Thursday, September 6, 2012

MENDAMAIKAN PERTIKAIAN DENGAN ADIL, KELEBIHAN ZIKIR ‘LAAILAHA ILLALLAH’


Tazkirah Jumaat
31 Ogos 2012 (13 Syawal 1433H)

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW : MENDAMAIKAN PERTIKAIAN DENGAN ADIL
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)

Daripada Abi Sa’id al Khudri r.a. berkata bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa antara kamu melihat kemungkaran hendaklah dia mengubah dengan tangannya; jika tidak sanggup maka dengan lisannya; dan jika tidak sanggup juga maka dengan hatinya. Itu adalah selemah-lemah iman.”

(Riwayat Ahmad no.11478, Muslim no.49, Abu Daud no. 1140 dan at Tirmizi no. 2172)

Pengajaran:

1. Kewajiban mengubah itu adalah tanggungjawab orang yang melihat kemungkaran itu.

2. Yang dimaksudkan”mengubah dengan tangan” itu ialah jika ada kekuasaan, bukan mengubah dengan kekerasan yang boleh membawa kepada perkelahian, kekacauan, peperangan dan pertumpahan darah. Jika ini berlaku, bencana yang diakibatkan itu lebih teruk atau dahsyat daripada kemungkaran itu sendiri.

3. Jika tidak mampu diubah dengan kekuasaan atau kekuasaan tidak dimiliki, ubahnya dengan lisan, kata-kata, dakwah dan tunjuk ajar. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “ Jihad yang utama ialah perkataan yang benar di sisi pemerintah yang zalim.”(Riwayat Ahmad no.11159 daripada Abu Said r.a)

4. Peringkat terakhir ialah mengubah dengan hati iaitu dengan cara:

a. Tidak bersetuju dengan sepenuh hati perkara kemungkaran itu berlaku.

b. Menentang dan membenci kemungkaran itu dengan hati.

Ibn Mas’ud berkata: “Binasalah orang yang tidak mengetahui dengan hatinya akan yang hak dan yang mungkar.”

(Sumber: Hadis 40 IMAM NAWAWI, Huraian dan intisari oleh Zahazan Mohamed dan Muhammad Zakaria)


KELEBIHAN ZIKIR ‘LAAILAHA ILLALLAH’

Di mana sahaja dan pada apa sahaja masa hendaklah baca zikir ‘Laailaha illallah’ dengan banyaknya kerana kelebihanya :

Kelebihan:

1. Di dalam hadis bahawa zikir yang tidak terhad kepada sebarang masa, tempat dan alasan ialah ‘Laailaha illallah’. Ia merupakan zikir yang cemerlang. Di dalam hadis yang lain bahawa ia adalah bentuk kebaikan yang tertinggi.

2. Di dalam hadis yang lain bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “pada hari kiamat orang yang paling beruntung mendapat syafaatku ialah orang yang banyak membaca kalimah ‘Laailaha illallah’ dengan hatinya dan jiwanya iaitu dengan hati yang ikhlas”.

3. Di dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang membaca ‘Laailaha illallah’ di dalam keadaan penuh keikhlasan di dalam hatinya atau iman bersamaan dengan sebiji barli, maka ia akan dikeluarkan dari neraka jahanam. Dan orang yang membaca kalimah ini dan di dalam hatinya terdapat keikhlasan atau iman bersamaan sebesar biji gandum maka ia akan dikeluarkan dari api neraka jahanam dan orang yang membaca dengan penuh kebaikan atau iman maka ia juga akan dikeluarkan dri api Neraka Jahanam”.

4. Di dalam hadis lain terdapat: Orang yang membaca kalimah ‘Laailaha illallah’ dari hatinya, ia pasti akan memasuki syurga walaupun ia melakukan dosa seperti berzina dan mencuri, walaupun ia melakukan zina dan mencuri. (Nabi SAW telah mengulangkannya sebanyak 3 kali)

5. Hadis lain: Rasulullah SAW bersabda: Hendaklah kamu sentiasa perbaharui iman kamu. Para sahabat Rasulullah SAW berkata ‘Wahai Rasulullah SAW, bagaimanakah kami perbaharui iman kami? Rasulullah SAW menjawab ‘ucapkanlah Laailaha illallah sebanyaknya’.

6. Hadis lain: Rasulullah SAW bersabda: Tiada yang dapat menghalang kalimah ‘Laailaha illallah’ sampai kepada Allah

7. Hadis lain: Zikir ‘Laailaha illallah’ tidak akan meninggalkan satu dosa pun di belakang dan tiada satu amalan yang menyamainya.

8. Hadis lain: Jika tujuh petala langit dan bumi diletakkan di satu dacing dan dengan kalimah ‘Laailaha illallah’ diletakkan di atas dacing yang lain, maka (kalimah) lebih berat lagi.

9. Dalam hadis: Apabila seorang hamba mengucapkan kalimah ‘Laailaha illallah’ dengan ikhlas hati, maka pintu langit terbuka bagi kalimah ini sehingga ia sampai ke Arasy, dengan syarat ia menjauhkan diri dari dosa besar.

http://ilike-concept.blogspot.com/2011/05/kelebihan-ayat-kursikelebihan-solat.html

No comments: