Friday, August 1, 2008

TJ : Info Syaaban, Ihsan Terhadap Haiwan dan Renungan Bersama

Tazkirah Jumaat : 1 Ogos 2008 (29 Rejab 1429H)

INFO SYAABAN

Pendahuluan

Bulan Syaaban kembali lagi menemui kita pada 3 Ogos 2008 ini. Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan.

Erti Syaaban ialah berpecah-pecah atau berpuak-puak. Masyarakat Quraisy pada waktu itu terpaksa berpecah kepada beberapa kumpulan untuk mencari sumber air di padang pasir.
Dan apabila Rasulullah SAW datang, beliau mengekalkan nama itu sehinggalah sekarang. Rasulullah SAW telah menyebut tentang pelbagai kelebihan bulan Syaaban dalam hadis-hadisnya. Diantara hadis yang paling masyhur ialah; Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat-sahabatnya, “Tahukah kamu sekelian mengapa dinamakan dengan bulan Syaaban?” Para sahabat menjawab, “Allah dan RasulNya lebih mengetahui” Sabda Rasulullah SAW, “Kerana dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).

Fadhilat Syaaban

Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa.

Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:
Memperbanyakkan puasa sunat Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah SAW. lebih gemar untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan Syaaban ini.

Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."

Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W. Sabda Rasulullah S.A.W.: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)

Bertaubat Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah S.A.W. bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan perbaiki niatmu."

Peristiwa-peristiwa penting dalam bulan Syaaban ialah malam Nisfu Syaaban, penukaran arah kiblat dan peperangan Bani Mustaliq (Muraisi’).
http://www.al-azim.com/masjid/syaaban/home.htm

IHSAN TERHADAP HAIWAN

Haiwan juga adalah makhluk Allah yang juga mempunyai perasaan seperti kita. Yang membezakan ialah kita mempunyai akal tetapi haiwan tidak. Haiwan tidak dapat membezakan antara betul dan salah tetapi mereka mempunyai naluri yang Allah berikan untuk meneruskan perjalanan hidupnya. Oleh sebab ia sama makhluk Allah seperti kita, perlulah kita bersikap belas dan kasihan terhadapnya.

Dalam satu riwayat diceritakan seorang lelaki berasa sangat dahaga setelah jauh berjalan di padang pasir. Di tengah jalan dia berjumpa sebuah perigi. Airnya cetek dan jauh ke bawah. Dia terpaksa turun untuk mendapatkan sedikit air buat menghilangkan dahaga. Lelaki itu naik ke atas semula selepas minum beberapa teguk. Tiba-tiba di tebing perigi itu, dia ternampak seekor anjing yang kelihatan tidak bermaya kerana kehausan. Lelaki itu dapat merasakan betapa hebatnya penderitaan anjing itu lantaran terlalu haus. Dia amat bersimpati kepada anjing itu.
Walaupun masih keletihan, lelaki itu berikhtiar untuk memberi minum kepada anjing yang haus itu. Dia turun kembali ke dalam perigi lalu memenuhkan kasutnya dengan air. Selepas itu, dia pun naik semula ke atas sambil menggigit kasut yang berisi air itu. Sampai di atas, lelaki itu pun menghulurkan air itu untuk diminum oleh anjing.

Di atas layanan yang baik dan sifat belas kesihannya terhadap anjing itu, Allah memberikan keampunan di atas dosa-dosanya yang lalu.

MORAL & IKTIBAR

  • Berbuat baik terhadap haiwan walaupun seekor anjing yang dipandang jejek adalah satu kebajikan dan mendapat pahala
  • Sifat kesihan dan belas adalah amalan hati. Amalan hati diberikan ganjaran lebih di sisi Allah.
  • Allah melihat apa sahaja yang kita buat pada setiap masa di mana sahaja kita berada.
  • Ganjaran pahala diberikan mengikut kadar keikhlasan kita.
  • Begitu juga dosa dikenakan mengikut kadar penglibatan hati kita.
  • Jangan memandang remeh perkara-perkara yang kita anggap kecil. Boleh jadi di sisi Allah ia amat besar nilainya.
  • Amalan yang kita anggap kecil kadang-kadang boleh memasukan kita ke syurga. Manakala amalan jahat yang kecil juga boleh memasukkan kita ke dalam neraka.
  • Jangan memandang rendah kepada haiwan sebab ia makhluk Allah jua seperti kita.

RENUNGAN BERSAMA

Hazrat Abu Darda r.a berkata:" Kamu hendaklah mengingati ALLAH dalam kesenangan dan kelapangan nescaya ALLAH akan mengingati kamu dalam kesusahan dan kesempitan." []

No comments: