16 Mei 2014 / 16 Rejab 1435
PENUNTUT ILMU IBARAT SEORANG MUJAHID, DOSANYA DIAMPUN DAN REZEKINYA DIJAMIN
Daripada Anas Radhiallahuanhu; beliau berkata, bersabda Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam “Sesiapa yang keluar mencari ilmu, maka dia sebenarnya berjihad di jalan Allah.”
(Riwayat Tirmizi)
Daripada Sakhbarah Radhiallahuanhu; bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang mencari ilmu, maka yang demikian itu akan menghapuskan segala dosanya yang lalu.”
(Riwayat Tirmizi)
Dan daripada Ziyad bin Harits as-Shudai Radhiallahuanhu, bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa mencari ilmu maka Allah akan menjamin untuk mencukupkan rezekinya.”
(Riwayat al-Khatib)
Keterangan :
Sungguh beruntung orang yang belajar ilmu agama. Setiap hari amalnya dihitung seperti pahala orang yang berjihad atau berperang di jalan Allah Subhanahu wataala. Dia memperoleh pahala yang besar yang tidak terhingga. Di samping itu, rezekinya juga sentiasa dijamin oleh-Nya. Cuba bayangkan masih adakah lagi orang lain yang lebih baik daripada itu? Atau masih adakah cita-cita yang lebih tinggi daripada pemberian ini? Sudah tentu tidak. Maka jadikanlah diri mu sebagai penuntut ilmu yang hakiki, supaya kamu memperolehi segala kelebihan yang disebutkan dalam hadis tersebut.
(Sumber: 40 Hadis kelebihan ilmu dan ulama, Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam)
Kiriman Ustaz Mohamad Razi Bin Hj. Zulkifli, Bentong, Pahang Darul Makmur
TIADA PERASAAN BERSALAH TINGGALKAN SOLAT
Melihat fenomena zaman kini, begitu ramai orang yang bukan hanya daripada kalangan muda, tetapi juga sudah berumur di negara Muslim yang mengabaikan solat. Adakah masih ada pada zaman moden ini orang yang bersedih hati dan menangis melihat anak serta keluarga tidak solat?
Anas bin Malik ialah sahabat Rasulullah SAW yang terakhir wafat. Beliau mempunyai usia yang panjang (99 tahun) sehingga mengetahui ada orang mengabaikan solat selepas sekian lama Rasulullah SAW wafat.
Az-Zuhri berkata, “Saya datang kepada Anas bin Malik di Damsyik, kebetulan beliau sedang menangis. Lalu saya bertanya: Mengapa engkau menangis? Dia menjawab: Aku tidak tahu apa lagi amal yang aku dapati pada zaman Nabi Muhammad yang masih diambil berat orang sekarang selain solat itu pun sudah disia-siakan mereka.”
Ibu bapa tak hirau anak abai solat
Kenyataannya, apa yang berlaku dalam kebanyakan masyarakat kini bukan hanya sekadar tidak peduli, bersedih dan menangis, malah mereka (ibu bapa) tidak menghiraukan anak membiarkan waktu solat berlalu begitu saja tanpa melaksanakannya.
Daripada Abu Sa’id al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda: “Akan datang satu generasi sesudah 60 tahun, mereka melalaikan solat dan menurut hawa nafsu, maka orang ini akan menemui kecelakaan dan kerugian. Kemudian datang lagi satu generasi, mereka membaca al-Quran, tetapi hanya di mulut saja (tidak masuk ke hati), dan semua membaca al-Quran, orang Mukmin, munafik, jahat dan fasik (tidak dapat lagi dibezakan mana orang mukmin sejati dan mana orang yang berpura-pura beriman).” (Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan al-Hakim)
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Tiadaperasaanbersalahtinggalkansolat/Article
HIDUP LEBIH TENANG, INSAF DIRI BILA INGATKAN MATI
Kebanyakan Muslim hari ini tidak lagi menghiraukan urusan mengingati mati sehingga ada beranggapan kematian tidak penting. Lebih parah lagi, apabila lahir keadaan masyarakat seperti sudah tidak mahu mempelajari hakikat kematian dan aspek keimanan yang lain.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada hari kiamat. Barang siapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasuk ke syurga, menanglah dia. Tidaklah kehidupan dunia ini, melainkan kesenangan yang memperdayakan.” (Surah Ali-Imran, ayat 185). Mengingati mati bukan saja menimbulkan rasa sesal di atas dosa dilakukan, malah ia boleh melahirkan ketakutan untuk meneruskan perbuatan yang dilarang Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda: “Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan kelazatan. Jika ia diingati dan direnung pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang, tenang dan jika ia diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri.” (Riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi)
Nabi Muhammad SAW apabila ditanya siapakah yang paling bijak, lantas Baginda menjawab: “Orang yang bijak ialah yang paling banyak mengingati mati dan paling kuat bersedia menempuh kematian.”
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/
Selamat Hari Guru :
Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi
No comments:
Post a Comment