25 April 2014 / 25 Jamadil Akhir 1435
KELEBIHAN BULAN REJAB
Kita akan menyambut bulan Rejab yang penuh dengan kemuliaan dan kelebihan tidak lama lagi. 1 Rejab 1435H jatuh pada 1 Mei 2014 (Khamis). Marilah kita bersama-sama untuk merebut peluang keemasan ini untuk beramal semoga kehidupan kita mendapat keberkatan dari Allah SWT.
Rejablah masanya bulan menabur benih. Amalan pada Rejab dapat menyucikan badan dan pahala amalan baik dalam bulan ini dilipat-gandakan.
1. Rejab adalah bulan Allah, bulan maghfirah (keampunan) dan bulan bertaubat.
2. Di dalam bulan lain Allah membalas amalan umat-Nya 10 kali, tetapi di dalam Rejab Allah akan membalas amalan umat-Nya 70 kali.
3. Sesiapa meminta ampun (beristighfar) pada pagi dan petang 70 atau 100 kali dalam Rejab, diharamkan tubuhnya daripada api neraka.
4. Kelebihan Rejab daripada bulan lain seperti kelebihan al-Quran daripada kitab lain.
5. Seseorang yang memuliakan bulan Rejab, maka Allah akan muliakannya dengan seribu kemuliaan di hari kiamat.
6. Rejab adalah pembukaan kepada bulan kebaikan dan berkat. Jika tahun diibaratkan sebagai pohon, Rejab ibarat waktu bercucuk-tanam dan keluarnya daun.
Rasulullah SAW bersabda: “Rejab adalah bulan bertanam, maka berniagalah kamu semoga Allah merahmati kamu pada bulan Rejab kerana ia adalah musim untuk berniaga dan makmurkanlah waktu kamu (dengan beramal) dalamnya kerana ia adalah waktu berbuat amal.”
AMALAN
Umat Islam digalakkan beribadat sebanyak mungkin dalam bulan Rejab sebagai satu latihan sebelum mereka menghadapi bulan Ramadan kerana pada bulan ini Allah SWT banyak memberikan Rahmat-Nya.
Ia adalah permulaan bulan mulia dan bagi mempertingkatkan ibadat dan ketaqwaan, terutama melipat-gandakan amal soleh seperti istighfar dan puasa sunat. Rasulullah SAW bersabda: “Kembalilah kepada tuhan kamu dengan keampunan daripada dosa-dosa kamu dan hindarilah perbuatan maksiat dalam bulan mulia, iaitu Rejab.”
Rejab sebagai bulan penebus dosa serta menambah ganjaran pahala juga mempunyai banyak kelebihan dan bermanfaat.
Beberapa amalan yang baik dilakukan dalam bulan Rejab ialah:
1. Menyucikan diri daripada dosa dengan bertaubat dan memohon ampun.
2. Meneguhkan jiwa dan keimanan dengan memperbanyak bacaan al-Quran.
3. Membersihkan hati yang lalai dan alpa melalui amalan beristighfar dan zikir.
4. Mendekatkan diri kepada Allah dengan menunaikan solat, puasa dan bersedekah.
5. Mohon keselamatan dan kesejahteraan dengan berselawat dan berdoa kepada-Nya.
6. Menginsafkan diri dengan membaca atau mendengar peristiwa Israk dan Mikraj, kisah teladan perjuangan Rasulullah dan sirah Islam lain.
Dari Ibnu Abbas r.a., Rasulullah SAW bersabda: “ Sesiapa membaca kalimah berikut, pada bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan di antara waktu Zuhur dengan Asar; nescaya disuruh dua malaikat untuk menghapuskan surat kejahatan.”
Daku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung yang tiada Tuhan melainkan Dia Yang Maha Hidup Lagi Maha Mengurus! Daku bertaubat kepada-Nya selaku taubatnya seorang hamba yang banyak dosa yang tiada menguasai akan dirinya dan tidak mampu membuat, menolak mudharat dan manfaat serta tidak dapat menguasai kematian, hidup dan kebangkitan.
http://shafiqolbu.wordpress.com/2011/06/04/kelebihan-bulan-rejab/
ISTIGHFAR REJAB
Rasulullah saw menganjurkan umatnya agar memperbanyakkan istighfar. Sesiapa meminta ampun (beristighfar) pada pagi dan petang 70 atau 100 kali di dalam bulan Rejab, diharamkan tubuhnya daripada api neraka. Dan banyakkanlah beristighfar pada Rejab kerana pada setiap saat dalamnya Allah menyelamatkan seorang daripada api neraka.
ANTARA RUPA DAN HATI
Daripada Abu Hurairah R.A., Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada jasad atau rupa bentuk kamu tetapi Allah melihat kepada hati-hati kamu.” (Riwayat Muslim)
Pengajaran: Jika hati dan jiwa bersih dan tidak berpenyakit, maka dengan sendirinya wajah menjadi berseri-seri.
(Sumber: Buat diri ku yang musah lupa 101 rekreasi hati oleh Zahazan Mohamed, Nik wafdi Nik Jaafar)
Kiriman : Ustaz Mohamad Razi Bin Haji Zulkifli, Bentong, Pahang Darul Makmur
No comments:
Post a Comment