Friday, October 11, 2013

Tazkirah Jumaat 11 Okt. 2013 : ASMAUL HUSNA KE 14 AL-GHAFFAR (MAHA PENGAMPUN), AMALAN PUASA BULAN ZULHIJJAH, PENUNTUT ILMU IBARAT SEORANG MUJAHID, DOSANYA DIAMPUN DAN REZEKINYA DIJAMIN


Tazkirah Jumaat
11 Okt. 2013/6 Zulhijjah 1434H

ASMAUL HUSNA KE 14  : AL-GHAFFAR (MAHA PENGAMPUN)

Allah Al-Ghaffar, artinya Allah Maha Pengampun atas segala dosa dan kesalahan. Ampunan Allah itu luas tak bertepi. Lebih luas dari seluruh dosa manusia. Allah akan mengampuni siapa saja yang memohon ampunan kepada-Nya. "Ya Ghaffaar!" sambil beri'tikaf dalam masjid dalam keadaan suci bacalah zikir ini sebanyak 100x sambil menunggu masuknya waktu sholat Jumaat, Insyaallah akan diampunkan dosa kita.

Penjelasan secara detail Al-Ghaffar akan dikeluarkan pada minggu hadapan.

AMALAN PUASA BULAN ZULHIJJAH

8 Zulhijjah

PERISTIWA : Hari ini dinamakan  “Tarwiyah” (Hari berfikir). Nabi Ibrahim bermimpi mendapat perintah dari Allah supaya menyembelih puteranya Ismail. Seharian ia berfikir apakah perintah itu datangnya dari Allah atau dari syaitan.

KELEBIHAN PUASA : Sesiapa berpuasa pada hari itu ia akan akan mendapat pahala yang tidak terhingga banyaknya kecuali Allah.

9 Zulhijjah

PERISTIWA : Hari ini dinamakan “Hari Arafah” (Hari tahu). Arafah bermakna tahu atau memahami. 1. Di tempat inilah Nabi Adam a.s. mengerti jati dirinya. 2. Pada hari ini Allah memberitahu Nabi Ibrahim bahawa perintah menyembelih anak itu adalah perintah dari-Nya bukan dari syaitan. 3. Pada hari ini juga turunnya ayat al-Quran terakhir.

KELEBIHAN PUASA : Sesiapa berpuasa pada hari itu akan diampunkan Allah dosanya setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.

Puasa Arafah

Puasa Hari Arafah ialah puasa pada hari ke 9 Zulhijjah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji. Mereka boleh memanfaatkan kemuliaan hari Arafah dengan berpuasa sunat, berzikir dan melakukan amalan-amalan sunat lain.

Berpuasa Sunat Arafah dapat menghasilkan ganjaran pahala yang sangat besar, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Berpuasa pada Hari Arafah dinilai di sisi Allah sebagai penghapus dosa bagi setahun yang sebelumnya dan yang selepasnya.” (Hadis riwayat Muslim).

Daripada Abu Qatadah al-Anshari r.a.; Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari Arafah. Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)

Rasulullah SAW juga bersabda: “Orang yang berpuasa pada Hari Arafah (9 Zulhijjah), Allah akan menuliskan baginya puasa 60 tahun dan Allah menuliskannya sebagai orang yang taat.”

Niat Puasa Hari Arafah : Daku berniat puasa hari Arafah, sunat  kerana Allah Ta’ala.

Rasulullah SAW. bersabda lagi: “Tiada hari yang paling ramai Allah SWT melepaskan hamba-Nya dari api neraka melainkan pada Hari Arafah. Dan sesungguhnya Allah Azzawajalla menghampiri (hamba-hamba-Nya) dan berbangga dengan mereka di kalangan para malaikat serta bertanya; Apa yang dikehendaki oleh mereka?”

Puasa Tambahan

Disunatkan juga berpuasa pada hari ke 8 Zulhijjah di samping berpuasa pada Hari Arafah (9 Dzulhijjah) sebagai langkah berhati-hati yang mana kemungkinan pada hari ke 8 Zulhijjah itu adalah hari yang ke 9 Zulhijjah (Hari Arafah). Bahkan adalah disunatkan berpuasa lapan hari, iaitu dari hari yang pertama bulan Zulhijjah hingga ke hari yang ke lapan sama ada bagi orang yang mengerjakan haji atau tidak mengerjakan haji, bersama-sama dengan Hari Arafah.

Hadis riwayat Ibni Abbas: “Siapa yang berpuasa pada hari akhir Zulhijah dan awal Muharam, nescaya Allah ampunkan segala dosanya walau selama 50 tahun melakukannya.”

Betapa besarnya keistimewaan dan kelebihan puasa yang terdapat di dalam bulan Zulhijjah ini. Jadi marilah kita di tanah air merebut peluang dan kesempatan ini dengan melakukan puasa 1-9 Zulhijjah, atau setidak-tidaknya berpuasa pada Hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijah yang amat besar pahala dan manfaatnya dengan melakukannya seikhlas hati.

Wallahu A’alam Bissowab

http://shafiqolbu.wordpress.com/2011/10/28/amalan-puasa-bulan-zulhijjah/


MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)
PENUNTUT ILMU IBARAT SEORANG MUJAHID, DOSANYA DIAMPUN DAN REZEKINYA DIJAMIN

Daripada Anas Radhiallahuanhu; beliau berkata, bersabda Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam “Sesiapa yang keluar mencari ilmu, maka dia sebenarnya berjihad di jalan Allah.” (Riwayat Tirmizi).

Daripada Sakhbarah Radhiallahuanhu; bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa yang mencari ilmu, maka yang demikian itu akan menghapuskan segala dosanya yang lalu.” (Riwayat Tirmizi)

Dan daripada Ziyad bin Harits as-Shudai Radhiallahuanhu, bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam bersabda: “Sesiapa mencari ilmu maka Allah akan menjamin untuk mencukupkan rezekinya.” (Riwayat al-Khatib)

KETERANGAN: Sungguh beruntung orang yang belajar ilmu agama. Setiap hari amalnya dihitung seperti pahala orang yang berjihad atau berperang di jalan Allah Subhanahu wataala. Dia memperoleh pahala yang besar yang tidak terhingga. Di samping itu, rezekinya juga sentiasa dijamin oleh-Nya. Cuba bayangkan masih adakah lagi orang lain yang lebih baik daripada itu? Atau masih adakah cita-cita yang lebih tinggi daripada pemberian ini? Sudah tentu tidak. Maka jadikanlah diri mu sebagai penuntut ilmu yang hakiki, supaya kamu memperolehi segala kelebihan yang disebutkan dalam hadis tersebut.

(Sumber: 40 Hadis kelebihan ilmu dan ulama, Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam)

Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha

No comments: