Sunday, November 4, 2012

KEUTAMAAN MEMBACA SURAH AL-BAQARAH, HADITH: SI PEMURAH DAN SI BAKHIL, HADITH : BERBELANJA DI JALAN ALLAH


Tazkirah Jumaat
2 Nov 2012 (17 Zulhijjah 1433H)

KEUTAMAAN MEMBACA SURAH AL-BAQARAH

Hadith: Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu perkuburan sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca padanya surah al-Baqarah. (Riwayat Muslim).

Huraian Hadith: Rumah adalah sebahagian daripada kesempurnaan nikmat pemberian Allah SWT kepada manusia. Rumah menjadi tempat tinggal, tempat berehat dan banyak lagi manfaat lain yang boleh diperoleh daripadanya. Itulah yang dikatakan Ibnu Katsir ketika mentafsirkan surat An Nahl ayat 80 Dan Allah menjadikan bagi mu rumah-rumah mu sebagai tempat tinggal. Justeru mereka yang dikurniakan kemampuan memiliki rumah sendiri tidak kira besar mahupun kecil perlu mensyukurinya.

Islam mengajarkan kita tata cara tertentu dalam mendirikan rumah atau menduduki rumah baru iaitu membanyakkan membaca surat Al Baqarah dari ayat pertama sehingga ayat terakhir. Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: Bacalah surat al- Baqarah di rumah kalian, kerana sesungguhnya syaitan itu tidak akan memasuki sesebuah rumah yang di dalamnya dibacakan surat al-Baqarah Surah al-Baqarah menceritakan asal usul kejadian manusia, serta asal usul kemurkaan Allah kepada syaitan. Hakikat inilah yang melemahkan syaitan apabila kita membaca surah tersebut. Ia mendedahkan kelemahan mereka dan kehormatan kita yang dilantik oleh Allah SWT sebagai khalifah di dunia. Dengan membacakan surah al-Baqarah suasana rumah akan menjadi lebih tenang dan akan dijauhi daripada gangguan syaitan. Jangan pula ketika memasuki rumah baru kita membawa masuk segala perkara baru yang bercanggah dengan agama seperti mengamalkan perkara khurafat dan ritual-ritual seperti memanggil dukun dan paranormal agar rumah terhindar daripada gangguan syaitan atau perkara-perkara ghaib. Semua ini jelas merupakan perbuatan syirik dan mengundang kemurkaan Allah! Ketika di rumah sama ada rumah baru atau yang sudah lama didiami jangan sekali-kali kita melakukan perkara-perkara yang boleh mengundang syaitan untuk masuk dan tinggal di dalamnya seperti membawa masuk perkara-perkara haram dan maksiat, menyimpan patung berhala dan sebagainya. Mahukah kita mendiami rumah bersama-sama syaitan? Ketahuilah bahawa syaitan sekali-kali tidak akan pernah berhenti berusaha untuk memasuki rumah orang-orang yang beriman dengan tujuan untuk menyesatkannya.

http://www.islam.gov.my/e-hadith/keutamaan-membaca-surah-al-baqarah-0


HADITH: SI PEMURAH DAN SI BAKHIL

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Nabi SAW bersabda, “Tidak berpagi-pagi seseorang itu melainkan turun kepadanya 2 malaikat lalu seorang daripada kedua-duanya dengan berkata, “Ya Allah, berikan ganti kepada orang yang berbelanja”, dan seorang lagi pula berdoa dengan katanya, “Ya Allah, binasakanlah harta orang yang bakhil”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Huraian Hadith: 

1. Islam menggalakkan umatnya supaya gemar membelanjakan harta dan membenci sifat kedekut (bakhil).

2. Harta yang dibekukan oleh seseorang akan dimusnahkan oleh Allah.

3. Islam melatih umatnya supaya menjadi manusia yang pemurah dan tidak menjadi manusia yang bakhil.

4. Berbelanja atau tidak adalah hak seseorang sedangkan pembalasannya adalah hak Allah.

5. Harus berdoa untuk orang yang pemurah supaya digantikan apa yang dibelanjakan dengan yang lebih baik daripada apa yang telah dibelanjakan, dan harus berdoa ke atas orang yang bakhil dengan dibinasakan hartanya yang ditahan daripada berbelanja pada jalan yang diwajibkan.

Sumber : Kitab Riyadh as-Solihin

http://www.islam.gov.my/e-hadith/si-pemurah-dan-si-bakhil


HADITH : BERBELANJA DI JALAN ALLAH

Daripada Abu Abdullah (dikatakan Abu Abdul Rahman) Tsauban bin Bujdad hamba yang dimerdekakan Rasulullah SAW katanya, sanda Rasulullah SAW, “Sebaik-baik wang yang dibelanjakan oleh seseorang ialah wang yang dibelanjakan untuk menyara keluarganya, wang yang dibelanjakan untuk binatang tunggangan pada jalan Allah dan wang yang dibelanjakan untuk kawan-kawannya di jalan Allah”.  (Riwayat Muslim)

Huraian Hadith: 

1. Islam menggariskan kelebihan berbelanja kepada tiga peringkat iaitu: 1)Perbelanjaan kerana kaum keluarga. 2) Berbelanja untuk binatang-binatang tunggangan pada jalan Allah, dan 3) berbelanja untuk kawan-kawan pada jalan Allah (menegakkan Agama Islam).

2. Islam mengingatkan umatnya supaya mengambil faedah daripada berbelanja kerana perbelanjaan yang tidak dikehendaki oleh Islam adalah sia-sia dan membazir.

3. Perbelanjaan yang dikeluarkan untuk mencari keredhaan Allah akan mendapat pembalasan yang setimpal.

4. Tiga perkara yang disebut dalam hadis adalah penting dan perlu didahulukan daripada yang lain dalam berbelanja.

http://www.islam.gov.my/e-hadith/berbelanja-di-jalan-allah

No comments: