Thursday, September 6, 2012

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW, HIKMAH MEMBERI DAN MENJAWAB SALAM


Tazkirah Jumaat
24 Ogos 2012 (6 Syawal 1433H)

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)

Abu Hurairah r.a berkata, Nabi SAW  bersabda yang bermaksud: “ Setiap sendi tubuh manusia wajib mengeluarkan sedekah, setiap hari di mana matahari terbit padanya, engkau berlaku adil terhadap dua orang (yang bertelingkah) adalah sedekah, menolong seseorang pada kenderaannya lalu engkau membantunya untuk naik ke atas kenderaannya atau mengangkat barang-barangnya ke atas adalah sedekah, ucapan yang baik adalah sedekah, setiap langkah ketika engkau berjalan menuju solat adalah sedekah dan menghilangkan gangguan daripada jalan adalah sedekah.“ (Riwayat al Bukhari no.2827 dan Muslim no 1007 dan 1009)

Pengajaran:

1. Allah SWT mencipta manusia dengan sebaik-baik kejadian.

2. Kita perlu bersyukur atas kesempurnaan ciptaan anggota badan, pancaindera, tulang-belulang hingga kepada ira-ira jari.

3. Kesyukuran kepada Allah SWT akan menambah kenikmatan.

4. Kerana nikmat Allah itu, bersedekahlah kepada orang lain, bukan sahaja dalam bentuk harta benda, malah senyuman, mendamaikan dua orang yang berkelahi, membawa beban orang lain atau sekadar berjalan ke masjid untuk bersolat yang merupakan sedekah untuk diri sendiri.

5. Sedekah yang berupa perkataan yang baik ialah seperti:

  • Menjawab salam
  • Mengucapkan “Yarhakumullah” jika ada orang yang bersin.
  • Mengucap alhamdulullah.
  • Pelbagai bentuk zikir.
  • Ucapan yang baik ketika bercakap.
  • Ucapan yang baik apabila diminta.
  • Memberi maaf kepada orang yang meminta maaf.
  • Doa kepada orang Mukmin lain.
  • Pujian yang ikhlas.
  • Nasihat.
  • Menunjuk jalan.
  • Segala perkataan yang menyenangkan hati orang yang mendengar yang akan mengeratkan hati.


6. Membuang sesuatu yang berbahaya di jalanan juga sedekah.

7. Tunaikan solat sunat Dhuha sekurang-kurangnya dua rakaat setiap hari tanda kesyukuran atas kesempurnaan anggota tubuh badan dan mohon dimurahkan rezeki.

8. Ikhlas hanya kepada Allah SWT dalam melakukan amalan-amalan kebaikan.

9. (Sumber: Hadis 40 IMAM NAWAWI, Huraian dan intisari oleh Zahazan Mohamed dan Muhammad Zakaria)

Diriwayatkan oleh Abi Abdullah Jabir bin Abdullah al Ansari r.a, bahawa seseorang bertanya kepada Rasulullah SAW katanya yang bermaksud: “Bagaimana pendapatmu jika saya melakukan solat fardu, berpuasa pada bulan Ramadan, menghalalkan yang halal, dan mengharamkan yang haram, serta tidak menambahkan selain itu sedikit pun, adakah saya masuk syurga?” Nabi SAW menjawab: “Ya!” (Riwayat Ahmad dan Muslim, no. 15)


HIKMAH MEMBERI DAN MENJAWAB SALAM

Terdapat banyak hikmah yang Allah SWT letakkan disebalik salam. Sebab itu terlalu banyak hadis-hadis yang menceritakan kelebihan memberi dan menjawab salam. Antaranya ialah:

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda;

“Demi Tuhan yang diriku di dalam kekuasaan-Nya! Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman. dan kamu tidak akan beriman sehingga dapat berkasih mesra. Adakah aku belum menunjukkan kepada kamu satu amalan, yang apabila kamu mengerjakan nescaya kamu akan berkasih mesara?”

Para sahabat baginda menjawab;

“Belum Wahai Rasulullah SAW”

Kemudian Rasulullah SAW pun menerangkan:

“Kembangkanlah memberi salam di antara kamu.” (Hadis Riwayat Muslim daripada Abu Hurairah)

Tambahan daripada itu, malaikat pula akan mendoakan bagi mereka yang memberi dan membalas salam sebanyak 70 kali. Ini dinyatakan didalam hadis;

“Apabila seseorang Islam itu memberi salam kepada orang Islam lalu salamitu dibalasnya, maka berdoalah para malaikat untuknya 70 kali.” (Hadis Riwayat Sahibul Firdaus daripada Abu Hurairah)

Begitu juga dinyatakan bahawa Allah mengampunkan dosa-dosa sahabat handai sesama muslim antara mereka sebelum mereka berpisah. Ini dinyatakan didalam hadis;

“Tiadalah daripada dua orang Islam yang bertemu lalu bersalam-salam melainkan dosa kedua-duanya diampunkan sebelum mereka berpisah.” (Hadis Riwayat Abu Daud, At-Tarmizi dan Ibnu Majah)

http://www.facebook.com/harlina399

No comments: