Thursday, June 21, 2012

HADIS : TERPEDAYA DENGAN NIKMAT, LIMA HAK SESAMA MUSLIM, MEMBANTU SESAMA ISLAM


Tazkirah Jumaat
22 Jun 2012 (2 Syaaban 1433H)

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW
(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR)


TERPEDAYA DENGAN NIKMAT

Daripada Abdullah bin Abbas r.a, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Dua nikmat yang ramai manusia terpedaya dengannya; sihat dan kelapangan.” (Riwayat Bukhari)

Pengajaran- Waktu sihat dan waktu terluang itulah sebenarnya peluang keemasan untuk kita melakukan dan meningkatkan ibadah.

Sumber: 300 hadis bimbingan kearah mencari redha Allah, Zahazan Mohamad, Ahmad Hasan Mohd Nazam)


LIMA HAK SESAMA MUSLIM

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Ada lima hak bagi seorang muslim terhadap saudaranya sesama muslim iaitu: Menjawab salam, mendoakan kepada orang yang bersin, menyahut undangan, menziarahi orang sakit dan mengiringi jenazah.

1) Menjawab salam.

An-Nisaa [86] Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan Imam Muslim tentang salam. “Kamu tidak akan masuk syurga, sehingga kamu beriman. Kamu tidak akan beriman, sehingga kamu saling menyayangi. Mahukah aku tunjukkan kepada kamu semua, sesuatu yang dengan melakukannya, maka akan wujud rasa sayang-menyayangi? Tebarkan salam”

2) Mendoakan kepada orang yang bersin.

Selepas seseorang bersin hendaklah dia mengucapkan “alhamdulillah (segala puji bagi Allah) ” dan orang yang mendengarnya hendaklah mengucapkan “yarhamukallah”(semoga Allah merahmati kamu) sebagai mendoakan kesejahteraan orang yang bersin itu, serta dibalas pula oleh orang yang bersin dengan mengucapkan “Yahdiinaa wayahdiikumullah”.(Semoga allah rahmati kita semua dan diberi hidayah olehnya)

3) Menyahut undangan, iaitu menghadiri undangan misalnya majlis perkahwinan adalah sunat (bukannya wajib) dengan syarat majlis itu tidak mengandungi perkara haram seperti pergaulan bebas lelaki-perempuan dan tidak diselingi muzik.

Mengikut para ulama terdahulu, misalnya Abdullah Bin Masud adalah berdosa sekiranya seseorang itu makan sambil diringi muzik atau di tempat yang didendangkan muzik.

4) Menziarahi orang sakit. Sunnah dalam menziarahi orang yang sakit ialah tidak terlalu lama melawatnya agar pesakit itu tidak terbeban melayan pelawatnya. Berilah harapan agar dia cepat sembuh, misalnya dengan berdoa “mudah-mudahan Allah cepat sembuhkan kamu, InsyaAllah, jangan bimbanglah”

5) Mengiringi jenazah. Dalam mazhab Hanafi, jenazah dihantar terlebih dahulu sebelum orang ramai pergi ke kubur. Dalam mazhab Syafie pula orang ramai pergi dahulu ke kubur sebelum jenazah mengikuti dari belakang. Kedua-duanya adalah sunnah Nabi dari hadith-hadith.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/06/18/lima-hak-sesama-muslim


MEMBANTU SESAMA ISLAM

Daripada Salam, daripada bapanya r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda “Orang Islam ialah saudara orang Islam yang lain, janganlah dia menganiayai dan jangan pula dia membiarkannya dianiayai oleh pihak musuh. Sesiapa yang menolong saudaranya mencapai apa yang diperlukan, Allah pula akan menolongnya mencapai hajatnya. Dan sesiapa yang melegakan sesuatu kesusahan yang dihadapi oleh seseorang Muslim, nescaya Allah akan melegakan sesuatu kesusahan dari kesusahan-kesusahan (yang ada) pada hari Kiamat. Dan sesiapa yang menutup keaiban seseorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya pada hari Kiamat (Riwayat Muslim).Orang Islam ialah saudara orang Islam yang lain

Hujurat [10] : Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara…

Membantu Sesama Islam

Seorang sahabat nabi telah keluar daripada iktikafnya di masjid dalam bulan Ramadhan demi untuk membantu saudaranya yang dalam kesusahan. Beliau telah membacakan hadith di atas apabila ditanya kenapa dia keluar dari iktikafnya.

Kesusahan Hari Kiamat

Hari Kiamat adalah hari yang penuh dengan kesusahan, terutamanya dalam urusan hisab:

Dari Aisyah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Siapa yang dihisab (diperiksa) pada hari kiamat dia akan tersiksa”.Aisyah bertanya:”Bukankah Allah Azza Wajalla telah berfirman , “Mereka akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah” (al-Insyiqaq:8)” Jawab baginda:”Itu belum pemeriksaan, tetapi baru sekadar mengemukakan bukti-bukti.” Orang yang diperiksa dengan teliti nescaya tersiksa.” (Muslim)

Mengaibkan iaitu menceritakan keburukan seseorang samada ianya betul atau tidak adalah berdosa. Di Padang Mahsyar nanti Allah akan mengaibkan orang yang mengaibkan orang lain sehingga mereka merasa malu dan sanggup terjun ke dalam api neraka.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/06/18/membantu-sesama-islam

No comments: