14 Jun 2013 / 5 Syaaban 1434H
MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)
SUNNAH HARI JUMAAT (2) : MEMAKAI WANGIAN DAN PAKAIAN YANG PALING BAIK
Sabda Rasulullah Sallallahualaihiwasallam maksudnya: “ Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, bersugi, berwangi-wangian dan memakai pakaian yang paling baik, kemudian dia pergi menuju ke masjid lalu melangkah masuk ke masjid tanpa melangkah bahu para jemaah yang berada di dalamnya, kemudian dia mendirikan solat sunat sebanyak dua rakaat yang dia mahu, kemudian dia berdiam diri ketika ketika khatib menyampaikan khutbah sehinggalah selesai solat, dia akan mendapat ganjaran dihapuskan dosanya antara tempoh Jumaat yang lalu sehinggalah ke Jumaat tersebut.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari)
Pengajaran: Alangkah indahnya menjadi orang Islam, amalan kecil tetapi ganjarannya besar yang diberi Allah.
KISAH: BESARNYA NIKMAT ALLAH TAPI KITA SERING DUSTAKAN
Kisah mengenai Ibrahim Adham. Suatu hari, dia sedang berburu dan apabila dia penat dia duduk sambil memotong roti yang dibawanya. Tiba-tiba hinggap seekor burung sebesar buruk gagak di depannya mematuk potong roti dan membawa terbang. Ibrahim berasa hairan dengan kejadian itu dan serta-merta mengikuti burung itu sehingga ke sebuah lereng gunung. Ibrahim melihat seorang lelaki dalam keadaan terikat kaki dan tangan. Setelah ikatan itu dilepaskan, dia menceritakan kejadian yang menimpanya.
''Saya adalah pedagang yang dirompak oleh sekumpulan penyamun dan diikat selama tujuh hari, maka burung itu datang kepada saya membawa roti setiap hari. Dengan demikian tahulah bahawa ALLAH s.w.t. tidak akan meninggalkan hambaNya kelaparan'', katanya.
Setelah kejadian itu, Ibrahim terus bertaubat dan menyerahkan segala hak miliknya ke jalan ALLAH s.w.t. dan menuju ke Makkah tanpa membawa bekal sedikit pun, tetapi dia tidak berasa lapar dalam perjalanan hingga masuk ke Kota Makkah dan bersyukur kepada ALLAH s.w.t.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredhaan Allah melainkan akan diangkatkan darjatnya”. -Riwayat Muslim.
"Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Dia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata". (surah As-syura ayat 27)
http://kisahtazkirah.blogspot.com/2010/03/kisah-besarnya-nikmat-allah-tapi-kita.html
DOSA MENGUMPAT HANYA BOLEH DIAMPUN OLEH MANGSA
Mengumpat ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain. Rasullah S.A. W. menjelaskan mengenai mengumpat seperti sabdanya bermaksud "Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya"(Hadis Riwayat Muslim)
Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya. Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ianya disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia,inikan pula daging saudara sendiri.
Dosa mengumpat bukan saja besar,malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan. Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya diakhirat.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:"Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat" (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad)
Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua.
Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya. Sabda Rasulullah S.A.W. "Wahai orang yang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis riwayat Abu Daud)
Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala. Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: "Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering". Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.
Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat cacatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya didunia. Maka, dia berkata kepada Allah "Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya". Maka Allah menjawab : "Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui".
Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberikan kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis diakhirat nanti.
Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya.
Oleh itu perbanyakkanlah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat.
http://kisahtazkirah.blogspot.com/2009/11/tazkirah-dosa-mengumpat-hanya-boleh.html
No comments:
Post a Comment