Friday, September 26, 2008

TJ : Ibadah Malam Raya, Hadis, Kisah Paku2 Di Tiang, Kegembiraan Berpuasa, Tegahan berpaling Dlm Solat

Tazkirah Jumaat : 26 Sept. 2008 / 26 Ramadhan 1429


PEMBETULAN TAZKIRAH MINGGU LEPAS


Terima kasih kepada aduan para pembaca yang prihatin memperbetulkan kesilapan Tazkirah minggu lepas (19 Sept. 2008) dalam tajuk “KELEBIHAN MALAM 10 AKHIR RAMADAN” pada point nombor 2 seperti berikut:-

2. Pada malam 10 terakhir ada satu malam yang dinamakan Lailatul Qadar (malam yang mempunyai berkat dan keistimewaan yang banyak). Pada malam inilah diturunkan al-Quran seperti firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada Lailatul Qadar” (Surah al-Qadar, ayat 1). Ibn Abbas berkata : “Allah menurunkan al-Quran sekali gus dari Al-Luh Al-Mahfur ke Bait al-E'zzah yang terletak di langit dunia. Kemudian ia diturunkan secara berperingkat-peringkat kepada Rasulullah selama 25 tahun.

Pembetulan di sini bukan 25 tahun tetapi sekitar 23 tahun iaitu Al Quran diturunkan secara beransur- ansur mengikut keperluan dan masalah yang dihadapinya dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun, 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.

http://www.al-azim.com/masjid/ramadhan1425/nuzul/hikmah.htm


Hikmah Al-Quran Diturunkan Beransur-ansur

Al-Quran diturunkan sedikit demi sedikit supaya mudah dihafal, difahami dan dilaksanakan. Ia sebagai satu rahmat dan kurniaan yang sangat berkesan kepada hamba-hambaNya.

Sekiranya al-Quran diturunkan sekaligus, sudah tentu ia akan menyusahi dan memberatkan, baik daripada segi hafalan, pemahaman dan pelaksanaannya dalam kehidupan.

Al-Khudhari mengatakan tempoh al-Quran diturunkan ialah 22 tahun 2 bulan dan 22 hari, bermula daripada 17hb. Ramadhan tahun 41 kelahiran Rasulullah s.a.w. hinggalah 9hb. Zulhijjah, tahun ke 10 Hijrah. Dalam tempoh tersebut al-Quran dihafal oleh Rasulullah dan para sahabat serta dicatat oleh panitia penulis al-Quran kemudian dikumpulkan pada zaman Sayidina Abu Bakar r.a. dan disempurnakan pada masa Sayidina ‘Uthman r.a.

http://nurjeehan.wordpress.com/2007/09/19/penurunan-al-quran-nuzul-al-quran/


DUA TINGKAT IBADAT MALAM RAYA

Tidak lama lagi umat islam seluruh dunia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Mengikut kalendar Islam, 1 Syawal 1429 bersamaan 1 Oktober 2008 (Rabu) tertakluk kepada perubahan oleh Jawatankuasa Teknikal Kalendar Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Pada malam hari raya, sepatutnya kita berqiamulail, membangunkan malam dengan ibadat, bukannya membangunkan malam dengan membakar lemang dan memasak ketupat serta berhibur dengan pelbagai program yang melalaikan hingga ke pagi.

Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan malam Aidilfitri dan Aidiladha, hatinya tidak mati pada ketika hati yang lain mati.”

Pada hari raya kita disunatkan mandi sunat Aidilfitri, makan sedikit sebelum ke tempat solat. Ini sebagai mengumumkan hari berbuka kita.

Seluruh umat Islam, termasuk kanak-kanak dan wanita disunatkan juga keluar pada pagi hari raya ini bagi menunjukkan kehebatan, kekuatan dan perpaduan umat Islam. Wanita ketika keluar ke tempat solat hari raya disyaratkan tidak bersolek-solek, berwangi-wangian dan berhias-hiasan. Hanya dikehendaki bersih dan menutup aurat.

Diriwayatkan daripada Ummu Atiah bahawa Rasulullah membawa keluar anak dara, dewasa, orang tua dan perempuan yang uzur untuk solat dua hari raya.

Ada pun perempuan uzur menjauhi tempat sembahyang dan mendengar khutbah. Salah seorang mereka berkata: “Wahai Rasulullah, sekiranya dia tidak ada tudung, bersabda Nabi, hendaklah seorang perempuan meminjamkan tudungnya.”

Hadis ini menuntut seluruh orang Islam sama-sama mendengar dan menghayati khutbah Aidilfitri.

http://www.dakwah2u.blogspot.com/


MUTIARA HADIS : MENSYUKURI NIKMAT

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: "Sesungguhnya Allah mengurniakan kepada sesuatu kaum itu nikmat yang kekal berada bersama mereka selagi digunakan untuk menunaikan hajat mereka yang memerlukan. Apabila mereka ini berpaling daripada berbuat sedemikian maka Allah akan pindahkan nikmat tersebut kepada kaum yang lain pula." (Riwayat Tabrani)

Huraian :

1. Segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah S.W.T kepada kita hendaklah digunakan bertepatan dengan tujuan ia diberikan. Itulah tanda kesyukuran yang dituntut oleh Islam.

2. Setiap muslim janganlah bersifat kedekut untuk melakukan amal kebajikan dan bersedia memperbaiki segala amal perbuatannya kerana Allah akan memberi ganjaran walau sekecil mana pun amalan tersebut.

3. Kita hendaklah mengambil pengajaran di atas kesusahan yang menimpa orang lain agar terbit rasa bersyukur di dalam diri dan supaya kita tidak mempersia-siakan nikmat yang diperolehi kerana nikmat yang tidak disalahgunakan dan tidak disyukuri akan ditarik balik oleh Allah S.W.T.

http://dakwah2u.blogspot.com/2008/06/hadis-mensyukuri-nikmat.html


KISAH : PAKU-PAKU DI TIANG

Beberapa ketika yang silam, ada seorang ikhwah yang mempunyai seorang anak lelaki bernama Mat. Mat membesar menjadi seorang yang lalai menunaikan suruhan agama.

Meskipun telah berbuih ajakan dan nasihat, suruhan dan perintah dari ayahnya agar Mat bersembahyang, puasa dan lain-lain amal kebajikan, dia tetap meninggalkannya. Sebaliknya amal kejahatan pula yang menjadi kebiasaannya. Kaki judi, kaki botol, dan seribu satu macam jenis kaki lagi menjadi kemegahannya.

Suatu hari ikhwah tadi memanggil anaknya dan berkata, "Mat, kau ni terlalu sangat lalai dan berbuat kemungkaran. Mulai hari ini aku akan pacakkan satu tiang di tengah halaman rumah kita. Setiap kali kau berbuat satu kejahatan, maka aku akan benamkan satu paku ke tiang ini. Dan setiap kali kau berbuat satu kebajikan, sebatang paku akan kucabut keluar dari tiang ini."

Bapanya berbuat sepertimana yang dia janjikan, dan setiap hari dia akan memukul beberapa batang paku ke tiang tersebut. Kadang-kadang sampai berpuluh paku dalam satu hari. Jarang-jarang benar dia mencabut keluar paku dari tiang.

Hari bersilih ganti, beberapa purnama berlalu, dari musim ribut tengkujuh berganti kemarau panjang. Tahun demi tahun beredar lepas. Tiang yang berdiri megah di halaman kini telah hampir dipenuhi dengan tusukan paku-paku dari bawah sampai ke atas. Hampir setiap permukaan tiang itu dipenuhi dengan paku-paku. Ada yang berkarat lepat dek kerana hujan dan panas.

Setelah melihat keadaan tiang yang bersusukan dengan paku-paku yang menjijikkan pandangan mata, timbullah rasa malu dan keinsafan dalam diri Mat kerana selama ini bergelumang dalam dosa dan noda. Maka dia pun berazamlah untuk memperbaiki dirinya. Mulai detik itu, Mat mula sembahyang. Hari itu saja lima butir paku dicabut ayahnya dari tiang. Besoknya sembahyang lagi ditambah dengan sunat-sunatnya. Lebih banyak lagi paku tercabut.

Hari berikutnya Mat tinggalkan sisa-sisa maksiat yang melekat. Maka semakin banyaklah tercabut paku-paku tadi. Hari demi hari, semakin banyak kebaikan yang Mat lakukan dan semakin banyak maksiat yang ditinggal, hingga akhirnya hanya tinggal sebatang paku yang tinggal melekat di tiang. Maka ayahnyapun memanggillah anaknya dan berkata: "Lihatlah anakku, ini paku terakhir, dan akan aku cabutkannya keluar sekarang. Tidakkah kamu gembira?"

Mat merenung pada tiang tersebut, tapi disebalik melahirkan rasa gembira sebagai yang disangkakan oleh ayahnya, dia mula menangis teresak-esak. "Kenapa anakku?" tanya ayahnya, "aku menyangkakan tentunya kau gembira kerana semua paku-paku tadi telah tiada." Dalam nada yang sayu Mat mengeluh, "Wahai ayahku, sungguh benar katamu, paku-paku itu telah tiada, tapi aku bersedih kerana parut- parut lubang dari paku itu tetap kekal di tiang, bersama dengan karatnya."

Ikhwah dan akhawat yang dimuliakan,

Dengan dosa-dosa dan kemungkaran yang seringkali diulangi hinggakan menjadi suatu kebiasaan (habit), kita mungkin boleh mengatasinya, atau secara beransur-ansur menghapuskannya, tapi ingatlah bahawa parut-parutnya akan kekal.

Dari itu, bilamana kita menyedari diri ini melakukan suatu kemungkaran, ataupun sedang diambang pintu habit yang buruk, maka berhentilah serta-merta. Kerana setiap kali kita bergelumang dalam kemungkaran, maka kita telah membenamkan sebilah paku lagi yang akan meninggalkan parut pada jiwa kita, meskipun paku itu kita cabut kemudiannya. Apatah lagi kalau kita biarkan ianya berkarat dalam diri ini sebelum dicabut. Lebih-lebih lagilah kalau dibiarkan berkarat dan tak dicabut.

http://members.tripod.com/~ajau/agama/kisah_0598.html


KEGEMBIRAAN ORANG BERPUASA

Dalam hadith disebut “Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya. Orang berpuasa bebas masuk pintu mana-mana syurga walaupun ada satu pintu yang khas untuk orang berpuasa yang dikenali sebagai Ar-Rayyan.

Daripada Sahl bin Sa’ad berkata: Bersabda Nabi s.a.w. “Sesungguhnya di syurga ada pintu yang bernama ar-Rayyan tempat masuk orang-orang yang berpuasa di hari qiamat. Tidak dapat masuk daripada pintu itu kecuali orang yang berpuasa, dipanggil oleh penjaganya:”Dimanakah orang – orang yang telah berpuasa?” Dan tidak dapat masuk ke situ kecuali mereka yang berpuasa sahaja, dan jika semuanya telah selesai masuk, maka pintu itu ditutup, dan tidak masuk melaluinya melainkan mereka yang berpuasa sahaja.

Orang berpuasa akan gembira bila bertemu Allah setelah berlapar di dunia, kerana mereka berlapar semata-mata kerana Allah. Dalam Islam ada dua jenis puasa, satu puasa sepanjang hayat, iaitu puasa dari perkara yang diharamkan seperti arak dan babi kecuali darurat. Selain itu ada puasa tambahan iaitu puasa bulan Ramadahan, puasa dari perkara yang halal (makan, minum, suami-isteri yang halal).

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2008/09/12/kegembiraan-orang-berpuasa


TEGAHAN BERPALING / MENOLEH DLM SOLAT

Dari Aisyah r.a katanya:" Aku bertanya kepada Rasulullah SAW perihal menoleh atau berpaling di dalam solat." Jawab baginda:"Hal itu adalah suatu kecurian yang dilakukan oleh syaitan terhadap solat seseorang." (HR Bukhari)

Sabda baginda yang lain bermaksud: "Apabila kamu solat, janganlah kamu menoleh (ke sana sini iaitu tidak memfokuskan pandangan), kerana Allah SWT mengarahkan wajah-Nya ke wajah hamba-Nya yang sedang bersolat selagi mana hamba-Nya tidak menoleh ke arah lain" (al-Bukhari dan Abu Daud ; fath al-Bari, 2/304 )


WAKAF AL QURAN UTK UMAT ISLAM SELURUH DUNIA

Hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi daripada Anas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sedekah yang paling afdhal adalah sedekah pada bulan Ramadhan.”

Oleh itu mari kita segera merebut peluang di bulan yg mulia ini untuk mewakafkan Al-Quran melalui derma sms yang bermula dari RM1 – RM10. Segeralah mendapatkan saham akhirat tentu tidak menyesal nanti. Contoh Wakaf3 untuk RM3 dan sms ke 32776.

Tolong sampaikan kepada saudara-saudara kita mengenai perkara ini semoga kita semua mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah s.w.t. []

No comments: