Friday, January 16, 2009

Fadhilat Zikir, Anjuran Bersedekah

Tazkirah Jumaat
16 Jan. 2009 (19 Muharram 1430)

FADHILAT ZIKIR (DIPETIK DARIPADA KITAB FADHAIL AMAL) BAHAGIAN 2/4

27. Zikir adalah memasukkan orang yang berzikir itu ke dalam golongan orang-orang yang berbahagia dan demikian juga mereka yang mendampinginya. Sebaliknya orang-orang yang lalai dan membuat kerja-kerja yang sia-sia adalah tercampak ke dalam kencah kecelakaan. Demikian juga orang-orang yang menyertai mereka itu.

28. Zikir akan memelihara seseorang yang berzikir daripada menyesal pada hari kiamat. Di dalam hadis ada disebutkan bahawa majlis-majlis yang terkosong daripada zikrullah menyebabkan mendapatnya kerugian dan menyesal pada hari kiamat.

29. Jika seseorang yang berzikir sambil menangis-nangis dalam keadaan sunyi diri maka pada hari kiamat ia akan ditempatkan di bawah naungan 'arasy Ilahi di mana manusia akan berteriak dan menjerit-jerit kerana kepanasan hari yang amat dahsyat itu.

30. Orang yang menyibukkan dirinya dengan berzikir maka Allah s.w.t. mengurniakan kepadanya lebih daripada orang yang meminta kepadaNya. Di dalam sebuah hadis ada disebutkan bahawa Allah s.w.t. berfirman: "Barang siapa yang tertahan oleh zikirKu daripada berdoa nescaya Aku berikan kepadanya lebih daripada yang ku berikan kepada orang-orang yang berdoa."

31. Sungguhpun zikir ini merupakan suatu ibadat yang ringan dan mudah sekali namun ia adalah lebih afzal dan utama daripada seluruh ibadat kerana mengerakkan lidah itu lebih mudah daripada mengerakkan seluruh badan.

32. Zikrullah adalah merupakan pohon di dalam syurga. Masaalah ini akan diterangkan nanti dengan lebih jelas di dalam fasal kedua dari bab ketiga risalah ini.

33. Nikmat dan kekurniaan yang diberikan Allah kepada seseorang kerana zikir tidaklah diberikan kerana amal-amal yang lain. Yang mana diterangkan di dalam sebuah hadis: "Barang-siapa yang membaca kalimah yang keempat (Laila Haillallahu Wahdahu) sebanyak seratus kali pada satu hari maka Allah memberikan pahala kepadanya yang seimbangan dengan memerdekakan sepuluh hamba sahaya dan dicatitkan di dalam buku amalannya seratus kebajikan, dihapuskan daripada-nya seratus dosa. Dipelihara daripada godaan syaitan dan tidak sesiapa pun yang lebih afzal daripadanya kecuali orang yang amalan-amalannya telah melebihi."

Ada lagi banyak sekali hadis-hadis yang menyatakan bahawa zikir itu adalah amalan yang terafzal sekali. Sebahagian daripada hadis-hadis itu akan tersua nanti di dalam bahagian-bahagian berikut yang terkandung di dalam risalah ini.

34. Seseorang yang berzikir berterusan dengan secara istiqamah ia akan terselamat daripada melupakan dirinya yang menyebabkan kecelakaan dunia dan akhirat. Kerana melupakan diri sendiri dan muslihat-muslihatnya bererti melupakan Tuhan dan yang melupakan Tuhan nescaya akan tercampak ke dalam kancah kerugian.

Diperingatkan oleh Tuhan di dalam kitab suci Al-Quran: WALAA TAKUUNUU KALLAZINA NASULLAAHA ertinya: "Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada Allah lalu Allah menjadikan kamu seperti orang-orang yang lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik. (surah Al-Hasyar A. 19) Yakni janganlah kamu menyerupai orang-orang yang tidak menghiraukan Allah, lantas Allah menjadikan mereka tidak menghiraukan diri mereka sendiri yakni akal fikiran mereka dilemahkan sehingga mereka tidak dapat menjalani jalan yang menuju kearah kejayaan hakiki. Kerana apabila manusia melupakan dirinya maka dengan sendirinya ia terlalai daripada muslihat-muslihatnya, akhirnya ia menjadi mangsa kebinasaan. Sepertimana seorang petani yang melupakan sawah atau ladangnya, tidak menghiraukannya sedikit pun. Maka tentulah sawah atau ladangnya itu tidak akan mendatangkan hasil apa-apa. Dan akhirnya keadaannya berubah menjadi belukar.

Seseorang akan merasai keamanan dan ketenangan jiwa manakala ia membasahi lidahnya dengan berzikir sehingga ia cinta kepada zikir. Seperti mana seorang yang cinta kepada air ketika ia mengalami dahaga yang amat sangat atau cinta kepada makanan ketika ia lapar ataupun cinta kepada pakaian dan rumah kediaman semasa ia merasai panas atau dingin yang amat sangat. Bahkan zikrullah itu lebih mustahak lagi kerana jika segala-segala yang disebutkan itu tidak tersedia maka tubuh kasar manusia saja mengalami kebinasaan sedangkan tanpa zikir, roh dan hati juga akan mengalami kebinasaan.

35. Dengan zikir seseorang manusia mencapai kemajuan dan kejayaan dengan secara terus menerus ketika ia beristirahat atau pun berada di pasar, ketika ia sihat atau pun sakit, ketika ia sibuk dengan mengecap kenikmatan hidup ataupun berada di dalam serba kekurangan. Pendek kata pada setiap masa dan dalam setiap keadaan ia mencapai kejayaan. Tiada suatu apa pun yang menyebabkan ia mencapai kemajuan dengan secara terus menerus kecuali dengan zikir. Jika hatinya telah bersinar dengan sinaran zikir maka dalam setiap keadaan ia meningkat kemartabat yang setinggi-tingginya.

36. Nur zikir adalah senantiasa bersama orang yang itu samada di dunia ini maupun di dalam kubur dan ia memimpin di titi sirat. Pendek kata ia tidak berpisah di mana-mana pun. Diperingatkan oleh Tuhan di dalam kitab suci Al-Quran: AWAMAN KAANA MAITAN ertinya "Apakah orang yang sudah mati (sudah sesat) kemudian Kami hidupkan ia (menjadikan dia beragama Islam) dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan ditengah-tengah masyarakat manusia (yakni nur itu senantiasa bersamanya). Serupa dengan orang yang keadaannya berada di dalam gelap gelita yang tidak dapat keluar daripadanya?" (surah Al-An'am A. 122) Maka orang yang pertama itu ialah yang beriman kepada Allah yang hatinya bersinar cemerlang dengan cinta makrifat dan dengan zikirnya.

Sementara orang yang kedua itu ialah yang terkosong dari sifat-sifat tersebut. Pendek-kata nur itu adalah sesuatu yang teragung sekali, ianya membawa kepada kejayaan yang gilang-gemilang. Lantaran itulah Nabi Muhammad s.a.w. senantiasa menuntut dan memohon dengan berulang-ulang kali dan meminta nur itu bagi setiap anggota tubuhnya seperti mana doa-doa yang didapati dalam kitab-kitab hadis yang didoakan oleh baginda Rasulullah s.a.w. seperti yang berikut dibawah ini: "Ya Allah berikan nur kepada dagingku, nur pada tulang-tulangku, nur pada rambutku, nur pada kulitku, nur pada pendengaranku, nur pada penglihatanku, nur dari atasku, nur dari bawah-ku, nur dari kananku, nur dari kiriku, nur dari mukaku, nur dari belakangku dan jadikan nur itu dalam diriku dan juga besarkanlah nur itu untukku." Maka menerusi nur itulah amal perbuatan seseorang itu akan bercahaya terang benderang sehingga amal perbuatan yang baik dari seseorang itu dibawa naik kelangit yang didapati padanya cahaya seperti cahaya matahari dan nur yang serupa itulah akan kelihatan pada mukanya di hari Kiamat nanti.

(BERSAMBUNG MINGGU HADAPAN...)


ANJURAN BERSEDEKAH

Marilah kita bersedekah dengan mewakafkan Al Quran untuk umat Islam seluruh dunia melalui derma sms yang bermula dari RM1 – RM10. Contoh Wakaf1 untuk RM1 dan sms ke 32776. Tolong sampaikan perkara ini kepada saudara, keluarga dan kawan2 kita supaya kita semua mendapat keberkatan. [..]

No comments: