Friday, June 15, 2012

MEMILIH SAHABAT, KELEBIHAN BULAN SYAABAN, BUAT 1 DAPAT MINIMA 10


Tazkirah Jumaat
15 Jun 2012 (25 Rejab 1433H)

MOTIVASI DARIPADA HADIS NABI SAW

(DARIPADA USTAZ MOHAMAD RAZI BIN HAJI ZULKIFLI, BENTONG, PAHANG DARUL MAKMUR) 



MEMILIH SAHABAT

Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda yang bermaksud : “Seseorang insan adalah terikut-ikut dengan adat kebiasaan sahabatnya. Maka hendaklah kamu melihat dengan siapa kamu bersahabat”

(Riwayat at-Tirmizi dan al Hakim)

Pengajaran : Kita perlu cerewet dalam memilih sahabat kerana bertemu dengan seorang sahabat yang baik adalah suatu ketenangan dalam jiwa.

(Sumber: 300 hadis bimbingan kearah mencari redha Allah, Zahazan Mohamad, Ahmad Hasan Mohd Nazam)


KELEBIHAN BULAN SYAABAN

Bulan Syaaban akan bermula dari 19 Jun 2012 hingga 19 Julai 2012. Marilah kita banyakkan amalan di dalam bulan yang penuh dengan keberkatan.

Sabda Nabi s.a.w. : Apabila masuk bulan Syaaban, baikkanlah niatmu padanya, kerana kelebihan Syaaban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu.

Barangsiapa yang berpuasa sehari pada bulan Syaaban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia akan menjadi tauladan Nabi Allah Yusuf a.s. di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah seperti pahala Nabi Allah Ayub a.s. dan Nabi Daud a.s. Jika dia sempurnakan puasanya sebulan di bulan Sya’aban, dimudahkan Allah atasnya Sakrotulmaut dan ditolakkan (terlepas) daripadanya kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripada hura-hara Munkar dan Nakir, ditutup Allah keaibannya di hari kiamat dan diwajibkan syurga baginya.

Barangsiapa berpuasa pada awal hari khamis pada bulan Sya’aban dan akhir khamis daripada Syaaban, dimasukan dia ke dalam syurga. (dari kitab Al-Barakah).

Berkata Siti Aisyah r.a., bulan yang lebih dikasihi oleh Rasululah s.a.w. ialah bulan Syaaban.

Sabda Nabi s.a.w.: Sya’aban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Syaaban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani dan rohani).

Sabda Nabi s.a.w.: Bahawa puasa Syabaan kerana membesarkan Ramadhan. Siapa yang berpuasa tiga hari daripada bulan Sya’aban, kemudian dia bersalawat atasku beberapa kali sebelum berbuka puasa maka di ampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu, diberkatikan rezeki baginya, antara lain sabdanya lagi: Bahawa Allah Ta’ala membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat.

Sabda Rasulullah s.a.w.: Dinamakan Syaaban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak dan puasa yang lebih afdhal sesudah Ramadhan ialah puasa bulan Syaaban. Pengertian Sya’aban: Kemuliaan, Ketinggian, Kebajikan, Jinak, Cahaya.

Sabda Nabi s.a.w.: Bahawa kelebihan Rejab atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihan Qur’an atas segala kalam. Kelebihan Syaaban atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihanku atas segala Anbia’ (Nabi-nabi). Kelebihan Ramadan atas bulan-bulan yang lain seperti kelebihan Allah atas sekelian makhlukNya.

Bulan Sya’aban, keagungan malamnya dengan Nisfu Syaaban seperti keagungan Ramadhan dengan Lailatul Qadarnya. Maka pada malam Nisfu Sya’aban telah datang Jibril kepada Rasulullah s.a.w lalu katanya: Angkat kepalamu ke langit, itulah malam yang Allah beri padanya tiga ratus rahmat dan diampunkan Allah sekelian orang yang menyengutukan (syirik) denganNya dengan sesuatu, kecuali: tukang nujum, kekal dalam zina, kekal minum arak, derhaka terhadap ibubapa.

http://dakwah.org/blog/?p=299


BUAT 1 DAPAT MINIMA 10

Al-An’am [160] Sesiapa yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya; dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).

Daripada Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila salah seorang dari kamu mengerjakan amal-amal yang membuktikan keIslamannya dengan sebaik-baiknya (serta dengan ikhlas), maka tiap-tiap kebaikan yang dikerjakannya akan ditulis baginya sepuluh kebaikan yang menyamainya hingga kepada tujuh ratus kali ganda dan tiap-tiap satu kejahatan yang dilakukannya akan ditulis baginya (satu kejahatan) yang menyamainya.” (Riwayat Bukhari).

Syarat untuk mendapat pahala ini mestilah mempunyai IMAN dan ISLAM. Syarat untuk mendapat ganjaran ini ialah amalan itu mestilah dilakukan semata-mata kerana Allah dan dilakukan oleh orang yang mempunyai akidah yang betul. Dengan kata lain hati mestilah mantap rukun imannya dan amalan mestilah dilakukan mengikut syariat dan sunnah.

Sesuatu amalan itu juga diberi pahala mengikut apa yang diniatkan. Hadith yang selalu kita dengar iaitu “INNAMAL ‘amalu bin-niati” Berkata Saidina Umar Bin Al Khattab r.a.

Rasulullah s.a.w. bersabda:“Hanya sesungguhnya segala ‘Amalan itu dengan Niat,

Walaupun kita hanya melakukan 1 amalan tetapi Allah swt membayar 10. Mana datangnya 9 lagi? Tentulah daripada Allah swt. Oleh itu berlumba-lumbalah kita mengumpul harta akhirat ini kerana kita tidak tahu apa yang disediakan oleh Allah swt untuk kita di akhirat nanti.

Hadis riwayat Abu Hurairah ra.:Daripada Nabi saw., Baginda bersabda: Allah berfirman: Aku sediakan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh sesuatu yang belum pernah dilihat oleh mata dan tidak pernah didengar oleh telinga serta tidak terlintas dalam hati manusia.

http://nasbunnuraini.wordpress.com/2012/06/01/buat-1-dapat-minima-10/

No comments: