Friday, September 19, 2008

Kelebihan malam 10 akhir Ramadan, Tanda dan Amalan malam Qadar, Dugaan Menghapuskan Dosa, Wakaf Al Quran

TJ : 19 September 2008 / 19 Ramadan 1429

KELEBIHAN MALAM 10 AKHIR RAMADAN

UMAT Islam kini 19 hari menunaikan puasa Ramadan. Kita bakal menghadapi malam 10 terakhir Ramadan yang banyak kelebihannya. Antara kelebihan malam 10 terakhir Ramadan adalah:-

1. Nabi Muhammad saw memperbanyakkan ibadat pada malam 10 terakhir Ramadan melebihi malam sebelumnya. Saidatina Aisyah berkata maksudnya; “Rasulullah apabila masuk malam 10 terakhir Ramadan, Baginda menghidupkan malam (dengan ibadat), mengejutkan keluarganya (bangun beribadat), bersungguh-sungguh (dalam beribadat) dan uzlah (mengasingkan diri) daripada isteri-isterinya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Pada malam 10 terakhir ada satu malam yang dinamakan Lailatul Qadar (malam yang mempunyai berkat dan keistimewaan yang banyak). Pada malam inilah diturunkan al-Quran seperti firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada Lailatul Qadar” (Surah al-Qadar, ayat 1). Ibn Abbas berkata : “Allah menurunkan al-Quran sekali gus dari Al-Luh Al-Mahfur ke Bait al-E'zzah yang terletak di langit dunia. Kemudian ia diturunkan secara berperingkat-peringkat kepada Rasulullah selama 23 tahun.

3. Lailatul Qadar disifatkan lebih baik daripada 1,000 bulan. Perkara ini seperti firman Allah bermaksud : “Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” (Surah al-Qadar, ayat 3)

4. Malam ini juga disifatkan sebagai malam berkat, firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami turunkannya (al-Quran) pada malam yang diberkati.” (Surah al-Dukhan, ayat 3)

5. Pada malam ini juga turunnya malaikat. Malaikat turun bersama-sama berkat dan rahmat Allah yang dikhaskan untuk malam ini.

6. Ditetapkan umur, rezeki dan ajal manusia. Firman Allah bermaksud : “Pada malam itu (Lailatul Qadar) dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” (Surah al-Dukhan, ayat 4). Maksud ‘urusan yang penuh hikmah’ adalah pada malam itu Allah menentukan umur, rezeki dan ajal manusia.

7. Allah mengampunkan hamba-Nya yang menghidupkan malam itu dengan penuh rasa keimanan dan pengharapan.Bilakah Lailatul Qadar? Nabi Muhammad bersabda bermaksud: “Carilah Lailatul Qadar pada malam 10 terakhir Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Rasulullah bersabda lagi bermaksud: “Carilah Lailatul Qadar pada malam ganjil pada 10 malam terakhir.” (Hadis riwayat Bukhari).

Petikan Panduan Puasa Ramadan terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

http://dakwah2u.blogspot.com/2007/09/kelebihan-malam-10-akhir-ramadan.html

AMALAN PADA MALAM LAILATUL QADAR

Amalan-amalan yang diamalkan pada malamnya. Mulai jam 12.00 tengah malam:

  1. Sembahyang sunat wudhuk
  2. Sembahyang sunat hajat berdoa minta dipertemukan Allah dengan malam Lailatul Qadar
  3. Membaca al-Quran
  4. Istighfar
  5. Zikrullah
  6. Bertasbih
  7. Selawat
  8. Sembahyang sunat tahajjud
  9. Sembahyang sunat tasbih.

Orang yang bertemu dengan Lailatul Qadar akan terus dingin badannya kerana dihampiri oleh para malaikat (sebentar sahaja). Dari Aisyah r.a bahawa dia mengatakan, aku bertanya: "Ya Rasulullah, kalau aku bertepatan dengan malam Qadar, maka apakah yang patut aku baca? Jawab Rasulullah s.a.w.: Ucapkanlah: "Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Tuhan Yang Maha Pemaaf lagi Pemurah, yang suka memberi kemaafan, maka maafkanlah aku."

http://dakwah2u.blogspot.com/2007/09/amalan-pada-malam-lailatul-qadar.html

TANDA KEDATANGAN LAILATUL QADAR

Dalam sebuah hadis lain turut dinyatakan bahawa antara tanda malam al-Qadar telah berlaku adalah terbit matahari pada pagi hari dengan bentuk putih bersih bagaikan bulan penuh dan tidak mempunyai sinar yang terlalu panas. Tidak dirasakan kepanasan yang kuat walaupun matahari cerah memancarkan cahayanya.

Malam yang tidak panas dan tidak sejuk dan pada paginya matahari naik tidak banyak cahayanya kerana banyak malaikat turun naik pada malam itu.

HADIS : DUGAAN MENGHAPUSKAN DOSA

Dari Abdullah r.a katanya:"Aku datang mengunjungi Rasulullah s.a.w ketika beliau sakit, lalu kusentuh baginda seraya berkata:"Ya Rasulullah! Demam anda bertambah teruk." Jawab baginda,"Memang demamku sama dengan demam dua orang kamu. Kataku pula, “Semoga anda mendapat pahala berganda pula." Jawab baginda:"Semoga!" Kemudian sabda baginda pula:"Tidak ada seorang muslim yang ditimpa cubaan berupa sakit dan sebagainya melainkan dihapuskan Allah Taala dosa-dosanya, seperti pohon kayu menggugurkan daunnya." (Muslim)

Huraian :

Segala bencana, penyakit, kesusahan atau kerunsingan yang menimpa tubuh badan atau akal fikiran seseorang mukmin adalah menjadi "kaffarah" (penghapus) kekotoran dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana itu.

Anas berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: "Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian; dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum diuji mereka, kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan reda, maka dia akan beroleh keredaan Allah, dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan dari Allah." (at-Tirmidzi dan Ibn Majah)

http://dakwah2u.blogspot.com/2008/07/hadis-dugaan-menghapuskan-dosa.html

WAKAF AL QURAN UTK UMAT ISLAM SELURUH DUNIA

Mari kita segera merebut peluang di bulan yg mulia ini untuk mewakafkan melalui derma sms yang bermula dari RM1 – RM10. Segeralah mendapatkan saham akhirat tentu tidak menyesal nanti. Contoh Wakaf3 untuk RM3 dan sms ke 32776. []

No comments: