Friday, September 12, 2008

TJ : LAILATULQADAR, FADHILAT RAMADHAN

Tazkirah Jumaat : 12 September 2008 / 12 Ramadhan 1429

LAILATULQADAR


Dua malam yang istimewa dalam Islam ialah malam Lailatulqadar dan malam Nisfu Syaaban. Malam Lailatul Qadr itu afdhal dari segala malam di dalam setahun. Diikuti malam Nisfu Syabaan. Malam Lailatul Qadr ialah malam penetapan kadar iaitu takdir seperti kadar rezeki manakala malam Nisfu Syaaban ialah malam diserahkan buku yang mengandungi perkara yang ditakdirkan itu (buku baru kata orang). Malam Lailatul Qadr juga ialah malam diturunkan Al-Quran secara sekaligus dari Loh Mahfuz ke langit Baitul Izzah. Al-Quran diturunkan kepada Nabi s.a.w. secara sedikit-sedikit selama 23 tahun, mengikut keperluan dan masalah yang dihadapinya.

Dukhan [4] (Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar).

Para sahabat nabi risau kerana tidak dapat berjihad dan beribadat seperti umat terdahulu, misalnya Bani Israel berjihad selama 80 tahun. Lalu Allah menurunkan surah Al-Qadr untuk menenangkan para sahabat nabi yang risau itu. Ramai orang tahu pahalanya 1000 bulan (84 tahun). Al-Qadr [3] Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

Bilakah waktunya?

Sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud: Carilah Malam Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir. Dalam hadis yang lain yang telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud: Carilah Malam Lailatul Qadar pada malam ganjil 10 hari yang terakhir.

Cara Nabi mendapatkan lailatul qadar

Kebiasaannya Nabi Muhammad s.a.w. beriktikaf dengan memasuki masjid pada petang 19 Ramdahan selepas waktu Asar. Iktikaf bererti berhenti di masjid, berhenti dari segala urusan dunia, disertai niat untuk berhenti di dalam masjid sambil melakukan amalan seperti membaca al-quran, bertasbih dan sembahyang. Isteri-isteri Baginda pula beriktikaf di rumah masing-masing iaitu di tempat yang biasanya mereka bersembahyang. Hukum iktikaf pada 10 akhir Ramadahan ialah fardu kifayah dalam mazhab Hanafi dan sunat muakkad dalam mazhab Syafie.

Nak buat apa pada malam itu?

Usaha, dapatkan dan carilah Lailatulqadar. Bangunlah kira-kira dalam pukul 2-3 pagi dan buatlah apa-apa ibadat pun seperti berzikir, sembahyang, membaca quran.

Nak minta apa jika bertemu malam itu?

Siti Aisyah r.a. juga bertanya kepada Nabi s.a.w. tentang doa apakah yang perlu diminta jika bertemu Lailatulqadar. Jawab baginda bacalah “Allahumma innaka ‘afuwwun karim, tuhibbull ‘afwa , fa’fu ‘anni, seperti yang selalu dibaca selepas sembahyang tarawikh.

Telah diriwayatkan dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha bahawa dia bertanya, “Ya Rasulullah, apa pendapatmu jika aku mendapat Lailatul Qadar (mengetahui terjadinya), apa yang mesti aku ucapkan?” Beliau menjawab, “Ucapkanlah, Ya Allah Engkau Maha Pengampun dan Mencintai orang yang meminta ampunan, maka ampunilah aku.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi (3760), Ibnu Majah (3850) dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha. Sanadnya sahih)

Apa berlaku pada malam itu?

Al-Qadr [4] Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);

Allamah Sawi mengatakan pada malam itu turun ruh malaikat yang mempunyai 1 badan dan 1,000 muka. Besarnya ruh malaikat ini ialah kepalanya berada di bawah Arasy dan kakinya bertunjang ke bumi. Setiap muka mempunyai 1,000 mulut, kerjanya memuji Allah, setiap lidah dalam bahasa yang berlainan (1,000 muka x 1,000 mulut = 1,000,000 bahasa).

Malaikat yang turun pada malam itu mengucapkan Salam kepada orang Islam kecuali kepada orang Islam yang meminum arak, memakan babi dan memutuskan Silatur-Rahim.

Tanda Malam Lailatul Qadar

Malam yang tidak panas dan tidak sejuk dan pada paginya matahari naik tidak banyak cahayanya kerana banyak malaikat turun naik pada malam itu.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2008/09/11/lailatulqadar/


FADHILAT RAMADHAN

Ramadhan adalah bulan umat Muhammad s.a.w. Bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud, "Apabila tiba bulan Ramadhan maka akan dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutupkan pintu-pintu neraka lalu diikatkan semua syaitan. "Sabda baginda dalam hadis yang lain, "Jika umat manusia itu mengetahuk akan kelebihan yang ada di dalam bulan Ramadhan nescaya umatku akan menginginkan supaya dijadikan sepanjang tahun itu sebagai bulan Ramadhan."

1. Setiap amalan kebajikan akan digandakan oleh Allah sebanyak 1000 kali ganda.

2. Setiap amalan sunat akan diberikan ganjaran pahala amalan fardu.

3. Ramadhan dibagikan kepada tiga bahagikan kepada tiga bahagian istimewa bagi mereka yang berpuasa iaitu bahagian pertamanya dipenuhi dengan rahmat Allah, bahagian kedua dipenuhi dengan keampunan dari Allah dan bahagian ketiga pembebaan dari siksa api neraka.

4. Dituntut supaya mengerjakan solat sunat tarawih, witir dan solat-solat sunat yang lain.

5. Banyakkan berdoa, berzikir, selawat, membaca al Quran, bertaubat dan lain-lain amalan sunat.

6. Banyakkan bersedekah kepada fakir miskin dan membantu mereka yang berada di dalam kesusahan dan yang ditimpa kemalangan.

7. Menggandakan amalan sunat terutamanya pada 10 hari terakhir Ramadhan bagi mengharapkan keberkatan dan kebesaran malam ‘Lailatul Qadar’ seperti beriktikaf di masjid dan sebagainya.

8. Menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan mendirikan qiamullail terutama pada 10 hari yang terakhir. []

No comments: