Friday, July 17, 2009

3 Perkara Menghapuskan Dosa dan Mengangkat Darjat, Hadis : Kualiti dan Kesempurnaan Iman

Tazkirah Jumaat
24 Rejab 1430H / 17 Jul 2009


3 PERKARA MENGHAPUSKAN DOSA DAN MENGANGKAT DARJAT


Hendakkah kamu aku beritahu apa yang dapat menghapuskan dosa-dosa dan mengangkat darjat?” Para sahabat menjawab: “Ya, kami ingin tahu wahai Rasulullah.” Baginda berkata, “Berwudhuklah dengan baik dalam keadaan air yang sejuk, banyakkan langkah menuju masjid, dan menunggu sembahyang sesudah sembahyang. Itulah Ribath, Itulah Ribath (mengikat diri dengan sempadan ketaatan kepada Allah).” (HR. Muslim)

1. Berwudhuklah dengan baik dalam keadaan air yang sejuk. Berwuduk dengan menggunakan air yang terjemur di bawah panas matahari adalah makruh hukumnya.

2. Banyakkan langkah menuju ke tempat sembahyang samada masjid atau surau (masjid yang tidak didirikan sembahyang Jumaat). Rasullullah SAW amat menitikberatkan ummatnya khususnya kaum lelaki untuk solah fardhu berjemaah di masjid ataupun di tempat azan dilaungkan.Selain pahala berjemaah, disana terdapat pahala gandaan tempat:-

• Pahala sembahyang di Masjid Jamek (masjid yang didirikan sembahyang Jumaat) ialah 150 kali ganda fadhilat sembahyang sendirian di rumah.

• Pahala sembahyang di surau iaitu masjid yang tidak didirikan sembahyang Jumaat ialah 25 kali ganda fadhilat sembahyang sendirian di rumah.

• Pahala sembahyang di Masjidil Aqsa ialah sebanyak 500 kali ganda.

• Pahala Sembahyang di Masjid Nabi iaitu Masjidil Nabawi ialah sebanyak 1,000 kali ganda atau 10,000 mengikut setengah riwayat.

• Pahala Sembahyang di Masjid Allah iaitu Masjidil Haram ialah sebanyak 100,000 kali ganda.

3. Menunggu sembahyang sesudah sembahyang misalnya menunggu sembahyang Isya sesudah sembahyang Maghrib . Rasulullah saw pernah bertanya kepada sahabat, hendakkah kamu tahu siapakah ahli syurga. “Ya Wahai Rasulullah”. Maka sabda Baginda “orang yang sembahyang Maghrib dan tidak balik sehingga selesai sembahyang Isyak.


RIBATH (MENJAGA SEMPADAN)

Daripada Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma, katanya: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ada dua jenis mata yang tidak akan disentuh oleh neraka, yaitu mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang pada malam hari menjaga sempadan negeri dalam melakukan peperangan fi-sabilillah.” (Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi)

Apabila mata tidak masuk neraka, maka secara automatiklah tuannya tidak masuk neraka.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2009/07/13/3-perkara-menghapuskan-dosa-dan-mengangkat-darjat/


HADIS : KUALITI IMAN SEORANG MUSLIM

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:"Tanda cintakan Allah S.W.T. ialah mengingati Allah S.W.T (zikrullah) dan tanda Allah S.W.T murka kepada hamba ialah dia tidak suka mengingati Allah." Baihaqi

Huraian Pengajaran Hadis:

i) Ciri khas dalam akidah yang wajib ada dalam diri setiap
individu adalah perasaan cintakan Allah kerana ia merupakan kayu ukur terpenting dalam menilai kualiti iman seorang muslim yang sebenar.

ii) Antara sifat mereka ialah sentiasa merasa bahagia apabila mengingati Allah iaitu mereka banyak berzikir, mengerjakan sembahyang, membaca al-Quran dan sebagainya sebaliknya bagi orang yang tidak cintakan Allah, dia merasa bosan dan rimas apabila mendengar kalimah-kalimah Allah dan malas untuk berzikir (mengingati Allah) jauh sekali untuk beribadat kepada Allah.

iii) Sesungguhnya orang yang selalu mengingati Allah (di kala senang mahupun susah) akan mendapat pemeliharaan daripada Allah S.W.T, kehidupannya sentiasa terkawal dan terpimpin, jalan hidupnya sentiasa sejahtera dan selamat. Sebaliknya mereka yang lalai daripada mengingati Allah, kehidupannya akan didapati kosong, kecewa dan hampa.

http://dakwah2u.blogspot.com/2009/05/hadis-kualiti-iman-seorang-muslim.html


HADIS : CIRI-CIRI KESEMPURNAAN IMAN

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:" Tidak sempurna iman seseorang hamba sehingga dia memiliki tiga sifat iaitu: menafkahkan harta tanpa kedekut, berlaku adil terhadap diri dan memberi salam kepada orang lain." Riwayat Ahmad

Huraian :

1. Harta benda atau wang ringgit adalah kurniaan Allah kepada hamba-Nya. Harta benda yang dimiliki adalah suatu himpunan amanah dan tanggungjawab yang perlu diurus dan dibelanjakan sewajarnya. Oleh itu manusia yang suka menyimpan harta kerana takut akan kehabisan dan tidak sanggup mengeluarkan sebahagiannya ke jalan yang hak seperti berzakat dan membelanjakan ke jalan yang bermanfaat pasti tidak akan mendapat keberkatan dan rahmat Allah walaupun dianugerahi nikmat yang melimpah ruah.

2. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Tuhanmu yang meluaskan rezeki terhadap sesiapa jua yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang dan peraturan-Nya) dan Dia juga yang menyempitkan (menurut yang demikian). Sesungguhnya Dia Maha Mendalam Pengetahuan-Nya lagi Maha Melihat akan hamba-hamba-Nya." - (Al-Israk: 30).

3. Adil dengan diri sendiri bermaksud seseorang itu menyeimbangkan antara keperluan spiritual (rohani) dan dan fizikal (material, intelektual dll) di mana semua komponen ini saling berkait rapat dan sangat penting bagi menjadikan kehidupan seseorang seimbang, tenang dan damai.

4. Memberi salam pula adalah simbol kekuatan ukhuwwah yang dituntut oleh Islam untuk diamalkan selalu oleh setiap muslim dalam menjalani kehidupan bermasyarakat. Ini bagi memastikan masyarakat yang dihuni itu berkeadaan saling hormat menghormati di samping mewujudkan perpaduan dan kasih sayang tanpa berlakunya cara hidup yang bersifat indidualistik, menyombong diri, mementingkan diri dan sebagainya tanpa menghiraukan orang lain.

http://dakwah2u.blogspot.com/2009/01/hadis-ciri-ciri-kesempurnaan-iman.html

No comments: