Friday, August 8, 2008

TJ : Pelik tapi benar, Saidina Ali dan Peminta Sedekah, Fadhilat Berzikir, Renungan

Tazkirah Jumaat : 08.08.08 (6 Syaaban 1429H)

PELIK TAPI BENAR

Alangkah Peliknya Kita......

Duit RM 50 kelihatan begitu besar bila dibawa ke kotak derma masjid, tapi begitu kecil bila kita bawa ke supermarket.

30 minit terasa terlalu lama untuk berzikir tapi betapa pendeknya waktu itu untuk satu cerita komedi.

Betapa lamanya satu jam berada di masjid, tapi betapa cepatnya dua jam berlalu saat menonton wayang di panggung.

Tak sampai 30 minit dengar khutbah Jumaat dah rasa jemu, tapi tak pernah puas dengar lagu kesukaan kita walaupun dah ulang dua tiga kaset berkali-kali.

Dengar iklan jualan murah di tv rasa tak sabar-sabar nak pergi beli-belah, Tapi dengar laungan azan tak sabar-sabar nak tukar channel lain.

Pasar malam jauh sanggup naik kereta pergi, tapi masjid dekat rumah rasa berat pula kaki.
Susah sungguh merangkai kata untuk dipanjatkan saat berdoa atau solat, tapi betapa mudahnya cari bahan bersembang dengan kawan-kawan.

Betapa seruan dan teriakan yang berpanjangan waktu perlawanan bolasepak jadi kegemaran kita, tapi betapa bosannya bila imam solat Tarawih bulan Ramadhan bacaannya lama dan panjang.

Rasa susah sungguh untuk habiskan Al-Quran walau satu halaman, tapi majalah hiburan dan novel best-seller 100 halaman pun habis dilahap.

Ramai orang berebut paling depan bila menonton bola atau konsert, tapi berebut cari saf paling belakang bila solat jemaah supaya boleh cepat keluar.

Susahnya orang mengajak menyebar dakwah, tapi mudahnya orang menyertai dan menyebarkan gossip.

Kita begitu percaya pada yang dikatakan di emel di internet, tapi kita sering mempertikaikan apa yang dikatakan Al-Quran.

Kita boleh mengirimkan ribuan jenaka termasuk gambar-gambar lucah dan surat berantai dalam emel, tapi bila mengirim yang berkaitan dengan ibadah sering berfikir dua tiga kali.

Pelik tak kita.....?

Tepuk dada... tanyalah hati dan iman.

http://e-malabari.net/ugama

SAIDINA ALI DAN PEMINTA SEDEKAH

Siti Fatimah, isteri Saidina Ali didatangi seorang peminta sedekah. Ketika itu Saidina Ali mempunyai 50 dirham. Setelah menerima wang, pengemis itu pun balik. Di tengah jalan, Saidina Ali bertanya berapa banyak yang diberi oleh Saidatina Fatimah. Apabila diberitahu 25 dirham, Saidina Ali menyuruh pengemis itu pergi sekali lagi ke rumahnya. Pengemis itu pun pergi dan Fatimah memberikan baki 25 dirham kepada pengemis itu.

Selang beberapa hari, datang seorang hamba Allah berjumpa Saidina Ali dengan membawa seekor unta. Orang itu mengadu dalam kesusahan dan ingin menjualkan untanya. Saidina Ali tanpa berlengah menyatakan kesanggupan untuk membelinya, meskipun ketika itu dia tidak berwang. Dia berjanji akan membayar harga unta itu dalam masa beberapa hari.

Dalam perjalanan pulang, Saidina Ali berjumpa dengan seorang lelaki yang ingin membeli unta itu dengan harga yang lebih tinggi daripada harga asal. Saidina Ali pun menjualkan unta itu kepada orang itu. Setelah mendapat wang, Saidina Ali pun menjelaskan hutangnya kepada penjual unta.

Beberapa hari kemudian, Rasulullah saw berjumpa Saidina Ali lalu bertanya "Ya Ali, tahukah kamu siapakah yang menjual dan membeli unta itu?" Apabila Saidina Ali mengatakan tidak tahu, Nabi menerangkan yang menjual itu ialah Jibril dan yang membelinya ialah Mikail.

MORAL & IKTIBAR

  • Allah membalas atau memberi ganjaran berlipat ganda jika kita menolong orang yang dalam kesusahan.
  • Memberikan bantuan kepada orang yang susah merupakan satu aset yang balasannya akan diterima di dunia lagi.
  • Berikanlah bantuan kepada orang yang berada di dalam kesempitan kelak Allah akan melepaskan kita semasa kita berada dalam kesusahan.
  • Keyakinan kepada balasan baik Allah merangsang kita untuk melakukan amalan dan kebajikan dengan lebih banyak.

http://www.tranungkite.net/

FADHILAT BERZIKIR

Hadis 1 : Abu Hurairah r. a memberitahu bahawa Rasulullah saw pernah bersabda, ALLAH swt berfirman: Sesungguhnya, Aku adalah sebagaimana yang disangkakan oleh hambaku, adalah Aku bersamanya apabila dia mengingati Aku, jika dia mengingat aku di dalam hatinya, maka Aku mengingati dia dalam hatiKu, dan jika dia mengingati aku dalam jemaah maka Aku ingati dia dalam jemaah yang lebih baik (iaitu dalam jemaah para malaikat yang maksum dan suci dari segala dosa). Apabila hambaku mendekatiku sejengkal, maka aku dekati dia sehasta. Apabila dia mendekati Aku sehasta Aku dekati dia sedepa. Dan apabila dia datang mendekati aku dengan berjalan, maka Aku dekati dia dengan berlari.

Hadith ini mengandungi berbagai-bagai keterangan. ALLAH berfirman: "Aku bertindak terhadap hambaKu sebagaimana yang disangkakan olehnya." maksudnya hendaklah senantiasa mengharapkan kurnia dan rahmat dari ALLAH swt. Janganlah sekali-kali berputus harap dari rahmatNya. Walaupun kita berdosa dan telah melampaui batas yang kita percaya bahawa segala dosa dan kesalahan kita itu pasti akan dibalas namun janganlah sekali-kali berputus harap dari rahmat ALLAH swt. Kemungkinan besar ALLAH swt mengampuni dosa kita semata-mata dengan rahmat kurniaNya.

RENUNGAN

Barangsiapa yang banyak bicara, maka banyak pula salahnya,siapa yang banyak salahnya, maka hilanglah harga dirinya,siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak warak.Sedang orang yang tidak warak itu bererti hatinya mati. []

No comments: