Thursday, June 19, 2014

DOA-DOA SELEPAS WUDUK, BANYAK HIKMAH, PAHALA KEKAL WUDUK

Tazkirah Jumaat
2 Mei 2014 / 2 Rejab 1435

DOA-DOA SELEPAS WUDUK



Maksudnya: “ Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan kecuali Allah yang maha Esa dan tiada sekutu bagi-Nya. Aku bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan utusan-Nya. (Riwayat Muslim)


Maksudnya: “Ya Allah, jadikanlah aku dalam kalangan orang yang bertaubat dan jadikanlah aku dalam kalangan orang (yang selalu) bersuci.”

(Riwayat at-Tirmizi no.55, Sahih at-Tirmizi no. 48)

Keterangan dan petua beramal: 

Lanjutan daripada hadis riwayat al-Imam Muslim, Nabi S.A.W bersabda: “Barang siapa yang membaca doa itu (selepas berwuduk), nescaya dibukakan kelapan-lapan pintu syurga itu baginya, untuk dipilih dari manakah dia akan memasukinya.”

Justeru, mudah-mudahan kita dapat beramal dengan lafaz yang pendek diatas, bagi memperolehi ganjaran tersebut. Alangkah baiknya, jika dapat gantungkan doa ini dan khasiatnya di tempat-tempat wuduk agar diamalkan orang lain selain kita. Natijahnya apa yang dilakukan oleh orang lain, kita turut beroleh manfaat kerana Nabi S.A.W bersabda yang bermaksud:

“Setiap orang yang menganjurkan kebaikan itu akan mendapat pahala orang melakukan kebaikan itu, tanpa kurang sedikit pun.”

(Sumber: Doa dan zikir harian, Ust. Hj. Zahazan Mohamed), Kiriman : Ustaz Mohamad Razi Bin Haji Zulkifli, Bentong, Pahang Darul Makmur.


BANYAK HIKMAH, PAHALA KEKAL WUDUK

UMUMNYA kita beranggapan wuduk wajib apabila hendak mendirikan solat saja atau dengan lain perkataan, berwuduk itu hanya pada saat kita akan menunaikan sembahyang, tanpa wuduk sudah tentu tidak boleh menunaikan solat.

Bagaimanapun tidak ada pula yang dapat merasakan wuduk perlu menjadi suatu daripada kebiasaan, kerana kita kurang mengetahui bahawa mengekalkan wuduk mempunyai banyak hikmah dan pahala tersembunyi.

Menurut riwayat yang sahih, Nabi Muhammad SAW adalah contoh nabi yang paling banyak mengambil wuduk sebelum melakukan sesuatu pekerjaan. Khalifah Umar al-Khattab pun sering berwuduk sebelum melangkah untuk memulakan perjalanan. Sebaik saja dilantik menjadi khalifah, Umar al-Khattab terus mengambil wuduk lalu mendirikan solat sunat dua rakaat. Saidina Abu Bakar seorang khalifah Islam yang terbilang pernah ditanya seseorang mengenai perbuatannya mengambil wuduk pada saat akan menunggangi unta, lalu Saidina Abu Bakar menjawab: “Dengan berwuduk ketika akan melakukan perjalanan, dengan izin Allah kita akan terhindar daripada sebarang musibah dan kemalangan.”

Banyak riwayat serta hadis yang menerangkan betapa besarnya fadilat dan keberkatan wuduk, sehingga kita perlu mengakui pentingnya mengekalkan wuduk dan tidak hanya menjadikannya kewajipan untuk menunaikan solat.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang berwuduk dan dalam melakukan wuduknya itu dia berserah semata-mata hanya kepada Allah, lalu dia pula mematuhi segala rukun tertibnya yang betul, maka nescaya akan keluarlah segala dosa-dosanya daripada seluruh jasad hatta sekalipun dosa yang ada tersangkut pada celah kukunya pun akan mengalir jatuh bersama air wuduk itu.” (Hadis riwayat Muslim dan an-Nasai)

Tidak dinafikan cabaran bagi kita untuk bangun pagi dan berwuduk bagi menunaikan solat Subuh kerana lebih enak meneruskan tidur tetapi Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang berwuduk dengan cara sempurna di awal pagi yang dingin maka pahala baginya dua kali ganda.” (Hadis riwayat at-Tabrani)

Demikian besar dan pentingnya wuduk daripada kaca mata Islam tetapi sehingga ini mungkin tidak ramai antara kita yang mahu mengambil faedah dan keberkatan daripadanya, padahal kebiasaan mengekalkan diri dalam keadaan berwuduk bukan sesuatu yang sukar dilakukan.

Pernah terjadi satu peristiwa di mana Saidina Ali, menantu kepada Nabi Muhammad SAW pada ketika beliau sedang mengambil wuduk, tiba-tiba datang seorang Quraisy yang berniat hendak mencuri barangan diletakkannya di pinggir tiang masjid. Tetapi dengan tidak semena-mena apabila terpandang Saidina Ali sedang mengambil wuduk, si Quraisy itu menjadi gementar lalu tidak jadi hendak mengambil barangan Saidina Ali, sebaliknya dia terus beredar pulang meninggalkan masjid. Keesokan harinya si Quraisy itu datang menemui Saidina Ali lalu mengakui niat jahatnya semalam dan bermohon untuk memeluk Islam.

Demikianlah beberapa petikan riwayat, kisah serta hadis yang memperkatakan mengenai hikmah dan fadilat terkandung dalam wuduk, yang meskipun kelihatan amat kecil tetapi sebenarnya sangat berperanan lebih-lebih lagi bagi umat Islam.

http://agamaberitaharian.blogspot.com/2008/01/banyak-hikmah-pahala-kekal-wuduk.html

No comments: