Sunday, November 4, 2012

HADIS : GOLONGAN YANG DIBENCI, FADHILAT DAN HIKMAH KORBAN, DUGAAN MENGHAPUSKAN DOSA, ORANG YANG BERBUDI MULIA

Tazkirah Jumaat
26 Okt. 2012 (10 Zulhijjah 1433H)

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW
HADIS : GOLONGAN YANG DIBENCI
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)

Daripada Abdullah bin Umar r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga golongan yang tidak dipandang Allah pada hari kiamat;  penderhaka ibu, penagih arak dan orang yang suka menyebut pemberiannya.” (Riwayat al-Hakim)

Pengajaran: Untuk menjadi orang yang beriman, elakkan perbuatan yang tidak disukai Allah SWT.

(Sumber: Buat diri ku yang mudah lupa 101 rekreasi hati, Zahazan Mohamad, Nik Wafdi Nik Jaafar)


HADIS : FADHILAT DAN HIKMAH KORBAN

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:" Aku diperintahkan dengan menyembelih korban itu dan ia adalah sunat ke atas kamu" Riwayat at- Tirmidzi

Huraian :

i) Qurban atau Udhiah bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an'am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada Hari Nahar atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) kerana bertaqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.

ii) Antara hikmah korban adalah:

a. Memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyahut perintah Allah Ta'ala untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s.

b. Melahirkan tanda bersyukur kepada Allah terhadap nikmat-nikmatnya yang melimpah-ruah.

c. Menanamkan perasaan kasih-sayang antara si kaya dengan si miskin.

iii) Fadhilat yang diperolehi daripada ibadah korban amat besar. Antaranya ialah:

a. Menambah amal kebajikan- Sabda Rasulullah s.a.w: Maksudnya: "Korban itu bagi tuannya dengan setiap bulunya adalah kebajikan".(Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

b. Sebagai penebus dosa - Sabda Rasulullah s.a.w kepada Sayyidatina Fatimah: Maksudnya: "Hai Fatimah,berdirilah di sisi korbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu".(al-Bazzar dan Ibnu Hibban)

c. Mendapat tempat yang mulia di sisi Allah- Sabda Rasulullah s.a.w: Maksudnya: "Wahai manusia, sembelihlah korban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya, bahawa sesungguhnya darah korban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azza Wajalla."

http://dakwah2u.blogspot.com/


HADIS : DUGAAN MENGHAPUSKAN DOSA

Dari Abdullah r.a katanya:"Aku datang mengunjungi Rasulullah s.a.w ketika beliau sakit, lalu kusentuh baginda seraya berkata:"Ya Rasulullah! Demam anda bertambah teruk." Jawab baginda,"Memang demamku sama dengan demam dua orang kamu. Kataku pula, “Semoga anda mendapat pahala berganda pula." Jawab baginda:"Semoga!" Kemudian sabda baginda pula:"Tidak ada seorang muslim yang ditimpa cubaan berupa sakit dan sebagainya melainkan dihapuskan Allah Taala dosa-dosanya, seperti pohon kayu menggugurkan daunnya." (Muslim)

Huraian : Segala bencana, penyakit, kesusahan atau kerunsingan yang menimpa tubuh badan atau akal fikiran seseorang mukmin adalah menjadi "kaffarah" (penghapus) kekotoran dosa dan kesalahan orang yang ditimpa bencana itu. Anas berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: "Bahawa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian; dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum diuji mereka, kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan reda, maka dia akan beroleh keredaan Allah, dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan dari Allah." (at-Tirmidzi dan Ibn Majah)

http://dakwah2u.blogspot.com/


HADIS : ORANG YANG BERBUDI MULIA

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: "Bukanlah (golongan ini) daripada orang beriman yang sempurna imannya : orang yang suka mengecam, suka melaknat yang suka bercakap kufur dan yang suka mencarut" Riwayat Ahmad

Pengajaran Hadis

i) Orang yang berbudi mulia akan sentiasa berusaha menjauhkan dirinya daripada terlibat dalam pertelingkahan yang selalunya tidak berlandaskan pemikiran yang rasional kerana hal ini merupakan satu tindakan yang tidak produktif dan tidak berfaedah malah hanya akan berakhir dengan perpecahan dengan hidup saling bermasam muka di antara satu sama lain.

ii) Ii) Islam menyuruh kita agar hidup bersatu padu, bersikap merendah diri dan tidak berlagak sombong. Ini akan memudahkan perhubungan dan kasih sayang sesama umat Islam di mana pemimpin masyarakat dan organisasi yang sebegini juga akan disenangi oleh para pengikut dan kakitangannya malah akan mudah mendapat kerjasama daripada mereka.

iii) Demikian juga kita dilarang menceritakan keburukan orang lain dengan melaknat, mengecam mencemuh, mencarut dan sebagainya kerana ini akan menyebabkan pergaduhan dan hilang rasa hormat antara sesama anggota masyarakat. Maka berlakulah ketegangan yang sebenarnya merugikan keseluruhan umat Islam itu sendiri.

http://dakwah2u.blogspot.com/

Makluman : Risalah Tazkirah minggu lepas dikeluarkan minggu ini kerana minggu lepas bekalan elektrik terputus menyebabkan risalah ini tidak dapat dikeluarkan. Harap maklum.

No comments: