Thursday, January 26, 2012

MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W (6), BERSEDEKAH BUKAN SAHAJA DENGAN HARTA

Tazkirah Jumaat
27 Jan 2012 (3 Rabiul Awal 1433H)


MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W (6)
(Oleh: Ustaz Mohamad Razi Bin Haji Zulkifli, Bentong, Pahang Darul Makmur)

BERSEDEKAH BUKAN SAHAJA DENGAN HARTA

Daripada Abu Dzar r.a berkata, sebahagian sahabat berkata kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullulah, orang-orang kaya pergi membawa banyak pahala. Mereka solat sebagaimana kami solat, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa, namun mereka dapat bersedekah dengan kelebihan hartanya. Nabi SAW bersabda:’ Bukankah Allah telah menjadikan untuk mu sesuatu yang dapat disedekahkan? Sesungguhnya setiap kali tasbih (bacaan Subhanallah) adalah sedekah, setiap kali tahmid (bacaan Alhamdulillah) adalah sedekah, setiap kali tahlil (bacaan Laa ilaaha illallah) adalah sedekah, menyuruh kepada kebaikan adalah sedekah, melarang kemungkaran adalah sedekah, dan jimaknya salah seorang antara kamu juga adalah sedekah. ‘ Mereka bertanya: ‘Wahai Rasulullah, adakah jika salah seorang daripada kami memenuhi hajat syahwatnya berpahala?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Menurut mu, bukankah jika dia menyalurkan syahwatnya pada yang haram, maka dia berdosa? Maka demikian pula apabila dia menyalurkannya pada yang halal, dia mendapat pahala.’”

(Riwayat Ahmad no. 21483 dan Muslim no. 1006)

Sumber: Zahazan Mohamed & Muhammad Zakaria(2011) Hadis 40 Iman Nawawi, Telaga Biru Sdn Bhd, Kuala Lumpur.


BERSEDEKAHLAH SEBELUM PINTU REZEKI DITUTUP

Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh. (Munafikun: 10)

Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan. (Munafikun: 11)

Zakat ialah sedekah yang wajib bagi mereka yang mempunyai harta yang melebihi kadar yang telah ditetapkan dan melebihi keperluan, dan selain daripada itu adalah dikira sebagai sedekah yang sunat.

Baqarah [219]….dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: Dermakanlah apa-apa) yang berlebih dari keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) supaya kamu berfikir

Bersedekahlah sebelum sampai ajal dan pintu rezeki kita ditutup .

Az-Zariyat [22] Dan di langit pula terdapat (sebab-sebab) rezeki kamu dan juga terdapat apa yang telah (ditakdirkan dan) dijanjikan kepada kamu.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a., bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda, “Seorang hamba memiliki dua pintu di langit. Pintu yang menjadi keluarnya rezeki dan pintu yang menjadi masuknya amal dan perkataan baiknya. Jika ia meninggal dunia, dua pintu langit itu akan merasa kehilangan dan akan menangisinya.” Kemudian Baginda s.a.w membaca ayat, “”Maka langit dan bumi tidak menangisi mereka.” Disebutkan demikian, kerana mereka tidak memiliki amal soleh di atas muka bumi yang membuat bumi menangisi kematian mereka (Fir’aun dan bala tentaranya). Dan mereka juga tidak memiliki amalan dan perkataan yang baik, yang naik ke langit sehingga langit itu tidak merasa kehilangan dan tidak pula menangisi mereka.”.. (Riwayat Abu Ya’la dan At-Tirmidzi).

Rasulullah s.a.w. bersabda “Sesungguhnya rezeki itu mencari seorang hamba lebih kerap daripada apa yang dicari oleh ajalnya” (Riwayat Thabrani melalui Abu Daud).

Rasulullah s.a.w bersabda “Janganlah kamu merasa bahawa rezekimu terlambat datangnya, kerana sesungguhnya tidaklah seorang hamba akan mati, hingga telah datang kepadanya rezeki terakhir (yang telah ditentukan) untuknya, maka tempuhlah jalan yang baik dalam mencari rezeki, iaitu dengan mengambil yang halal dan meninggalkan yang haram.” (Riwayat Ibnu Majah).

Rasulullah s.a.w. juga bersabda yang maksudnya: “ Sesungguhnya roh al-Qudus telah datang kepada aku memberitahu bahawa seseorang itu tidak akan mati selagi tidak sempurna rezeki Allah Subhanahuwata’ala…

Apabila kadar rezeki yang ditetapkan Allah Subhanahuwata’ala kepada seseorang telah cukup dan sempurna, maka akan dihantar malaikat untuk mencabut nyawanya. Malaikat yang ditugaskan untuk mencabut nyawa ialah Malaikal Maut dan Malaikat Izrail pula adalah menteri kepada ‘mereka’ yang ditugaskan untuk mencabut nyawa.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/01/20/bersedekahlah-sebelum-pintu-rezeki-ditutup/

Thursday, January 19, 2012

MUSLIM (ORANG ISLAM) YANG PALING BAIK, LAZIMKAN BERADA DI MASJID

Tazkirah Jumaat
20 Jan 2012 (25 Safar 1433H)


MUSLIM (ORANG ISLAM) YANG PALING BAIK

Abu Musa al-Asy’ari berkata,”Para sahabat bertanya kepada Rasulullah saw: ‘Wahai Rasulullah, orang Islam manakah yang paling utama?’ Baginda menjawab “Orang yang tidak pernah menganggu orang Islam lainnya, sama ada dengan lisan (kata-kata) ataupun dengan tangan (tindakannya)” (Riwayat Bukhari).

Muslim (Orang Islam) ialah orang yang menyelamatkan muslim lain dari perbuatan dan kata-katanya… (Riwayat Ahmad dari Abu Hurairah)

Muslim yang paling baik tidak menyusahkan orang lain melalui tangannya iaitu tindakannya. Sebagai contoh, Dia tidak meletakkan kenderaannya ikut suka hati sehingga boleh menggangu lalulintas. Dia tidak akan membunyikan hon keretanya dengan kuat sehingga menyebabkan orang lain terkejut.

Muslim yang paling baik tidak mencela muslim yang lain melalui lisannya. Dia tidak akan memfitnah sesama Islam. Muslim yang baik juga tidak mempunyai hasad dengki sesama sendiri.

Islam melarang umatnya menggunakan mulut untuk mengumpat atau bercakap kotor dan menggunakan anggota badannya yang lain untuk menyakiti orang Islam yang lain.

Berakhlaklah dengan mengikut akhlak Nabi iaitu akhlak AlQuran. Nabi mengamalkan setiap perkara dan akhlak baik sebagaimana yang disebut dalam AlQuran. Akhlak Muslim yang mulia itu berat timbangannya. Amalan yang dilakukan beserta akhlak yang baik, walaupun sedikit diberikan pahala dan ganjaran yang banyak.

Dari Abu Al-Darda’ r.a., bahawa Nabi s.a.w., bersabda“Tidak ada sesuatu pun yang ditimbang pada hari Kiamat yang lebih berat daripada akhlak dan budi pekerti yang baik. ” (Riwayat Abu Daud & Tirmizi).

Akhlak adalah sesuatu yang abstrak (tidak boleh dipegang), yang tidak boleh ditimbang secara zahirnya. Namun Allah boleh menimbang perkara yang abstrak, misalnya amalan puasa dan sembahyang. Hanya Allah yang boleh menimbang dan menilai berat pahala amalan-amalan tersebut.

Amalan yang banyak tetapi disertai dengan akhlak yang buruk pula mengurangkan pahala. Pernah Rasulullah SAW berkumpul bersama dengan para sahabat. Kemudian salah seorang sahabat berkata bahawa dia memiliki seorang jiran wanita yang sering berpuasa siang hari dan di malam harinya sembahyang tahajjud. Tetapi Rasulullah mengatakan bahawa wanita itu adalah ahli Neraka. Sahabat bertanya, mengapa demikian. Jawab Baginda Rasulullah SAW, “Wanita itu selalu menyakiti jiran tetangga dengan lidahnya, tidak ada kebaikan lagi baginya dan dia adalah ahli Neraka.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/01/16/muslim-yang-paling-baik/


LAZIMKAN BERADA DI MASJID

Apabila fitnah berleluasa iaitu agama berada dalam keadaan huru hara, lazimkanlah duduk (berada) di dalam masjid. Di akhir zaman, apabila umat sudah rosak dan berlaku banyak fitnah iaitu agama berada dalam keadaan huru hara, lazimkanlah duduk di dalam masjid kerana syaitan tidak masuk dalam masjid (tidak banyak syaitan yang masuk berbanding di luar masjid). Lagipun dalam masjid banyak terdapat majlis ilmu dan peringatan.

Dalam satu hadith disebut, syaitan adalah merupakan serigala bagi manusia, seperti serigala yang menangkap kambing biri-biri yang terpencil dari kumpulannya. Begitu juga syaitan dengan manusia. Oleh itu hendaklah kamu sentiasa dengan kumpulan orang yang ramai, berjemaah dan menghadiri masjid dimana di situ terdapat nasihat-nasihat, tunjuk ajar tentang apa yang perlu dilakukan.( Masnad Imam Ahmad dari Mu’az bin Jabal – Jame’ Soghir 1/308 )

Rasulullah s.a.w. bersabda “Masjid adalah rumah setiap orang yang beriman.” (Riwayat Abu Nu’aim). Sesungguhnya masjid itu adalah rumah bagi setiap orang yang bertaqwa, dan sesiapa yang merasakan masjid itu adalah rumahnya, Allah menjaminnya mendapat rahmat dan ketenangan, serta melintasi titian sirat menuju keredhaan Allah di dalam Syurga” (Riwayat Tabrani).

Orang yang beriman (mukmin) berada dalam masjid ibarat ikan di dalam air, sedangkan orang yang munafik berada dalam masjid ibarat burung dalam sangkar (Hadith). Ikan di dalam air bebas berenang, burung dalam sangkar pula menunggu hendak keluar.

Berkata Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bertanya (kepada para sahabatnya) “Adakah kamu ingin tahu tentang sesuatu yang boleh menghapuskan dosa oleh Allah s.w.t. dan mengangkat darjat (kamu?) Maka mereka menjawab “Ya, wahai Rasulullah s.a.w.” Sabda Baginda, “Berwuduklah dengan cara bersungguh-sungguh ketika kesejukan, dan banyakkanlah langkah menuju ke masjid-masjid (untuk sembahyang), menanti sembahyang selepas sembahyang adalah jihad“.

Menunggu atau menanti satu sembahyang misalnya menunggu waktu Isyak setelah selesai mengerjakan fardu Maghrib atau keluar daripada masjid setelah selesai satu sembahyang tetapi kembali semula sebelum masuk waktu sembahyang yang berikutnya. Perbuatan menunggu satu sembahyang selepas satu sembahyang juga merupakan satu jihad. Jihad ini, adalah lebih mudah dan ringan untuk dilakukan jika dibandingkan dengan jihad peperangan. Namun begitu tidak ramai yang mampu untuk melakukannya kerana ia bercanggah dengan kehendak hawa nafsu. Nafsu lebih cenderung membawa seseorang untuk berada di luar masjid daripada menunggu di dalam masjid.

Masjid yang kita sembahyang dan beri khidmat akan menjadi tunggangan di hari Kiamat untuk meniti Sirat, yang perjalanannya 3,000 tahun meniti di bawah neraka.Di hari Kiamat juga masjid akan mendakwa mereka yang tidak pernah hadir untuk solat di masjid berdekatan rumah mereka.

Mereka yang terlambat dan tidak sempat mendapat jemaah, tetap mendapat pahalanya. Dalam sebuah hadith disebut, maksudnya: Berkata Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw bersabda, sesiapa yang telah berwuduk dengan cara yang baik, kemudian terus ia menuju (ke masjid) tetapi didapati orang ramai telah selesai dari bersembahyang (jemaah) Allah swt akan mengurniakan kepadanya pahala (solah jamaah) sama dengan mereka yang hadir berjemaah, dengan tidak mengurangkan sedikit pun pahala (solah) jemaah mereka.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/11/25/lazimkan-berada-di-masjid/


Friday, January 13, 2012

MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W (5), KISAH HARUT DAN MARUT

Tazkirah Jumaat
13 Jan 2012 (18 Safar 1433H)


MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W (5)
(Oleh: Ustaz Mohamad Razi Bin Haji Zulkifli, Bentong, Pahang Darul Makmur)

“Menuntut ilmu itu adalah satu kefarduan (wajib) ke atas setiap Muslim” (Riwayat Ibnu Majah)

Menuntut ilmu adalah satu proses pengisian jasad dan minda lahiriah hingga menjadikan jasad dan minda itu hidup, berfungsi, cemerlang, bermanfaat di tengah-tengah masyarakat, membangunkan ketamadunan manusia dan bersedia untuk bertemu dengan Allah Subhanahuwataala sebelum ke liang lahad dan seterusnya ke padang mahsyar di akhirat. Oleh sebab itu, isilah jasad dan minda ini dengan ilmu yang hak dan bermanfaat serta diredhai Allah Subhanahuwataala.

(Majalah Fardhu Ain edisi 8)


KISAH HARUT DAN MARUT

Setelah Allah SWT menciptakan manusia sebagai khalifah di bumi, para malaikat di langit berkata ” Wahai Tuhan, mengapa engkau jadikan anak-anak Adam itu sebagai makhluk pilihan-Mu di bumi, sedangkan mereka sering menderhakaiMu”.

Allah SWT berfirman, “Kalaulah Aku turunkan kamu ke dunia dan Aku cipta kamu sama seperti manusia yang mempunyai nafsu, nescaya kamu juga akan melakukan sebagaimana yang manusia lakukan”. Para Malaikat menjawab, “Maha Suci Engkau wahai Tuhan, kami sama sekali tidak akan menderhakai-Mu ”.

Lalu Allah SWT menyuruh para Malaikat memilih dua Malaikat yang terbaik di antara mereka untuk diturunkan ke bumi. Maka para Malaikat pun memilih Harut dan Marut, iaitu dua Malaikat yang paling soleh di kalangan mereka dan yang paling banyak ibadatnya kepada Allah SWT.

Sebelum diturunkan ke dunia, Harut dan Marut dibekalkan dengan nafsu dan syahwat sama seperti manusia. Mereka juga dianugerahkan berbagai ilmu pengetahuan termasuklah ilmu sihir. Mereka mengajar tentang sihir supaya manusia boleh membezakan antara sihir dan mukjizat Nabi Sulaiman.

Baqarah [102] …. Nabi Sulaiman tidak mengamalkan sihir yang menyebabkan kekufuran itu, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir (dengan amalan sihirnya) kerana merekalah yang mengajarkan manusia ilmu sihir

Malaikat Harut dan Marut ini tidak mengajar ilmu sihir kepada manusia, melainkan mereka datang ke dunia sebagai ujian untuk mengajak manusia meninggalkan ilmu tersebut. Ada dikalangan masyarakat di zaman tersebut yang meminta supaya mereka mengajarkan ilmu ini, namun Harut dan Marut meletakkan syarat, sekiranya ilmu ini diajar, jangan sekali-kali mereka menyalah gunakan ilmu tersebut.

Baqarah [102] …. dan apa yang diturunkan kepada dua malaikat: Harut dan Marut, di negeri Babil (Babylon), sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: Sesungguhnya kami ini hanyalah cubaan (untuk menguji imanmu), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir (dengan mempelajarinya) ”.

Ada juga ilmu sihir yang boleh membalik-balikkan hati manusia, sehingga pasangan suami isteri yang saling sayang menyayangi bertukar menjadi benci, bergaduh dan seterusnya membawa kepada penceraian.

Baqarah [102]….Dalam pada itu ada juga orang-orang yang mempelajari dari mereka berdua: Ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah

Pada suatu hari datanglah seorang wanita yang cantik jelita berketurunan Parsi (Iran), bernama Zahrah isteri Raja ketika itu, yang juga merupakan zuriat keturunan Qabil (anak Nabi Adam yang cantik). Zahrah datang untuk mempelajari “Ismullahhul A’zom” (nama-nama Allah yang besar).

Apabila terpandang sahaja Zahrah, Harut dan Marut mula berdebar-debar. Maka bertanyalah Harut kepada Marut, “Wahai saudaraku Marut, adakah engkau merasai apa yang aku rasa, perasaan cinta dan berahi kepada wanita yang berjumpa kita tadi ?” Jawab Marut, “Benar, aku juga merasai apa yang engkau rasai”.

Lalu Harut dan Marut pun cuba memikat dan merayu pada Zahrah untuk melakukan hubungan tetapi dia menolak pada mulanya. Akhirnya Zahrah bersetuju dan meletakkan syarat, sekiranya mahu melakukan hubungan dengannya hendaklah minum arak. Akhirnya, mereka telah meminum arak untuk melakukan hubungan dengan Zahrah, kemudian membunuh suaminya serta melakukan perzinaan dengan Zahrah. Disebabkan mabuk, mereka telah melakukan dosa lain iaitu membunuh.

Setelah Harut dan Marut sedar daripada kemabukan mereka, keduanya insaf di atas kesalahan yang mereka lakukan dan ingin segera kembali ke langit. Namun, Allah SWT tidak mengizinkan. Allah SWT berfirman kepada mereka, “Sekarang kamu berdua pilih, samada kamu mahu menerima azab di dunia atau azab di akhirat.? ”Keduanya menjawab,“Wahai Tuhan, kami berdua memilih azab di dunia kerana azab di dunia ada pengakhirannya sedangkan azab di akhirat tidak akan berakhir.”

Sikap Harut dan Marut ini berbeza dengan sikap Iblis yang memilih agar ditangguhkan azab di dunia ini kerana enggan sujud kepada Nabi Adam a.s.

Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat terus-menerus hingga ke hari kiamat. (Hijr:35) Iblis berkata: Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangitkan (hari kiamat). (Hijr:36)

Kemudian Allah SWT menempatkan Harut dan Marut di negeri Babil (Babylon) dan diazab dengan kedua kakinya terikat dengan kepalanya ke bawah dan kaki ke atas.

Manakala Zahrah pula telah dilaknat dan di”masakh” iaitu ditukar dia menjadi sebuah planet yang sekarang ini di kenali sebagai planet Zuhrah. Dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh Sayyidina Ali semasa Rasulullah SAW melihat ke bintang, Baginda melaknat bintang Zahrah “kerana kamulah Harut dan Marut sengsara (difitnah)”

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/01/08/kisah-harut-dan-marut/

Thursday, January 5, 2012

MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W (4), DHUHA DAN ISYRA’, MENYELAMATKAN ORANG ISLAM DARI DISAKITI

Tazkirah Jumaat
6 Jan 2012 (11 Safar 1433H)


MOTIVASI DARI HADIS NABI MUHAMMAD S.A.W (4)
(Oleh: Ustaz Mohamad Razi Bin Haji Zulkifli, Bentong, Pahang Darul Makmur)

KISAH 1: Abu Ayyub al-Ansari r.a berkata: “Suatu hari, kami sedang duduk bersama-sama Rasulullah S.A.W Baginda pun menyuakan makanan kepada kami. Tidak pernah ku lihat makanan yang lebih besar berkatnya daripada makanan itu pada awal kami memakannya. Namun tidak pernah pula ku lihat makanan yang lebih sedikit berkatnya daripada makanan itu pada saat terakhir kami memakannya. Kami bertanya, ‘Wahai Rasulullah, bagaimana hal ini boleh terjadi?’ Baginda menjawab, ‘Kita menyebut nama Allah ketika kita mulai makan. Tetapi, kemudian ada orang yang duduk lalu makan tanpa menyebut nama Allah. Maka syaitan pun makan bersamanya.” (Riwayat Tirmizi, Ahmad dan Baghawi)

KISAH 2: Aisyah R. Ha berkata: “ Rasulullah S.A.W pernah makan bersama enam orang sahabat Baginda. Tiba-tiba seorang Badwi datang dan ikut makan bersama mereka sebanyak dua suapan. Melihat hal itu, Rasulullah S.A.W bersabda, ‘ Seandainya dia menyebut nama Allah, nescaya makanan ini cukup untuk kamu semua.” (Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Nasa’i)


DHUHA DAN ISYRA’

“Rasulullah s.a.w. bersabda,”Dalam syurga, terdapat pintu yang bernama Ad-Dhuha. Apabila tiba Hari Kiamat, ada seseorang menyeru, ‘Mana orang yang mendirikan solat Dhuha? Inilah pintu kamu. Masuklah ke dalam syurga dengan iringan rahmat Allah.” (Riwayat At-Tabrani)

Rasulullah s.a.w. keluar menemui penduduk Quba ketika mereka melaksanakan solat Duha, lalu . Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Solat Duha dilakukan apabila anak-anak unta telah berasa kepanasan (kerana sinaran matahari):” (Riwayat Muslim dari Ahmad).

Sembahyang Dhuha berbeza dengan sembahyang sunat Isyra’ (Syuruk). Waktu Dhuha ialah waktu bumi mulai panas, diberi contoh apabila anak unta mulai merasa panas semasa duduk di atas permukaan tanah, lebih kurang pukul 10 pagi. Akhir waktu Dhuha ialah masuknya waktu Zohor.

Waktu Sembahyang Sunat Isyra’ ialah pula ialah sekitar 15-20 minit selepas masuk waktu Syuruk. Pahalanya dikatakan menyamai pahala haji dan umrah, 3 kali diulangi oleh Baginda.

“Sesiapa yang bersolat Fajar (Subuh) berjemaah, kemudian duduk dan mengingati Allah sehingga matahari naik, kemudian bersolah 2 rakaat, akan mendapat ganjaran seperti Haji dan Umrah.” Dia berkata : Rasulullah s.a.w berkata : “sempurna, sempurna, sempurna“. (Sempurna bermaksud pahala penuh)

Jabir bin Samurah (RA) berkata, “Setelah solah subuh, biasanya Rasulullah (SAW) tetap duduk di tempat solahnya sehingga setelah matahari naik.” ( Sunan an-Nasai)

Ada juga diriwayatkan bahawa pahala duduk di tempat solah sehingga naik matahari adalah menyamai pahala jihad. Duduk di tempat solah sehingga naik matahari juga adalah satu jihad iaitu jihad melawan nafsu.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/01/04/dhuha-dan-isyra/


MENYELAMATKAN ORANG ISLAM DARI DISAKITI

Rasulullah s.a.w. bersabda “Seseorang lelaki menemui ranting yang berduri di tengah jalan (yang dilaluinya), lalu ia berkata (kepada dirinya sendiri), “Demi Allah, aku benar-benar akan menjauhkan (membuang) duri ini agar tidak menggangu orang-orang muslim”, kerana itu dia dimasukkan ke syurga.(Riwayat Muslim)

Membuang duri atau benda yang menyakitkan (seperti kaca, paku) dijalanan adalah satu sedekah.

Daripada Ibnu Abbas, Nabi bersabda “…..dan membuang bahaya di atas jalan adalah sedekah“

Membuang duri dari jalan juga diampuni dosa. Dalam hadith yang diriwayatkan Abu Hurairah ra.

“Apabila seseorang berjalan atas jalan, dia menjumpai ranting berduri lalu diambilnya, dan dia bersyukur kepada Allah, dan Allah Mengampunkannya” [Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim].

Allah merahmati (mengasihani) sesorang yang membuang sesuatu yang menyakitkan (atau menjadi halangan) dari jalan diatas niat untuk menyelamatkan orang Islam lain. Begitulah tingginya makam (kedudukan) orang Islam disisi Allah s.w.t.

Lebih tinggi markah amalan yang diberikan, maka lebih tinggilah ganjaran yang diperolehi di Syurga nanti. Oleh itu orang Islam tidak sewajarnya bergaduh sesama sendiri dan menyakiti saudara seagamanya. Umat Islam dilarang mengacu senjata sesama mereka kerana kita adalah bersaudara.

Daripada Abdullah bin Umar r.a bahawa Nabi s.a.w. telah bersabda: Sesiapa yang menghunus senjata kepada kita, maka ia bukan dari kalangan kami.

Ini bukanlah bermakna mereka yang mengacu senjata itu adalah kafir, cuma mereka tidak termasuk dalam kumpulan Rasulullah s.a.w. di akhirat nanti. Sebaliknya orang Islam yang membunuh sesama sendiri akan masuk neraka samada yang membunuh atau dibunuh kerana kedua-duanya berhajat untuk membunuh.

Dari Abu Bakrah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda : Apabila dua orang muslim berkelahi menggunakan pedang masing-masing, maka si pembunuh dan yang terbunuh kedua-duanya masuk neraka” (Riwayat Muslim)

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2011/12/29/menyelamatkan-orang-islam-dari-disakiti/