Friday, January 23, 2009

Tazkirah Edisi Khas : SOLAT SUNAT GERHANA

AJK Masjid Jamek Kundasang menjemput orang ramai untuk sama-sama menunaikan Solat Sunat Gerhana pada hari Isnin 26 Januari 2009, pukul 4.30 petang. Berikut adalah info dan Tazkirah Edisi Khas mengenai Gerhana Matahari

GERHANA MATAHARI


Gerhana matahari berlaku apabila kedudukan bulan terletak di antara bumi dan matahari oleh itu menutup cahaya matahari. Walaupun bulan lebih kecil, bayangan bulan mampu melindungi cahaya matahari sepenuhnya kerana bulan dengan purata jarak 384,400 kilometer adalah lebih dekat kepada bumi berbanding matahari yang mempunyai jarak purata 149,680,000 kilometer.

Gerhana matahari boleh dibahagi kepada 3 iaitu gerhana penuh, gerhana separuh, dan gerhana analus. Gerhana penuh apabila matahari ditutup sepenuhnya oleh bulan disebabkan bulan berada dekat ke bumi dalam orbit bujurnya, gerhana separuh apabila bulan hanya menutup sebahagian daripada matahari, dan gerhana analus yang terjadi apabila bulan hanya menutup sebahagian daripada matahari dan cahaya matahari selebihnya membentuk cincin bercahaya sekeliling bayangan bulan yang dikenali sebagai 'corona'.

Gerhana matahari berlaku selama 7 minit 30 saat pada tempat yang paling lama. Ketika gerhana matahari, orang ramai dilarang melihat ke arah matahari secara langsung kerana ini boleh merosakkan mata dan mengakibatkan buta.


Bagi mereka yang beragama Islam, mereka digalakkan untuk melakukan Solat Sunat Gerhana ketika berlakunya gerhana.


SOLAT SUNAT GERHANA


Solat Sunat Gerhana atau juga dikenali sebagai solat sunat Kusuf atau Solat Khusuf merupakan solat yang didirikan sewaktu terjadi gerhana bulan atau matahari.

Definisi Kusuf dan Khusuf

Kusuf dari segi bahasa bermaksud terlindungnya cahaya matahari samada terlindungnya itu dalam bentuk juzu'nya atau keseluruhannya. Khusuf pula mutlak digunakan untuk lindungan cahaya bulan secara juzu' atau pun keseluruhannya. Ramai ulama' yang menyatakan bahawa kedua-dua kalimah itu boleh digunakan untuk kedua-duanya sekali samada gerhana bulan atau pun matahari.

Hukum Solat Gerhana Matahari

Hukumnya adalah sunat muakkadah atau pun sunat yang digalakkan.

Ini berdasarkan daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermakna : Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana kematiaan seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya. Maka apabila kamu melihat perkara itu maka sembahyanglah dan berdoalah sehingga kembali terang (hilang gerhana) apa dengan kamu.

Hadis ini keluar daripada mulut Rasulullah saw pada hari kematian anak lelakinya Ibrahim di mana ramai orang mendakwa bahawa kematian Ibrahim inilah yang menyebabkan matahari bersedih sehingga berlakunya gerhana. Mengikut kepercayaan mereka ketika jahiliah di mana apabila berlakunya gerhana matahari atau pun bulan maka mereka beranggapan bahawa berlakunya sesuatu gerhana disebabkan kematian seseorang yang besar dan mulia.

Rasulullah saw telah menyangkal kefahaman karut ini lalu bersabda sebagaimana tersebut. Begitulah juga dengan kebanyakan kita hari ini yang mana mereka bukan bersegera untuk solat gerhana apabila berlakunya sesuatu gerhana tetapi sebaliknya mencari sesuatu untuk memukul pangkal-pangkal pokok buahan supaya berbuah lebat. Perkara ini jika melibatkan kepercayaan yang berlawan dengan kekuasaan Allah dalam membuat sesuatu boleh membawa kepada syirik.

Gerhana Penuh Matahari

Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami'ah!! (Solat berjemaah)

Niatnya : "Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta'ala" - (Jika berimam) ataupun "Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Ta'ala" - (Jika solat seorang diri)

http://ms.wikipedia.org/wiki/Gerhana_matahari
http://ms.wikipedia.org/wiki/Solat_Sunat_Gerhana


HIKMAH DAN SEBAB GERHANA


Terdapat beberapa sebab dan hikmah mengapa Allah menciptakan kejadian ini. Antaranya yang dijelaskan oleh para Ulama ialah, Allah mahu menakut-nakutkan hambanya dan membuktikan bahawa Bulan dan Matahari tidak lebih dari kekuasaan-Nya. Abu Musa ada menyebut bahawa tanda-tanda ini ialah disebabkan Allah mahu menakutkan para hamba-Nya. Kata beliau, "Tanda-tanda yang Allah kirimkan ini bukanlah karena kematian atau kehidupan seseorang, tetapi Allah sedang manakut-nakutkan hamba-hamba-Nya dengannya, maka jika kalian melihat sesuatu yang demikian itu, bersegeralah untuk mengingat Allah, berdo’a dan meminta ampun kepada-Nya"[2].

Selain daripada menakutkan para hamba-Nya, menurut Imam Ibrahim al-Baijuri, antara hikmah berlakunya fenomena gerhana ialah sebagai peringatan kepada golongan penyembah matahari dan bulan bahawa kedua-dua matahari dan bulan adalah makhluk yang tunduk dan patuh pada kekuasaan Allah. Jika kedua-duanya adalah tuhan sebagaimana dakwaan mereka, nescaya akan menjaga dirinya daripada kekurangan, lalu mengapakah cahayanya boleh hilang seketika?

http://www.yussamir.com/2008/08/solat-sunat-gerhana-sunnah-yang.html

Solat Sunat Gerhana telah dilaksanakan pada pukul 4.45 petang. Imam : Ustaz Radzi

4.30 pm : Tazkirah
4.45 pm : Solat Sunat Gerhana (ditunaikan sebanyak 2 rakaat, 4 x bacaan fatihah dengan 4 kali Rukuk). Jemaah lebih kurang 40 orang.
4.50 pm : Khutbah solat sunat Gerhana
5.00 pm : Ujian telur berdiri semasa gerhana matahari.

1 comment:

محمد شام said...

assalmualaikum ustaz.
ana adha, ucap[kan ribuan terima kasih atas penerangan dan pemberitahuan solat kusuf yang telah ustaz berikan. ana juga ingin meminta izin ustaz untuk ana mengambil artikal2 ustaz disini untuk dimuatkan kedalam blog ana untuk dijadikan bahan bacaan bersama,jika tidak menjadi keberatan bagi pihak ustaz, ana minta membalas nya untuk ana tau keputusan dari ustaz.
ribuan terima kasihana ucapkan atas segalanya...ini blog ana http://myblogsyam.blogspot.com/