Al-Quran: INNALLAAHA MA-'ALLAZIINATTAQAU -ertinya: sesungguhnya Allah s.w.t. berserta orang-orang yang bertaqwa."

Diterangkan di dalam satu hadis Qudsi: ANA MA'A 'ABDII MAA ZAKARANII - ertinya: "Adalah Aku menyertai hambaKu selama ia mengingati Aku." Di dalam sebuah hadis ada disebutkan bahawa Tuhan berfirman: "Orang yang mengingati Aku itu adalah orang Aku, Aku tidak menjauhkannya daripada rahmatKu. Jika mereka bertaubat dari dosa-dosa mereka maka Aku menjadi kekasih bagi mereka tetapi sebaliknya jika mereka tidak bertaubat maka Aku menjadi jururawat bagi mereka lalu Aku mencampakkan mereka kealam kancah penderitaan supaya Aku membersihkan mereka daripada dosa-dosa."

Lagi pula penyertaan Allah s.w.t. yang dicapai menerusi zikir itu adalah penyertaan yang tidak ada tolok bandingnya. Hakikat penyertaan itu tidak mungkin dicatit dan tidak pula mungkin dibicarakan. Kelazatannya dengan ertikata yang sebenarnya boleh dirasai hanya oleh orang yang telah mencapainya. ALLAAHUMMAR ZUQNII MINHU SYAIAN ertinya: "Ya Allah berikanlah kepadaKu barang sedikit daripadanya."

43. Zikir adalah seimbang dengan memerdekakan hamba, seimbang dengan membelanjakan harta, dan seimbang pula dengan berjuang pada jalan Allah. Riwayat-riwayat mengenai keterangan-keterangan ini telah pun dikemukakan dan ada pula yang akan dikemukakan nanti.

44. Zikir adalah sumber syukur. Barang-siapa yang tidak mengingati Allah dia tidak dapat bersyukur kepadaNya. Di dalam sebuah hadis ada diberitakan bahawa baginda Musa a.s. pernah berkata kepada Allah: "Ya Allah, Engkau telah menganugerahkan kepadaku nikmat-nikmat yang amat banyak maka tunjukilah aku cara-cara bersyukur supaya aku senantiasa dapat bersyukur kepadaMu." Allah s.w.t. berfirman kepada baginda: "Sebanyak yang engkau berzikir sebanyak itulah engkau dapat bersyukur."

Di dalam hadis yang lain diterangkan bahawa baginda Musa a.s. momohon kepada Allah s.w.t.: "Bagaimana cara bersyukur yang sesuai dengan keadaanMu yang terunggul?" Allah s.w.t. berfirman: "Hendaklah lidahmu senantiasa dibasahi dengan berzikir."

45. Yang paling mulia di antara orang-orang yang bertaqwa pada sisi Allah ialah yang senantiasa sibuk dengan berzikir kerana natijah taqwa ialah syurga sedangkan natijah zikir ialah penyertaan Allah s.w.t.

46. Pada hati manusia ada semacam kekerasan yang tiada berubah menjadi lembut melainkan dengan berzikir.

47. Zikir adalah rawatan bagi penyakit-penyakit hati.

48. Zikir adalah sumber persahabatan dengan Allah sebaliknya lalai adalah sumber permusuhan denganNya.

49. Tiadalah satu apapun yang menambahkan nikmat-nikmat Allah dan menyelamatkan daripada azabNya lebih daripada zikrullah.

50. Allah s.w.t. menurunkan rahmatNya kepada orang-orang yang berzikir dan para malaikat berdoa untuk mereka.

51. Barang-siapa yang ingin menikmati syurga sedangkan ia masih berada di dalam dunia ini maka hendaklah ia menyertai majlis-majlis zikir kerana majlis-majlis zikir itu adalah umpama taman-taman syurga.

52. Majlis zikir ialah majlis para malaikat (perkara ini telah pun dijelaskan pada hadis-hadis yang telah dikemukakan).

53. Allah s.w.t. membanggakan orang-orang yang berzikir itu dihadapan para Malaikat.

54. Barang-siapa senantiasa berzikir ia akan memasuki syurga sambil tersenyum-senyum.

55. Segala-gala amalan adalah diwajibkan semata-mata kerana zikrullah.

56. Amalan yang paling afzal ialah amalan yang disertai dengan berzikir sebanyak-banyaknya. Puasa yang afzal sekali ialah puasa yang disertai dengan berzikir sebanyak-banyaknya. Haji yang afzal sekali ialah haji yang disertai dengan zikir sebanyak-banyaknya. Dan demikianlah jihad serta amalan-amalan yang lainnya.


ANJURAN BERSEDEKAH

Marilah kita bersedekah dengan mewakafkan Al Quran untuk umat Islam seluruh dunia melalui derma sms yang bermula dari RM1 – RM10. Contoh Wakaf1 untuk RM1 dan sms ke 32776. Tolong sampaikan perkara ini kepada saudara, keluarga dan kawan2 kita supaya kita semua mendapat keberkatan. [..]

Friday, January 16, 2009

Fadhilat Zikir, Anjuran Bersedekah

Tazkirah Jumaat
16 Jan. 2009 (19 Muharram 1430)

FADHILAT ZIKIR (DIPETIK DARIPADA KITAB FADHAIL AMAL) BAHAGIAN 2/4

27. Zikir adalah memasukkan orang yang berzikir itu ke dalam golongan orang-orang yang berbahagia dan demikian juga mereka yang mendampinginya. Sebaliknya orang-orang yang lalai dan membuat kerja-kerja yang sia-sia adalah tercampak ke dalam kencah kecelakaan. Demikian juga orang-orang yang menyertai mereka itu.

28. Zikir akan memelihara seseorang yang berzikir daripada menyesal pada hari kiamat. Di dalam hadis ada disebutkan bahawa majlis-majlis yang terkosong daripada zikrullah menyebabkan mendapatnya kerugian dan menyesal pada hari kiamat.

29. Jika seseorang yang berzikir sambil menangis-nangis dalam keadaan sunyi diri maka pada hari kiamat ia akan ditempatkan di bawah naungan 'arasy Ilahi di mana manusia akan berteriak dan menjerit-jerit kerana kepanasan hari yang amat dahsyat itu.

30. Orang yang menyibukkan dirinya dengan berzikir maka Allah s.w.t. mengurniakan kepadanya lebih daripada orang yang meminta kepadaNya. Di dalam sebuah hadis ada disebutkan bahawa Allah s.w.t. berfirman: "Barang siapa yang tertahan oleh zikirKu daripada berdoa nescaya Aku berikan kepadanya lebih daripada yang ku berikan kepada orang-orang yang berdoa."

31. Sungguhpun zikir ini merupakan suatu ibadat yang ringan dan mudah sekali namun ia adalah lebih afzal dan utama daripada seluruh ibadat kerana mengerakkan lidah itu lebih mudah daripada mengerakkan seluruh badan.

32. Zikrullah adalah merupakan pohon di dalam syurga. Masaalah ini akan diterangkan nanti dengan lebih jelas di dalam fasal kedua dari bab ketiga risalah ini.

33. Nikmat dan kekurniaan yang diberikan Allah kepada seseorang kerana zikir tidaklah diberikan kerana amal-amal yang lain. Yang mana diterangkan di dalam sebuah hadis: "Barang-siapa yang membaca kalimah yang keempat (Laila Haillallahu Wahdahu) sebanyak seratus kali pada satu hari maka Allah memberikan pahala kepadanya yang seimbangan dengan memerdekakan sepuluh hamba sahaya dan dicatitkan di dalam buku amalannya seratus kebajikan, dihapuskan daripada-nya seratus dosa. Dipelihara daripada godaan syaitan dan tidak sesiapa pun yang lebih afzal daripadanya kecuali orang yang amalan-amalannya telah melebihi."

Ada lagi banyak sekali hadis-hadis yang menyatakan bahawa zikir itu adalah amalan yang terafzal sekali. Sebahagian daripada hadis-hadis itu akan tersua nanti di dalam bahagian-bahagian berikut yang terkandung di dalam risalah ini.

34. Seseorang yang berzikir berterusan dengan secara istiqamah ia akan terselamat daripada melupakan dirinya yang menyebabkan kecelakaan dunia dan akhirat. Kerana melupakan diri sendiri dan muslihat-muslihatnya bererti melupakan Tuhan dan yang melupakan Tuhan nescaya akan tercampak ke dalam kancah kerugian.

Diperingatkan oleh Tuhan di dalam kitab suci Al-Quran: WALAA TAKUUNUU KALLAZINA NASULLAAHA ertinya: "Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah lalu Allah menjadikan kamu seperti orang-orang yang lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik. (surah Al-Hasyar A. 19) Yakni janganlah kamu menyerupai orang-orang yang tidak menghiraukan Allah, lantas Allah menjadikan mereka tidak menghiraukan diri mereka sendiri yakni akal fikiran mereka dilemahkan sehingga mereka tidak dapat menjalani jalan yang menuju kearah kejayaan hakiki. Kerana apabila manusia melupakan dirinya maka dengan sendirinya ia terlalai daripada muslihat-muslihatnya, akhirnya ia menjadi mangsa kebinasaan. Sepertimana seorang petani yang melupakan sawah atau ladangnya, tidak menghiraukannya sedikit pun. Maka tentulah sawah atau ladangnya itu tidak akan mendatangkan hasil apa-apa. Dan akhirnya keadaannya berubah menjadi belukar.

Seseorang akan merasai keamanan dan ketenangan jiwa manakala ia membasahi lidahnya dengan berzikir sehingga ia cinta kepada zikir. Seperti mana seorang yang cinta kepada air ketika ia mengalami dahaga yang amat sangat atau cinta kepada makanan ketika ia lapar ataupun cinta kepada pakaian dan rumah kediaman semasa ia merasai panas atau dingin yang amat sangat. Bahkan zikrullah itu lebih mustahak lagi kerana jika segala-segala yang disebutkan itu tidak tersedia maka tubuh kasar manusia saja mengalami kebinasaan sedangkan tanpa zikir, roh dan hati juga akan mengalami kebinasaan.

35. Dengan zikir seseorang manusia mencapai kemajuan dan kejayaan dengan secara terus menerus ketika ia beristirahat atau pun berada di pasar, ketika ia sihat atau pun sakit, ketika ia sibuk dengan mengecap kenikmatan hidup ataupun berada di dalam serba kekurangan. Pendek kata pada setiap masa dan dalam setiap keadaan ia mencapai kejayaan. Tiada suatu apa pun yang menyebabkan ia mencapai kemajuan dengan secara terus menerus kecuali dengan zikir. Jika hatinya telah bersinar dengan sinaran zikir maka dalam setiap keadaan ia meningkat kemartabat yang setinggi-tingginya.

36. Nur zikir adalah senantiasa bersama orang yang itu samada di dunia ini maupun di dalam kubur dan ia memimpin di titi sirat. Pendek kata ia tidak berpisah di mana-mana pun. Diperingatkan oleh Tuhan di dalam kitab suci Al-Quran: AWAMAN KAANA MAITAN ertinya "Apakah orang yang sudah mati (sudah sesat) kemudian Kami hidupkan ia (menjadikan dia beragama Islam) dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan ditengah-tengah masyarakat manusia (yakni nur itu senantiasa bersamanya). Serupa dengan orang yang keadaannya berada di dalam gelap gelita yang tidak dapat keluar daripadanya?" (surah Al-An'am A. 122) Maka orang yang pertama itu ialah yang beriman kepada Allah yang hatinya bersinar cemerlang dengan cinta makrifat dan dengan zikirnya.

Sementara orang yang kedua itu ialah yang terkosong dari sifat-sifat tersebut. Pendek-kata nur itu adalah sesuatu yang teragung sekali, ianya membawa kepada kejayaan yang gilang-gemilang. Lantaran itulah Nabi Muhammad s.a.w. senantiasa menuntut dan memohon dengan berulang-ulang kali dan meminta nur itu bagi setiap anggota tubuhnya seperti mana doa-doa yang didapati dalam kitab-kitab hadis yang didoakan oleh baginda Rasulullah s.a.w. seperti yang berikut dibawah ini: "Ya Allah berikan nur kepada dagingku, nur pada tulang-tulangku, nur pada rambutku, nur pada kulitku, nur pada pendengaranku, nur pada penglihatanku, nur dari atasku, nur dari bawah-ku, nur dari kananku, nur dari kiriku, nur dari mukaku, nur dari belakangku dan jadikan nur itu dalam diriku dan juga besarkanlah nur itu untukku." Maka menerusi nur itulah amal perbuatan seseorang itu akan bercahaya terang benderang sehingga amal perbuatan yang baik dari seseorang itu dibawa naik kelangit yang didapati padanya cahaya seperti cahaya matahari dan nur yang serupa itulah akan kelihatan pada mukanya di hari Kiamat nanti.

(BERSAMBUNG MINGGU HADAPAN...)


ANJURAN BERSEDEKAH

Marilah kita bersedekah dengan mewakafkan Al Quran untuk umat Islam seluruh dunia melalui derma sms yang bermula dari RM1 – RM10. Contoh Wakaf1 untuk RM1 dan sms ke 32776. Tolong sampaikan perkara ini kepada saudara, keluarga dan kawan2 kita supaya kita semua mendapat keberkatan. [..]

Thursday, January 8, 2009

TJ : Fadhilat Zikir, Anjuran Bersedekah

Tazkirah Jumaat
9 Januari 2009 / 12 Muharram 1430


FADHILAT ZIKIR (DIPETIK DARIPADA KITAB FADHAIL AMAL) BAHAGIAN 1/4


1. Zikir adalah menjauhkan syaitan dan menghancurkan kekuatannya.

2. Zikir adalah menyebabkan Allah s.w.t. redza.

3. Zikir adalah menjauhkan dukacita daripada hati manusia.

4. Zikir adalah menggembirakan hati.

5. Zikir adalah menguatkan badan dan menyeronokkan sanubari.

6. Zikir adalah sinaran hati dan muka.

7. Zikir adalah menyebabkan datangnya rezeki dengan mencurah-curah (yakni memurahkan rezeki).

8. Zikir adalah membawa orang yang berzikir itu kepada kehebatan dan kegagahan yakni dengan memandang wajahnya seseorang merasa gentar.

9. Zikir adalah melahirkan cinta sejati terhadap Allah s.w.t. kerana cinta itulah merupakan roh Islam, jiwa agama dan sumber kejayaan dan kebahagian. Barangsiapa ingin mendapatkan cinta Ilahi itu maka hendaklah ia berzikir sebanyak-banyaknya. Sebagaimana mutalaah dan muzakarah itu merupakan pintu kejayaan ilmu, demikianlah zikrullah itu merupakan pintu cinta Ilahi.

10. Zikir adalah mendatangkan hakikat muraqabah dan muraqabah itu membawa seseorang kepada martabat ihsan. Dengan adanya martabat ihsan maka manusia dapat beribadat kepada Allah dalam keadaan yang seolah-olahnya ia melihatNya (keadaan seperti inilah yang merupakan tujuan asasi daripada perjuangan parasufi).

11. Zikir adalah membawa seseorang kepada penyerahan diri dengan sebulat-bulatnya kepada Allah. Dengan ini lama kelamaan maka setiap urusan dan dalam setiap keadaan Allah s.w.t. menjadi pelindung dan pembantu baginya.

12. Zikir adalah membawa seseorang kepada takarrub (mendekatkan diri) kepada Allah. Jika zikir itu bertambah banyak maka dengan sendirinya ia bertambah dekat kepada Allah dan sebaliknya jika ia bertambah lalai daripada berzikir maka dengan sendirinya ia bertambah jauh daripada Allah.

13. Zikir adalah membukakan pintu mak'rifat Allah s.w.t.

14. Zikir adalah melahirkan di dalam hati seseorang akan keagungan dan kehebatan Allah s.w.t. dan melahirkan semangat buat merapatkan diri denganNya.

15. Zikir adalah menyebabkan Allah s.w.t. ingat kepada seseorang yang ingat kepadanya seperti mana disebutkan di dalam Al-Quran: FAZKURUUNII AZKURKUM ertinya "Kerana itu ingatlah kamu kepadaKu, nescaya Aku ingat pula kepadamu." Dan diterangkan pula di dalam hadis: MAN ZAKARANII FII NAFSIHII ZAKARTUHUU FII NAFSII ertinya, "Barangsiapa mengingati Aku di dalam hatinya, nescaya Aku mengingatinya pula di dalam hatiKu." Sebagaimana yang telah diterangkan dengan panjang lebar di dalam bahagian ayat-ayat dan hadis-hadis iaitu fasal pertama dan kedua risalah ini bahawa jika seandainya zikir tidak mempunyai fazilat-fazilat yang lain dari fazilat ini tetapi dengan memandangkan kemuliaan dan ketinggiannya maka fazilat yang satu itu pun sudah memadai, pada hal disamping kelebihan itu ada lagi kelebihan yang tak terhitung banyaknya.

16. Zikir adalah menghidupkan hati, Hafiz Ibnu Thai-mi'ah rah.a. berkata bahawa perbandingan zikrullah dengan hati seseorang adalah ibarat ikan dengan air. Ingatlah apakah halnya ikan itu jika ia tidak berada di dalam air?

17. Zikir adalah santapan bagi roh dan hati. Andaikata jika kedua-duanya tidak dapat menikmati santapannya maka adalah sama seperti badan yang tidak dapat makanannya.

18. Zikir adalah membersihkan hati daripada karatnya (kekotorannya) seperti mana diterangkan di dalam hadis bahawa tiap-tiap satu ada daki dan kekotoran baginya. Daki dan kekotoran hati ialah keinginan dan kelalaian yang tidak dapat dibersihkan melainkan dengan berzikir.

19. Zikir adalah menghapuskan dosa dan maksiat.

20. Zikir adalah menghapuskan keraguan dari seseorang terhadap Allah s.w.t. Sebenarnya hati orang yang lalai itu diselubungi oleh rasa ragu atau gelisah terhadap Allah. lanya dapat dihapuskan hanya oleh zikrullah.

21. Zikir adalah menyebut, orang berzikir itu dikeliling oleh 'arasy Ilahi yang mana ternyata dari hadis yang ketujuh belas yang termuat dalam bab yang ketiga fasal kedua risalah ini.

22. Barangsiapa ingat kepada Allah dalam kesenangan, Allah ingat pula kepadanya dalam kesusahan.

23. Zikir adalah melepaskan orang yang berzikir itu daripada azab Allah s.w.t.

24. Zikir adalah menyebabkan turunnya sakinah dan para Malaikat melingkungi orang-orang yang berzikir itu (pengertian sakinah telah pun diterangkan dalam menghuraikan hadis 8 yang termuat dalam fasal ini).

25. Zikir adalah menyebabkan selamatnya lidah seseorang yang berzikir itu daripada mengumpat, mencela, berdusta maki-hamun dan bercakap yang sia-sia. Telah dibuktikan oleh kenyataan bahawa barangsiapa yang membiasakan lidahnya dengan berzikir maka terselamat daripada sifat-sifat yang keji. Sebaliknya orang yang tidak biasa dengan zikir maka dengan sendirinya ia terlibat di dalam keburukan dan sifat-sifat yang keji itu.

26. Majlis-majlis zikir adalah seperti majlis para malaikat sebaliknya majlis kelalaian (majlis yang peserta-pesertanya lalai daripada berzikir) adalah seperti majlis syaitan. Kini terserah kepada manusia, sertailah majlis mana yang suka. Menurut kebiasaan manusia sukakan akan sesuatu yang sesuai dengan sikap dan perangainya.

(BERSAMBUNG MINGGU HADAPAN...)


ANJURAN BERSEDEKAH

Orang-orang yang beriman sangat sedar dengan kekuatan sedekah untuk menolak bala, kesulitan dan berbagai macam penyakit, sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
  • "Bersegeralah bersedekah, sebab yang namanya bala tidak pernah mendahului sedekah" .
  • "Belilah semua kesulitanmu dengan sedekah ".
  • "Ubatilah penyakitmu dengan sedekah ".
Oleh itu marilah kita bersedekah dengan mewakafkan Al Quran untuk umat Islam seluruh dunia melalui derma sms yang bermula dari RM1 – RM10. Contoh Wakaf1 untuk RM1 dan sms ke 32776. Tolong sampaikan perkara ini kepada saudara, keluarga dan kawan2 kita supaya kita semua mendapat keberkatan. [..]

Thursday, January 1, 2009

TJ : Fadhilat Selawat, Mengenali Mukmin Di Akhirat, Mayat Tidak Busuk & Reput, Perkara Sunat Hari Assyura

Tazkirah Jumaat 2 Jan. 2009
(5 Muharram 1430 Hijrah)

FADHILAT SELAWAT - UNTUK RENUNGAN

Rasulullah S.A.W telah bersabda bahwa, "Malaikat Jibril, Mikail, Israfil dan Izrail A.S. telah berkata kepadaku.

Berkata Jibril A.S. : "Wahai Rasulullah, barang siapa yang membaca selawat ke atasmu tiap-tiap hari sebanyak sepuluh kali, maka akan saya bimbing tangannya dan akan saya bawa dia melintasi titian seperti kilat menyambar."

Berkata pula Mikail A.S. : "Mereka yang berselawat ke atas kamu akan aku beri mereka itu minum dari telagamu."

Berkata pula Israfil A.S. : "Mereka yang berselawat kepadamu akan aku sujud kepada Allah S.W.T dan aku tidak akan mengangkat kepalaku sehingga Allah S.W.T mengampuni orang itu."

Malaikat Izrail A.S pula berkata : "Bagi mereka yang berselawat ke atasmu, akan aku cabut ruh mereka itu dengan selembut-lembutnya seperti aku mencabut ruh para nabi-nabi."

Apakah kita tidak cinta kepada Rasulullah S.A.W.? Para malaikat memberikan jaminan masing-masing untuk orang-orang yang berselawat ke atas Rasulullah S.A.W.

Dengan kisah yang dikemukakan ini, diharap para pembaca tidak akan melepaskan peluang untuk berselawat ke atas junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. Mudah-mudahan kita menjadi orang-orang kesayangan Allah, Rasul dan para malaikat.


FADHILAT SELAWAT

Rasulullah SAW akan membalas dengan 10 selawat untuk setiap selawat daripada umatnya ke atas Baginda.

Allah akan mengangkat 10 darjat untuk setiap selawat daripada hamba-Nya.

Malaikat juga akan turut membacakan selawat ke atas orang yang berselawat.

Doa yang disertai dengan selawat akan diperkenankan oleh Allah.

Mendapat tempat yang dekat dengan Rasulullah pada hari kiamat.

Allah akan menggandakan limpah kurnia dan rahmat-Nya pada mereka yang berselawat.

Terselamat dan terpelihara daripada segala yang mendukacitakan dari hal keduniaan mahupun akhirat.

Allah akan meluas dan melapangkan rezeki daripada sumber yang tidak diketahui. wallahu'alam.


MENGENALI MUKMIN DI AKHIRAT

Disebutkan didalam satu riwayat, bahawasanya apabila para makhluk dibangkitkan dari kubur, mereka semuanya berdiri tegak di kubur masing-masing selama 44 tahun UMUR AKHIRAT dalam keadaan TIDAK MAKAN dan TIDAK MINUM, TIDAK DUDUK dan TIDAK BERCAKAP.

Bertanya orang kepada Rasulullah saw : "Bagaimana kita dapat mengenali ORANG-ORANG MUKMIN kelak di hari qiamat?" Maka jawabnya Rasulullah saw, "Umat dikenal kerana WAJAH mereka putih disebabkan oleh WUDHU'."

Bila qiamat datang maka malaikat datang ke kubur orang mukmin sambil membersihkan debu di badan mereka KECUALI pada tempat sujud. Bekas SUJUD tidak dihilangkan. Maka memanggillah dari zat yang memanggil. Bukanlah debu itu dari debu kubur mereka, akan tetapi debu itu ialah debu KEIMANAN mereka. Oleh itu tinggallah debu itu sehingga mereka melalui titian Siratul Mustaqim dan memasuki alam syurga, sehingga setiap orang melihat para mukmin itu mengetahui bahawa mereka adalah pelayan Ku dan hamba- hamba Ku.


MAYAT TIDAK BUSUK DAN TIDAK REPUT

Disebutkan oleh hadith Rasulullah saw bahawa sepuluh orang yang mayatnya TIDAK BUSUK dan TIDAK REPUT dan akan bangkit dalam tubuh asal diwaktu mati:
1. Para Nabi
2. Para Ahli Jihad
3. Para Alim Ulama
4. para Syuhada
5. Para Penghafal Al Quran
6. Imam atau Pemimpin yang Adil
7. Tukang Azan
8. Wanita yang mati kelahiran/beranak
9. Orang mati dibunuh atau dianiaya
10. Orang yang mati di siang hari atau di malam Jumaat jika mereka itu dari kalangan orang yang beriman.

Tolong sebarkan kisah ini kepada saudara Islam yang lain. Ilmu yang bermanfaat ialah salah satu amal yang berkekalan bagi orang yang mengajarnya meskipun dia sudah mati.

http://cutiebeauty79.multiply.com/reviews/item/155


PERKARA YANG SUNAT DILAKUKAN PADA HARI ASSYURA (10 MUHARRAM, BERSAMAAN RABU, 7HB JAN 2009)


1. Melapangkan masa / belanja anak isteri. Fadhilat - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.

2. Memuliakan fakir miskin. Fadhilat - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti

3. Menahan marah. Fadhilat - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan yang ridha

4. Menunjukkan orang sesat. Fadhilat - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya

5. Menyapu / mengusap kepala anak yatim. Fadhilat - Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang di sapunya.

6. Bersedekah. Fadhilat - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati. Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fa kir miskin di dunia ini.

7. Memelihara kehormatan diri. Fadhilat - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya keimanan.

8. Mandi Sunat. Fadhilat - Tidak sakit (sakit berat) pada tahun itu. lafaz niat : sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala.

9. Bercelak. Fadhilat - tidak akan sakit mata pada tahun itu

10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir seribu kali. Fadhilat - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah diakhirat nanti

11. Sembahyang sunat empat rakaat. lafaz niat : sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala. Pada rakaat pertama dan kedua selepas fatihah di baca Qulhuwallah sebelas kali.

12. Membaca. "ham biallahhu wa nik mal wa kila nikmal maula wa nikmannasiru"

13. Menjamu orang berbuka puasa. Fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka puasa.

14. Puasa. Niat - Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala.

Rasulullah SAW: “Puasa hari Arafah dapat menghapuskan dosa dua tahun yang telah lewat dan akan datang, dan puasa Assyura (tanggal 10 Muharram) menghapuskan dosa setahun yang lewat. (HR. Muslim).

Rasulullah s.a.w. bersabda : ”Berpuasa kamu pada hari ke sembilan dan sepuluh Muharam dan jangan meniru cara orang-orang Yahudi.” - Riwayat Al Baihaqi

Semoga bermanfaat dan dapat dipanjangkan kepada saudara-saudara kita yang lain. [..]

http://blog.myspace.com/index.cfm?fuseaction=blog.view&friendID=40414660&blogID=221390290