Friday, January 23, 2009

TJ : FADHILAT ZIKIR (DIPETIK DARIPADA KITAB FADHAIL AMAL) BAHAGIAN 3/4, WAKAF AL QURAN

Tazkirah Jumaat
23 Jan. 2009 (26 Muharram 1430)

FADHILAT ZIKIR (DIPETIK DARIPADA KITAB FADHAIL AMAL) BAHAGIAN 3/4

37. Zikir adalah intisari ilmu tasauf yang diamalkan oleh setiap ahli Tariqat. Jika telah terbuka pintu zikir bagi seseorang bererti telah terbuka baginya jalan yang menuju kepada Allah. Barang siapa yang telah menuju kepada Allah nescaya ia telah mendapat segala-gala yang dikehendakinya kerana tidak berkurangan apa-apa pada khazanah Ilahi.

38. Pada hati manusia ada suatu bahagian yang tidak subur melainkan dengan zikrullah. Apabila zikir telah menguasai hati maka bukan ia menyubur bahagian hati itu sahaja bahkan ia menjadikan orang yang berzikir itu hidup dengan makmur walaupun ia tiada berharta benda, memuliakannya walaupun ia tidak berkeluarga dan menjadikannya penguasa walaupun ia tidak mempunyai kerajaan. Dan sebaliknya orang yang lalai daripada zikir pasti ia akan dihinakannya walaupun ia mempunyai harta benda, kaum keluarga dan kerajaan yang besar.

39. Zikir adalah menghimpunkan kembali yang telah bercerai dan menceraikan yang telah terhimpun, mendekatkan yang jauh dan menjauhkan yang dekat. Yakni hati manusia yang diselubungi oleh berbagai-bagai keraguan, dukacita dan kegelisahan, itu semuanya dilenyapkan sama sekali dan dilahirkan ketenteraman dan ketenangan jiwa. Dan hati atau jiwa manusia yang dikuasai oleh perbuatan-per-buatan yang keji itu dibersihkan. Dan manusia yang senantiasa digoda dan dikuasai oleh tentera-tentera syaitan itu diceraikan daripadanya. Dan akhirat yang jauh itu didekatkan dan dunia yang dekat itu dijauhkan dari jiwa manusia.

40. Zikir adalah menggerakkan hati manusia daripada tidur dan menyedarkannya daripada lalai. Selagi hati dan jiwa manusia tidak sedar maka selama itulah ia mengalami kerugian demi kerugian.

41. Zikir merupakan suatu pohon yang setiap masa mendatangkan buah makrifat. Menurut istilah ulama-ulama tasauf pohon itu mendatangkan buah ahwal dan makamat. Semakin zikir itu diperbanyakkan semakin akar pohon itu terkukuh, semakin akar-nya kukuh semakin pohon itu mengeluarkan buah-buahannya.

42. Zikir adalah mendekatkan kepada dzat yang zikirnya, dikerjakan sehingga mendapat penyertaan dengan-Nya. Sebagaimana diterang di dalam Al-Quran: INNALLAAHA MA-'ALLAZIINATTAQAU -ertinya: sesungguhnya Allah s.w.t. berserta orang-orang yang bertaqwa."

Diterangkan di dalam satu hadis Qudsi: ANA MA'A 'ABDII MAA ZAKARANII - ertinya: "Adalah Aku menyertai hambaKu selama ia mengingati Aku." Di dalam sebuah hadis ada disebutkan bahawa Tuhan berfirman: "Orang yang mengingati Aku itu adalah orang Aku, Aku tidak menjauhkannya daripada rahmatKu. Jika mereka bertaubat dari dosa-dosa mereka maka Aku menjadi kekasih bagi mereka tetapi sebaliknya jika mereka tidak bertaubat maka Aku menjadi jururawat bagi mereka lalu Aku mencampakkan mereka kealam kancah penderitaan supaya Aku membersihkan mereka daripada dosa-dosa."

Lagi pula penyertaan Allah s.w.t. yang dicapai menerusi zikir itu adalah penyertaan yang tidak ada tolok bandingnya. Hakikat penyertaan itu tidak mungkin dicatit dan tidak pula mungkin dibicarakan. Kelazatannya dengan ertikata yang sebenarnya boleh dirasai hanya oleh orang yang telah mencapainya. ALLAAHUMMAR ZUQNII MINHU SYAIAN ertinya: "Ya Allah berikanlah kepadaKu barang sedikit daripadanya."

43. Zikir adalah seimbang dengan memerdekakan hamba, seimbang dengan membelanjakan harta, dan seimbang pula dengan berjuang pada jalan Allah. Riwayat-riwayat mengenai keterangan-keterangan ini telah pun dikemukakan dan ada pula yang akan dikemukakan nanti.

44. Zikir adalah sumber syukur. Barang-siapa yang tidak mengingati Allah dia tidak dapat bersyukur kepadaNya. Di dalam sebuah hadis ada diberitakan bahawa baginda Musa a.s. pernah berkata kepada Allah: "Ya Allah, Engkau telah menganugerahkan kepadaku nikmat-nikmat yang amat banyak maka tunjukilah aku cara-cara bersyukur supaya aku senantiasa dapat bersyukur kepadaMu." Allah s.w.t. berfirman kepada baginda: "Sebanyak yang engkau berzikir sebanyak itulah engkau dapat bersyukur."

Di dalam hadis yang lain diterangkan bahawa baginda Musa a.s. momohon kepada Allah s.w.t.: "Bagaimana cara bersyukur yang sesuai dengan keadaanMu yang terunggul?" Allah s.w.t. berfirman: "Hendaklah lidahmu senantiasa dibasahi dengan berzikir."

45. Yang paling mulia di antara orang-orang yang bertaqwa pada sisi Allah ialah yang senantiasa sibuk dengan berzikir kerana natijah taqwa ialah syurga sedangkan natijah zikir ialah penyertaan Allah s.w.t.

46. Pada hati manusia ada semacam kekerasan yang tiada berubah menjadi lembut melainkan dengan berzikir.

47. Zikir adalah rawatan bagi penyakit-penyakit hati.

48. Zikir adalah sumber persahabatan dengan Allah sebaliknya lalai adalah sumber permusuhan denganNya.

49. Tiadalah satu apapun yang menambahkan nikmat-nikmat Allah dan menyelamatkan daripada azabNya lebih daripada zikrullah.

50. Allah s.w.t. menurunkan rahmatNya kepada orang-orang yang berzikir dan para malaikat berdoa untuk mereka.

51. Barang-siapa yang ingin menikmati syurga sedangkan ia masih berada di dalam dunia ini maka hendaklah ia menyertai majlis-majlis zikir kerana majlis-majlis zikir itu adalah umpama taman-taman syurga.

52. Majlis zikir ialah majlis para malaikat (perkara ini telah pun dijelaskan pada hadis-hadis yang telah dikemukakan).

53. Allah s.w.t. membanggakan orang-orang yang berzikir itu dihadapan para Malaikat.

54. Barang-siapa senantiasa berzikir ia akan memasuki syurga sambil tersenyum-senyum.

55. Segala-gala amalan adalah diwajibkan semata-mata kerana zikrullah.

56. Amalan yang paling afzal ialah amalan yang disertai dengan berzikir sebanyak-banyaknya. Puasa yang afzal sekali ialah puasa yang disertai dengan berzikir sebanyak-banyaknya. Haji yang afzal sekali ialah haji yang disertai dengan zikir sebanyak-banyaknya. Dan demikianlah jihad serta amalan-amalan yang lainnya.


ANJURAN BERSEDEKAH

Marilah kita bersedekah dengan mewakafkan Al Quran untuk umat Islam seluruh dunia melalui derma sms yang bermula dari RM1 – RM10. Contoh Wakaf1 untuk RM1 dan sms ke 32776. Tolong sampaikan perkara ini kepada saudara, keluarga dan kawan2 kita supaya kita semua mendapat keberkatan. [..]

No comments: