Thursday, September 4, 2008

TJ : Bulan Al Quran, Kisah Gabenor Miskin, Bersedekah

Tazkirah Jumaat : 5 September 2008 / 5 Ramadhan 1429


BULAN PUASA ADALAH BULAN AL QURAN

Bulan Ramadhan di sebut sebagai Bulan Al Quran kerana pada bulan ini permulaan Al Quran diturunkan. Firman Allah SWT : “Bulan Ramadhan bulan yang diturunkan di dalamnya (permulaan) Al Quran sebagi petunjuk bagi manusia dan penjelasan–penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (di antara hak dan batil) (Q.S Al Baqarah 185).

Kerana itu Rasulullah SAW menjadikan bulan Ramadhan ini sebagai bulan Al Quran di mana tiap-tiap malam Rasulullah SAW membaca dan bertadarus Al Quran bersama malaikat Jibril : “Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah manusia yang paling pemurah dan kepemurahan baginda SAW itu lebih terserlah pada bulan Ramadhan ketika Baginda SAW ditemui oleh Jibril pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan, lalu Rasulullah SAW bertadarus Al Quran bersama Jibril maka Rasulullah SAW lebih pantas melakukan kebaikan daripada angin yang bertiup.” (H.R Bukhari)

Pengajaran Hadith

Pembacaan yang betul mempunyai kesan kepada hati kerana Al Quran itu kalamullah manakala hati adalah pusat rahsia kehidupan manusia. Apabila Al Quran bertemu dengan hati mesti terjadi proses perubahan di dalam diri manusia.

Proses perubahan (sentuhan magnet Al Quran) inilah yang dinyatakan di dalam firman Allah : “Allah telah menurunkan perkataan yang paling baik, iaitu Al Quran yang serupa (mutu ayat-ayatnya) lagi berulang-ulang (dijelaskan maksud kandungannya) gementar kerananya kulit orang-orang yang takut kepada Tuhannya, kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka di waktu mengingati Allah. Itulah petunjuk Allah dengan kitab itu dengan kitab itu Dia tunjuki sesiapa yang dikehendakinya” (Q.S Az Zumar 23)

Itulah pengaruh dan kekuatan yang dibawa Al Quran bagi orang yang membacanya dan memahaminya. Ini diungkap oleh Imam As Syahid Hassan Al Banna “Muatan letrik (electro-magnetics) yang datang dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui”. Bila arus elektrik Al Quran itu bersentuh dengan hati manusia mu’min yang faham dan sedar ketika membacanya, dia akan menimbulkan kejutan lantas bangun dan bertindak untuk melaksanakan tuntutannya.

Kerana itu para sahabat Nabi berkata : Kami tidak akan tambah lebih sepuluh ayat sebelum kami faham kandungan yang dibaca itu malah kami tidak akan menambahkannya sebelum kami berjaya mengamalkan apa yang telah kami faham dari ayat yang dibaca : “Kami mempelajari Al quran secara bersepadu tentang cara membacanya, ilmu dan amalannya”.

Demikianlah para sahabat Nabi SAW berinteraksi dan mendekati Al Quran, iaitu pembacaan yang disertai kefahaman dan amalan. Dengan itu dalam masa yang singkat, tidak sampai 25 tahun, mereka berjaya menguasai empayar-empayar yang besar, empayar Rom dan Parsi yang sudah berdiri dengan kekuatan dan tamadun yang sangat hebat, tetapi tunduk dan berlutut kepada pengembala kambing yang buta huruf, yang tidak pernah mempunyai tamaddun seperti empayar-empayar yang ditakluki nya. Di mana rahsianya ? Tidak lain dan tidak bukan pada Al Quran yang dibaca difahami dan diamalkannya. Al Quran kalamullah yang turun dari langit dihayatinya untuk dipraktikkan di mukabumi ini.

http://mufti.perak.gov.my/artikel/kelebihan%20ramadhan.pdf


KISAH SEORANG MENTERI YANG TERSENARAI SEBAGAI ORANG MISKIN DAN SUSAH

Seorang gabenor khalifah Umar di Kufah, Said bin Amru telah dimasukkan ke dalam senarai orang-orang miskin kerana setiap kali ia menerima gaji terus dibahagi-bahagikan kepada orang miskin dan susah.

Bila Khalifah Umar mengetahuinya lantas baginda mengirim wang seribu dinar kepada Gabenornya itu. Bila said menerima kiriman itu ia menjerit lantas mengucapkan ‘Ina lilahhi wa ina ilaihi roji'un’ sehingga isterinya menyangka bahawa Khalifah telah wafat lantas bertanya apakah Khalifah telah wafat? Maka suaminya menjawab :musibah yang lebih dahsyat daripada itu, iaitu telah datang kepadaku dunia (wang seribu dinar). Maka ketika itu juga wang itu dibahagi-bahagikan kepada orang-orang yang susah dan memerlukannya.

Begitulah dalamnya kesan pengaruh Al Quran kepada sahabat-sahabat Nabi SAW. Memang wajarlah dunia ini dianugerahkan Allah kepada orang-orang seperti ini buktinya tidak sampai satu abad tiga perempat daripada belahan dunia ini sudah berada di bawah kekuasaan mereka dari Perancis di sebelah barat hingga ke sempadan Cina di timur, dari pergunungan Ural di Rusia hingga ke hulu Sungai Nil di Afrika.

Tetapi sekarang seperti mana yang dimaklumi bahawa hinanya umat Islam di perlakukan sebagai pengganas yang harus dihapuskan. Apa yang harus kita lakukan? Sudah sepatutnya dalam bulan Ramadhan yang mulia ini kita meneliti diri kita sendiri untuk mengetahui kelemahan-kelemahan kita dengan membaca Al Quran dan berusaha menghayatinya semoga kita layak menerima pertolongan Allah sebagaimana telah diberinya kepada para pendahulu kita di masa silam. Semoga Allah memberi ‘inayah dan taufiqnya.

http://mufti.perak.gov.my/artikel/kelebihan%20ramadhan.pdf


BERSEDEKAH DI BULAN RAMADHAN

Sedekah RM1 di dalam Ramdahan bersamaan RM70 di luar Ramadhan. Syukurilah nikmat Tuhan yang kita perolehi selama ini dengan membantu mereka yang hidup derita dan sengsara dengan menyumbang ke Tabung Bersamamu TV3. Tabung2 untuk RM2, tabung5 untuk RM5, tabung10 untuk RM10. SMS ke 33399. Bantuan anda amat diperlukan. []

No comments: